Bab 15
2079 - Catatan Salika – 7
Selesai mandi dan menukar baju di tandas awam, aku pergi ke kedai dobi untuk membasuh pakaian yang sudah kupakai sejak keluar dari rumah. Sambil mandi, aku terfikir juga tentang ayah. Sudahkah jenazahnya ditemui jiran-jiran atau rakan-rakannya? Sudahkah dia dikebumikan? Adakah saudara-maraku sedang cuba menjejakku sekarang? Sudahkah polis memulakan siasatan atas kematiannya? Jelas sekali dia membunuh diri, tetapi sudah tentu pihak polis takkan membiarkan aku lepas bebas begini sahaja. Pasti mereka perlukan keterangan daripada aku juga.
Ah! Biarkanlah. Aku malas memikirkannya. Aku sudah tinggalkan semua itu jauh di belakang - sudah hampir 400 KM. Mungkin suatu hari nanti salah seorang saudara maraku akan terserempak denganku di mana-mana; mungkin mereka akan kenal aku, mungkin tidak. Tapi yang pasti aku akan terus melarikan diri daripada mereka. Aku tak mahu kembali ke pangkuan mereka. Biarlah aku jadi orang baru di tempat baru. Mungkin pilihan terbaik dalam hidupku sekarang ialah untuk tidak jadi diri sendiri. Aku masih Salika, tapi bukan Salika yang dulu atau Salika yang semalam.
Aku Salika yang tak mahu jadi seperti kebanyakan orang - sekadar turutkan perancangan yang sudah dibuat oleh ibu bapa - sekolah, universiti, kerja, beli rumah, kahwin. Aku mahu ikut kata hati sendiri. Petang ini aku pasti akan menemui banyak benda baru. Mejar Huza telah berjanji untuk membawa aku masuk ke kawasan pemerintahan di bawah kubah kaca. Jika aku terus memerap di rumah ayah, aku tak mungkin akan dapat peluang ini.
Aku makan tengah hari di sebuah kedai daging panggang yang terletak jauh daripada restoran mahal yang aku kunjungi semalam. Pelayannya seorang lelaki muda yang mungkin baru saja tamat persekolahan. Dia memanggil aku Cik, bukan adik, seperti panggilan orang keliling di tempat asalku. Sekelip mata aku berasa dewasa dan bebas untuk melakukan apa saja.
Pelayan itu melayanku dengan baik sekali, aku mula berangan-angan diriku bagaikan seorang puteri. Restoran itu dipenuhi pengunjung tetapi pelayan itu sudah ditugaskan untuk memastikan tiga buah meja mendapat perhatian penuh. Tetapi aku lihat dia asyik datang ke mejaku, bertanya itu ini: sama ada daging panggangku enak, soda berpudina aku elok manisnya atau jeli anggur yang kupesan sebagai pencuci mulut tidak terlalu masam. Jika sebelum ini, mungkin aku berasa rimas dengan pertanyaan-pertanyaan sedemikian tetapi hari ini aku ingatkan diri, inilah masa untuk menikmati kuasa wang. Aku tahu, pelayan itu ternampak seikat wang yang aku simpan dalam beg sandang.
"Cik mahu apa-apa lagi?" Tanya pelayan yang memakai tanda nama Eran.
"Boleh bawakan saya kopi?" Aku sudah menyemak senarai kopi yang mereka ada. "Saya nak Caffe Marocchino."
"Boleh Cik. Sebentar, ya?" Pelayan itu berlalu dan aku mencapai buku Setia Ke Hujung Nyawa dari dalam beg.
Kisah itu jadi kian menarik bila Nenek Lara terangkan padaku pagi tadi bahawa dua watak utama itu: Beda dan Jeha adalah adik beradik. Baru aku faham, ikatan cinta antara mereka dianggap sesuatu yang terlarang bukan kerana Beda sudah berumahtangga, tetapi kerana mereka adalah mahram.
Sesudah ibu bapa Jeha mendapat tahu tentang perlakuan anak-anak mereka, mereka ambil keputusan untuk mengusir Beda. Jeha masih terlalu muda untuk dihantar ke tempat lain, lagipun tindakan itu bakal menimbulkan sangkaan buruk di kalangan saudara mara.
Beda berpindah jauh dari kampung itu. Bangsal dan paya yang subur dengan mengkuang ditinggalkan begitu sahaja. Ibu bapa Jeha ambil keputusan meruntuhkan bangsal itu dan membakar tikar-tikar yang sudah dihasilkan oleh Beda. Jeha menangis seorang diri di rumah menyaksikan hasil kerja tangan Beda dijilat api.
Tidak lama selepas itu, ibu bapa Jeha mengizinkannya hidup bebas seperti remaja lain tetapi dengan satu syarat - dia tak boleh bertemu lagi dengan Beda. Jeha berjanji dengan ibu bapanya bahawa dia akan patuh. Tapi janji itu tidak menghalangnya untuk mencari rumah Beda. Saban hari dia merayau-rayau di sekitar kampung di sebelah pagi dengan beberapa orang rakan-rakan perempuan. Mereka sering ke kawasan pasar atau bila ada Pekan Rabu, mereka akan duduk lama-lama di kawasan orang berjual sayur-sayur kampung. Rakan-rakan Jeha sekadar berbual-bual sesama sendiri dan mencuci mata melihat orang ramai tetapi Jeha ada agenda tersendiri. Dia tumpukan sepenuh perhatian pada setiap perbualan yang singgah di cuping telinga. Sehinggalah suatu hari dia terdengar seorang wanita sebaya ibunya bercerita dengan seorang lelaki tua tentang penganyam tikar mengkuang yang menyewa di belakang rumahnya.
