Suasana pejabat ketika itu lengang sedikit. Beberapa staf keluar rehat tengah hari. Hana pula masih berada di bilik pejabatnya, sedang tekun memeriksa beberapa data jualan untuk kempen baru.
Tiba-tiba, satu notifikasi muncul di sudut kanan skrin komputer.
E-mel baharu dari: Fakhri M.
Tanpa berlengah, Hana klik e-mel tersebut. Tertera subjek:
“DRAF CADANGAN AWAL – bisnes pelancongan”
"Ha, cepatnya dia hantar," bisik Hana perlahan sambil membuka lampiran PowerPoint Presentation itu.
Slaid demi slaid terbuka. Paparan grafik yang agak berani, pemilihan warna kontras yang mencolok mata, dan beberapa kenyataan perniagaan yang terlalu umum. Hana menyelak lagi slaid ketiga, keempat dan kelima. Dahi Hana mula berkerut. Jari telunjuknya mengetuk-ngetuk tetikus perlahan.
“Eh… ni tak betul. Tak boleh buat macam ni.”
Dia membaca lebih teliti.
“Sasaran pelanggan terlalu kabur… mana kajian pasaran? Bajet pun tak masuk akal…” Hana bercakap seorang diri sambil mencatat poin-poin ringkas di atas sticky note.
Slaid terakhir ditutup dengan slogan:
“Percutian Tanpa Batasan – Impian Jadi Kenyataan”
Hana senyum nipis, menggeleng kecil.
"Fakhri ni... slogan kemain, isi tunggang-langgang," rungutnya perlahan.
Dia bersandar seketika. Pandangannya jatuh pada skrin komputer yang memaparkan wajah Fakhri dalam gambar profil e-mel. Kenangan waktu kecil bersama Fakhri terlintas sebentar. Tapi sekarang bukan masa untuk bernostalgia.
"Nak kena telefon ni… kalau balas e-mel nanti dia tak faham," gumam Hana sambil mencapai telefon bimbitnya.
Jari-jarinya laju mencari nama Fakhri. Sekali tekan, telefon dibawa ke telinga. Sementara menunggu, tangannya masih mencatat beberapa pembetulan yang mahu dia sebut nanti.
Nada telefon mula berdering...
Telefon diangkat selepas deringan ketiga.
“Hello, Kak Hana!” sapa Fakhri ceria.
“Hello Fakhri… aku dah tengok dah slide kau.” Nada Hana serius, tapi masih tenang.
“Ha, cun kan? Aku buat sambil makan maggi malam tadi. Kreatif gila weh.”
Hana pandang skrin komputer sambil geleng kepala.
“Kreatif sangat sampai aku pening. Mana bahagian bajet? Mana kajian pasaran? Kau letak semua tu main petik nombor ke apa?”
“Ala… aku ingat kita bincang je nanti. Tu rangka awal je kot.” Jawab Fakhri selamba.
“Fakhri, klien bukan nak tengok rangka awal. Diorang nak tengok benda ‘solid’. Ni macam assignment budak sem satu kau tahu tak.”
“Weh, relaxlah kak… janganlah sound aku macam cikgu besar.”
“Sebab aku sayang la aku cakap. Kalau aku tak sayang, aku biar je kau kena gelak depan pelabur nanti.”
Fakhri ketawa kecil.
“Habis tu macam mana? Aku blur sikit part bajet tu.”
“Macam ni la, senang cerita... jumpa je kat kafe yang biasa tu. Cakap dalam telefon ni susah.”
“Eh boleh je. Tapi... belanja makan tau.”
“Yelah, kau yang mintak ajar, kau la belanja. Jangan berkira dengan kakak sepupu kau ni.”
“Alahai... nasib baik kau comel. Okey, jumpa lepas kerja.”
“Settle. Jangan lambat.”
“Roger!”
Hana letak gagang dengan senyum kecil, dalam hati masih geram — tapi itulah Fakhri. Sejak dulu, sepupu yang buat orang pening, tapi tetap buat orang sayang.
Selesai sahaja talian dimatikan, Hana melepaskan nafas panjang. Telefon bimbitnya diletak ke tepi dan tangannya pantas mengalihkan tetikus komputer. Banyak lagi kerja yang belum selesai. Laporan pelanggan dari pasukan pemasaran juga masih belum diperiksa. Tanpa buang masa, Hana tekan butang interkom di mejanya.
“Puan nak saya panggilkan Encik Faizal?” suara pembantu menjawab pantas.
“Ya, tolong minta dia masuk sekarang.”
Beberapa minit kemudian, pintu pejabatnya diketuk. Encik Faizal muncul dengan fail ditangan, wajah tenang seperti biasa.
“Masuk, En. Faizal. Duduk sekejap.”
Faizal duduk sambil menunggu arahan. Hana mencapai satu fail berwarna biru gelap dari meja sebelahnya dan menyerahkannya kepada Faizal.
“Dalam fail ni ada bahagian yang silap sikit. Saya dah tandakan. Mungkin masa siapkan minggu lepas ada keciciran.”
Faizal membelek fail itu seketika.
“Baik puan. Saya akan semak semula.”
“Minta tolong cepatkan ya. Deadline pembentangan projek tu minggu depan. Saya takut tak sempat kalau tak betulkan sekarang.”
“Saya faham. Saya akan arahkan pasukan siapkan hari ni juga.”
Sebelum sempat Faizal bangun, telefon meja Hana kembali berdering. Hana angkat gagang, memberi isyarat kepada Faizal supaya tunggu sebentar.
“Ya? Bahagian akaun? … Oh, bajet pengiklanan dah lulus? Okey, terima kasih. Nanti ada orang hantar fail ya? Baik.”
Hana letak gagang. Dia menyandarkan badan ke kerusi sambil mengurut tengkuknya yang mula terasa tegang.
“Hari ni memang padat sungguh…” Hana mengeluh perlahan.
Faizal mengangguk, faham benar dengan tekanan kerja yang ditanggung oleh wanita itu.
“Kalau puan perlukan saya bantu semak dokumen lain, beritahu saja. Saya masih lapang sampai jam 5 nanti.”
“Terima kasih, En. Faizal. Saya hargai.”
Faizal mengangguk dan keluar dengan fail di tangan. Hana kembali menatap skrin, membuka satu persatu e-mel baharu yang belum dibaca. Tangannya laju menaip, tetapi fikirannya masih teringat pada Fakhri — dan cadangan yang masih banyak perlu dibaiki.
Setelah Faizal keluar membawa fail, Hana menoleh ke arah jam dinding. Sudah hampir pukul 5 petang. Tapi dia tahu, kerjanya belum selesai. Dan dia masih perlu bertemu Fakhri untuk menjelaskan semula cadangan yang tidak menepati standard klien. Fikirannya ligat menyusun masa.
Tanpa berlengah, dia mencapai gagang telefon pejabat dan menekan nombor sambungan Armand. Pejabat Armand terletak dalam bangunan yang sama, cuma di tingkat berlainan.
“Hello, sayang?” suara Armand di hujung talian kedengaran tenang.
“Saya nak beritahu, saya kena keluar kejap. Ada jumpa klien. Mungkin saya balik lambat sikit.”
“Okey. Tapi jangan lambat sangat ya. Balik tengok Danish dulu sebelum dia tidur.” Armand memberi pesanan dengan nada lembut tetapi jelas.
“Orait, sayang. Saya akan cuba balik cepat.”
“Take care. Jangan lupa makan.”
“Yes, boss.” Hana sempat bergurau kecil sebelum menamatkan talian.
Dia tersenyum nipis. Letih masih membaluti tubuhnya, namun tanggungjawab kerja belum selesai. Sebagai CMO Metro Nova, beban kerja memang sentiasa bertimbun. Tapi dia tahu, setiap keputusan dan cadangan yang keluar dari unit pemasaran akan memberi kesan kepada jenama syarikat. Dia tak boleh cuai.
Hana menyambung kerjanya di hadapan komputer, menyemak laporan prestasi kempen iklan terakhir, menyusun jadual untuk mesyuarat minggu depan, dan sekali-sekala menjeling semula e-mel Fakhri — sambil mencatat poin yang perlu ditegur nanti bila mereka bertemu di kafe.
Walau penat, dia tetap beri fokus penuh. Sebab itu Hana.
Jam di sudut meja sudah menunjukkan 5:10 petang. Hana yang sedang meneliti dokumen pembentangan kempen iklan akhir bulan segera terhenti. Dia menoleh ke arah jam tangan pula, seolah mahu memastikan waktu yang dilihat itu benar.
"Alamak, dah pukul lima sepuluh..." bisiknya perlahan. Tangan terus mencapai telefon bimbit yang terletak di penjuru meja.
Hana berdiri, cepat-cepat menutup fail dan memasukkan beberapa helaian kertas penting ke dalam beg kerja. Dia tahu kalau jalan sesak waktu pulang kerja, dia pasti akan lewat tiba di kafe.
Sambil berjalan ke pintu pejabat, dia menekan nombor pemandu peribadinya, Pak Rahman. Beberapa staf yang kebetulan lalu di koridor turut menegur.
“Puan Hana, dah nak balik?” tegur Farah, salah seorang pegawai pemasaran.
“Ya Farah, saya ada janji luar. Esok kalau ada update pasal kempen digital tu, tolong e-melkan ke saya ya.”
“Baik puan. Tapi kalau saya sempat siap malam ni, saya hantar terus.”
“Bagus. Terima kasih.”
Seorang lagi staf, Amir, sempat menegur sambil membawa set fail ke bilik mesyuarat.
“Puan, pembetulan teks poster kempen ‘Metro Raya’ tu saya dah serah pada bahagian rekaan.”
“Okey. Nanti saya semak dulu sebelum dihantar ke HQ. Good job, Amir.”
Senyuman kecil diberikan, walau langkahnya laju ke lif. Telefon bimbit yang masih di tangan kini didekatkan ke telinga.
"Pak Rahman, dah sampai ke bawah?" tanya Hana sebaik panggilan bersambut.
"Dah puan. Saya tunggu depan lobi sekarang."
"Okey. Saya turun sekarang."
Beberapa minit kemudian, Hana keluar dari lif di lobi utama. Pak Rahman sudah bersedia di sebelah kereta hitam yang diparkir berhampiran tiang pintu masuk. Dia segera membuka pintu belakang untuk Hana.
"Terima kasih, Pak Rahman," ucap Hana sambil masuk ke dalam kereta.
Setelah duduk, dia berkata dengan tenang, "Kita terus ke kafe biasa tu ya, yang dekat simpang tiga belakang stesen minyak tu."
"Baik puan. Kalau jalan tak sesak, mungkin kita sampai sebelum lima tiga puluh."
"Harap-harap tak jem..."
Kereta mula bergerak meninggalkan bangunan Metro Nova. Hana bersandar sambil melihat pemandangan luar jendela. Fikirannya mula memikirkan cadangan Fakhri yang terasa longgar dan terlalu berani — tidak sesuai untuk klien besar yang mereka tangani. Tapi dia juga tahu, nak tegur Fakhri tak boleh keras sangat. Kalau tidak, nanti terasa pula adik sendiri.
Share this novel