Bab 18
2002 - Catatan Kezus – 10
Demi menimba pengalaman dalam industri aku ambil keputusan untuk memohon pekerjaan di tempat Douv. Ia sebuah syarikat petrokimia yang sudah lama bertapak di negara ini. Suasana di tempat kerja tak ubah seperti di sebuah kilang. Masuk dan pulang tepat waktu, pakaian seragam biru muda, kasut kanvas dengan tapak getah dan yang paling istimewa bagiku - sebagai seorang lelaki yang membesar dalam suasana serba miskin - adalah makanan percuma di kafeteria. Sungguhpun memiliki gelaran Dr., gaji permulaanku tidak banyak - atau mungkin tidak sebanyak yang diharapkan oleh ayahku. Aku tidak begitu ambil pusing kerana begitu banyak pengalaman baru yang dapat kutimba di syarikat ini.
Di sini juga, pertama kali aku terdedah kepada suasana politik di tempat kerja. Di universiti juga ada politiknya sendiri tapi aku tidak mendapat bahangnya kerana aku sentiasa merujuk kepada Professor Hans ataupun penyelidik-penyelidik senior yang lain. Di sini aku dapat pendedahan yang mengejutkan. Aku tak pernah sangka professionalisma dengan senang-senang diinjak untuk kepentingan diri. Suasana di tempat kerja tak ubah seperti enau dalam belukar - hanya mahu melepaskan pucuk masing-masing.
Pada tahun ke dua di situ, aku nyatakan hasrat untuk berhenti kepada Douv. Dia tidak terkejut kerana dia sendiri tahu suasana bagaimana yang lebih sesuai denganku.
"Kau lebih selesa mencari dan mengkaji, Kezus. Mungkin kau patut teruskan hasrat kau dulu." Douv merenung aku dengan penuh pengertian.
"Aku terlalu lemah untuk semua ni - permainan politik dan perlumbaan kurang sihat - aku sesuai duduk diam-diam dalam makmal saja, agaknya." Aku ketawa hambar.
"Apa yang nampak indah, belum tentu boleh bawa kebahagiaan kepada semua orang. Pilihlah jalan yang terbaik untuk diri kau."
"Ayah aku mungkin kurang setuju. Kau taulah, kan, jadi penyelidik - walaupun dah ada gelaran Dr. - masih tak mampu nak hidup mewah." Itu sebenarnya kata-kata Professor Hans yang aku pinjam. Aku lihat, Professor Hans sendiri begitu sederhana orangnya. Pandu kereta tempatan, tinggal di apartment dua bilik dan pakaianpun tiada yang berjenama mahal.
Benarlah kata-kata Douv, aku memang lebih sesuai duduk di makmal, hadiri persidangan, bersyarah di dewan kuliah dan bersendiri di bilikku yang penuh dengan buku-buku dan kertas-kertas kajian yang menggunung tinggi - setinggi cita-cita yang kusimpan sejak kecil. Sejak berhenti kerja di syarikat petrokimia dan kembali ke universiti, aku jadi lebih rapat dengan Professor Hans. Jika selama ini aku menganggap dia sebagai seorang supervisor, kini kami lebih kepada sepasang sahabat baik. Ke sana sini bersama, berkongsi hobi dan bahan bacaan yang hampir serupa.
Kembali ke universiti bukan sahaja membuatkan aku lebih mendapat kepuasan kerjaya, aku juga kian kerap berlari dan berenang - sama seperti Professor Hans. Aku temui ketenangan dalam aktiviti fizikal sebegitu. Selama ini aku hanya dapat santapan minda dengan membaca, kini baru aku faham minda juga boleh dirangsang oleh terapi seperti berlari. Ia bukan lagi sukan semata-mata; ia membantu aku berfikir dengan lebih waras.
Tetapi, kehadiran Dr. Lara Helza di fakulti yang sama, serba sedikit kerap membuatkanku jadi kurang selesa. Tiap kali bertemu, dia menyapaku penuh mesra, seperti tiada apa-apa yang pernah berlaku antara kami. Sebenarnya memang tak dapat disangkal, bagi pihaknya, tiada apa pun yang pernah terjadi, hanya aku seorang yang menyimpan hati dan memujanya separuh mati satu masa dahulu.
"Berapa percent cita-cita awak dah tercapai?" Tanya Dr. Lara suatu hari, ketika kami terserempak di koridor sebaik saja aku keluar dari makmal. Hari itu cuaca terik, aku asyik berulang ke vending machine untuk mendapatkan minuman sejuk. Kali ke tiga aku keluar dari makmal, aku lihat Dr. Lara sedang tercegat di tepi vending machine seolah-olah menanti aku di situ.
"Hmm..." Aku berfikir panjang sebelum memberikan jawapan. Bukan semata-mata kerana aku tak tahu jawapannya, tetapi kehadiran Dr. Lara yang terlalu hampir denganku membuatkan aku gelisah. Douv tak ada di sini, sepatutnya tak ada apa yang aku perlu risaukan. "Awak dengan Douv macam mana? Dah lama tak jumpa awak bila saya keluar dengan Douv." Entah mengapa soalan itu pula yang keluar dari mulutku.
"Macam biasa. Kalau tak sibuk, saya keluar dengan dia," jawab Dr. Lara acuh tak acuh.
"Nampak macam selalu sangat sibuk sekarang. Douv pun tak sesibuk awak," aku sekadar memancing. Manalah tahu kalau-kalau mereka sedang bermasalah.
"Buku saya baru saja dilancarkan. Jadi, saya kena terlibat dengan rangka promosi. Sebab tu hujung minggu selalu kena keluar," terangnya dengan senyum lebar. Aku hampir terlupa tentang buku yang diusahakannya. Sudah hampir tiga tahun Douv tidak menyebut tentang buku itu.
"Bila nak bagi saya buku awak? Saya tak sabar nak baca." Sebenarnya aku hanya mahu tahu mengapa Dr. Lara pergi menabur pasir di paya yang penuh ditumbuhi mengkuang ketika kami melawat moyang saudaranya, Yang Jeha beberapa tahun dulu. Selain daripada itu, aku tidak berminat untuk mengetahui tentang cerita yang hendak disampaikannya. Mungkin kerana aku telah muak bila asyik mendengar Douv memuji-muji kisah yang ditulis Dr. Lara hingga membuatkan aku jadi tawar hati.
"Datanglah bilik saya. Ada banyak stok. Nanti saya bagi otograf."
Hatiku terus bergetar bila Dr. Lara mengundang ke bilik. Entah imej apa-apa saja yang berlegar di fikiranku saat itu. Dia kekasih Douv, aku tak faham mengapa dia masih mampu buat aku rasa begitu.
Aku pergi ke bilik Dr. Lara petang itu juga. Aku dapat buku Setia ke Hujung Nyawa yang siap berotograf. Dan kemudian, aku tak keluar dari bilik itu hingga pukul 6.30 petang. Terlalu banyak urusan yang tak selesai antara aku dan dia.
Secara tak langsung, aku menjadi pengkhianat kepada persahabatan aku dengan Douv. Tapi, kata Dr. Lara, Douv tak perlu tahu. Apa yang berlaku di dalam biliknya petang itu adalah dengan kerelaan hati kami. Lagipun tiada sebarang ikatan yang sah antara Douv dan Dr. Lara yang boleh menghalangnya dari melakukan sesuatu dengan rela hati.
Pulang ke rumah malam itu aku termenung lama. Aku tak pernah tahu Dr. Lara juga menyimpan perasaan terhadapku. Selama ini rupa-rupanya aku tak bertepuk sebelah tangan. Tapi, mengapa dia memilih Douv dan bukan aku? Soalan itu terus berlegar-legar dalam kotak ingatanku sejak Dr. Lara mengucupku buat kali pertama di dalam biliknya. Sebelum itu, dia membuat pengakuan bahawa dia jatuh cinta ketika aku berada di bawah bimbingannya beberapa tahun yang lalu. Tetapi, pada waktu itu dia tak boleh mencampur adukkan urusan kerja dan peribadi. Dia sepatutnya membimbing aku agar tidak keciciran, jadi dia tak sepatutnya ambil kesempatan terhadap pelajar bermasalah.
"Saya harap kita tak terlambat. Saya juga selalu berharap, awak masih luangkan satu daerah dalam hati awak untuk saya." Mana mungkin aku berkata Tidak kepada kata-kata yang diluahkan oleh Dr. Lara itu tadi. Aku tak mampu menolaknya bila pelukannya kian erat. Aku terus terlupa tentang Douv.
Buku pemberian Dr. Lara aku simpan kemas di dalam almari. Setelah hampir dua minggu, aku masih belum membaca walau sehelai, walau satu aksara. Entahlah, aku bimbang jika aku mula membaca buku itu mungkin aku akan bertemu bahagian-bahagian yang diberi sentuhan oleh Douv. Tentu aku akan rasa lebih bersalah.
Hubungan aku dan Dr. Lara berlanjutan hingga beberapa bulan. Lama-kelamaan, rasa bersalah itu kian kabur dan akhirnya, tanpa segan silu aku keluar dengan Dr. Lara. Satu hari Douv menelefonku untuk memberitahu mereka tiada apa-apa hubungan lagi. Aku cuba jadi pendengar yang setia. Lebih dua puluh minit Douv mencurah perasaannya. Tiada lagi persefahaman antara mereka, kata Douv. Sejak bukunya dilancarkan, Dr. Lara benar-benar berubah. Dia sering terlibat dengan promosi dan bila ada masa lapang, dia lebih suka memerap di rumah. Bila mereka kian renggang, Douv kerap hilang sabar dan mereka kerap bertelagah.
Tiada kata-kata nasihat yang sesuai untuk kuberi pada Douv. Siapalah aku untuk mendamaikan situasi ini - aku salah satu penyebab hubungan itu runtuh.
"Kalau kau dah jumpa perempuan yang betul-betul kau sayang, jangan lepaskan dia, jangan sia-siakan dia. Nanti kau jadi rugi macam aku sekarang," pesanan ikhlas daripada Douv mengakhiri perbualan telefon. Aku hanya jawab, "Ya, aku ingat tu, Douv."
Selepas itu aku sibuk memikirkan apa persediaan yang aku harus buat untuk kehilangan seorang teman baik sejak kecil.
Share this novel