Bab 37
Salika, Dakara dan Voon berkejaran ke arah pintu masuk ke terminal setelah jam Kezus dibuang. Mereka perlu bergerak pantas sebelum Kezus hilang dan tak dapat dijejaki. Mereka bertiga berlari menongkah arus. Orang ramai berpusu-pusu berjalan sama ada di atas travelator ataupun lantai terminal yang licin berkilat, menuju ke ruang parkir. Berpuluh-puluh manusia mengheret bagasi-bagasi besar lagi berat sambil berbual mesra dengan rakan dan sanak-saudara.
Salika yang bertubuh genit, memboloskan dirinya dengan mudah di celah-celah orang ramai manakala Dakara dan Voon terpaksa mengambil laluan di tepi dinding untuk memudahkan pergerakan. Bila kumpulan manusia mula kelihatan makin menjarang, mereka bertiga memecut ke arah kaunter tiket Penerbangan Hi-Mueliya. Bila Kezus tidak kelihatan di kawasan situ, mereka berpecah dan berlari ke tiga arah berlainan. Beberapa pegawai petugas di terminal memerhatikan mereka dengan pandangan yang tajam. Mereka mula menghubungi supervisor yang bertugas untuk melaporkan pemerhatian.
Voon terus menuju ke bahagian pelepasan antarabangsa. Kelihatan beberapa barisan panjang telah terbentuk di balai berlepas. Voon hanya mampu memerhati dari lantai atas, berebut-rebut dengan orang ramai yang sedang melambai-lambai orang kesayangan mereka yang bakal meninggalkan tanah air dengan penerbangan seterusnya. Alat pengimbas dikeluarkan dari kocek untuk mengesan raut wajah Kezus. Setelah hampir sepuluh minit bergerak ke kiri dan ke kanan, Voon menghubungi Salika.
"Tak ada tanda-tanda dia berada di bahagian pelepasan antarabangsa."
"Ah! Kita semua tak ada pas untuk masuk ke pintu-pintu pelepasan dan kawasan pelepasan antarabangsa," rungut Salika, kecewa.
Lima minit kemudian mereka bertiga berkumpul di restoran Burger Dayle, di aras ketibaan, kawasan yang tidak kurang padatnya dengan penumpang dan pengunjung. Alat pengesan yang dibawa oleh Voon masih dibiarkan mengimbas kawasan sekitar. Mereka bertiga duduk mengelilingi tiga cawan kopi di atas meja empat segi bujur.
"Saya dah pergi dari kedai ke kedai di aras ini dan juga di pintu ketibaan. Tak nampak dia," ujar Dakara, dahinya berpeluh-peluh setelah berlari ke sana ke mari.
"Memang susah kita nak mengejar dia di sini, tempat ini ada banyak sangat pintu berkunci. Staf aje yang boleh buka." Salika merenung kopinya yang berasap di dalam cawan styrofoam. Sambil itu dia cuba mengingat kembali bunyi-bunyi terakhir yang didengarnya sebelum perhubungan dengan Kezus terputus tadi. Dia tak dapat mengagak siapa yang datang bertemu Kezus. Mungkinkah dia kenal mereka, atau yang datang itu perisik upahan?
"Betullah. Memang susah kita nak masuk ke kawasan-kawasan terhad ni. Melainkan kalau kita dapatkan kebenaran khas," cadang Voon dengan mata bersinar.
Salika tersentak. "Jangan," ujarnya, pendek. "Gila kau. Kita tak boleh buat macam tu. Macam mana nanti kita nak terangkan kepada authority sini mengapa kita perlu kebenaran khas itu. Kita nak cakap apa dekat diorang? Kalau kita beritahu perkara yang sebenar, memang akan mencetuskan suasana panik nanti. Ini airport, tahu. Bukan supermarket. Orang akan jadi extra panik bila ada berita tak baik dekat airport. "
"Aku ada bawa semua peralatan dalam kereta, Salika. Aku boleh cuba hack sistem CCTV di sini," Voon mencadangkan secara berbisik selepas dia memerhatikan jenama dan model kamera litar tertutup di sekitar terminal. "Ini antara sistem yang paling simple, aku boleh hack dengan mudah."
"Ya, kita boleh cuba. Wireless network dekat airport ni memang dah jauh ketinggalan. Semua barang lama. Sepatutnya tak susah untuk kita ceroboh masuk." Wajah Salika berseri-seri kembali setelah hampir setengah jam mereka dilanda kegelisahan. “Thank you. That’s a great idea!”
Kezus mesti ditemui secepat yang mungkin -- sebelum ingatannya diatur semula, dan program baru dimasukkan oleh pihak musuh. Salika tak mahu dia lupa bahawa dia mesti terbang ke Los Volvimos, bertemu Brad dan dapatkan maklumat siapa yang sedang mempergunakannya.
* * *
Mereka bertiga berkumpul semula di Cafe La Medianoche kira-kira sepuluh minit kemudian selepas Voon dan Dakara mengambil peralatan dari kereta. Cafe La Medianoche dipilih memandangkan lokasinya yang menerima isyarat rangkaian paling kuat. Kopi viennese dan macchiato semerbak mengharum di meja mereka sementara Voon memasang ruang kerja mudah alih yang lengkap dengan pelbagai alat perhubungan dan peranti elektronik.
Memilih meja di bahagian tepi dinding adalah keputusan yang baik bila beberapa pengunjung mula meletakkan bagasi besar di tepi mereka. Orang ramai yang lalu lalang juga tidak sedikitpun mengesyaki aktiviti penggodaman yang bakal dilakukan di situ.
