Chapter 53

Romance Completed 14626

Bab 53

Panglima Aziman meneguk kopi pekat yang dihidangkan dalam suite di hotel Seri Negara. Perdana Menteri sedang berbincang dengan beberapa orang menteri di dewan banquet. Bukan mudah keputusan yang baru mereka ambil. Pembatalan kehadiran ke persidangan Persatuan Pengeluar-pengeluar Minyak Dunia bakal mengeruhkan perhubungan Hi-Mueliya dengan beberapa negara lain. Para pemimpin negara-negara tersebut sering ternanti-nanti ucapan daripada wakil Hi-Mueliya untuk mendapatkan idea-idea yang segar dan bernas.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan di Menara Tani, Panglima," ujar Mejar Mahaleel sambil menunjukkan e-mel yang baru diterimanya daripada pegawai yang bertugas di Belzeya. "Tapi, kerosakan adalah jauh lebih teruk berbanding bangunan Pungutan Hasil. Lintas langsung di televisyen akan disiarkan dalam masa 5 minit."

Panglima Aziman mengangguk dan terbatuk-batuk lagi. "Sekarang kita perlu fikirkan tentang sambutan Hari Kebangsaan. Kita tak boleh buat di Belzeya," dia memberikan kata putusnya.

"Tapi, tinggal sehari saja lagi Panglima. Haruskah kita cadangkan agar dibatalkan sahaja?" soal Mejar Halim Maslan yang baru tiba dari ibu pejabat polis.

"Saya akan maklumkan kepada menteri berkenaan. Mereka perlu fikirkan bagaimana hendak memindahkan sambutan itu ke tempat lain." Panglima Aziman bangun dari kerusi untuk melihat dengan lebih dekat laporan tentang keadaan di Menara Tani.

"Bagaimana dengan status Belzeya sekarang, Panglima? Kita tak boleh tutup semua pintu masuk ke sana. Bangunan-bangunan kerajaan bukan hanya sekelompok, dan kita tak tahu kalau ada lagi bangunan yang bakal diletupkan oleh pengugut." Mejar Halim Maslan mengambil tempat di kerusi bersebelahan dengan Panglima Aziman.

"Esok adalah hari Ahad dan sambutan Hari Kebangsaan adalah pada hari Isnin. Kita boleh lakukan sekatan jalan. Tak banyak kenderaan akan keluar masuk ke kawasan bangunan-bangunan kerajaan pada hari esok." Panglima Aziman menarik nafas panjang sebelum menyuap sebutir lagi pastil ubat batuk untuk meredakan tekaknya yang gatal.

"Kita akan perlukan bantuan anggota-anggota dari wilayah-wilayah berdekatan," ujar Mejar Halim Maslan lantas terfikirkan ratusan anggotanya yang telah dikerahkan ke Celzera dan Belzeya hari itu. Jika serangan ini berterusan, mungkinkah darurat perlu diisytiharkan?

Lintas langsung dari Belzeya mula disiarkan di televisyen. Semua anggota polis yang berada di dalam suite menahan nafas melihat imej kemusnahan yang telah dilakukan oleh ejen-ejen N.A.I.A.

Wajah pembantu khas Perdana Menteri terjengul di muka pintu suite. “Panglima, kita akan bergerak ke Belzeya sekarang untuk melihat keadaan di sana.”

“Tidak,” tegas Panglima Aziman. “Perdana Menteri tidak harus ke sana. Saya tidak boleh beri jaminan Belzeya selamat untuknya.”

* * *

30 Ogos 2020

Borain tergopoh-gapah mencapai kasut sekolah yang disimpan di rak. Setokin dipakai pantas dan kasut terus disarung. Dia melilau mencari kelibat emak yang masih berkemas di dapur.

"Mak! Cepat mak! Dah dekat pukul 6:20 ni!" Borain kurang sabar pagi ini. Dia perlu sampai awal ke kawasan berkumpul dan mencari rakan-rakannya: Dassa, Eranie Khoo dan Manisha. Pesanan ringkas dan e-mel yang dihantarnya malam tadi langsung tiada mendapat balasan. Dia yakin rakan-rakannya tak punya masa untuk membelek telefon dan membuka e-mel pada waktu subuh sebegini. Jadi, dia harus menyampaikan amaran itu sendiri. Dia mahu mereka semua menjauhi kawasan Belzeya -- walaupun itu bermakna mereka perlu mengundurkan diri daripada menyertai persembahan Hari Kebangsaan yang amat bermakna. Dia mahu segera berkongsi teori yang berlegar-legar di kepalanya malam tadi.

"Dekat saja Sektor 2 tu, Borain. Tak ada banyak kereta pagi-pagi ni. 5 minit pun boleh sampai," kata emak sambil menggeleng kepala melihat anak bongsunya yang seakan begitu teruja. Hari ini raptai terakhir mereka sebelum sambutan sebenar yang akan berlaku esok.

Benar telahan emak. Perjalanan dari Sektor 16 ke Sektor 2 mengambil masa yang singkat dan sebelum jam 6.30 pagi, Borain sudah tiba di hadapan Kementerian Kewangan, tempat berkumpul para peserta persembahan. Dua buah bas dari sekitar Belzeya juga telah tiba. Borain tercari-cari tiga lagi rakannya yang sepatutnya berada di situ.

Beberapa orang penyelaras persembahan sedang berjalan ke arah dua buah bas tadi dengan membawa sebuah pembesar suara. Borain berlari ke arah mereka. Pasti ada pengumuman penting yang akan disampaikan.

Para pelajar yang menaiki dua buah bas berpusu-pusu turun lalu berkumpul di hadapan penyelaras persembahan. Borain berdiri di celah-celah mereka dengan hati yang berdebar-debar. Penyelaras yang memegang pembesar suara adalah seorang pegawai kementerian bernama Wahidah. Dia meminta semua pelajar yang terlibat agar menumpukan perhatian. Para pelajar yang tadinya riuh berbual dan bersenda gurau langsung terdiam. Masing-masing mendengar pengumuman dengan rasa tidak percaya. Raptai terakhir akan diadakan di Dataran Rekayasa dan sambutan Hari Kebangsaan yang sebenar juga akan diadakan di sana. Semua peserta hanya ada sepanjang hari Ahad untuk raptai dan membiasakan diri dengan lokasi baru. Pemandu bas pula diarahkan agar bergerak ke New Belzeya dan semua peserta harus bersedia sebelum pukul 9 pagi.

Sementara semua pelajar berasak-asak masuk semula ke dalam bas, Borain berlari ke arah beberapa bas lain yang baru sampai. Dia terjenguk-jenguk mencari kelibat Dassa, Eranie Khoo dan Manisha. Hampa. Bas yang baru tiba membawa para pelajar dari sekolah-sekolah di sekitar kawasan Salfari dan Seldang.

Dia mengambil keputusan untuk mencari rakan-rakannya di kawasan belakang bangunan Jabatan Kastam. Mereka kerap berkumpul di situ untuk berkongsi sarapan dan cerita sebelum latihan persembahan dimulakan. Telah berkali-kali dia cuba menghubungi mereka pagi ini tetapi telefon mereka berada di luar kawasan liputan.

Borain melangkah laju melepasi ratusan pelajar yang baru berkumpul untuk mendengar penerangan daripada penyelaras bernama Wahidah tadi. Beberapa keluhan kedengaran bila mereka mendapat tahu tentang pertukaran lokasi untuk raptai terakhir dan sambutan sebenar pada hari esoknya. Borain tidak mahu memikirkan tentang itu, dia perlu mencari rakan-rakannya dan menceritakan apa sebenarnya yang sedang berlaku di sekitar Celzera dan Belzeya. Dalam diam-diam Borain sudah mereka-reka beberapa teori sendiri: ini mungkin perbuatan pengganas yang mahu mencemarkan nama baik Hi-Mueliya. Rakan-rakannya perlu diberi amaran, mungkin ada lagi bom yang bakal meledak di sini.

Hatinya sudah nekad sejak kakinya melangkah menuruni trak halimunan pada jam 5 pagi tadi. Derap langkahnya laju dan penuh matlamat. Tugasan ini akan dipastikan sempurna. Kezus terpaksa memejamkan mata hatinya buat seketika. Biar semua ini pantas berakhir, dia tidak perlu menyiksa jiwanya lagi selepas itu. Yang lebih penting, dia tak mahu emak dan anak-anaknya diapa-apakan.

Empat bangunan telah siap dipasang dengan bahan peledak. Empat bangunan yang telah diperiksa oleh pasukan pengesan dan pemusnah bom malam tadi. Manod dan Douv baru sahaja melaporkan kedudukan anggota polis yang bergerak lebih pantas daripadanya. Mereka sudah berada di Kementerian Pelajaran dan Kementerian Dalam Negeri, memberikan Kezus peluang untuk melaksanakan tugasnya tanpa gangguan.

Pintu-pintu masuk ke setiap bangunan masih dikawal ketat oleh pegawai keselamatan dan beberapa orang anggota polis, namun sut pasukan pemusnah bom yang dipakai oleh Kezus mengaburi mata mereka lantas mengizinkannya masuk tanpa banyak soal jawab. Setiap kali ditanya, dia hanya akan berkata, "ini pemeriksaan yang paling akhir. Harus pastikan bangunan ini benar-benar bersih daripada bahan letupan." Setiap kali itu juga para penjaga pintu akan mengangguk faham lantas membenarkannya masuk.

Trak halimunan yang membawa ahli pasukannya dan bekalan bahan peledak diparkir tidak jauh di belakang blok bangunan di mana Kezus berada. Dia cuma perlu bawa satu beg bahan peledak bagi mengelakkan curiga orang yang memandang.

Setelah pemasangan di empat bangunan siap dilakukan Kezus bergerak menuruni tangga dan melangkah ke arah trak halimunan untuk mengambil bahan peledak untuk bangunan yang seterusnya. Saat itu dia mula terlihat bas-bas sekolah yang membawa para peserta persembahan sambutan Hari Kebangsaan. Belzeya mula dibanjiri para remaja yang kelihatan sungguh teruja dan bergelak ketawa penuh keriangan. Tubuh Kezus tiba-tiba seakan kaku. Ini tidak seharusnya berlaku.

Tiada siapa yang memaklumkan padanya tentang ratusan, malah ribuan anak-anak remaja yang bakal membanjiri kawasan ini. Kawasan di mana ledakan-ledakan besar akan berlaku dalam masa beberapa minit sahaja lagi.

Kezus memerhati keliling. Beberapa buah bas baru sahaja tiba dan dua buah bas pula bergerak keluar."Mungkin mereka semua baru mendengar tentang ledakan di Menara Tani malam tadi dan mengambil langkah berjaga-jaga," getus hatinya. Nafas lega dihela. Semoga tuhan selamatkan anak-anak yang tidak berdosa ini semua. Serentak itu juga, dua lagi bas kelihatan sedang bergerak meninggalkan kawasan mereka berkumpul tadi. Kezus meraup muka dan terus berjalan ke arah trak halimunan milik pasukannya.

Kira-kira 20 meter dari lokasi trak halimunan, langkah Kezus tiba-tiba mati. Matanya tertancap pada seorang remaja lelaki yang mundar-mandir sambil berbicara di telefon bimbit. Remaja itu yang mungkin perasan dirinya sedang diperhati, tiba-tiba berhenti lalu merenung tepat ke dalam bola mata Kezus. Dia tersenyum sedikit, tetapi kegelisahan terbayang di seluruh wajahnya.

"Borain?" Nama itu terlantun tanpa sengaja dari bibir Kezus. Remaja itu menyimpan telefon bimbit ke dalam kocek dan datang menghampiri dengan wajah bingung.

"Ya. Saya Borain. Pakcik kenal saya?" tanyanya, kehairanan. Kezus jadi serba salah, baru tersedar kesilapannya. Dia tahu itu Borain, anak bongsunya tetapi dia tidak seharusnya mendedahkan siapa dirinya dan apa yang dilakukan di sini.

"Maaf, nak. Muka anak ni benar-benar mirip anak pakcik. Borain namanya," bohong Kezus, cuba menamatkan perbualan janggal itu dan mula mengatur langkah kembali.

"Tunggu, pakcik!" seru remaja itu. "Nama saya memang Borain. Borain Kezus. Siapa nama pakcik?" Dia meraih tangan Kezus dari belakang.

Kezus cuba menahan air jernih yang hampir gugur dari birai mata, tetapi gagal. Cepat-cepat dia seka dengan lengan kiri sebelum berpaling. "Nama pakcik Zarel. Pakcik pergi dulu ya? Pakcik ada kerja yang perlu diselesaikan," bohongnya lagi.

Remaja itu enggan melepaskan tangannya. Genggamannya erat dan hangat tangannya mengingatkan Kezus bagaimana dia mendukung remaja itu ketika dia baru dilahirkan. Jari-jemari anak kecil itu pernah membalut jari telunjuknya. Dan masih terngiang-ngiang bunyi tangisannya di malam hari bila dia kehausan atau minta dibelai. "Tunggu sekejap pakcik, saya perlu bercakap dengan pakcik sebentar," pintanya, separuh merayu.

Kezus membatu. Hatinya berbelah bagi kembali.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience