Bab 20
2003 - Catatan Kezus – 11
Aku bercadang untuk berterus terang dengan Douv pada hari Sabtu, tetapi pada pagi Jumaat Lara telah menghilang. Berita yang sampai ke telingaku ialah dia telah menghantar notis 24 jam sebelum meninggalkan fakulti. Aku terduduk di tepi tangga setelah mendengar cerita yang disampaikan oleh salah seorang ketua jabatan. Apa yang telah berlaku? Aku cuba menelefon rumahnya dan juga telefon bimbit, tetapi kedua-duanya sudah ditamatkan perkhidmatan.
Dia pergi tanpa sebarang kata. Kali terakhir kami keluar bersama adalah pada malam Rabu, dia kelihatan biasa sahaja. Tiada apa yang membuatkan aku syak ada sesuatu yang tak kena dengannya. Tapi, bila aku ingat-ingatkan semula dia ada menyebut tentang hijrah. Aku tak pasti apa maksudnya tetapi dia bersungguh-sungguh menasihatkan aku untuk melakukan hijrah sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.
"Kenapa perlu berhijrah lagi kalau benda yang kita cari dah ada di sini?" Soalku.
"Hijrah ni tak semestinya lari ke tempat lain. Ia mungkin juga mula melakukan sesuatu perubahan untuk jadi lebih baik."
"Macam mana kalau kita rasa dah cukup baik?" Soalku lagi cuba untuk menduganya.
"Sentiasa ada orang lain yang akan lebih baik daripada kita. Sama juga bila kita rasa kita teruk, sebenarnya ada orang lain yang lebih teruk daripada kita." Lara melarikan pandangannya. Bila diingat kembali, ada beberapa kali dia mengelak pandanganku. Biasanya dia suka bila aku merenungnya tapi malam itu dia seolah-olah tak selesa. "Apa yang kita rasa terbaik hari ini, belum tentu masih lagi yang terbaik pada hari esok," dia seperti mengingatkan aku, atau mungkin itu satu amaran daripadanya bahawa dia akan pergi meninggalkanku?
Lebih seminggu aku mengasingkan diri. Aku tak boleh terima hakikat Lara Helza pergi begitu sahaja. Tanpa sebarang pesanan, tanpa kata perpisahan, tanpa sebarang isyarat pun.
"Dia memang seorang yang kompleks, Kezus," kata Douv bila dia datang melawatku pada hari Jumaat berikutnya, genap seminggu kehilangan Lara. "Aku tak pernah dapat agak apa yang dia mahukan, apa perancangan dia, apa impian dia. Tapi aku dapat simpulkan sejak lama dulu, aku bukan sebahagian daripada rancangan hidupnya. Aku rasa dia anggap aku macam satu persinggahan, sementara dia berjumpa seseorang atau sesuatu yang akan kekal dengannya."
Aku telah menceritakan perhubungan antara aku dengan Lara kepada Douv sebelum itu. Sebaik sahaja dia masuk ke rumah, aku telah terangkan semuanya. Douv menerima dengan tenang. Dia sendiri seperti sudah mengagak Lara pernah menyimpan perasaan terhadapku.
"Kita sama-sama dan kena tinggal," kataku kepada Douv. Dia hanya tersenyum tawar.
"Dah nasib kita, Douv. Mungkin kita dah ditakdirkan untuk jadi kawan baik sampai mati."
"Ya lah. Sekurang-kurangnya, we still have each other," kataku dengan nada sebak lalu Douv memeluk aku erat dan mengingatkanku tentang sebuah janji yang pernah kubuat semasa di alam persekolahan.
"Jangan biarkan masalah cinta macam ni membantutkan cita-cita kau nak jadi saintis terkenal, Kezus," katanya. "Aku nak tengok kau jadi terkenal satu hari nanti. Dapat darjah kebesaran, dapat anugerah. Biar satu dunia tahu nama kau." Kata-kata Douv mula membakar semangatku sedikit demi sedikit.
"Mungkin aku kena timbangkan semula keputusan yang aku buat selama ni." Menyedari mungkin aku sudah tersasar dari arah perjalanan yang aku rancang selama ini, aku membuang segala ego dan mengakui kesilapanku itu di hadapan Douv.
"Belum terlambat Kezus. Kalau kau nak start from zero pun boleh lagi ni." Douv menepuk bahuku seolah-olah menyerapkan semula keyakinan yang sudah lama menghilang.
Aku ambil setiap patah kata-kata Douv dan aku jadikan azimat. Biar aku tak terlupa diri dan tak tersesat jalan lagi. Aku mahu terus melangkah ke depan dan kejar cita-cita yang aku tanam sejak kecil. Langkah pertama yang aku lakukan ialah meninggalkan tugasku di universiti dan menghubungi Dr. Seaman - penyelidik dari Los Volvimos yang pernah mengundangku untuk menyertai pasukan penyelidikannya.
Hanya lima hari masa yang aku perlukan untuk memikirkan pilihanku itu. Aku sempat bertemu Professor Hans dan minta pendapatnya.
"Pergilah. Sementara masih muda, masih tak ada keluarga dan tanggungjawab yang besar, elok juga menimba pengalaman di tempat orang," nasihat Professor Hans pada kali terakhir kami bertemu. "Awak bukan calang-calang orang, Kezus. Saya pernah kerja dengan awak dan saya tahu prestasi dan kebolehan awak. Gunakan peluang ni untuk buktikan siapa awak yang sebenarnya."
