Bab 11
2079 - Catatan Salika – 5
Lelaki berpakaian seragam tentera menghulurkan sebuah dompet kecil kepadaku.
"Adik, awak tertinggal dompet ni di restoran tadi," katanya. Aku merenung dompet itu sekilas. Dompet berwarna hijau muda berhias manik-manik putih itu kelihatan kempis. Entah berapa saja wang di dalamnya.
"Ini bukan dompet saya, pakcik." Benar, itu bukan dompet aku.
"Tapi dompet ni ada di meja yang awak duduk tadi. Selepas awak bangun saya rasa awak terlupa tentang dompet ni." Sekali lagi lelaki itu mengisyaratkan agar aku menerimanya.
"Saya cakap yang benar, pakcik. Ini bukan dompet saya."
Lelaki itu membuka zip dompet dan memeriksa isinya. "Dompet kosong," katanya, diikuti ketawa kecil sambil menunjukkan padaku.
"Dan bukan dompet saya," aku mengingatkannya.
"Maaf, saya betul-betul ingatkan awak punya."
Aku rasa itu sekadar alasan lelaki itu untuk datang berbicara denganku. Sebaik sahaja dia menyimpan dompet itu ke dalam kocek seluar, dia terus bertanya beberapa soalan kepadaku: Siapa nama, Bersekolah di mana, Tinggal di mana, Hendak ke mana. Tidak semua soalannya aku jawab dengan jujur. Aku hanya beritahu namaku, Salika. Aku terpaksa berbohong tentang nama sekolah dan tempat tinggal. Entah-entah lelaki ini sakit jiwa, mahu mencari mangsa untuk dirogol atau disiksa.
Mungkin tidak berpuas hati dengan jawapan-jawapan yang aku berikan, sekali lagi dia bertanya aku hendak ke mana. Secara spontan - aku sendiri tak mengerti mengapa jawapan itu yang datang ke kepalaku - aku menjawab, "Saya nak pergi ke pusat kota kaca New Belzeya." Selama ini aku sekadar mendengar cerita tentang pusat pemerintahan di bawah kubah kaca. Hari ini, setelah melihatnya dengan mata kepala sendiri, terdetik juga rasa ingin masuk ke dalamnya.
"Awak nak jumpa dengan siapa?" Tanya lelaki berseragam tentera. "Dah dapatkan pas lawatan untuk masuk ke situ?"
Baru aku tahu aku perlu miliki pas lawatan sebelum dibenarkan masuk ke dalam kota pemerintahan New Belzeya. Selama ini aku sangkakan tempat itu hanya diawasi oleh beberapa orang pengawal keselamatan - seperti di pintu pagar sekolah atau hospital - dan semua pelawat cuma perlu tunjukkan kad pengenalan untuk masuk.
"Belum ada pas," jawabku lalu tertunduk. "Macam mana saya nak dapatkan pas tu?"
"Saya boleh bawa awak masuk kalau nak."
Aku terkejut dengan tawarannya. "Pakcik kerja kat dalam tu ke?"
"Ya, nama saya Mejar Huza." Dia menghulurkan tangan. "Base camp saya di Sektor 8 tapi saya boleh keluar masuk ke dalam kubah bila-bila masa."
Aku menyambut huluran tangannya tapi membuat riak muka curiga. "Pakcik boleh bawa orang asing masuk ke?" Mungkin dia tak menganggap aku asing. Mungkin dia anggap aku seperti anak kucing yang tersesat haluan saja. Tapi aku langsung tak kenal dia. Sanggupkah aku masuk ke bawah kubah dengan seorang lelaki yang aku tak dapat pastikan adakah dia benar-benar Mejar Huza - seorang tentera - atau seorang perompak atau pembunuh bersiri?
"Saya selalu berurusan di pejabat Perdana Menteri. Saya selalu bawa tetamu. Tapi saya perlu buat screening dulu." Dia mengurut-urut dagu. Aku menelan liur. Screening? Dia akan semak semua rekod jenayahku. Aku tiada rekod dengan pihak polis. Aku cuma ada kes dengan polis moral. Sekali lagi aku menelan liur.
"Kalau saya nak pergi ke bawah kubah hari esok, boleh?" Tanyaku. Sebenarnya ia tak ada dalam perancangan, tapi aku perlu sedikit masa untuk aku fikirkan apa yang perlu aku buat jika Mejar Huza dapat tahu aku lari dari rumah - tinggalkan mayat ayahku di belakang taman tanpa secalit rasa bersalah - dan pernah ada rekod dengan polis moral.
"Ya, boleh!"
"Petang esok pakcik tunggu saya restoran tadi pada pukul 4 petang. Saya akan datang dengan pakaian yang sesuai," janjiku, walhal aku tak punya pakaian untuk berurusan di pejabat kerajaan. Yang ada dalam beg pakaianku adalah 3 helai seluar jeans tiga suku dan 6 t-shirt berlengan pendek.
"Boleh. Elok juga tu. Saya memang lunch di restoran tadi hampir setiap hari." Mejar Huza tersenyum. Buat pertama kali aku lihat bibirnya merekah dan membentuk lengkungan yang cantik. Cuma tersembunyi sedikit oleh misainya yang lebat.
"Okey, jumpa esok!" Aku angkat tangan kepada Mejar Huza dan berlari ke arah bertentangan. Aku mahu cari wanita tua yang berikan aku buku cerita tadi dan pada masa yang sama aku mencari alasan untuk meninggalkan Mejar Huza. Aku janji dengan dia, tapi tak bermakna aku akan tunaikannya. Mungkin petang esok aku langsung takkan ada keberanian untuk bersemuka semula dengan Mejar Huza dan terus lupa akan hasratku untuk melihat pusat pemerintahan di bawah kubah kaca.
"Ya! Pukul 4!" Sayup-sayup terdengar laungan Mejar Huza. Aku tak toleh ke belakang lagi. Apa pesan wanita tua tadi? Bila semua orang habis kerja, dia pula yang akan mula bekerja? Jam sudah menghampiri angka 5. Aku perlu cari dia segera!
Aku berlari selama lebih kurang tiga minit sebelum aku ternampak kelibat wanita tua itu sedang mengemas-ngemas tempat dia berehat tadi. Tubuhnya terbongkok-bongkok dan seluar panjangnya kelihatan agak londeh. Baju biru tua berlengan panjang dimasukkan ke dalam seluar. Rambut putihnya yang sudah menipis, menampakkan kulit kepala. Daripada kedut-kedut di muka dan belakang tangannya, aku mengagak dia sudah melebihi 80 tahun.
"Kau tak suka ke buku tadi?" Soalnya sebelum sempat aku berkata apa-apa. Cepat-cepat aku keluarkan buku yang aku cuma mampu baca hingga mukasurat 15 tadi.
"Saya dah baca sikit. Dan saya ada soalan nak tanya makcik."
"Panggillah aku nenek. Aku ni dah tak layak nak dipanggil makcik oleh sesiapa pun di sini."
Dia menyuakan tangannya padaku. Sekali lagi aku meneliti kedut-kedut di pangkal lengannya. Urat-urat yang timbul berwarna biru dan hijau. Jari-jemarinya berkematu.
"Bak sini buku tu kalau kau tak suka," katanya. Aku serahkan buku berkulit renyuk dengan gambar dua kuntum bunga.
"Tak semua orang boleh faham apa yang cuba disampaikan oleh penulis ni. Kalau kau baca sekali lalu, kau cuma boleh bayangkan sebuah kisah cinta tragis. Tapi kalau kau baca dengan mata hati, kau akan nampak banyak lagi perkara-perkara yang bersangkut paut dengan kehidupan manusia - di zaman dulu dan juga zaman sekarang," ucap wanita tua dengan penuh berhati-hati. Setiap patah perkataannya begitu teratur dan beremosi. Berbeza sekali dengan cara dia bertutur ketika kali pertama aku terjumpanya tengah hari tadi. Kalau tidak kerana pakaian dan wajahnya yang begitu mudah dicam, mungkin aku akan berasa sudah tersilap orang. Aku yakin wanita tua itu bukan orang gelandangan sebarangan. Ada satu sisi dalam dirinya yang ingin aku kaji.
"Saya rasa saya belum cukup dewasa untuk faham maksud-maksud yang tersirat dalam buku ni, nenek. Minta maaf." Aku pulangkan buku itu kepadanya dan wanita tua itu menyambut dengan wajah tenang. Aku benar-benar berharap dia tak berkecil hati.
Kemudian dia mengeluarkan sebuah lagi buku yang tersorok di bawah longgokan sampah-sarap di kaki lima. "Kau cuba baca yang ni pulak. Cerita ni tak berat sangat. Remaja macam kau patut faham apa yang tersurat dan tersirat. Kalau kau ada kemusykilan tentang mana-mana bahagian dalam cerita ni, kau boleh datang jumpa aku. Aku selalu ada di kawasan ni."
Mataku terpaku pada kulit muka depan buku yang dihulurkan wanita tua itu. Gambar sebuah pondok usang berlatarbelakangkan sawah padi menghijau dan rimbunan pohon-pohon kelapa di tepi jalan. Aku biasa melihat gambar-gambar sebegini di dalam buku-buku sains dan sejarah di sekolah. Ini kali pertama aku lihat gambar yang seakan-akan hidup. Tajuknya Setia Ke Hujung Nyawa. Nama penulisnya Christina Mara.
"Penulis yang sama, ya, nenek?" Soalku sambil mata masih terpaku pada kulit muka depan buku itu.
"Ya. Orang yang sama, tapi gaya penulisan yang sungguh jauh berbeza."
"Kenapa berbeza?" Soalku tanpa berfikir.
Wanita tua itu menghela nafas panjang dan menggeleng beberapa kali. "Kita kena lalui beberapa perkara dalam hidup ni, baru kita betul-betul faham apa erti hidup."
Walaupun aku rasa wanita tua itu tidak menjawab soalanku, aku tetap mengangguk dan kembali membelek buku yang baru diserahkannya. "Baiklah, saya akan baca malam nanti."
Seperti ada kuasa yang menarik aku kepada buku itu, aku mula membaca bila aku sampai di sebuah taman permainan terbiar tidak jauh dari restoran mahal tempat aku makan tengahari tadi. Aku duduk di sebuah wakaf kayu berbumbung kaca yang sudah hilang beberapa papan lantai. Perenggan pertama buku itu telah membuatkan aku berazam untuk menamatkannya secepat mungkin.
'Beda dan Jeha bukan manusia sakti, bukan juga manusia hina. Lahirnya dari keturunan baik-baik. Sejak kecil sudah diajar bersopan-santun, berdikari, hidup bermasyarakat dan dibekalkan ilmu-ilmu agama. Tapi di dunia ini iblis ada merata-rata. Baik di samping orang jahil, mahupun yang beriman. Ini kisah tentang Beda dan Jeha yang berusaha mempertahankan cinta, meskipun hidup dalam belenggu fitnah.'
Aku tersenyum seketika, angkat kedua-dua kaki lalu bersila di lantai wakaf. Suasana sekeliling seperti senyap tiba-tiba membiarkan aku larut dalam cerita.
Share this novel