Pagi menjelma dengan cahaya lembut yang menembusi langsir putih hospital. Langit belum sepenuhnya cerah, tapi sudah cukup untuk membuka mata yang lelah.
Hana terjaga lebih awal daripada biasa. Mungkin kerana tidur yang tidak berapa lena. Mungkin juga kerana hatinya mula sedikit ringan selepas semalam diluahkan.
Dia toleh ke sisi.
Di situ, Emy masih lena, kepalanya terlentok di sisi katil, beralaskan tangan, separuh tubuh menyandar. Nafasnya perlahan. Bibir sedikit muncung — mungkin sedang bermimpi beli tudung RM5 dekat TikTok Shop.
Hana senyum nipis. Tangannya perlahan-lahan mengusap kepala sahabat itu.
“Emy…” bisiknya perlahan. “Kau lah sahabat aku paling setia. Paling lama.”
Tangannya masih mengusap perlahan rambut kusut Emy yang semalam gigih berceramah, gigih ketawa, gigih menyakat.
“Lima belas tahun tak jumpa. Tapi bila jumpa… kau tetap sama. Mulut laser, suka bebel… tapi tak pernah pun lukakan hati aku,” suara Hana lirih. Ada sendu yang dia tahan.
“Terima kasih, Emy…” Hana sambung lagi, lebih perlahan, seolah tak mahu Emy sedar. “Sebab masih sudi jadi sahabat aku. Dalam keadaan aku paling lemah, paling teruk... kau ada.”
Emy tidak bergerak. Masih lena. Tapi tangan Hana tetap di situ. Mungkin dia tak sedar, mungkin juga dia sebenarnya sedang berkata-kata pada diri sendiri. Tapi yang pasti, ucapan itu lahir dari hati yang benar-benar menghargai.
Di luar, cahaya pagi makin cerah. Dan hati Hana juga, sedikit demi sedikit… mula rasa hidup semula.
Pintu bilik pesakit terkuak perlahan. Bunyi tombol berputar menarik perhatian Hana yang sedang duduk termenung di sisi katil. Dia segera menoleh.
Armand.
Emy yang masih terbaring separuh lena tersentak kecil. Dalam keadaan gelabah, dia terus capai tudung yang tersangkut di kerusi lalu menyarung ke kepala. Tudung senget pun tak apa, asalkan tutup aurat.
“Err… err… Assalamualaikum, eh… Selamat pagi, eh… Tuan… eh Encik… eh… Dato’ ke?” tergagap-gagap keluar dari mulut Emy. Lidahnya keliru memilih gelaran yang patut.
Armand hanya angkat sedikit kening, namun matanya langsung tidak beralih dari Hana.
Emy cepat-cepat berdiri, tarik beg sandang kecil dan buat-buat sibuk betulkan tudung yang memang senget sejak tadi. “Saya keluar dulu… bagi ruang…” katanya sambil separuh lari ke pintu. “Moment moment…” sempat dia bisik sendiri sebelum menutup pintu rapat-rapat.
Hana diam saja. Bahunya membelakangi pintu. Wajahnya tertumpu ke arah tingkap yang memantulkan cahaya pagi yang lembut. Namun hatinya masih kelam.
Langkah kaki Armand perlahan menghampiri. Dalam tangan, setangkai bunga melur putih. Segar dan wangi. Dia hulurkan ke arah Hana, tanpa banyak bicara.
Hana tidak berpaling. Tidak menyambut. Tubuhnya tegak dalam diam.
“Saya minta maaf…” suara Armand perlahan. Tertahan. “Saya tak tahu apa yang awak tanggung selama ni. Saya betul-betul tak tahu…”
Tiada jawapan.
Dalam hati Hana, suara kecilnya berkata perlahan.
Sekarang baru nak minta maaf? Dah aku tumbang baru kau sedar?
Tapi wajahnya masih tenang. Tiada air mata. Tiada kata.
“Saya… saya cuba, awak. Sungguh-sungguh cuba untuk faham. Tapi saya tak cukup peka. Saya tak nampak semua yang awak rasa.”
Tangkai melur masih dihulur. Dia tidak memaksa. Akhirnya dia letakkan bunga itu perlahan-lahan di hujung katil.
“Doktor kata awak dah stabil. Bila-bila masa boleh keluar… Tapi kalau awak nak rehat lama lagi pun, saya tunggu. Saya tak ke mana.”
Hana masih diam.
Armand tunduk sedikit. Nafasnya berat. Tapi matanya masih lembut, penuh rasa yang tak sempat diluah sebelum ini.
Setangkai melur menjadi saksi. Dan di sisi tingkap itu, seorang isteri masih berperang dengan perasaannya sendiri. Sedang belajar untuk percaya semula. Pada seseorang yang akhirnya datang—
Dengan setangkai melur.
Dan sebuah maaf yang sangat lambat… tapi benar-benar tulus.
“Kalau awak nak balik… saya dah uruskan semuanya,” ujar Armand perlahan, seolah takut mengganggu fikiran Hana yang masih menghadap tingkap. “Pak Rahman tunggu di bawah. Semua ubat pun saya dah ambilkan dekat kaunter farmasi.”
Suara itu tenang. Tapi penuh harap.
Namun, Hana tetap tidak memberi reaksi. Wajahnya sedikit berpaling ke sisi, tapi bukan ke arah Armand. Hanya ke cermin tingkap. Lalu diam semula.
Seolah tak mendengar. Seolah tak faham. Atau mungkin… sengaja buat tak tahu.
Armand menelan liur. Tangannya masih menggenggam jari sendiri. Satu-satunya cara dia menenangkan degup jantung yang tak menentu sejak Hana dimasukkan ke wad beberapa hari lalu.
“Saya tunggu awak… bila awak bersedia. Tak perlu tergesa-gesa,” katanya lagi.
Sekali lagi, tiada balasan dari Hana.
Tapi dalam hati Hana…
Pulang.
Ya, aku pun nak balik. Aku rindu rumah. Aku rindu Danish… Aku rindu meja makan… bau kopi pagi Kak Ros… rindu suara burung dekat balkoni bilik.
Tapi dia masih diam.
Ego dan luka terlalu baru. Hati belum sempat pulih. Dan dia mahu Armand tahu, luka itu tidak sembuh hanya dengan maaf dan sekuntum bunga.
Dia bangun perlahan dari katil. Armand segera ke tepi memberi ruang. Hana mencapai beg tangan kecil dari laci. Bibirnya tidak bersuara, namun pergerakannya itu cukup memberi jawapan.
Dia mahu pulang.
Tanpa banyak bicara, Hana melangkah keluar dari bilik, meninggalkan setangkai melur di atas cadar. Armand mengekor perlahan, seperti bayang-bayang.
Dan pagi itu, dua insan yang pernah terluka… melangkah pulang ke rumah yang sama. Tapi hati mereka belum pulang ke tempat asalnya.
Belum lagi.
Langkah Armand tenang di hadapan, beriringan dengan detik sunyi sepanjang koridor hospital. Hana pula mengekori di belakang, jaraknya tidak rapat. Tidak juga terlalu jauh. Sekadar cukup untuk memberitahu bahawa mereka bukan asing… tapi belum rapat seperti dahulu.
Langkah Hana perlahan-lahan. Kaki terasa berat, walau hati sudah bulat mahu pulang.
Sesekali Armand menoleh ke belakang, memastikan isterinya tidak tertinggal. Tapi tidak sepatah pun keluar dari mulut lelaki itu. Hanya pandangan mata yang berbicara — awak okay?
Hana pula tetap diam. Mukanya tenang, tapi dalam hati, ada gelora yang masih belum surut sepenuhnya.
Sebaik sampai di ruang menunggu lif, mereka terserempak dengan Emy yang baru keluar dari tandas sambil membetulkan tudung.
“Oh! Eh korang dah nak balik?” tanya Emy sambil menghampiri.
Hana angguk. Sepatah. Tapi pandangannya pada Emy berpanjangan. Bibirnya muncung sedikit, matanya halus mengecil — gaya Hana bila ada sesuatu yang dia nak cakap.
“Jom balik sekali,” kata Hana akhirnya.
“Tak payah la… aku naik Grab kejap lagi. Aku tunggu jururawat hantar rekod rawatan kau je,” Emy tersenyum sambil mengangkat tangan.
“Jangan buat pasal. Ikut aku balik,” balas Hana, lebih tegas nada suaranya.
Emy ketawa kecil, tapi cuba berdalih, “Eh tak manis lah, kau dengan laki kau baru baik. Baru nak mula balik. Takkan nak angkut aku sekali? Aku ni penyibuk, tau tak?”
Armand hanya diam. Tak menyampuk langsung. Pandang ke arah lif, pura-pura tak dengar.
“Peduli apa aku,” Hana jawab sambil tarik tangan Emy. “Kau teman aku dari awal, masa aku tumbang, kau ada. Takkan masa aku balik, aku tinggal kau? Jom ikut.”
“Eh… kau ni… degil betul. Aku ni bukan siapa-siapa...”
“Kau sahabat aku. Itu cukup,” tegas Hana.
Emy pandang Hana, kemudian pandang Armand. Lelaki itu masih tak berkata apa-apa. Sekadar tunduk sedikit tanda setuju bila mata mereka bertentang.
“Kalau macam tu… aku ikutlah. Tapi kau jangan menyesal bawak aku balik rumah kau. Karang aku rajin sangat bebel, laki kau lari tau,” gurau Emy sambil sengih.
Hana geleng kepala. Tapi senyuman halus terukir juga di hujung bibirnya.
Lif tiba. Pintu terbuka. Bertiga mereka masuk.
Dan pagi itu… mereka pulang bukan sahaja dengan tubuh yang penat, tetapi juga dengan harapan yang perlahan-lahan mahu pulih.
Bertiga.
Kerana sahabat yang setia… memang takkan ditinggalkan.
Sampai di luar lobi hospital, MPV hitam sudah sedia menunggu. Pak Rahman berdiri di sisi pintu penumpang belakang, segera membukanya sebaik ternampak mereka bertiga keluar.
Tanpa kata, Hana mencapai tangan Emy dan menarik sahabatnya masuk ke tempat duduk belakang. Emy sempat menjeling Armand, tapi hanya sempat menarik nafas pendek bila lelaki itu tidak berkata apa-apa.
Armand pula terus menuju ke tempat duduk hadapan, sebelah Pak Rahman. Tidak mahu mengganggu. Tidak mahu memaksa. Dia tahu, ruang itu belum dia layak rebut kembali — bukan sekarang.
Emy duduk di sisi Hana, diam. Tapi jari jemarinya menegang, menggenggam tangan sahabatnya kuat-kuat. Seolah tak mahu Hana lemas lagi dalam diam.
Hana memandang keluar. Wajahnya tenang, tapi mata seakan larut dalam bayang-bayang langit yang berarak perlahan. Tak siapa tahu apa yang berputar dalam fikirannya kini.
MPV hitam itu pun bergerak perlahan, meluncur meninggalkan hospital dan membawa mereka pulang.
Ke villa.
Ke satu ruang yang dulunya syurga… kini menjadi tempat untuk membina semula langkah. Sedikit demi sedikit.
Dan tangan Emy masih belum lepas.
Kerana dalam dunia yang penuh pura-pura, sahabat yang menggenggam erat — itulah sebenar-benarnya penyembuh.
Share this novel