Chapter 28

Romance Completed 14626

Bab 28

Kezus memandu terus, tanpa arah. Dia meninjau-ninjau sekitar kawasan perumahan. Beberapa jiran yang duduk-duduk di patio rumah masing-masing tidak dikenalinya. Mereka cuma angkat muka ketika Kezus melalui hadapan rumah mereka dan tiada tanda-tanda mereka mengenali Kezus.

Perutnya mula terasa pedih. Hidangan terakhir adalah makanan di dalam pesawat selepas transit di Ta-pei semalam. Sudah melebihi lapan jam. Kezus memberhentikan kereta di tepi sebuah restoran nasi kandar. Suasana lengang. Hanya ada beberapa meja yang diisi pelanggan.

Ketika pelayan Indonesia datang untuk mengambil pesanan, Kezus mengambil peluang untuk bertanya.

"Apa khabar? Awak kenal saya?"

Pelayan itu tersenyum. "Khabar baik, tuan. Maaf, saya tidak kenal. Ini pertama kali tuan datang ke mari."

"Saya tinggal di rumah nombor 36, Jalan Puteri 2/16. Masakan kamu tidak kenal? Rumah saya di hujung sana saja," duga Kezus.

"Benar tuan. Kita tak pernah ketemu. Saya sudah lama kerja di sini. Kebanyakan orang di sini saya kenal. Lebih-lebih lagi yang selalu datang makan di sini."

Kezus tidak tahu apa lagi yang harus difikirkan. Dia kerap makan tengah hari di kedai nasi kandar ini. Tidak mungkin pelayan yang sudah lama di situ tidak mengenalinya.

Selesai memesan makanan, telefon bimbit berbunyi. Nama Douv muncul di paparan.

"Kau dah selamat sampai, Kezus?" tanya Douv, ceria. Kezus tersenyum pahit.

"Sudah, baru ambil kereta aku."

"Kenapa bunyi macam tak gembira? Penat sangat?"

Kezus memerhati keliling sebelum meneruskan perbualan. "Aku hairan, ada orang duduk di rumah aku. Kau tahu apa-apa?"

Douv adalah rakan baiknya dan pernah menjadi rakan sewaktu menuntut di universiti. Kezus percayakannya sama seperti dia percayakan kakaknya sendiri.

"Aku tak tahu. Mak kau dah sewakan, mungkin?" teka Douv.

Kezus mengeluh. "Entahlah, tak mungkin. Mak aku tak pernah buat sesuatu tanpa berbincang dahulu."

"Dah tanya mak kau?"

"Lepas makan ni aku nak pergi ke rumah mak aku di Einden." Mata Kezus masih belum lepas merenung ke arah taman permainan yang berada betul-betul di hadapan rumahnya. Ada alatan permainan yang baru dipasang. Beberapa kanak-kanak sedang asyik bermain.

"Baiklah, jangan lupa sampaikan salam pada mak kau. Dah lama tak jumpa dia," kata-kata Douv singgah di telinga Kezus.

"Bila nak datang jumpa aku?"

"Aku di Sebsera sekarang. Kursus tiga minggu. Bila aku balik nanti, kita jumpa."

"Okey." Perbualan tamat. Mata Kezus masih tertumpu pada padang permainan. Hatinya masih tertanya-tanya. Siapa Ghaffur dan wanita tadi? Siapa yang mengalihkan keretanya ke tepi padang? Kunci pendua keretanya ditinggalkan di rumah emak. Siapa yang melakukan semua ini?

Kezus makan lambat-lambat. Apa yang dipesan tadi tiada yang menyelerakan. Semuanya tawar. Tekaknya kesat. Minuman yang baru dihirup juga kurang manis. Para pelanggan lain sudah beransur-ansur pergi. Tinggal Kezus dan seorang wanita yang makan sendirian di meja paling hadapan. Senaskhah akhbar di tangan kiri, tangan kanannya menyuap mee goreng.

Ada kalanya Kezus terasa wanita itu memerhatikannya secara curi-curi tapi dibiarkan sahaja. Mungkin wanita itu kehairanan melihat keadaan dirinya yang kusut masai. Setelah lebih 24 jam berada di dalam pesawat, hingga ke saat ini dia masih belum berpeluang untuk mandi dan menukar pakaian. Kedua-dua matanya juga memerah - mengantuk dan cuba melawan rasa marah.

* * *

Salika menyuap mee goreng dengan berhati-hati sambil matanya mengerling pada lelaki berkemeja biru yang sudah renyuk. Wajahnya sedikit berminyak dan air mukanya tampak keruh. Ketika menjawab panggilan telefon sebentar tadi nada suaranya kedengaran agak gusar. Salika memasang telinga sebaik mungkin. Dia pasti lelaki itu sudah mendapat kejutannya yang pertama sebentar tadi.

Lelaki itu bangun tanpa menghabiskan makanan dan minumannya. Dia terus menuju ke kaunter bayaran dan meninggalkan wang tanpa menunggu baki. Dua minit kemudian, dia sudah berada di dalam perut kereta Tayda warna keemasan dan memecut pergi.

Salika meletakkan akhbar dan mengeluarkan telefon bimbit.

"Kezus akan ke Einden sekarang," Salika mula menaip. "Dia betul-betul bingung dan nampak marah, tapi dia bersabar.Kita akan buat dia hilang sabar sehingga dia keluar dari sini. Kita akan porak-porandakan hidupnya lagi."

Dua antena sepanjang 10cm ditarik keluar daripada telefon bimbit. Kedua-dua antena dihalakan ke langit. Kekunci 'Hantar' ditekan dan satu renjatan elektrik melalui tubuhnya buat seketika. Percik-percik api kecil muncul antara antena selama beberapa saat.

Akhbar yang terdampar di meja diambil semula, lantas diselak terus ke mukasurat 25, berita nasional. Gambar-gambar sekitar raptai hari kebangsaan Hi-Mueliya yang ke 50 terpapar. Dia akan pastikan sambutan ini akan berjalan lancar dan tidak dicemari agenda kuasa asing yang inginkan huru hara di negara tercinta ini. Dia akan patahkan percubaan memusnahkan pusat pentadbiran kerajaan Hi-Mueliya di Belzeya. Untuk itu dia perlu pastikan Kezus masuk ke perangkapnya.

* * *

April 2083

Suasana pusat kawalan hening seketika selepas Mejar Huza menerima laporan ringkas daripada Kapten Salika. Para pegawai membisu di kerusi masing-masing. Punat-punat kecil terbiar tidak berusik. Imej yang terpapar di puluhan konsol lebar terus menayangkan wajah-wajah Kezus dari pelbagai sudut.

"Ejen menggunakan identiti Kezus Hemira, seorang pensyarah universiti. Kezus dilaporkan hilang oleh keluarganya sekitar bulan Jun tahun 2020. Kita tak tahu apa yang telah terjadi padanya tetapi ingatan dan emosinya sudah dimasukkan ke dalam diri ejen yang kita lihat sekarang." Mejar Huza menerangkan kepada ahli pasukannya. "Kapten Salika akan sentiasa memintasnya dan bergerak di hadapan Kezus untuk memastikan dia keliru dan membantutkan tindak tanduknya."

"Kapten Salika boleh menghapuskannya terus, Mejar. Apa yang ditunggu?" soal Sarjan Maisa, yang pernah bekerja di lapangan bersama-sama Kapten Salika. Dia tahu kehebatan Kapten Salika sama ada dari segi fizikal mahupun kebijaksanaannya. Dia mampu berada dalam sebesar-besar krisis tapi masih mampu berfikir dengan waras dan tindak-tanduknya mencerminkan kematangan seorang yang mampu merangka strategi dalam apa jua keadaan.

"Hanya Kezus yang boleh membawa kita kepada pihak yang mengupahnya. Hingga kini, yang kita ada cuma petunjuk bahawa seorang ejen lelaki yang menepati rupa paras Kezus yang ditugaskan untuk memusnahkan pusat pemerintahan kita di Belzeya. Ejen tersebut diberikan identiti dan ingatan sebagai Kezus Hemira. Kita tidak tahu identiti asalnya. Sepatutnya dia akan menjalani kehidupan Kezus. Dia bakal bertemu dengan rakan-rakan dan ahli keluarga Kezus. Walaupun kita tak tahu sejauh mana dia akan ingat tentang kehidupannya dahulu, tapi kita akan gunakan memorinya sebagai senjata untuk melemahkannya. Kita telah berjaya memesong dan mengubah beberapa elemen hidup Kezus. Dengan itu kita harap dia akan jadi keliru dan perhatiannya teralih kepada urusan-urusan peribadi dan tujuan utamanya dihantar ke sana akan jadi kurang penting padanya."

"Bila kita akan bertindak, Mejar?" Kapten Adonis kelihatan serius. Misi kali ini bakal menentukan sama ada negara Hi-Mueliya akan terus berkembang maju ataupun bakal melalui krisis besar. Kezus Hemira dihantar untuk melemahkan pemerintahan negara Hi-Mueliya bagi memaksa para pemimpin tertingginya agar tidak campur tangan dengan isu-isu dunia. Sungguhpun Hi-Mueliya hanyalah sebuah negara kecil, kelantangan para pemimpinnya dan isu-isu kemanusiaan, agama dan krisis tenaga sudah lama menarik perhatian negara-negara lain.

Mejar Huza berfikir sejenak. Ahli angkatannya menanti dengan debar. Nasib 33 juta rakyat Hi-Mueliya bagaikan telur di hujung tanduk sekarang - cuma mereka sahaja yang tidak mengetahui bahaya apa yang bakal dibawa oleh Kezus Hemira -- ataupun ejen yang telah diberikan identiti tersebut. Daripada beberapa sumber yang belum dapat disahkan, ejen tersebut telah menjalani beberapa latihan ketenteraan secara intensif sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Kehadirannya di Hi-Mueliya pastinya untuk satu misi yang melibatkan ancaman terhadap keselamatan negara. Kemungkinan ini membuatkan Mejar Huza jadi kian gusar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience