BAB 34

Romantic Comedy Series 1024

Pagi itu, mentari belum pun menjengah jendela, namun Hana sudah terjaga.

Bukan kerana terkejut oleh jam loceng atau tangisan anak. Tapi kerana hatinya sendiri. Resah semalam masih belum surut. Dan pagi ini, dia tahu satu perkara — dia tidak mahu bayang Fakhri terus menumpang fikirannya.

Dia bangun perlahan-lahan, cuba tidak mengganggu lena Armand di sisi. Kakinya melangkah ke bilik air. Air wuduk menyentuh wajahnya yang masih letih, namun jiwa terasa sedikit reda. Sejadah dibentang, Hana berdiri menghadap kiblat. Dia angkat takbir, memulakan Subuh yang ingin dia jadikan lebih ikhlas — lebih kuat.

Selesai solat, dia duduk seketika. Bibirnya berzikir perlahan, hati memohon kekuatan. Hari ini, dia mahu jadi lebih baik… bukan kerana semalam, tapi kerana dia tahu, cinta yang benar tidak boleh goyah hanya kerana satu kata.

---

Armand terjaga perlahan. Tubuhnya menggeliat ringan di atas katil, mata yang masih kabur mencari susuk isteri di sisi. Namun tiada. Hanya bantal dan selimut yang masih berbekas hangat.

Dahi Armand sedikit berkerut.

“Awalnya dia bangun…” bisik hati kecilnya. Hampir tak pernah terjadi.

Selalunya dia yang akan kejutkan Hana. Atau Hana akan lena sehingga Armand sudah pun siap bersiap ke pejabat. Tapi hari ini… berbeza.

Pandangan matanya jatuh pada Hana yang sedang menggulung sejadah. Wajah Hana tenang, rambutnya sedikit lembap, masih ada titis air pada hujung telinga. Armand terpinga-pinga.

Sebaik saja mata mereka bertaut, Hana tersenyum kecil.

“Selamat pagi, sayang…” ucap Hana, lembut namun penuh maksud.

Armand angkat kening, senyum kecil juga terukir. Tapi jelas ada tanda tanya dalam matanya.

“Pagi… Awalnya awak bangun hari ni?”

“Bangunlah mandi. Solat Subuh dulu,” arah Hana lembut, lalu bangun membawa sejadah ke rak.

Armand akur, namun dalam langkahnya ke bilik air, hatinya masih tertanya-tanya.

Ada sesuatu yang berubah.

Dan dia tahu — dia akan cari tahu, perlahan-lahan, dengan cara paling lembut untuk wanita yang paling dia cinta.

Setelah selesai semuanya — mandi, solat, dan sesi ‘catwalk’ depan cermin — jam sudah pun 7.30 pagi. Hana dan Armand bersiap rapi, suasana tenang tanpa adegan mencari stokin hilang atau bunyi pengering rambut menjerit-jerit.

Mereka keluar dari bilik, langkah seiring menuju ke meja makan yang sudah pun siap terhidang. Terima kasih kepada Kak Ros dan Kak Milah yang setia seperti pengurus restoran lima bintang.

Menu pagi ringkas sahaja — roti bakar, telur hancur, dan hirisan buah. Permintaan Hana katanya nak jaga badan. Tapi Armand pandang Hana dengan senyuman menggoda sambil bisik dalam hati,
"Kalau awak makin kurus, saya nak tengok apa lagi lepas ni?"

---

Di satu sudut, Kak Lina sedang bertarung nyawa dengan si kecil Danish yang bangun terus ‘full charge’. Belum sempat mata bukak luas, Danish dah marathon satu villa macam nak kejar rekod dunia. Kadang muncul bawah meja, kadang lari dengan sudu.

Armand jeling anaknya yang tak berhenti-henti lari, sambil geleng kepala.
“Yang ni memang sah ikut perangai awak,” katanya kepada Hana dengan senyum nakal.

Hana sengih, “Ish! Mana ada. Awak tu yang kuat berlari masuk meeting pagi-pagi dulu... Danish ikut ayah dia lah tu.”

---

Sambil kunyah roti bakar, Armand tanya santai,
“Awak nak pergi kerja dengan saya ke hari ni, atau nak tunggu Pak Rahman je hantar?”

Hana terdiam sejenak. Otaknya masih loading — macam browser ada banyak tab terbuka. Dalam kepala dia bukan setakat fikir kereta mana nak naik, tapi juga sisa-sisa memori semalam yang masih cuba disorok dalam hati.

Akhirnya, dia senyum dan jawab lembut,
“Saya ikut awak lah hari ni. Kita pergi sama-sama, boleh?”

Armand senyum lebar. “Boleh sangat. Lagi senang saya nak curi pandang isteri saya dalam kereta.”

“Eh, awak ni...” Hana cubit manja lengan Armand, tapi dia sendiri tak tahan senyum.

---

Hari itu mereka tak perlu tergesa-gesa. Semua dah siap malam tadi. Tapi dalam hati Hana, masih ada sisa rasa terganggu dengan kata-kata Fakhri. Bukan kerana dia lemah, tapi kerana dia tahu — walaupun ayat itu ringkas, "Aku suka kau, Hana", tapi impaknya... boleh jadi retak kalau tak dijaga.

Namun pagi ini, dia pilih untuk jadi isteri yang setia, bukan wanita yang menyimpan luka.

Dan ketika Danish meluru ke arah mereka tanpa baju dan menjerit,
“Mamaaaa! Mana susu coklat sayaaaa!”

Mereka berdua hanya mampu tergelak — dan tahu, apa pun berlaku, rumah itu tetap hidup.

Setibanya di pejabat Metro Nova, Hana dan Armand keluar dari kereta dengan tenang. Langkah mereka seiring, tidak tergesa, tidak terlalu perlahan. Sekilas, pasangan itu kelihatan seperti dua ikon kejayaan dan cinta dalam satu gambar yang sempurna.

Pintu utama terbuka secara automatik, dan deretan kakitangan yang kebetulan berada di lobi memberi salam dan ucapan selamat pagi.

“Selamat pagi, Tuan Armand. Puan Hana.”

Mereka membalas dengan senyuman sopan. Hana sempat mengangguk dan mengucap, “Selamat pagi,” dengan gaya yang sederhana tapi manis.

Namun bukan itu yang menjadi perhatian utama.
Beberapa mata memandang lebih dari sekadar hormat. Ada yang kagum, ada yang... cemburu.
Bukan cemburu kerana benci, tetapi cemburu kerana mendambakan hal yang sama —
Pasangan yang saling menyokong, saling melengkapi.

Mereka melihat Hana dan Armand seperti sepasang Uda dan Dara moden.
Romeo dan Juliet versi dunia korporat.
Cinta, kuasa, kejayaan — semuanya nampak sempurna.

Tetapi...

Tiada siapa tahu apa yang tersembunyi di balik senyuman manis mereka.
Tiada siapa dengar debaran kecil yang Hana cuba sorok setiap kali memandang telefon.
Dan tiada siapa lihat gelisah Armand saat isterinya termenung lama di dalam kereta tadi, hanya berkata,
“Saya okay...”
walaupun riak wajahnya tak sepenuhnya percaya pada kata-kata itu.

---

Setelah menaiki lif ke tingkat pentadbiran, Hana menuju ke biliknya. Armand sempat menarik tangan isterinya sebelum berpisah ke ruang masing-masing.

“Awak pasti okay hari ni?” soalnya perlahan, hanya untuk didengari dua hati itu sahaja.

Hana senyum. “Saya cuba, ya?”

“Kalau ada apa-apa, saya ada,” jawab Armand, menyentuh lembut belakang tangan Hana.

Dia mengangguk, kemudian melangkah masuk ke biliknya. Senyumannya masih ada, tapi tak siapa tahu, dalam hatinya masih ada sisa rasa yang Fakhri tinggalkan.

---

Dan dalam diam, dua hati yang nampak bahagia itu, sebenarnya sedang berdoa diam-diam...

Semoga hari ini tetap tenang, Semoga cinta ini tetap utuh, Kerana hari ini kita genggam, Tapi esok — siapa tahu?

Setibanya di bilik bahagian pemasaran dan strategi, Hana melepaskan nafas perlahan sambil menyarung selipar pejabat kegemarannya — hadiah daripada Armand, katanya supaya isteri tercinta tak sakit lutut bila berdiri lama.

Baru sahaja dia duduk, telefon bimbitnya bergetar di atas meja.

Fakhri.

Mata Hana membulat sedikit. Tanpa perlu fikir panjang, dia terus menekan butang “Tolak”. Skrin kembali gelap. Tapi fikirannya tidak.

Beberapa minit kemudian, getaran telefon itu datang lagi. Masih nama yang sama.

Fakhri.

Wajah Hana berubah. Tenangnya hilang. Dalam hati, dia menjerit tanpa suara.
"Apa lagi yang budak ni nak?"

Dia terus menekan mute, meletakkan telefon itu jauh sedikit — seolah-olah mahu menjauhi segala rasa yang datang bersamanya.

Lalu jari menekan butang interkom.