"Yesss! Dah dapat masuk," ujar Voon perlahan, setelah menembusi firewall rangkaian komputer Lapangan Terbang Antarabangsa Hi-Mueliya. Salika dan Dakara mengangguk dan mula menjalankan kerja-kerja mereka. Ketiga-tiganya sedang mengadap UltraPad, komputer mudah alih yang nipis, sebesar buku latihan sekolah dan menggunakan papan kekunci hologram. Alat penerima dengan beberapa antena pendek diletakkan oleh Voon di celah-celah cawan kopi, di tengah-tengah meja. Beberapa pengunjung tertoleh-toleh juga bila menyedari kehadiran teknologi yang agak asing di Hi-Mueliya.
"Aku tengah download CCTV recording untuk 2 jam yang lepas. Agak-agak cukup lama tempoh tu, kan? Kita boleh tengok bila masa mereka masuk ke sini," bisik Salika kepada Voon.
Voon mengangguk sambil memerhati baris-baris perkataan yang keluar di fail log perkakasan firewall bagi memastikan aktiviti mereka tidak dapat dikesan. "Kita ada 1 minit 25 saat sebelum system monitoring software dapat detect ada hacking activity dalam network diorang ni. Network diorang ni tak canggih sangat, tapi dia ada letak system yang perlu. "
Kedua-dua rakan sepasukannya mengangguk faham.
Tepat 1 minit 20 saat kemudian, alat penerima yang berada di tengah-tengah meja mengeluarkan cahaya merah menandakan talian sudah diputuskan dan jejak mereka dalam rangkaian Lapangan Terbang Antarabangsa Hi-Mueliya sudah dipadam. Ketiga-tiga mereka menyimpan segala peralatan dan mula bergerak ke kereta yang masih di ruang parkir. Mereka memadamkan hasrat untuk memeriksa rakaman CCTV di kawasan awam. Terlalu bahaya.
Kopi viennese dan macchiato ditinggalkan sahaja di meja - tidak berusik.
* * *
Kezus terpaku di hadapan skrin di terminal yang dilabel dengan nombor 1 selama lebih 20 minit. Mark dan Timothy masing-masing mengadap terminal 2 dan 3. Lelaki pucat, kurus yang dipanggil Esky oleh Mark memencilkan diri di satu sudut dalam bilik. Dia mengeluarkan sebuah buku usang yang sudah carik-carik halamannya lalu terus membaca. Sekejap dia terkekeh, sekejap dia menyedut hingus.
Setelah selesai dengan terminal nombor 1, Kezus beralih ke terminal 5 yang merupakan gabungan sebuah skrin dan sebuah kerusi sandar yang condong 50 darjah ke belakang. Dua rod melengkung berwarna hitam menyambungkan bahagian belakang kerusi dengan skrin. Kezus naik ke atas kerusi dan duduk dalam sesangkar hitam, mengambil posisi seperti seorang pesakit yang sedang mendapatkan perkhidmatan doktor gigi. Skrin 21 inci berada pada paras matanya.
Bunyi berketap pada kedua-dua belah lengan mengejutkannya. Dua gelang keluli muncul dari bahagian pemegang kerusi dan menggari tangan Kezus. Tali keledar juga terpasang secara otomatik dan memegang tubuhnya kemas pada kerusi condong. Lelaki pucat dan kurus berhenti daripada membaca lalu menghampiri terminal 5.
"Selamat petang. Nama saya Esky, saya juruteknik anda hari ini. Saya akan memulakan prosedur Aturan Semula 10 saat dari sekarang," katanya, jelas dan terang. Kata-kata yang sudah diulangnya entah berapa ratus kali. Kezus hanya mengangguk, tenang.
Dia sudah membaca dan memahami keseluruhan prosedur ini. Semua maklumat itu terdapat dalam akaun peribadinya dalam system N.A.I.A. Sedikit demi sedikit dia sudah ingat apa tujuan dia ada di sini. Esky juga sudah menerangkan kepadanya tadi, ada kemungkinan ingatan dan perasaannya sedang dimanipulasi membuatkannya asyik berasa keliru dan beremosi.
Peralatan di terminal 5 ini akan berputar pada kelajuan 50 putaran seminit melawan arah jam dan kemudian akan berputar pula pada kelajuan 70 putaran seminit mengikut arah jam. Selepas itu dia akan dibiarkan dalam posisi terbalik selama kira-kira 5 minit dan pelbagai rakaman maklumat akan dipertontonkan kepadanya melalui skrin yang bercantum dengan kerusi.
Prosedur ini adalah untuk melakukan aturan semula kepada tubuh, ingatan dan pemikirannya. Setelah selesai, dia akan keluar dari terminal 5 sama seperti keadaannya selepas dia dilatih di Los Volvimos -- sebelum ingatan dan pemikirannya diceroboh dan kehidupannya dipesong-pesongkan oleh Kapten Salika.
Kezus tidak pasti berapa banyak perkara penting yang dia akan lupa selepas ini.
Esky hanya tersenyum sinis sebelum kekunci 'Mula' ditekan dan ia berubah daripada warna kuning kepada merah. Sesangkar hitam mula berputar melawan arah jam. Kezus hanya memejamkan mata. Dia mahu fikirkan kenangan yang indah-indah tapi satupun tak muncul dalam ingatan. Dia cuba juga untuk mengingati keluarganya, wajah emaknya, anak-anaknya dan saat-saat manis ketika bercinta dengan Lara dulu. Kemudian dia terkeliru sebentar. Lara? Siapa Lara?
‘Bekas isteriku Lara Elena. Tetapi ada Lara lain yang kerap datang dalam fikiran. Itu Lara yang mana?’ Fikir Kezus, bingung sendiri.
Sesangkar hitam terus berputar, makin laju dan laju. Esky memantau aktiviti mesin itu dari konsol kecil di mejanya sambil mengangguk-angguk berpuas hati.
Share this novel