Kabut tipis menyelubungi ruang kosong di antara sempadan dua dunia. Pohon purba yang dahulu saksi bisu pada janji, tawa, dan cinta kini diam membatu, daunnya luruh seperti air mata yang tak mampu jatuh.
Kamera waktu perlahan-lahan berpusing ke masa kini — menghentikan putaran kenangan.
Kaira berdiri seorang diri, di bawah pohon itu. Angin meniup jubahnya perlahan, rambutnya melambai ditiup sunyi.
Di hadapannya — tempat Leon pernah melutut dengan cincin perak naga — kosong.
“Sudah bertahun…” bisiknya perlahan.
Kilatan memori menghentam jiwanya — suara Leon ketika melamar, getar pada suaranya, dan harapan yang terpancar dalam mata ungunya.
> “Kahwinlah dengan aku. Biar kita cipta dunia kita sendiri.”
Tapi dia…
menolak.
Kerana cinta kadangkala tidak cukup untuk melawan dunia.
---
Di tempat lain, jauh dalam gua yang dilupakan oleh cahaya —
Leon berdiri sendirian.
Jubah perangnya koyak. Mahkota biru langitnya tiada. Hanya sisa-sisa api yang mengelilingi tubuhnya, dan dalam matanya — tiada lagi ungu.
Mata kanan itu kembali gelap.
Dan mata kiri… kini juga mula diselaputi kelabu pekat.
Di tangannya, cincin perak naga itu — berkarat dengan darah.
Bukan darah orang lain. Tapi darahnya sendiri.
Dia menekap cincin itu ke dada, tempat dahulu Kaira menyentuhnya… sebelum berkata tidak.
> “Kalau kita kahwin, dunia akan hancur, Leon.”
> “Kalau kita kahwin… aku akan kehilangan ayah aku.”
> “Kalau kita kahwin… takkan ada damai.”
Leon ketawa perlahan. Senyuman pahit merekah di wajahnya.
> “Kalau aku tak boleh miliki kau… maka tiada siapa boleh.”
Api mula muncul dari bawah kakinya — bukan lagi biru, tapi hitam dan jingga menyala.
Ia menari bukan sebagai sihir naga, tapi sebagai amaran kelahiran semula sesuatu yang telah lama cuba disembunyikan.
Theryx… tidak lagi perlu membisik.
Kerana kini, Leon membuka pintu itu dengan rela.
---
Langit mula berubah.
Angin menjadi berat.
Gunung-gunung jauh retak kecil.
Dan di antara dua bangsa yang pernah tenang…
Kegelapan itu kembali.
Bukan kerana kuasa jahat.
Tapi kerana cinta yang ditolak…
dan hati yang patah.
---
Share this novel