Chapter 31

Romance Completed 14626

Bab 31

Kezus mengatur langkah perlahan-lahan menuju sofa baldu. Dua lelaki yang menantinya bangun serentak. Kezus terus menerpa dan memeluk lelaki berambut kerinting yang mengenakan jaket kulit berwarna coklat.

"Kau kata kau di Sebsera. Macam mana kau boleh sampai secepat ni?" Kezus meleraikan pelukan.

Douv tertawa pendek. "Ah, bila kau call tengah hari tadi aku rasa ada sesuatu yang tak kena. Jadi aku naik penerbangan petang tadi untuk pastikan kau selamat." Dia terus memperkenalkan rakannya, Manod.

"Tak perlu susah-susah. Aku rasa bersalah pula dah mengganggu tugas kau." Kezus menepuk belakang sahabatnya dengan mesra.

"Tak susah lah. Pagi esok aku balik sana semula naik penerbangan pagi. Lagipun, dapat juga aku nak melepas rindu pada isteri dan anak-anak."

"Sudah berapa lama kau tak balik?"

"Baru seminggu." Douv ketawa lagi. "Tapi rasa dah macam sebulan."

"Kalau begitu, kita nak berbual di mana ni?" Kezus melihat sekeliling. Ada restoran dan bar di Hotel La Leona tetapi tidak menarik perhatiannya.

"Manod nak balik ke rumah dia sekarang. Kalau kita berdua berbual di sini saja pun boleh," cadang Douv; Manod dan Kezus mengangguk.

"Aku rasa lagi senang kalau kita sembang di bilik aku lah." Kezus merenung Douv dan rakannya itu bersetuju.

Setelah bersalaman, Manod meninggalkan dua sahabat itu di Hotel La Leona. Kezus dan Douv mendaki tangga menuju bilik yang terletak di tingkat dua.

"Mengapa kau berikan aku nombor Lara tadi?" Kezus menyuarakan kehairannya kepada Douv. Tadi hatinya berbelah bagi untuk menghubungi bekas isterinya, Lara, tetapi digagahkan juga demi untuk menjejak emaknya.

"Sorry Kezus. Aku cuma ada nombor dia. Nombor ahli keluarga kau yang lain aku tak simpan. Dulu mungkin ada tapi aku dah banyak kali tukar telefon. Ada banyak nombor yang dah hilang." Kezus kelihatan serba salah. "Kau contact Lara tadi? Macam mana? Dia masih marahkan kau?"

"Macam biasa. Dia masih salahkan aku," sambut Kezus, tenang. "Tapi kali ini sebab aku dalam keadaan terdesak untuk menghubungi emak, aku tak marahkan dia. Malah hati aku terasa macam rindu pula sebab dah lama tak jumpa dia dan anak-anak," Kezus mengaku. Dia sedar, perasaan itu aneh kerana selama ini mereka bagaikan anjing dengan kucing yang pantang bertemu - pasti bertengkar. Tetapi tadi, saat dia terdengar suara Lara di telefon, hatinya tiba-tiba jadi sebak dan terbit rasa rindu dan mula terkenangkan peristiwa-peristiwa di awal perkenalan dulu.

"Kalau ada masa, kau jenguklah anak-anak kau," saran Douv. "Mesti dah besar-besar mereka sekarang, kan?"

Kezus mengangguk. Rindunya makin memuncak. "Jom masuk," dia mengajak Douv masuk ke bilik.

"Kau dah tahu siapa yang menceroboh rumah kau di Kota Suranga?" tanya Douv sebaik sahaja dia menghenyakkan punggung di kerusi malas berwarna coklat cerah.

"Tak tahu." Kezus menggeleng. "Aku masih belum dapat contact emak. Nombor yang Lara bagi tadi dah tak ada dalam perkhidmatan." Nombor telefon ditunjukkan kepada Douv.

"Hmm... nampaknya kau perlu ke pejabat majlis bandaran esok untuk dapatkan alamat keluarga kau." Douv merenungnya penuh serius. "Pelik sungguh. Bagaimana semua ini boleh berlaku dalam jangka masa yang begitu singkat?"

"Aku sendiri tak tahu, Douv. Sejak aku balik dari Los Volvimos, macam-macam benda dah terjadi, dan semuanya membingungkanku. Tak masuk akal." Kezus menggeleng sambil bercekak pinggang. "Aku perlu cari penjelasan pada semua ini."

Douv bangun dari kerusi dan menghampiri sahabatnya. "Kau berehat dulu malam ni. Besok kau akan teruskan misi," ujar Douv dan Kezus jadi keliru.

"Misi?"

"Ya, misi mencari keluarga kau yang dah hilang penuh misteri," Douv mengingatkannya.

"Oh, ya..." Kezus terus memeluk rakannya. "Terima kasih sebab bersusah payah menjenguk aku di sini. Hanya tuhan yang boleh membalas kebaikan kau."

Douv menepuk-nepuk perlahan belakang Kezus.

"Aku cuba buat apa yang terdaya," kata Douv, agak sebak. Air jernih yang mula bergenang disapu dengan jari. "Jom, aku buatkan kau kopi. Bilik ni ada kopi dan air panas, kan?" cadang Douv untuk lari dari situasi yang janggal itu.

"Ada, dekat tepi cerek elektrik tu." Kezus menuding ke arah letaknya beberapa biji gelas, kopi segera, cerek dan botol air mineral. "Buatlah dua cawan, boleh kita minum sama-sama."

Douv terus memasukkan air mineral ke dalam cerek dan menekan butang. Lampu cerek menyala, warna hijau. Sementara menunggu air mencapai suhu takat didih Douv kembali duduk bersebelahan Kezus, di pinggir katil. Bagasi Kezus berderetan di tepi dinding dan beberapa helai pakaiannya berselerak di atas tilam.

"Besok penerbangan kau pukul berapa?" tanya Kezus, santai. Cuba melupakan masalah-masalah yang mengasak fikirannya sekarang.

"Awal pagi, pukul 7." Douv duduk bersilang kaki sambil memerhati beberapa lukisan yang tergantung cantik di dinding. Televisyen tidak dipasang.

"Nanti, sampaikan salam pada isteri kau, ya? Dah lama betul aku tak jumpa dia." Kezus terkenangkan Suria, isteri Douv. Cantik orangnya, terpelajar dan cekal. Demi tugas, Douv kerap meninggalkan rumah sehingga berbulan-bulan, tapi Suria tidak pernah merungut. Dia tinggal bersama anak-anak tanpa mengharapkan bantuan sesiapa.

"Dia baru saja bertanyakan tentang kau semasa aku telefon dia tadi. Dia tanya, kau tak ada belikan dia souvenir dari Los Volvimos?" usik Douv.

"Ah..." Kezus tergelak. "Barang-barang untuk diri aku sendiripun aku tak beli. Apa lagi ole-ole untuk kawan-kawan." Kezus bangun menghampiri dinding dan membuka salah satu bagasinya. Dia menarik keluar sebuah plastik yang sarat berisi rantai kunci.

"Itu apa?" gurau Douv.

"Oh! Aku tak lupa rupanya." Kezus sendiri terkejut dengan apa yang ditemuinya. Dia langsung tidak ingat di mana dia membeli semua rantai kunci itu. Ikatan beg plastik dilerai dan jarinya pantas menarik keluar beberapa rantai kunci yang dirasakan menarik.

"Mungkin kau membeli-belah dalam mimpi," Douv berseloroh.

"Nah, tolong berikan pada Suria dan anak-anak. Kau pun ambillah satu." Kezus menghulurkan rantai-rantai kunci kepada sahabatnya. Douv menyambutnya dan kemudian kedengaran bunyi cerek elektrik berdenting.

"Terima kasih. Aku buat kopi jap." Douv menyimpan rantai-rantai kunci lalu terus bangun menuju pantri kecil.

Kezus kembali menyelongkar bagasinya yang berwarna hijau. Beberapa kotak biskut dan coklat dikeluarkan. "Makanan ni semua pun aku tak ingat aku beli di mana." Dia tersenyum.

"Elok sangatlah tu. Aku buat kopi, kau hidangkan biskut tu di meja sana. Barulah selesa nak bergebang," kata Douv lantas tertawa kecil. Kezus membawa beberapa bungkus biskut dan meletakkannya di atas meja kopi yang diperbuat daripada kaca lutsinar dengan rangka rotan. Bunyi nyaring dentingan sudu berlaga dengan cawan kopi memecah keheningan bilik hotel. Aroma kopi mula memenuhi ruang lantas Kezus terlupa sebentar kerisauannya.

Douv menghidangkan dua cawan kopi yang sudah dicampur gula dan krimer. "Dah lama kita tak minum berdua macam ni."

"Ya, dulu masa bujang, tiap-tiap malam minum kopi 'O' berdua di bilik aku." Kezus tersenyum mengenang nostalgia. Douv menarik kerusi malas dan duduk di sebelah rakannya. Kezus terus menghirup kopi yang masih berasap. Douv hanya merenungnya, tenang.

"Jadi, boleh kita teruskan perbincangan tentang misi kita esok?"

"Misi kita?" Kezus dijentik rasa hairan lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience