Bab 46
Setelah menempuhi kesesakan trafik selama 40 minit dari Elterra ke Datun, Salika dan rakan sepasukannya tiba di rumah yang dikenalpasti sebentar tadi. Trak yang berjaya dikesan seharusnya masih berada dalam kawasan rumah banglo berpagar tinggi itu. Wilma memberhentikan kereta kira-kira 50 meter sebelum simpang ke banglo yang bakal diintip.
"Rumah ni senyap sunyi, puan," Wilma berbisik dengan Salika.
"Ya, sunyi dan mencurigakan. Jangan panggil aku ‘puan’ lagi. Kita dalam penyamaran. Kalau ada orang terdengar, susah kita nanti. Cuba kau dan Eran lihat apa yang ada di bahagian belakang." Salika menuding ke arah lorong sempit antara banglo itu dengan banglo yang berjiran dengannya. Wilma mengangguk dan terus menggamit Eran. Mereka melangkah santai melalui lorong yang didereti puluhan pasu bunga kertas yang tinggi menjulang.
Salika dan Dakara berada di hadapan pintu pagar banglo. Kanvas hijau yang bersidai pada pintu, menyukarkan mereka berdua untuk melihat kawasan dalam. Tembok batu yang tinggi melebihi 6 kaki juga menghalang pemandangan.
"Mungkin kita patut masuk," usul Dakara membuatkan mata Salika membuntang.
"Gila! Nak kena serang?" Bangkang Salika.
"Kita berlakon sikit," Dakara berdegil dengan cadangannya. Salika menggeleng sambil bercekak pinggang bila Dakara menekan loceng pintu.
Kira-kira dua minit kemudian, muncul seorang lelaki tinggi, kurus dan berwajah pucat dari celah pintu pagar. Pintu tidak dibuka luas, hanya muat-muat tubuhnya menyelit keluar. Rambutnya yang tidak terurus bergerak-gerak ditiup angin.
"Ya? Ada apa boleh saya tolong?" lelaki kurus bertanya dengan sopan. Salika menelitinya dari hujung rambut hingga hujung kaki.
"Kami ni tengah cari rumah untuk disewa. Terjumpa alamat rumah ni dekat kedai Seven Eleven tadi. Tuan rumah ada?" tutur Dakara dengan lancar, seolah-olah sudah lama skrip itu dihafal. Lelaki kurus menggaru-garu kepala dan tersengih menyeringai.
"Saya minta maaf, encik. Salah alamat rasanya. Rumah ni bukan untuk disewa."
Dakara dan Salika berpandangan.
"Saya memang pasti ini alamatnya. Boleh buka sedikit pintu pagar? Kami nak tengok design rumah ini, sama atau tidak dengan gambar yang saya lihat tadi," pinta Dakara kepada lelaki kurus yang mula kelihatan serba salah.
"Bukan rumah ni, encik. Rumah ni bukan untuk disewa," ujar lelaki kurus sekali lagi, semakin hilang kesabaran dan di dahinya sudah mula kelihatan peluh yang bermanik-manik.
"Saya nak tengok rekabentuk depan saja, boleh tak? Sekejap saja," Dakara merayu dan membuatkan lelaki kurus itu menggaru-garu kepalanya lagi.
"Okey, baiklah. Encik tengok depan sekejap saja, ya? Saya banyak kerja nak buat ni." Lelaki kurus itu akhirnya mengalah. Pintu pagar dibuka sedikit lalu Dakara menjenguk ke dalam, Salika juga tidak melepaskan peluang.
Trak yang mereka kesan sebentar tadi tidak kelihatan di halaman rumah. Semak samun yang memenuhi halaman tak berjaga dan sebahagian patio membuatkan Salika berasa lebih curiga. Dakara membawa alat pengesan yang diaktifkan di dalam kocek kemejanya. Alat tersebut berdecit sebaik sahaja Dakara berdiri menghadap ke arah tembok di sebelah timur. Tidak semena-mena bayang-bayang trak mula kelihatan, pudar pada mulanya dan kemudian menjadi kian jelas. Lelaki bertubuh kurus menyedari keadaan itu dan cepat-cepat menolak pintu pagar dan dia terus cuak, mungkin kepalanya ligat memikir, bagaimana trak itu tiba-tiba saja menjelma?
"Cukuplah, encik. Saya nak masuk ke dalam. Saya ada banyak kerja," ujar lelaki kurus sambil menolak sedikit tubuh Dakara yang betul-betul berada di antara dua pintu pagar. Dakara dan Salika tidak membantah, maklumat yang diinginkan sudah dimiliki. Mereka lalu berundur dan mengucapkan terima kasih kepada lelaki kurus yang sudah menghilang sebaik sahaja pintu pagar dikunci dari dalam.
Dakara dan Salika berpura-pura berbual-bual kosong sambil berjalan beriringan ke arah kereta yang diparkir agak jauh tadi. Setelah menunggu lebih kurang 10 minit di tepi kereta, kelihatan Wilma dan Eran berlari-lari anak ke arah mereka. Tanpa berkata sepatah, Wilma melambai ke arah Salika dan terus menekan alat kawalan jauh kereta dan mereka berempat masuk serentak. Eran sedikit termengah-mengah. Wilma terus menghidupkan enjin kereta dan memecut ke arah lebuh raya K3MM.
Wajah Wilma dilihatnya agak pucat dan kelihatan cemas. Eran tergopoh-gapah mengeluarkan UltraPad dari beg dan pantas menaip sesuatu.
"Apa dah jadi ni? Kita nak ke mana?" soal Salika.
