Bab 10
1995 - Catatan Kezus – 6
Suasana di kampung Dr. Lara, terutamanya udara di kampung itu adalah sesuatu yang aku tak mampu lupakan sampai bila-bila. Di saat aku keluar dari kereta dan menyusun langkah ke arah sebuah rumah uzur berhampiran paya aku hirup puas-puas udara segar dan penuhi paru-paruku dengannya.
"Rumah ni dah tua. Berhati-hati, ya? Jalan pelan-pelan," pesan Dr. Lara ketika kami memanjat tangga kayu yang memiliki tujuh mata tangga.
Kami berjalan terbongkok-bongkok di belakang sederetan wanita yang sedang duduk berbual-bual sesama sendiri. Di tengah-tengah rumah kelihatan sekujur tubuh kurus sedang terbaring lesu di atas tilam kekabu. Matanya terbuka dan merenung tegak ke siling. Beberapa orang dewasa duduk di kiri dan kanannya memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al Quran.
"Dah berapa hari macam ni?" Aku terdengar Dr. Lara berbisik kepada salah seorang wanita yang duduk bersimpuh di kaki wanita tua itu.
"Sejak malam Jumaat," bisik wanita itu pula.
Dr. Lara maju ke tempat pembaringan wanita tua itu. Dia duduk di tepi kepalanya lalu membongkokkan badan. Dia berbisik sesuatu ke telinga wanita itu. Ketika itu aku dan Douv sudah duduk bersandar di dinding tidak jauh daripada sederetan wanita yang sedang berbual-bual dengan nada perlahan.
Lama juga Dr. Lara berbisik dengan wanita tua itu. Sungguhpun langsung tidak mendapat sebarang reaksi daripadanya, Dr. Lara tetap berbisik. Beberapa minit kemudian Dr. Lara mengalihkan bibirnya, daripada telinga kepada pipi wanita tua itu. Dikucupnya pipi kanan, pipi kiri dan dahi wanita yang terbaring tanpa kata-kata. Sejurus kemudian Dr. Lara bangun dan mengisyaratkan kepada aku dan Douv agar mengikutnya.
Kami berjalan beriringan menuruni tangga dan membontoti Dr. Lara yang mula berlari-lari anak menuju ke arah paya di mana beberapa rumpun mengkuang tegak merendang. Dia mengeluarkan uncang berwarna merah jambu dari kocek bajunya dan melonggarkan simpulan pada uncang itu. Perlahan-lahan dia menyelukkan jari-jemarinya ke dalam uncang dan membawa keluar segenggam pasir kasar. Kemudian dia menabur pasir itu ke arah perdu mengkuang. Perbuatan ini diulangi beberapa kali sehingga uncang itu kosong.
Dr. Lara berdiri lama di hadapan rumpun mengkuang, merenung jauh ke langit biru. Angin petang mula menderu, makin kuat dan makin kuat. Rambut Dr. Lara yang berombak bagaikan terkirai oleh angin lalu ia menutupi wajah dan matanya. Dia biarkan sahaja.
Beberapa minit kemudian, langit berubah gelap. Angin jadi kian dingin dan hidungku mula dapat menghidu bau hujan yang makin hampir.
"Jom tunggu dalam kereta," ajak Dr. Lara, tanpa berpaling. Aku dan Douv terus berlari ke arah kereta Dr. Lara. Kilat mula sabung menyabung ketika enjin kereta dihidupkan.
"Saya dah laksanakan amanah moyang saudara saya. Sekarang kita boleh balik," ujar Dr. Lara dengan tenang.
"Dr., ritual apa tadi tu?" Soal Douv dengan wajah penuh kehairanan.
Dr. Lara ketawa tiba-tiba. Terhibur sedikit aku mendengarnya. Sejak tadi dia kelihatan begitu terganggu seperti terlalu berat tanggungjawab yang terpikul di bahunya.
"Kan saya dah kata - amanah." Dia ketawa lagi. "Ingat tak tentang penganyam tikar mengkuang yang baru meninggal tu?" Soalnya. Aku dan Douv mengiyakan. "Ramai orang kampung ni yang percaya umur mereka berdua begitu panjang kerana sumpahan ataupun semangat mengkuang. Awak tak rasa benda tu semua karut ke?" Aku memandang ke arah Douv tapi dia sedang asyik memerhatikan Dr. Lara - ternanti-nantikan kata-kata seterusnya.
"Apa sebenarnya yang Dr. tabur tadi? Saya tak faham. Benda tu untuk lakukan puja atau apa?" Douv kelihatan begitu serius. Aku tak terkata apa-apa.