Tidak lama kemudian, Jeha dapat tahu di mana rumah sewa Beda. Dia mula membuat rancangan bagaimana hendak ke sana. Dia tak boleh pergi berseorangan kerana pasti akan dicurigai ibu bapanya. Pada Pekan Rabu yang seterusnya Jeha mula menegur wanita yang berjiran dengan Beda. Dia berpura-pura bertanya harga pucuk paku di dalam bakul wanita itu. Perbualan mereka berlanjutan sehinggalah wanita itu mengajarnya cara untuk membuat bingka labu dan membancuh teh halia. Setelah tiga minggu berturut-turut mereka berbual, wanita itu mempelawa Jeha dan rakan-rakannya bertandang ke rumah yang tidak jauh dari Pekan Rabu.
Pada hari yang dirancangkan, dua daripada rakan-rakannya enggan turut serta kerana mereka kurang senang dengan wanita itu. Jeha cuba memujuk mereka tetapi gagal kerana mereka benar-benar tak selesa dengan bau sentil tembakau yang tidak lekang dari mulut wanita itu. Akhirnya, Jeha pergi dengan seorang rakan baiknya yang bernama Ainura.
Jeha tidak pernah menceritakan perhubungan terlarangnya dengan Beda kepada sesiapapun, termasuk Ainura. Bila mereka sampai ke rumah wanita itu dan Jeha mengajak Ainura berjalan-jalan di tebing sungai, dia tidak mengesyaki apa-apa. Bila Jeha asyik terjenguk-jenguk mengintai rumah jiran wanita itu, Ainura tidak menegurnya. Sangkanya Jeha sekadar melihat-lihat.
Ainura cuma menjadi sedikit hairan bila Jeha mengutip pasir-pasir di tebing sungai, diletaknya dalam sebuah uncang kecil dan bercadang untuk menghantarnya ke rumah jiran wanita itu.
"Nak buat apa?" Tanya Ainura.
"Itu rumah saudara aku tapi dah lama tak jumpa. Aku nak tengok, kalau aku letak pasir seuncang ni di rumah dia, dia datang cari aku tak."
"Macam mana dia boleh tahu kau yang letak?" Ainura memandang rakannya dengan penuh curiga. Dia tak tahu apa sebenarnya yang ada dalam kepala Jeha.
"Sebab dia pernah tulis satu puisi tentang pasir yang aku sangat suka." Jeha tersenyum penuh nostalgia. "Kau nak dengar tak puisi tu?"
"Eh, mestilah nak," jawab Ainura penuh teruja. Bulat matanya merenung wajah rakannya.
Aku menutup buku Setia Ke Hujung Nyawa untuk menikmati kopi yang sudah terhidang di meja. Dah hampir sejuk pun. Walaupun masih belum benar-benar nampak hala tuju cerita yang aku baca, aku dapat rasakan ia adalah kisah benar. Watak-wataknya sungguh hidup dan konfliknya dikupas dengan jelas. Buku itu aku dakap sebentar. Aku mula terasa kesannya terhadap diriku sendiri. Bila kisah ini berlaku agaknya? Daripada gambaran dan pertuturan, aku yakin ia bukan kisah moden, mungkin terjadi seratus tahun dahulu. Di zaman ini tiada lagi tikar mengkuang, Pekan Rabu ataupun kampung tradisional dengan sawah bendang.
Cerita ini membuatkan timbul rasa teringin untuk kembali ke zaman itu. Bila membayangkan Jeha dan rakan-rakannya berjalan-jalan di kawasan kampung, tanpa rasa takut atau terancam, aku jadi cemburu. Mungkin juga aku tiba-tiba jadi rindu pada suasana sekolah - walaupun rakan baikku sudah tiada lagi. Mungkin juga aku sudah terlalu lama tidak menghabiskan masa dan berbual-bual dengan rakan sebaya.
Fikiranku yang melayang jauh, kembali ke realiti bila terlihat jam di dinding restoran yang menunjukkan pukul 4 petang. Aku perlu bertemu Mejar Huza pada jam 4.30. Cepat-cepat aku habiskan kopi dan panggil pelayan tadi untuk bawakan bil.
"Cik tergesa-gesa nak ke mana?" Soal pelayan bernama Eran. Senyuman masih tak lekang di bibirnya.
"Saya ada temujanji sekejap lagi." Aku keluarkan beberapa not wang kertas dan hulurkan kepada Eran.
"Cik nak bertemu dengan Mejar Huza ke?" Tanya Eran dan aku tergamam seketika.
"Macam mana awak tahu saya nak jumpa dia?"
Eran berpaling ke arah sebuah meja yang terletak di sebelah kiriku. Kelihatan Mejar Huza sedang membaca majalah sambil menghirup kopi. "Dia beritahu awak saya nak jumpa dia petang ni?" Aku tanya Eran.
"Dia ternampak Cik tadi. Jadi, dia pesan kepada saya untuk beritahu Cik dia ada di sini, jadi Cik tak perlu pergi cari dia di tempat yang dijanjikan semalam."
Setelah berterima kasih dan memberi sedikit tip kepada Eran, aku menghampiri Mejar Huza di mejanya. Wajahnya yang serius membuatkan aku tiba-tiba terdetik untuk membatalkan sahaja rancangan petang ini. Tapi hatiku berubah semula bila dia berkata, "Sebelum kita masuk ke kawasan kubah kaca, saya ada satu tawaran untuk awak. Saya harap awak dengar betul-betul.
Share this novel