Pesanan Professor Hans itu terus terngiang-ngiang di telingaku ketika aku menanti penerbangan ke Los Volvimos. Sokongan daripada Douv dan Professor Hans telah membantu aku berdiri teguh semula. Pemergian Lara hampir menghancurkanku tapi aku tahu itu bukan pengakhiran yang aku mahukan.
Tapi, mungkin juga jodohku sudah tertulis tetap dengan Lara - cuma bukan Lara Helza, tetapi Lara Elena, seorang pensyarah muda yang aku temui di lapangan terbang ketika menanti penerbangan ke Los Volvimos. Pada mulanya aku sekadar merenung ke arah wanita muda itu kerana dia sedang membaca novel karya Lara Helza. Sungguhpun menggunakan nama pena, ramai yang tahu Lara Helza adalah penulisnya.
Wanita itu mungkin kurang selesa bila aku asyik merenungnya. Dia bertanya, "Awak berminat nak baca buku ni ke?" Aku menggeleng.
"Saya pun ada satu naskhah. Tapi belum baca," aku mengorak senyum.
"Bacalah," katanya. "Mungkin ini satu-satunya kisah cinta yang paling realistik ditulis abad ni. Saya tak pernah jumpa cerita cinta yang sebegini. Saya dah jemu dengan kisah-kisah fantasi. Bila saya baca cerita ni, rasa macam...."
"Dekat dengan hati dan kehidupan?" Aku memotong kata-katanya.
"Ha'ah! Betul!" Dia ketawa kecil. Comel. "Lagipun, saya dapat tahu nama sebenar penulis ni Lara. Sama dengan nama saya," katanya lagi dan sambung ketawa. Pada saat itu aku tersenyum tawar. Bila nama Lara disebut, aku tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa yang masih bersisa.
"Oh, sorry. Nama saya Lara Elena." Dia menghulur tangan.
"Saya Kezus." Aku menyambut tangannya yang halus. "Saya nak tanya sesuatu tentang buku tu boleh?" Tanyaku, bukan sekadar untuk memanjangkan perbualan, tetapi aku benar-benar mahu tahu tentang sesuatu yang pernah mengganggu fikiranku.
"Eh, boleh. Sayapun dah dekat nak habis baca dah ni." Lara Elena menunjukkan padaku dia sudah berada di mukasurat 220.
"Saya nak tahu tentang pasir yang disimpan dalam uncang tu. Apa signifikannya?" Masih terbayang-bayang di ruang mataku, petang yang berangin di kampung Lara Helza, di depan rumah Jeha yang hampir menyembah bumi: Lara menabur pasir-pasir yang dibawa bersamanya. Aku perlu tahu tentang pasir itu.
"Oh! Pasir tu?" Lara Elena menyemak beberapa mukasurat sambil tersenyum. "Hmm... Pasir tu Jeha letak secara curi-curi di rumah Beda bila dia berjaya jumpa tempat tinggal Beda selepas diusir dari kampung. Okey, Beda pernah tulis satu puisi tentang pasir yang ditujukan khas buat Jeha. Jadi bila Jeha letak pasir tu, Beda tahu Jeha dah berjaya jumpa dia. Tapi mereka tak boleh jumpa sebab cinta mereka cinta terlarang."
"Jadi," aku kurang sabar, terpaksa memotong cerita Lara Elena. "Kenapa pasir tu perlu ditabur di paya dekat rumah Jeha?"
"Sebelum meninggal, Beda berpesan pada penulis cerita ni supaya taburkan pasir pemberian Jeha ni di paya dekat rumah Jeha."
"Tapi, saya masih tak faham kenapa," aku bertanya soalan paling bodoh dalam dunia, mungkin. Lara Elena ketawa lagi. Lebih kuat kali ini.
"Alahai, letihlah saya nak cerita dekat awak dari A sampai Z kalau macam ni. Awak kena baca buku ni." Dia mengetuk-ngetuk muka depan buku Setia ke Hujung Nyawa dengan jari telunjuknya yang runcing.
"Takpe. Awak summarize kan aje untuk saya, boleh? Saya malas nak baca buku ni. Panjang sangat. Kalau saya baca novel, belumpun 10 mukasurat, mesti dah terlelap." Aku tak bohong. Memang aku bukan dilahirkan untuk menjadi pembaca novel tegar. Aku lebih rela membaca laporan teknikal sehingga beribu-ribu mukasurat, tapi aku tak mampu membaca kisah-kisah rekaan.
"Awak ni kelakar, tahu tak?" Wajah Lara Elena merah padam. Aku tak tahu, mungkin kerana dia ketawa banyak sangat, atau mungkinkah dia sudah jatuh hati pada aku? "Cerita ni banyak part yang simbolik, tau. Pasir tu jadi macam penghubung jiwa antara Jeha dan Beda. Cinta mereka tetap hidup walaupun terlarang dan mereka langsung tak dapat berjumpa hingga ke akhir hayat. Kisah ni langsung tak sama dengan kisah-kisah cinta moden yang terlalu banyak percampuran bebas. Pasir tu ibarat pengikat perasaan. Sebab tu, Beda suruh penulis ni pulangkan balik pasir tu bila dia dah mati. Ibaratnya, dia pulangkan semula hati Jeha bila dia dah tak ada."
"Hmm..." Aku terangguk-angguk, mula faham sedikit demi sedikit. "Saya rasa awak ni betul-betul bijak," kataku lalu wajah Lara Elena memerah semula. Saat itu aku sedar, dia benar-benar sukakan aku.
Share this novel