BAB 50

Romantic Comedy Series 1024

Subuh baru melabuhkan tirainya di sebuah unit flat empat tingkat di pinggir bandar Johor Bahru. Suasana luar masih dingin, dinding rumah masih menyerap sejuk malam yang belum sempat pergi. Seorang gadis baru melangkah keluar dari bilik air. Rambutnya basah, melekap ke bahu, dan bau syampu memenuhi ruang kecil biliknya.

Dengan langkah pantas, dia menuju ke bilik kecil bersebelahan. Sinar cahaya pagi mula menembusi langsir tipis yang terbiar separuh terbuka. Di atas tilam bujang di lantai, kelihatan seorang wanita masih berselimut, membelakangi jendela.

Gadis itu mencekak pinggang.

“Oi, bangunlah. Subuh dah nak habis weh.”

Tiada respons.

Dia terus duduk bersila di hujung tilam sambil menarik hujung selimut itu perlahan. “Bangunlah. Kau ingat ni rumah kau ke? Dah empat hari kau baring dekat sini macam anak raja. Kau tak kerja ke hari ni?”

Perlahan-lahan wanita di atas tilam mengeluh kecil. Masih memejam mata, dia menjawab, “Aku tak nak kerja hari ni.”

“Tak nak kerja?!” Gadis itu meninggikan suara sedikit. “Kau ni memang betul-betul cuti ke, atau memang penganggur sepenuh masa sekarang?”

Wanita itu mengerling dari celah lengan yang menutupi wajahnya. Senyuman nipis terbentuk. “Kau ni, Emy, bising macam mak aku.”

“Nasib baik kau cakap aku macam mak kau, bukan macam nenek kebayan.” Gadis itu—Emylia—mencebik. “Eh, Hana… seriuslah. Kau okey tak ni sebenarnya?”

Hana akhirnya duduk perlahan, menarik lutut ke dada. Rambut masih lembap, wajah pucat dan tanpa secalit solekan. Dia menunduk, tidak menjawab dengan segera. Emylia meneliti wajah sahabat lamanya itu dengan penuh tanda tanya.

“Dah empat hari kau kat sini… kau langsung tak cerita pun apa jadi sebenarnya. Aku pun tak nak kepoh. Tapi risau jugalah. Kau ni lari dari rumah ke? Gaduh dengan mak ke? Bos ke?”

Hana hanya tersenyum tawar. “Aku penat, Emy. Penat sangat. Aku cuma nak duduk sini diam-diam, fikir semula hidup aku. Itu je.”

Emylia mengangguk perlahan. Walaupun jauh di sudut hati dia pelik — rambut sahabatnya rapi, beg tangan berjenama, cara dia cakap pun sopan macam cikgu sekolah, bukan macam budak kilang — tapi dia malas nak tanya lebih.

Lagipun, bukan ke kawan yang baik itu bagi ruang dulu?

“Hmm, yelah. Tapi nanti kalau kau nak kerja, aku boleh tolong carikan. Kilang dekat belakang tu tengah ambil orang. Atau kerja cashier pun okey jugak. Gaji boleh tahan…”

Hana tergelak kecil. “Kau masih macam dulu, Emy.”

“Of course. Tapi kau berubah lah. Dulu time sekolah kau paling banyak bercakap. Sekarang… kau banyak termenung. Takkan sebab lelaki?”

Hana diam.

Emylia ternganga sedikit. “Eh… eh! Serius ke? Jangan cakap kau kena tinggal dengan lelaki, weh! Tak logik langsung. Muka macam kau mana patut kena tinggal.”

Hana menutup muka dengan bantal kecil. “Aku nak tidur balik boleh tak?”

“Tak boleh. Kau belum solat!”

-----

Dulu, kalau nampak Hana, mesti nampak Emylia. Dua-dua berambut dua tocang, dua-dua suka main selut lepas hujan. Bezanya cuma umur—Emy dua tahun lebih muda. Tapi dari tadika sampai Emy tingkatan tiga, mereka macam adik-beradik.