"Look, Douv," ujar Dr. Lara. "Mereka berdua sebenarnya adik beradik. Kedua-dua mereka adalah moyang saudara saya. Dalam susur galur keturunan kami memang ada yang berumur panjang. Jadi, semua itu bukan atas campur tangan kuasa-kuasa ghaib. Sudah ditakdirkan rezeki mereka untuk mendapat umur panjang," terang Dr. Lara.
"Saya tak faham apa signifikan Dr. menabur pasir di perdu mengkuang tadi. Saya keliru, Dr.," kata Douv dengan kedua tangan disilangkan di belakang kepala.
"Awak berdua kena baca buku saya nanti kalau nak tahu sebabnya." Dr. Lara tersenyum lebar.
"Bila buku tu akan keluar, Dr.?" Soalku.
"Hmmmm.... " Dr. Lara terdiam sebentar. "Saya belum ada tarikhnya. Tapi saya akan pastikan ia terbit sebelum awak graduate."
Ah... lambat lagi. Aku mencongak-congak. Mungkin terpaksa tunggu 3 tahun lagi. Takkan aku perlu tunggu selama itu semata-mata untuk tahu kenapa dia menabur pasir di paya tadi.
"Apa nama moyang saudara Dr. yang berdua tu?" Douv bertanya. Dia kelihatan berminat benar untuk mengetahui kisah mereka dengan lebih lanjut.
"Penganyam tikar mengkuang tu, namanya Beda. Saya panggil Tok Yang Beda. Yang kita baru ziarah tadi, namanya Jeha, saya panggil Ayang Jeha."
"Jadi kisah dalam buku Dr. tu nanti - apa tajuknya? Setia Ke Hujung Nyawa? - berkisar tentang watak-watak yang bernama Beda dan Jeha?" Soal Douv lagi.
Dr. Lara mengangguk. "Hmmm... Nama-name watak tu saya kekalkan tapi saya sebenarnya belum benar-benar pasti apakah itu tajuk yang paling sesuai atau saya akan ubah lagi. Nantilah, bila saya berbincang dengan editor nanti, saya akan tanya pendapat dia.
Sampai di fakulti, Douv mengajak aku menaiki keretanya kerana dia mahu menghantarku pulang. Sebenarnya aku amat berharap Dr. Lara yang akan mempelawa tapi katanya dia ada beberapa urusan yang harus diselesaikan. Dia perlu berkunjung ke beberapa rumah saudara-maranya untuk memujuk mereka pulang ke kampung, menziarah Ayang Jeha buat kali terakhir.
"Saudara-mara saya ramai yang berbalah antara satu sama lain. Jadi saya perlu damaikan mereka dan pujuk mereka balik kampung. Kalau tidak, mereka semua akan buat tak tahu saja," cerita Dr. Lara kepadaku ketika Douv sedang menghidupkan enjin kereta.
"Mereka pernah bergaduh semasa di kampung dulu?"
"Bukan. Bukan sebab itu." Dr. Lara menggeleng beberapa kali. Air mukanya tampak kesal. "Awak tahu, khabar angin itu lebih berkuasa daripada sepucuk senapang?"
Aku mengangguk walaupun tak pernah menggunakan perumpamaan sebegitu sepanjang usiaku.
"Bila usia Tok Yang Beda dan Ayang Jeha makin panjang, ramai orang mula bercerita dan membuat telahan kononnya mereka berdua mengamalkan ilmu songsang atau ilmu hitam. Ada juga saudara mara saya yang termakan tohmah tu. Akibatnya, mereka semua tak ambil peduli tentang Tok Yang Beda dan Ayang Jeha sampai sekarang. Bila Tok Yang Beda meninggal hari tu, mereka semua tak mahu ziarah."
"Ibu dan ayah Dr. macam mana pula?" Aku baru tersedar, Dr. Lara tak pernah menceritakan tentang ayah dan ibunya. Lara Helza adalah namanya. Aku tak pernah tahu apa nama ayahnya.
"Kezus, jangan tanya tentang ibu dan ayah saya, boleh? Saya merayu pada awak," kata Dr. Lara dengan nada suara yang sudah jauh berubah. Mungkin dalam hatinya ada satu daerah paling terpencil dan sepi yang sudah tinggal lohong. Mungkin daerah itu ada kaitan dengan sejarah ibu dan ayahnya. Aku tiba-tiba jadi bangga kerana aku berjaya kenal pasti daerah sepi itu. Semakin aku kenangkan, semakin yakin aku untuk berterus terang dengan Dr. Lara tentang perasaanku.
Share this novel