Bab 29
27 Ogos 2020
Hari itu adalah hari latihan penuh sambutan Hari Kebangsaan Hi-Mueliya ke 50. Semua peserta sudah berada di posisi masing-masing sejak pukul 8 pagi berpakaian lengkap dan berwarna-warni. Sekumpulan remaja pelbagai bangsa yang menyertai pasukan gendang kelihatan sedang berehat di celah-celah bangunan di sepanjang jalan di Sektor 2 dan 3 di Belzeya. Beberapa kumpulan penari yang mengenakan pakaian kebaya, sari dan cheongsam yang sudah diubahsuai dan disuai padan sedang berlatih untuk mengingati langkah-langkah sesama sendiri.
Salah seorang penari yang berkebaya warna kuning ialah Dassa, seorang pelajar tingkatan 2 yang pertama kali menyertai persembahan Hari Kebangsaan. Rakan di sebelahnya ialah Manisha, seorang pelajar tingkatan 4. Mereka duduk berehat di kaki lima salah sebuah bangunan kementerian sambil menonton pasukan persembahan lain seperti kumpulan tarian singa, pasukan koir dan beberapa peserta kereta berhias yang mewakili agensi-agensi kerajaan.
Kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan kian terasa. Tahun ini Hi-Mueliya akan menyambut Hari Kebangsaan yang ke 50 dan bakal menjadi satu acara kemuncak untuk meraikan status Hi-Mueliya sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020. Satu misi besar yang tercapai dalam suasana aman damai dan semua rakyat bersatu padu demi kemakmuran negara.
"Aku mahu ambil gambar banyak-banyak," ujar Manisha yang menghalakan kamera digital ke pelbagai sudut. Dassa tersenyum riang melihat rakannya yang bersemangat.
"Sejarah ni tak mungkin akan berulang untuk kita, kan?" Dassa bangun dan memberikan satu aksi istimewa untuk dirakamkan oleh rakannya.
"Ya, kita mesti tunjuk gambar-gambar ini kepada anak cucu kita nanti. Aku mahu besarkan gambar-gambar yang paling cantik dan bingkaikan. Kalau ada tetamu datang, aku akan cerita tentang persembahan kita semasa Hari Kebangsaan pada tahun 2020. Eh, mana si Borain tadi? Katanya nak ambil gambar sama." Manisha tercari-cari rakan mereka yang bernama Borain. Kemudian dia membongkok sedikit untuk mendapatkan sudut yang sesuai untuk gambar seterusnya.
"Entahlah, pergi jumpa kawan-kawan yang lain agaknya," ujar Dassa sebelum duduk bersila, menumpang teduh di tepi sebuah pokok hiasan. Dassa mengerling jam. Masa rehat mereka masih bersisa 5 minit. Dia bangun untuk membetulkan kerongsang perak yang dipin bersusun pada bahagian hadapan kebaya.
“Kau cuba bayangkan, bila gambar-gambar yang kita ambil ni sampai ke tangan cicit kita seratus tahun akan datang. Mesti mereka rasa bangga tengok moyangnya jadi sebahagian acara penting negara, kan?” Manisha membelek-belek beberapa gambar yang sudah ditangkap.
“Zaman tu nanti mungkin gambar dah dalam format lain. Mungkin orang semua simpan hologram dalam digital storage. Bila nak jumpa nenek moyang, pancarkan saja hologram ke mana-mana, lepas tu bolehlah dengar suara dan tengok kita dalam format 3-D,” kata Dassa dengan suara ceria.
“Amboi! Jauh betul angan-angan. Entah-entah zaman cucu-cicit kita nanti, semua guna kamera polaroid juga. Mana tahu, trend tu kembali.” Manisha ketawa sendiri, membayangkan kemungkinan itu.
Perbualan mereka terhenti bila wisel berbunyi menandakan masa untuk bersedia dengan latihan seterusnya. Matahari memancar terik, tetapi puluhan ribu peserta perbarisan dan persembahan untuk hari kebangsaan sudah berdiri terpacak di posisi masing-masing. Rasa bangga terpancar dari wajah masing-masing.
Hi-Mueliya di tahun 2020 membawa seribu makna bagi mereka.
27 Ogos 2020
Kezus leka memerhati bangunan-bangunan di sepanjang Jalan Jeli. Lalu lintas yang sesak memberikannya kesempatan untuk meninjau sekeliling. Entah mengapa, semua bangunan pejabat yang tinggi menjulang kelihatan begitu asing padanya, walhal baru dua bulan lepas dia lalu lalang di sini. Malah, ada masanya dia berulang dua, tiga kali sehari ke rumah ibunya melalui Jalan Jeli.
Sederet rumah kedai yang menampilkan rekaan arkitektur roman mencuri perhatiannya. Tidak mungkin struktur sebesar itu mampu disiapkan hanya dalam masa dua bulan. Kezus begitu yakin tapak yang kini dihuni oleh deret rumah kedai itu hanyalah tanah kosong pada kali terakhir dia melalui jalan ini. Dia memejamkan mata dan menarik nafas dalam-dalam. Fikirannya masih kusut setelah melalui penerbangan melebihi 24 jam. Tapi Kezus tahu dia tidak boleh menyalahkan fikirannya, memang ada sesuatu yang tak kena. Rumahnya diceroboh, keretanya dialih. Dia perlu mendapatkan cerita sebenar daripada emak.
