Bab 47
"Aku rasa kita ni dah terlambat," ujar Wilma sambil memperlahankan kenderaan di lorong kiri di belakang puluhan kereta lain. Deretan kereta peronda polis dan ambulans menderu laju di lorong paling kanan. Bunyi siren yang bersahut-sahutan membuatkan semua yang berada di dalam kereta menoleh cemas.
Salika membuka UltraPad dan terus melayari portal berita terkini.
"Ah... betul kata kau! Kita terlambat 20 minit. Bangunan Pungutan Hasil baru sahaja dibom. Lebih kurang 80 pekerja masih terperangkap. Setakat ini tiada kehilangan nyawa dilaporkan." Salika menggeleng kesal. "Licik betul dia ni,” gumam Salika. “Macam mana Kezus boleh terlepas?" Dia menyoal dirinya sendiri.
"Kau rasa kita patut teruskan ke Celzera atau ada rancangan lain?" soal Dakara.
"Semasa aku dan Wilma mengintai di belakang banglo di Datun tadi, aku terdengar suara dua orang lelaki sebut-sebut beberapa nama kementerian selain daripada Pungutan Hasil," Eran mencelah. "Aku rasa rancangan mereka sekarang ni nak letupkan kementerian-kementerian tu pulak."
"Ya, aku pun rasa macam tu. Cuma kita tak tahu bila mereka akan lakukannya," tambah Wilma yang masih memandu dengan kelajuan di bawah 80KM/J.
"Jom, aku rasa elok kalau kita ke Celzera; aku nak tengok keadaannya macam mana. Sekurang-kurangnya kita boleh tahu keupayaan mereka ni." Salika menutup UltraPad dan memberi isyarat kepada Wilma agar memandu terus. "Apa nama-nama kementerian yang kamu berdua dengar tadi?" Salika menoleh ke arah Eran yang duduk di belakang.
"Ada banyak juga. Yang paling aku ingat Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertanian, Imigresen, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kompleks Kehakiman...." Eran terhenti sebentar, cuba mengingatkan yang selebihnya.
"Jabatan Kastam Hi-Mueliya dan Pusat Audit Negara," Wilma mencelah, melengkapkan senarai.
Salika merenung setiap ahli kumpulan yang berada di dalam kereta. "Okey, macam ni, kita semua mesti pergi ke Celzera. Kemudian kita akan berpecah. Separuh daripada kita kena balik semula ke Datun untuk memerhati aktiviti di banglo tadi, separuh lagi kena pergi ke Belzeya untuk memeriksa bangunan-bangunan kementerian yang Eran dan Wilma sebutkan tadi. Kalau bom tu semua mereka dah pasang, kita kena cari jalan macam mana nak deactivate semuanya."
"Okey. Baiklah!" Dakara menyahut pantas. "Saya akan minta sebuah lagi kereta dihantar kepada kami. Saya dan Eran akan pergi ke Belzeya."
Dakara membuat panggilan telefon manakala Salika membuka semula UltraPad, mencari beberapa dokumen yang yang diperlukan. "Apa lagi yang kau dengar semasa di banglo tadi, Wilma?" Salika mencuit sedikit bahu Wilma yang memandu tenang.
Wilma terdiam seketika sebelum memberikan jawapan. Dia hampir pasti apa yang didengarinya tadi adalah betul. "Salah seorang daripada mereka berkata dia baru sahaja mendapat arahan daripada pihak atasan. Mereka diminta menamatkan perkhidmatan Kezus sebaik sahaja semua peledak selamat dipasang dan diaktifkan. Jadi, ini mungkin bermakna mereka akan bunuh Kezus sebelum keseluruhan misi ini selesai."
Darah Salika tersirap sebentar lalu dia berpaling ke arah rakan-rakannya yang lain. "Ini bermakna orang lain yang akan meledakkan bangunan-bangunan yang telah menjadi sasaran. Kita dah tak cukup masa ni. Kita mesti hentikan Kezus sebelum dia aktifkan semua bom!" Wajah Salika jadi pucat. Jantungnya mula berdegup kencang. Nasib dan masa depan negara Hi-Mueliya bagaikan telur di hujung tanduk sekarang. Salika mengharapkan satu keajaiban akan berlaku yang boleh menghalang Kezus daripada meneruskan misinya.
Jantung Kezus masih berdetak pantas bagaikan hendak berlaga dengan tulang temulangnya. Sebaik sahaja Douv memberikannya arahan untuk meletupkan bangunan Pungutan Hasil tadi, hatinya sudah berbelah bagi. Masih ramai kakitangan yang berada dalam bangunan. Walaupun dia hanya meletupkan pusat data, dia tahu ada beberapa pekerja yang keluar masuk ke bilik dingin itu.
Tanpa gentar, dia telah memberitahu beberapa pekerja agar meninggalkan pusat data buat sementara waktu atas alasan dia ingin melakukan kerja-kerja penyelenggaraan. Pas pekerja dan jaket dengan logo Pungutan Hasil yang dikenakannya sudah cukup sebagai penyamaran dan telah meyakinkan semua pekerja yang berada di situ.
Sebaik sahaja dentuman kedengaran dan bumi serasakan bergegar, Kezus berlari ke arah kereta yang dipandu oleh Manod tanpa sekali-kali menoleh ke belakang. Jerit pekik para kakitangan dan orang awam yang terkejut dan mahu menyelamatkan diri menjadikan suasana huru hara dan gamat. Debu-debu kasar memenuhi udara dan serpihan-serpihan bahan binaan mula berjatuhan ke bahagian hadapan bangunan.
Kezus terus melompat masuk ke dalam kereta dan sebelum sempat dia menutup pintu, Manod telah memecut selaju-lajunya. Douv menjeling ke arah cermin pandang belakang.
"Alah, letupan kecil saja. Takkan meruntuhkan bangunan tu," ujar Douv, langsung tidak ambil pusing dengan kebajikan para pekerja dan orang awam yang terlibat. Kezus masih tidak mampu menuturkan sebarang kata. Dirinya masih dihambat rasa bersalah. Bagaikan satu penganiyaan besar kepada para penjawat awam yang bertugas demi negara. Dia merasakan dirinya seperti seorang pengkhianat.
"Untuk operasi malam ini, kau perlu keluar lebih cepat Kezus, jangan berlengah-lengah," tegas Manod yang memandu menuju Belzeya. Dia kurang berpuas hati dengan tindak tanduk Kezus tadi. Terlalu banyak benda yang diperiksa hinggakan nyaris tidak sempat melarikan diri sebelum bom diletupkan.
"Okey. Aku cuba. Kalau tak ada apa-apa gangguan." Suara Kezus bagaikan orang sedang termengkelan. Emosinya masih berperang. Kedua-dua belah tangannya menggigil kecil tetapi disembunyikan daripada penglihatan Douv dan Manod. Matanya dirasakan sedikit berpinar-pinar ketika MPV yang dipandu Manod memasuki kawasan Belzeya.
Share this novel