Wilma dan Eran menjawab serentak, "Celzera!"
* * *
"Suka sangat tukar plan bila dah last minute, kan?" emak membebel pada Arkun sambil memandu. Borain yang berada di tempat duduk belakang, hanya menumpukan perhatian kepada permainan video di telapak tangannya. Arkun tersengih-sengih memandang emak, langsung tidak menunjukkan rasa bersalah.
"Ketua kumpulan tutorial yang ajak bincang petang ni, mak. Bukan saya. Mereka yang tukar plan tiba-tiba," Arkun mempertahankan diri.
"Iyalah tu," ujar emak, menjuihkan bibir tanda tak percaya. "Nasib baik mak ada di rumah. Kalau tidak, Arkun kena ambil teksi nak pergi ke universiti." Jarak dari rumah mereka di Belzeya ke University of Science di Celzera tidaklah sejauh mana, tetapi memandangkan Arkun tidak memiliki kenderaan, dia bergantung kepada emak untuk menjemput hantar.
"Tapi, balik-balik mak memang kena hantar Arkun malam ni, kan?" Arkun memeluk mesra bahu emak. "Sorry, mak. Ahli kumpulan Arkun tiba-tiba nak buat perbincangan sebelum kelas malam ni. Kami baru tahu salah seorang perlu buat presentation jalan kerja. Kalau mak nak marah, mak boleh marah pensyarah kami," gurau Arkun yang membuatkan emak tersenyum sedikit.
"Borain buat apa tu?" Tiba-tiba emak bertanya setelah Borain mendiamkan diri sebegitu lama.
"Tak ada apa-apa," sahut Borain, bina tak bina. Jari jemarinya pantas menekan-nekan kekunci permainan video yang tidak berpenghujung. Matanya tidak berkelip merenung skrin kecil penuh perhatian.
"Lepas hantar abang Arkun ni, kita nak ke mana?" Emak mengerling wajah Borain melalui cermin pandang belakang. Sehari dua ini Borain kerap berdiam diri, tiada lagi senda gurau seperti selalu.
"Kita makan terus lah, mak. Borain dah lapar," kata Borain tanpa mengangkat muka.
“Ah, what’s new? Borain memang tak pernah kenyang, mak,” gurau Arkun lalu ketawa sendiri.
"Borain fikirkan dulu kita nak makan di mana, ya?" kata emak, memberikan peluang kepada Borain untuk membuat pilihan. Sambil menjamu selera nanti, dia bercadang untuk berbicara hati ke hati dengan anak bongsunya. Pasti ada sesuatu yang tak kena. Angin Borain memang agak mudah untuk diteka. Dia tak berapa pandai menyembunyikan perasaannya.
Sebelum Borain atau Arkun sempat mengatakan sesuatu, kedengaran bunyi siren polis dan ambulan dari arah belakang lalu mereka menoleh. Emak terus memberi isyarat dan menukar ke lorong paling kiri. Beberapa buah ambulan, kereta peronda polis diikuti oleh dua buah kereta bomba memecut laju ke arah Celzera.
"Ada apa agaknya?" Emak menaikkan sedikit cermin mata yang dipakainya. Arkun memanjangkan leher untuk menjenguk.
Borain berhenti bermain lantas memerhatikan deretan kenderaan yang berkejar-kejar. "Mesti ada kes kecemasan ni," ujar Arkun. Emak mengangguk. "Nampak macam kes besar."
"Harap-harap bukan dekat universiti abang," tambah Borain. Arkun menjelingnya tajam.
Tiba di kampus universiti, banyak kereta yang sedang bergerak laju meninggalkan kawasan universiti. Seorang kawan Arkun yang bernama Kiflie melambai ke arahnya di kawasan parkir.
"Kau dari mana? Dari rumahkah? Nampak tak bangunan Pungutan Hasil kena bom tadi?" bersungguh-sungguh Kiflie bertanya.
Arkun keluar dari kereta untuk mendapatkan rakannya yang sedang duduk di atas basikal. "Kena bom? Bila? Aku dari Belzeya, tak lalu jalan situ." Emak dan Borain menurunkan cermin kereta untuk mendengar kisah selanjutnya.
"Aku dengar cerita bom tu meletup 20 minit lepas. Ramai pekerja terperangkap dalam bangunan. Bekalan elektrik dah terputus," cerita Kiflie.
"Apa?! Ada yang terkorban tak?" Emak menutup mulut dengan kedua belah tangan, wajahnya mula kelihatan pucat.
"Jom pergi tengok, mak?" cadang Borain, tanpa berfikir panjang. Emak menggeleng dan kemudian mengurut dada. Bibirnya kumat-kamit berzikir, cuba menenangkan perasaan sendiri.
"Jalan ke Pungutan Hasil dah terlalu sesak. Banyak sangat kenderaan menuju ke sana. Kalau boleh elakkanlah," nasihat Kiflie dengan wajah serius.
"Jadi, perbincangan kita ni ada ke tidak?" tanya Arkun kepada Kiflie.
"Tak ada. Semua batal. Kelas malam ni pun dibatalkan. Pelajar-pelajar di kolej kediaman pun dah dapat arahan untuk berjaga-jaga. Seluruh kawasan Celzera ni mungkin dah tak selamat."
"Kau nak ke mana sekarang? Balik terus?"
Kiflie menggenggam erat pemegang basikal, wajahnya sedikit tegang. "Aku kena pergi ke Pungutan Hasil. Mak aku terperangkap dalam bangunan tu."
Share this novel