Telefon bimbit dicapai. Dia tidak pasti sama ada emak berada di rumah, kadang-kadang dia menziarah jiran; seminggu sekali dia ke kelas senaman. Senarai direktori diakses - hanya ada nama dan nombor Douv. Maklumat lain, tiada. Senarai panggilan terbaharu ditekan, nama Douv sahaja yang ada. Ke mana perginya nombor-nombor lain? Kezus masih ingat dia ada sekurang-kurangnya 400 nama dalam direktori yang disimpan dalam kad sim. Apakah telefonnya sudah diceroboh sama? Seperti apa yang terjadi kepada rumahnya? Angkara siapa ini?
Pandangan dilemparkan ke luar sambil melepaskan satu lagi keluhan. Serabut. Fikirannya terlalu berserabut untuk berfikir dan menganalisa sekarang. Dia perlu bertemu emak sebelum membuat sebarang keputusan mahupun tindakan.
Lalu lintas yang sesak akhirnya bergerak lancar. Dua puluh minit terbazir di Jalan Jeli sahaja. Kezus menggeleng. Masalah yang masih tak bertemu jalan penyelesaian. Dia meneruskan pemanduan ke Einden dengan harapan emak tidak ke mana-mana.
Ketika membelok ke persimpangan besar menuju rumah emak, Kezus terkedu. Bukit bersimen yang di sebelah kanan jalan sudah rata, kawasan perumahan emak tidak wujud lagi. Berpuluh-puluh jentera berat sedang sibuk bekerja di sebuah kawasan luas - menyiapkan asas untuk sebuah binaan besar. Kezus memberhentikan kereta kira-kira 20 meter dari kawasan pembinaan. Papan tanda putih yang terpancang di luar pagar keselamatan dibaca pantas. Cadangan membina sebuah stadium olahraga oleh Kementerian Sukan. Projek sudah dimulakan tujuh bulan yang lalu.
Kezus ternganga, tidak percaya. Dia menyandar tubuh di kereta. Dua bulan lepas tiada sebarang tanda projek ini bakal bermula, malah dia tidak pernah mendengar sebarang khabar tentang sebuah stadium yang akan berdiri megah di situ. Bagaimana sebuah taman perumahan boleh lenyap begitu sahaja dalam masa dua bulan? Persoalan demi persoalan menghentak benaknya. Kezus mencubit-cubit pipinya untuk memastikan dia tidak bermimpi.
Kelihatan dua orang lelaki berjalan keluar dari kawasan pembinaan, menjinjing beg komputer riba dan beberapa gulungan pelan. Kezus bergegas menghampiri mereka lantas mengucapkan salam. Kedua-dua lelaki terhenti, kunci kereta disimpan semula ke dalam kocek seluar.
"Saya ingin bertanya tentang projek ini," kata Kezus setelah mereka berjabat tangan.
"Ya, boleh," jawab si lelaki yang berkemeja biru. Kedua-duanya mengenakan helmet dan boot keselamatan.
"Keluarga saya pernah tinggal di taman ini. Awak tahu ke mana penduduk di sini dipindahkan sebelum projek ini bermula?"
Kedua-dua lelaki berpandangan dan menggeleng perlahan.
"Maklumat itu tiada dengan kami, tuan. Mungkin tuan boleh merujuk kepada wakil kementerian ataupun majlis perbandaran," jawab si lelaki yang berkemeja kuning air. "Ada apa-apa lagi yang kami boleh bantu?"
"Jadi, mereka ada senarai semua keluarga dan penempatan baru mereka?" tanya Kezus.
Lelaki berkemeja biru mengangguk dan menghulurkan dua keping kad dari beg komputer riba. "Tuan boleh hubungi dua orang pegawai ini. Mereka miliki senarai lengkap."
Kad bertukar tangan dan beberapa minit kemudian dua lelaki sudah menghilang ke dalam perut kereta Auldi putih yang diparkir tidak jauh daripada Tayda Kezus. Kedua-duanya kelihatan terburu-buru. Mungkin orang penting dalam projek pembinaan ini.
* * *
Dua keping kad diselitkan di tepi pintu kereta dan Kezus memandu terus ke Hotel La Leona. Dia perlu mandi, tukar baju dan berehat sebentar sebelum meneruskan pencarian. Jam sudah menghampiri 4.30petang. Dengan keadaan jalan yang sesak sebegini, tidak mungkin dia sempat untuk berurusan di pejabat majlis bandaran.
Kezus disambut mesra oleh beberapa orang pekerja hotel yang tidak lekang dengan senyuman. Tidak sampai 15 minit, Kezus sudah berada di dalam sebuah bilik deluxe, dia terkapar di atas tilam empuk dan televisyen terpasang kuat. Mata dipejamkan dan nafasnya makin perlahan. Dia ingin mencari sedikit ketenangan dalam semua kekalutan ini. Dalam keadaan tubuh yang lemah dan lesu, Kezus terlelap dan cuma terjaga semula bila keadaan di luar sudah kelihatan gelap. Hanya simbahan cahaya dari lampu jalan dan lampu koridor yang menerangi penglihatannya.
"Ah..!" Kezus memicit kepalanya yang sedikit berat dan pada masa yang sama, tangan kirinya mencapai jam penggera yang terletak di meja sisi.
Share this novel