“Tasya, masuk sekejap.”

Tak lama kemudian, pintu diketuk dan dibuka perlahan. Tasya masuk dengan buku nota dan pen, sudah bersedia mencatat sebarang arahan penting.

Hana tidak senyum seperti biasa. Kali ini matanya sedikit redup.

“Tasya, tolong batalkan semua temu janji saya. Hari ni saya tak nak gangguan. Kalau ada panggilan, tapis. Saya nak duduk diam, tenangkan fikiran.”

Tasya mengangguk patuh. “Baik, Puan.”

---

Sebaik sahaja Tasya melangkah keluar, dia berbisik perlahan kepada rakan di sebelah — cukup perlahan untuk tidak didengar Hana, tapi cukup kuat untuk memulakan satu rantai kecil kejutan dalam jabatan itu.

“Puan Hana cancel semua appointment. Macam ada something off hari ni.”

“Eh? Kenapa?”

“Tak tahu. Tapi nada suara dia tadi lain macam. Senyum pun tak.”

Dan dari bisik ke bisik, dari meja ke meja, khabar itu bertebaran seperti serbuk kopi jatuh atas meja putih.

Satu jabatan itu mula jadi senyap.
Panggilan telefon diperlahankan. Suara ketikan papan kekunci lebih berhati-hati. Muka masing-masing ketat, seolah-olah semua orang sedang menduduki ujian penting tanpa kertas soalan.

Hanya satu yang bermain dalam kepala mereka —
“Hari ni... jangan cari pasal.”

---

Dari balik dinding kaca, Hana perasan perubahan suasana. Tapi dia tidak peduli.

Fokusnya kini cuma satu:
Jangan biar satu panggilan merosakkan semua yang dia bina selama ini.

Nama itu… suara itu…
“Aku suka kau, Hana...”

Masih bergema di benaknya. Ucapan paling tidak sepatutnya — datang dari insan paling salah.

Hatinya makin sesak. Tapi wajahnya kekal tenang.

Kerana itulah Hana.

Tepat selepas tengah hari, suasana di tingkat pengurusan Metro Nova agak sunyi. Bunyi penghawa dingin, diselang-seli ketikan keyboard dan bisikan halus para staf — semuanya tenang.

Tiba-tiba, telefon pejabat Hana berdering.

Tringg... Tringg...

Hana angkat gagang telefon.

“Hello?” nada profesional, tapi matanya masih memandang skrin komputer.

“Awak tengah sibuk ke?” suara Armand kedengaran tenang, tapi ada nada tertahan seperti seseorang yang baru ‘dipinggirkan’ oleh isteri sendiri.

“Kenapa tak call je handphone saya?” tanya Hana pelik. Biasanya Armand akan terus WhatsApp atau telefon bimbit.

“Saya dah call... lima kali, sayang. Tak diangkat pun,” jawab Armand, sambil menekankan nada ‘lima’ itu seperti hendak mengingatkan bahawa ini bukan cubaan pertama.

Hana terus seluk beg tangan. Dikeluarkan telefon dan diperiksa.

“Ohh silent rupanya,” Hana ketawa kecil. “Sorry la. Saya betul-betul tak perasan.”

“Nak lunch tak?” tanya Armand bersahaja. “Saya tunggu awak kat bawah.”

“Boleh,” jawab Hana sambil senyum sendiri. “Sekejap, saya turun sekarang.”

Hana meletakkan gagang telefon, lalu membuka skrin telefon bimbitnya. Matanya sedikit membulat.

18 misskol – Fakhri.
5 misskol – Armand.
2 mesej WhatsApp.

Mesej pertama dari Armand:
“Sayang, jom lunch sama. I tunggu bawah .”

Mesej kedua dari Fakhri:
“Maaf kak Hana. Saya tak sengaja. Saya janji tak buat lagi.”

Hana hela nafas panjang. Bibirnya terherot ke sisi.

“Tak sengaja?” bebelnya perlahan. “Ingat aku ni tak boleh beza sengaja dengan tak sengaja ke? Dah la ayat macam budak audition drama petang.”

Sambil matanya mencebik, tangannya dah bersiap nak letak telefon dalam beg.

“Tak buat lagi katanya. Masalahnya, awak tu dah tahu saya ni isteri orang. Apa awak fikir semua perempuan ni goyah ke kalau kena ayat simpati?”

Dia bangun. Beg tangan disangkut kemas di bahu. Langkah diatur keluar bilik, dan sebelum tekan butang lif, dia sempat berkata dalam hati:

“Hari ni, lunch dengan suami. Bukan dengan drama.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience