Pagi itu di hadapan bangunan Metro Nova agak sibuk, staff datang bertali arus dengan kopi di tangan. Suasana berubah bila sebuah MPV hitam berhenti perlahan di pintu utama.
Pak Rahman, pemandu peribadi Hana, turun membuka pintu—pemandu khas sejak Hana jadi isteri CEO, bukan pemandu biasa-biasa.
Hana keluar bergaya, lengkap dengan kaca mata hitam, skirt labuh, dan beg tangan baru yang masih berbau butik mewah. Nilai beg? Hanya Armand dan akaun bank dia yang tahu.
“Selamat pagi, puan Hana,” sapa salah seorang staf yang sedang pegang fail tapi mata tak lepas dari beg tangan itu.
“Pagi,” balas Hana, senyum sedikit. Tenang. Gaya seorang CMO. Isteri CEO. Ratu di kawasan parking.
Dia berjalan masuk dengan penuh anggun, langkah slow-mo seolah-olah ada lagu tema drama Korea dimainkan di latar. Beberapa staf lain dah mula berbisik-bisik. Gosip pagi hari pun bermula.
“Eh, tu ke beg yang viral semalam tu?”
“Yang limited edition tu? Gila lah!”
“Suami dia ke yang bagi? Alaaa... aku baru je order beg RM99 kat shopee, dah rasa mewah sangat...”
Tapi Hana dah biasa. Kalau tiap kali jalan semua orang tengok, lama-lama kita pun kena belajar buat-buat tak nampak. Sampai saja di pejabat, dia duduk dan buka kaca mata hitam. Letak beg tangan dalam laci—bukan sebab takut kena curi, tapi takut ada yang datang ambil gambar nak buat content TikTok “first time tengok beg mahal secara live.”
Telefon bimbit dibuka. Dua mesej WhatsApp masuk serentak. Satu dari staf bawahannya:
“Puan Hana, saya minta maaf sangat. Hari ni saya cuti kecemasan. Anak saya demam panas.”
Hana terus taip:
“Tak apa. Anak sakit, memang ibu kena utamakan. Saya faham. Harap anak cepat sembuh ya.”
Dalam hatinya, dia terbayang wajah Danish, anak kesayangannya. Kalau Danish demam, memang habis satu rumah jadi macam ICU mini. Tak cukup panadol, siap ada termometer digital, humidifier, essential oil semua dikerah. Jadi dia faham sangat apa yang staf tu rasa.
Mesej kedua pula, muncul nama yang buat dia terus menghela nafas. Fakhri. Sepupunya yang kononnya nak minta maaf secara “face to face”.
“Kak Hana, jom lunch hari ni? Saya nak minta maaf betul-betul. Tengok muka kak Hana baru lega rasa bersalah.”
Hana baca dua tiga kali. Kemudian dia senyum sinis.
“Muka aku ke yang kau nak tengok, ke hati aku kau nak pancing balik?” gumamnya perlahan, sambil bersandar.
Dia taip:
“Maaf, saya sibuk sangat hari ni. Banyak kerja. Lain kali insya-Allah.”
Dia tekan send dan letak telefon atas meja. Tak sampai lima saat, double tick biru muncul. Tapi Fakhri tak balas. Mungkin tengah kecewa. Mungkin tengah tulis ayat sedih untuk status Fac. Atau... tengah taip tapi padam balik.
Beberapa minit selepas Hana selesai membaca laporan e-mel dari HQ, pintu biliknya diketuk perlahan.
“Masuk,” jawab Hana, masih menumpukan perhatian pada skrin laptop.
Pintu terbuka dan muncullah Encik Faizal, Pengurus Pemasaran Metro Nova yang terkenal dengan gaya serius tapi senyumannya tak pernah culas.
“Selamat pagi, puan Hana,” sapa Faizal sambil mengangkat fail berwarna biru tua.
Hana menoleh. “Selamat pagi, Encik Faizal. Itu fail laporan yang saya minta semalam?”
“Ya, puan. Laporan suku tahun pertama—saya dah semak dua kali, dan pastikan semua analisis kempen dikemaskini,” jawabnya penuh yakin.
Hana mengangguk dan mengambil fail itu. Dia membukanya perlahan, helaian demi helaian dibaca dan diteliti. Bunyi kertas dibalikkan satu-satu mengisi ruang bilik yang sunyi itu. Faizal berdiri menunggu, dengan posisi tangan di depan, seperti seorang pelajar sekolah menunggu keputusan ujian.
Hana angkat kepala. “Saya suka susunan ni. Awak masukkan juga ROI untuk kempen billboard?” tanyanya sambil menunjuk satu halaman.
“Ya, saya sertakan lampiran pada muka surat terakhir. Saya tahu puan akan tanya,” jawab Faizal sambil tersenyum sedikit, lega.
Hana ketawa kecil. “Awak dah mula kenal saya, baguslah.”
Dia capai pen dari tempat letak di atas meja, lalu menurunkan tandatangan. “Laporan ni tak ada cacat cela. Hantar terus ke bahagian akaun. Pastikan Encik Hisham terima sebelum tengah hari. Saya tak nak vendor call tanya bayaran lambat.”
“Baik, puan.” Faizal mengambil semula fail tersebut dengan dua tangan, tanda hormat — dan juga mungkin sebab fail tu agak berat.
“Terima kasih, puan. Saya terus ke akaun sekarang.”
“Silakan.”
Faizal pun melangkah keluar. Hana kembali bersandar di kerusi, tarik nafas perlahan. Satu kerja selesai. Satu pujian kecil pun terasa besar bila staf tahu apa yang mereka buat dihargai.
Dia lihat jam di pergelangan tangan.
‘Baru pukul sepuluh lebih. Harap hari ni tenang,’ bisik hati Hana. Tapi dia pun tahu, hidup dia sekarang… tenang tu bukan selalu dalam jadual harian.
Tiba-tiba, bunyi notifikasi WhatsApp berbunyi lagi. Kali ini dari Fakhri. Mesej dia agak tegas tapi ada juga nada minta simpati.
“Kak Hana, dah berhari-hari aku cuba nak jumpa kau. Betul-betul nak minta maaf depan-depan. Kasihanilah aku, satu peluang je,” tulis Fakhri.
Hana mengeluh kecil. Sebenarnya dia dah lama elak nak jumpa Fakhri. Takut nanti Fakhri ulang kesilapan lama. Tapi ada sesuatu buat Hana rasa susah nak tolak.
Dia pandang telefon sejenak, kemudian menaip dengan tenang.
“Oke, tengahari ni aku makan dengan kau. Tapi sekali je, jangan ulang lagi,” balas Hana ringkas.
Selepas hantar mesej, Hana letakkan telefon. Senyum sinis sambil bisik dalam hati, “Ini macam episod drama aku ni. Lepas ni kena ready mental, jangan sampai tersembur nasi dengar permintaan maaf dia.”
Waktu tengahari sudah tiba. Sesuai dengan masa untuk makan, Hana melangkah keluar dari pejabatnya dengan tenang. Sebelum meninggalkan bilik, dia sempat memberi arahan ringkas kepada Tasya.
“Kalau ada panggilan penting, terus sahaja hubungi saya, ya,” pesannya. Tasya angguk faham, seperti biasa.
Langkah Hana perlahan di koridor, hati mula rasa tak sedap. “Aku kena jumpa Armand dulu. Minta restu sebelum keluar makan,” bisiknya.
Sampai di depan pejabat Armand, ruang Marissa kosong. Pelik.
Matanya beralih ke bilik Armand — Marissa ada di situ, berdiri rapat di sebelah Armand, khusyuk mendengar arahan. Tapi entah kenapa, hati Hana terus rasa tak tenang.
“Kenapa Marissa berdiri sebelah Armand? Bukannya sepatutnya dia berdiri di hadapan meja?,” fikir Hana.
Mata Hana terpaku pada tangan Marissa—hampir menyentuh tangan Armand, tapi cepat-cepat ditarik semula. Macam pasangan baru belajar jaga batas.
Tanpa tunggu lama, Hana tolak pintu pejabat Armand tanpa ketuk. Wajahnya serius.
Marissa tersentak, cepat-cepat beralih ke depan Armand, seperti pesalah baru ditangkap.
Armand turut terkejut. Tangan yang sedang memegang pen diletak ke meja. “Hana?”
“Marissa, awak buat apa kat sini?” soal Hana dengan nada tenang tapi tegas. Matanya tak lepas dari wajah wanita itu.
“Saya... saya tengah dengar arahan dari Tuan Armand, Puan Hana,” jawab Marissa tergagap. Tangan digenggam erat di depan tubuh, jelas sekali canggung.
“Dengar arahan sampai kena berdiri sebelah macam tu? Awak tak tahu ke batas seorang staf dengan majikan?” Nada suara Hana makin berubah. Nada yang menuntut penjelasan.
Marissa terpinga. Mulutnya terkatup, tak tahu nak jawab.
Hana beralih pandang kepada suaminya. “Dan awak pun satu, kenapa tak tegur? Awak selesa ke dia berdiri macam tu dekat dengan awak?”
“Hana... saya tengah jelaskan pasal laporan mesyuarat minggu depan. Saya tak perasan pun dia berdiri dekat sangat,” Armand menjawab, cuba meredakan suasana.
“Entahlah, kadang saya pun tak tahu siapa patut ajar siapa,” kata Hana perlahan sebelum berlalu keluar.
Baru lepas pintu tertutup, dia teringat — “Alamak, lupa nak bagitahu pasal lunch dengan Fakhri.”
Turun lif dengan wajah berkerut, bayangan Marissa rapat di sebelah Armand masih menghantuinya.
Di lobi, Fakhri sudah sedia menunggu dengan senyuman yakin. Berdiri macam model katalog, walaupun hanya berbaju biasa dan slack sedikit renyuk.
"Assalamualaikum, kak Hana," sapanya ceria.
"Waalaikumussalam," balas Hana sambil melangkah terus menuju ke arahnya.
Tanpa salam perkenalan lanjut, Hana terus masuk ke dalam kereta yang Fakhri bawa. Sempat dia melempar satu bebelan kecil, separuh kuat, separuh untuk diri sendiri.
“Armand tu pun satu… entah apa benda yang dia fikir. Marissa tu pula… tak faham-faham ke dia tu PA, bukan pelakon sinetron!”
Fakhri yang sedang memandu hanya tersenyum. Dalam hati dia tahu Hana bukan marah padanya. Tapi dia juga tahu — bila seorang perempuan marah orang lain, sambil ada lelaki lain mendengar, itulah peluang nak jadi hero penyabar.
“Jadi... kita makan kat mana ni?” soal Fakhri cuba memecah bebelan.
Hana merenung ke luar tingkap. “Kau pilihlah. Janji bukan tempat ramai. Mood aku tengah berkerak.”
Fakhri hanya angguk. Tempat dah lama dia rancang. Hari ini bukan sekadar nak minta maaf — dia nak Hana rasa dihargai, selesa... dan kalau boleh, mula ragu dengan Armand, walau sedikit.
‘Maaf tu aku cakap. Tapi berhenti suka? Jauh sekali,’ bisik Fakhri, mencuri pandang wajah Hana yang masih berkerut.
Sementara itu, Armand keluar dari pejabat, mencari Hana yang ghaib. Tanpa buang masa, dia terus menuju ke bilik Hana. Langkah makin laju, jantung makin kencang. Sampai di pintu, dia tolak—kosong.
“Tasya,” tegur Armand sambil menarik nafas, “Puan Hana mana?”
Tasya yang sedang menyusun fail menoleh dan senyum sopan seperti biasa. “Puan Hana keluar makan tengahari, Tuan Armand.”
“Keluar makan?” Armand ulang dengan nada macam tak percaya. “Dengan siapa?”
Tasya angkat bahu perlahan, “Maaf Tuan, dia tak beritahu. Cuma pesan, kalau ada panggilan penting, terus hubungi handphone dia.”
Armand terdiam. Matanya merenung kosong ke arah meja kerja Hana. Kerusi masih berputar perlahan, seolah-olah baru ditinggalkan. Fail atas meja tersusun rapi — macam hati dia yang sekarang ni tak rapi langsung.
‘Keluar... tak bagitahu aku?’ bisik hatinya. Dada mula rasa sesak. Otak dah mula tulis skrip drama.
Dia tarik nafas, cuba berlagak tenang. Tapi ekspresi muka tak mampu tipu. Kening bertaut, bibir digigit.
Habis la aku malam ni... tidur luar confirm. Tak pun... Hana sumbat aku tidur atas sofa dengan bantal leper tu lagi.
Tasya pula sudah duduk kembali, buat-buat fokus dengan kerja. Tapi ekor matanya masih jeling Armand.
Armand mengangguk kecil, “Baiklah… terima kasih, Tasya.”
“Ya, Tuan.”
Armand berpaling perlahan, langkah berat. Dalam hati, rasa nak suruh Pak Rahman terus pandu ke sempadan Thailand.
Malam itu di bilik tidur, suhu nyaman 23°C. Hana keluar dari bilik air dengan rambut basah bertuala, berbaju tidur pastel ringkas. Jauh dari ‘janji manis’ pagi tadi.
Armand dah sedia atas katil — rambut tersikat, wangi dah sembur. Dia senyum penuh harapan. Hati bersedia nak ‘claim hadiah’.
"Sayang..." panggil Armand dengan suara sengaja dilembutkan. "Tadi pagi awak janji nak bagi hadiah malam ni... kan?"
Hana angkat kening sambil menarik selimutnya sendiri. "Hadiah apa ya? Saya tak ingat pula."
"Alah... jangan buat-buat lupa. Awak kata malam ni special," kata Armand dengan senyuman nakal. "Tapi sekarang ni, macam... hmm, bukan malam istimewa langsung pun. Pakaian pun... longgar semacam."
Armand buat muka kecewa. "Setahu saya, awak tak datang bulan lagi. Hujung minggu nanti baru kiraan. Jadi kenapa gaya malam ni macam ‘emergency shutdown’?”
Hana menoleh perlahan. Pandangannya tajam tapi penuh sindiran. "Awak ingat saya lupa ke apa jadi tengahari tadi?"
Armand terus tepuk dahi. “Alamak... mula dah. Kantoi.”
Hana silang tangan, bersandar ke dinding kepala katil. “Awak nak saya berpakaian istimewa, tapi awak bagi saya drama percintaan pejabat depan mata. Marissa berdiri sebelah awak, macam PA tu baru dapat ‘green light’ jadi heroin kedua.”
“Eh, sayang… bukan saya! Tu dia yang datang dekat. Saya tengah kerja, dia menyelit sebelah entah kenapa,” bela Armand sambil siap-siap pegang lengan Hana, cuba ambil hati. “Saya tak sengaja… sumpah tak sengaja.”
“Saya pun tak sengaja rasa nak tukar pakaian malam ni,” jawab Hana bersahaja.
Armand tarik nafas. “Please lah... sekali je. Jangan puasa tiga hari.”
Hana selamba jawab, “Puasa tiga hari. Malam ni, esok dan lusa. Kalau awak degil, jangan mimpi tidur sini. Turun bawah, sofa awak menanti.”
Armand terus muncung. Macam budak tak dapat jajan.
“Tapi... malam Jumaat,” rayu Armand sekali lagi, kali ni dengan nada lebih dramatik.
Hana tarik bantal peluk, letak antara mereka berdua. “Malam Jumaat lah awak berdiri sebelah perempuan lain. Silap gaya, malam Isnin baru saya buka sekatan.”
Armand telan air liur. Perlahan-lahan dia baring menghadap siling. "Saya lupa isteri saya ni simpan buku laporan harian dalam otak."
"Baguslah ingat," jawab Hana. "Sekarang, tutup mata. Saya nak tidur."
Armand diam. Tapi dalam hati dia dah pasang azam baru — esok pagi kena tebus kesilapan. Kalau tak, malam seterusnya mungkin disekat lebih lama dari sekatan akaun bank.
Share this novel