"Oi Hana! Tunggu aku!"
"Aku kan dah cakap jangan pakai selipar mak kau tu. Tercabut lagi!"
"Ala… mak tak perasanlah…"

Kalau ada aktiviti kampung, gotong-royong, atau sukaneka, dua nama ni mesti naik. Dulu orang kampung kata mereka ni macam bayang dan tuan. Mana pergi, mesti berdua.

Hari raya pun sama. Siapa yang akan merajuk kalau Hana lambat datang rumah? Emylia. Siapa yang akan menangis kalau Hana tak bagi duit raya lebih? Pun Emylia. Tapi bukan sebab duit tu… sebab dia rasa Hana dah sayang orang lain lebih dari dia.

Sampai satu hari...

"Kau pindah, Emy?" Suara Hana lemah.
"Abah dapat tukar. Minggu depan dah pergi Melaka..."
Hana diam. Mata mereka bertaut lama.
"Takkan terus tak jumpa lepas ni?"
Emylia senyum sikit. "Aku tulis surat nanti. Aku janji."

Tapi janji budak-budak, kadang tak sempat dikirim pun.

Lepas Emy pindah, nama itu perlahan-lahan hilang dari harian Hana. Bukan sebab tak ingat, tapi hidup pun makin menuntut perkara lain. Sekolah, universiti, kerja… dan semua drama hidup yang tak sempat nak toleh ke belakang.

Sehinggalah satu hari, 15 tahun kemudian... takdir merancang sesuatu yang tak disangka.

Bunyi pintu kaca minimart berdenting lembut. Hawa aircond menyapa wajah Hana yang sedikit berpeluh. Dari Penang, singgah ke JB bawa Danish ke klinik. Budak tu baru nak tumbuh gigi geraham, habis mengamuk dalam kereta.

Hana melangkah ke rak makanan ringan. Coklat? Keropok? Biskut? Mata dia melilau, tangan dah sibuk tarik satu persatu. Label dibelek. Ada gula tambahan. Letak balik. Ambil satu lagi. Banyak sangat bahan pengawet. Letak juga.

“Ya Allah… mana satu yang elok ni…” gumam Hana.

Tiba-tiba — dugghh!

“Eh, maaf!” Hana cepat-cepat menoleh. Tangan kanan masih pegang dua pek jajan.

Seorang wanita berdiri tegak. Mata dia terbeliak. Mulut separuh terbuka, tapi tak keluar suara. Macam patung cendana tersentak emosi. Tangan kanan dia pegang plastik barang, dan sebelah lagi... beg beras lima kilo.

Hana celaru.

Dia toleh ke belakang. Kosong. Hanya rak makanan bayi.

‘Eh… artis ke belakang aku tadi?’ sempat hati Hana berbunyi nakal.

Tiba-tiba…

“Hana… Kau tak kenal aku sampai hati!”

Hana terpempan. Kening dia bercantum.

“Aku Emy!”

“Emy…” suara Hana meleret. Otak dia loading. Proses dalam kepala macam WiFi lemah. Ada ‘signal’, tapi tak cukup ‘data’. Mata Hana skan wajah wanita tu.

“Emylia binti Ruslan. Kau ingat tak? Taman Kenanga. Rumah hujung, dekat pokok nangka! Kau dengan aku main ting-ting, main masak-masak, kau kutip katak letak dalam beg sekolah aku dulu tu ha!”

Hana ternganga.

“Allahuakbar… Emylia?”

“YESSS!” Emy hampir nak lompat. Tapi dia lupa tangan dia pegang beras.

“Eh eh jangan hempuk aku dengan beras tu pulak!” Hana mula gelak kecil. Perlahan-lahan kenangan lama mula masuk kepala. Ting-ting. Katak. Beg sekolah. Nangka.

“Ya Allah Emy… kau… berubah sangat. Aku tak cam tadi.”

“Lah! Aku ni je yang gemuk sikit. Tapi kau… eh kau tak tua langsung eh?” Mata Emy mencerlung ke wajah Hana.

“Aku ada dua anak, Em. Kau nak tengok eyebag? Besar daripada dompet aku.”

“Kau kahwin dah?” Suara Emy tiba-tiba perlahan. Nada dia macam tak nak dengar jawapan yang dia tak boleh proses.

“Dah lama.” Hana senyum. Tapi tak sambung cerita.

“Kerja mana sekarang?” Emy selamba tanya sambil tangan seluk poket, ambil phone nak rakam momen katanya.

“Adalah kerja sikit-sikit. Tapi sekarang cuti.”

“Wehh... Aku ingat kau kerja kilang kat Bukit Rambai tadi. Yelah… sebab aku pun kerja sana dulu.”

“Eh bukan aku je ke yang tak berubah? Kau punya tanggapan pun dari zaman dulu.” Hana ketawa sambil tarik beg plastik sendiri.

Emy tergelak. Tapi ketawa dia ada nada syahdu.

“Aku rindu gila kau tau tak, Hana. Aku ingat sangat kau masa kecik. Tapi lepas pindah Melaka… semua hilang.”

“Aku pun tak sangka boleh jumpa kau kat sini.”

Hana pandang wajah Emy lama-lama. Seribu kenangan macam air paip pecah.

“Lima belas tahun, Em…”

“Lima belas tahun Hana. Tapi sekarang ni, kau ada depan mata aku. Bukan dalam mimpi lagi.”

Dan tanpa sedar, mereka berdiri di tengah rak jajan sambil pegang beg plastik, gelak, dan mata bergenang. Macam dua budak sekolah yang baru balik dari main hujan.

Hana pandang wajah Emy. Lama.

Tak tahu kenapa, tapi ada sesuatu dalam jiwa dia rasa tenang tiba-tiba. Mungkin sebab Emy satu-satunya orang yang pernah kenal dia… sebelum semua ini. Sebelum hidup jadi pelik. Sebelum cinta datang bersama wasiat. Sebelum hati jadi luka bertampal-tampal.

"Emy…" Suara Hana perlahan.

"Hmm?" Emy sedang masukkan jajan ke dalam plastik, masih teruja macam baru menang loteri jumpa Hana.

"Kau… dah kahwin?"

Emy ketawa. Tapi mata dia tak ikut ketawa.

"Belum. Tak ada orang nak." Dia buat suara selamba, sambil ambil satu pek roti Danish kesukaan Danish.

Dalam hati Hana, “Eh cantik macam ni pun takde orang nak?”

Tapi dia diam. Tak mahu komen benda yang bukan dalam kuasa dia. Tapi hati dia makin kuat.

Ini peluang aku. Peluang untuk lari sekejap. Tarik nafas. Jauh dari semua benda yang buat kepala aku serabut.

"Emy…"

"Ya?"

"Aku boleh tumpang rumah kau… dua tiga hari?"

Emy berhenti tengah-tengah pegang air kotak. Wajah dia macam budak kecil yang baru dapat tahu esok cuti sekolah.

"Wehhh! Serius lah?! Serius kau nak tumpang rumah aku?!"

Hana angguk. Senyum nipis.

"Aku cuma nak… sekejap. Tak lama pun."

"Hana, bilik aku memang ada kosong. Kawan aku yang nak duduk sekali pun tengah outstation dua minggu. Kau masuklah. Serius, aku suka sangat!"

Hana tunduk. Dalam hati, “Ya Allah, terima kasih…”

Dia ambil beberapa makanan kegemaran Danish — coklat, roti, susu kotak. Tak banyak, cukup untuk dua hari.

Sampai di kaunter, dia susun semua barang.

"Kak, barang ni nanti ada orang datang ambil ya. Saya dah bayar."

Cashier angguk sambil senyum. "Siapa ambil nanti?"

"Pemandu saya. Pak Rahman. Nanti dia datang."

Hana cepat-cepat buka WhatsApp.

Hana: Pak Rahman, boleh tolong ambil barang yang saya dah bayar dekat kaunter?

Hana: Saya nak jumpa kawan sekejap.

Hana: Pak Rahman balik dulu ya, tak payah tunggu saya. Nanti saya contact semula.

Dia tekan hantar. Nafas ditarik perlahan.

Emy di sebelah masih tak percaya. Tangan dia dah pegang beg beras sebelah, dan tangan satu lagi plastik barang. Tapi muka dia bercahaya.

"Kau tak tahu betapa aku rindu kawan macam kau, Hana…"

Hana senyum.
Dalam hati dia bisik perlahan, “Dan aku… rindu diri aku yang dulu.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience