Bab 40
Salika memohon agar beberapa orang pegawai dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hi-Mueliya untuk sokongan. Dia perlukan sekurang-kurangnya 10 orang untuk berkawal dan memerhati setiap pintu keluar dari kawasan lapangan terbang. Berdasarkan teori yang dikeluarkan oleh Voon dan Dakara, Kezus dan dua lagi lelaki yang mereka lihat di rakaman CCTV tidak mungkin menghilang begitu sahaja. Mereka perlu keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hi-Mueliya melalui laluan biasa yang digunakan oleh orang ramai, walaupun mereka memiliki pas khas.
Sekitar jam 8 malam, 12 orang pegawai tambahan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hi-Mueliya. Mereka sudah diberikan taklimat semasa di pusat kawalan. Salika tidak mahu mengambil risiko mengumpulkan kesemua pegawai untuk tujuan taklimat di tempat awam sebegitu kerana bimbang bakal mencetuskan perkara yang tidak diingini. Kawasan lapangan terbang itu di luar bidang kuasa mereka. Sebarang perlakuan mereka yang aneh bakal menimbulkan rasa curiga para pegawai keselamatan dan pegawai-pegawai polis yang bertugas di situ.
Alat komunikasi sudah diedar kepada semua ahli pasukan yang berkawal. Masing-masing datang dengan aneka ragam pakaian. Ada yang berbaju tradisional lengkap dengan selimpang, ada juga yang memakai pakaian pejabat dan tidak kurang yang datang penuh santai -- hanya mengenakan kemeja-t dan seluar bermuda -- kelihatan tak ubah seperti pelancong yang baru tiba dari luar negara.
Salika dan Voon berada di medan selera di aras 2, masing-masing mengadap UltraPad yang sejak tadi terpasang dan kelihatan titik-titik berwarna hijau pada imej cetak biru bangunan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Hi-Mueliya di skrin. Setiap titik hijau mewakili setiap rakan setugas mereka yang sedang berkawal. Mereka berada di setiap laluan keluar di setiap aras. Seperti yang telah diterangkan, barangsiapa yang terlihat Kezus ataupun dua lelaki kaukasia yang bersamanya petang tadi, mesti menghantarkan isyarat kepada Salika. Titik hijau akan bertukar warna menjadi merah.
Salika dan Voon terus menanti dengan penuh sabar. Setiap titik hijau bergerak-gerak sepanjang masa, malangnya sehingga jam menghampiri pukul 12 tengah malam pun, masih tiada yang bertukar menjadi merah.
* * *
Esky membuka zip sebuah bagasi besar berwarna hitam yang dibaringkannya di atas lantai. Mark mengerling jam tangan. Mereka ada 3 minit lagi. Kezus masuk ke dalam bagasi dan mengerekotkan tubuh seperti bayi kesejukan. Esky meletakkan silinder oksigen bersebelahan Kezus. Topeng oksigen sudah terpasang pada mukanya.
"Kalau apa-apa terjadi, kau mesti ingat, oksigen ni cuma boleh bertahan selama 20 minit," pesan Timothy. "Dalam kocek beg ni ada pisau. Kau boleh toreh beg dari dalam, kalau terpaksa. Kalau terpaksa saja, faham? Jangan suka-suka hati toreh beg ni sebab kau nak tengok pemandangan dekat luar pulak," tambahnya. Kezus cuma mengangguk. Esky terus menarik zip dengan berhati-hati.
Bagasi ditegakkan. Mark bersedia untuk membuka pintu manakala Timothy menarik bagasi besar beroda. Sebaik sahaja pintu terbuka, treler panjang pengangkut bagasi sudah berada di luar, menanti mereka. Esky, Mark dan Timothy mengangkat bagasi dan meletakkannya di bahagian paling hadapan dalam treler. Pemandu treler, yang memakai fon kepala, mengangkat tangan kepada Esky, Mark dan Timothy. Dia sudah diberi taklimat tentang operasi ini. Rakan-rakannya yang bertanggungjawab dengan operasi sistem pengendalian bagasi sudah sedia maklum apa yang harus dilakukan selepas ini.
Esky, Mark dan Timothy masuk semula ke bilik sebaik sahaja treler bagasi bergerak. "Harap-harap oksigen tu cukup. Kalau dia mati lemas dalam tu, aku tak nak bertanggungjawab. Entah siapa punya idealah nak smuggle orang macam ni dekat airport. Dah gila agaknya," Esky mengomel sendirian. Mark dan Timothy pura-pura tak dengar.
* * *
Harum bau lempeng pisang yang dimasak oleh emak membuatkan Borain mengheret dirinya bangun dari katil, dan terus ke dapur. Mata digenyeh beberapa kali sebelum menggeliat dan menguap lebar.
"Anak mak baru bangun? Hari ni tak ada latihan?" tanya emaknya sambil tangan masih ligat memutar-mutar kuali leper untuk meratakan bancuhan lempeng.
"Hari ni rehat, mak. Esok ada satu final rehearsal. Hari lusa kena berkumpul di Belzeya pukul 5 pagi." Borain menarik kerusi, berkeriut bunyinya. "Abang dah keluar, mak?"
"Sudah. Dia ada kuliah awal pagi. Lepas tu dia nak pergi library. Mungkin petang baru balik. Kenapa?" Emak mengecilkan api dan mula membancuh secawan kopi untuk Borain. Kopi susu kurang manis -- kegemarannya sejak bersekolah tadika. Sama dengan ayahnya.
"Ayah ada telefon mak lagi?" soal Borain penuh mengharap.
"Tak ada Borain. Mungkin dia ada banyak kerja," emaknya memberikan jawapan yang sama tiap kali soalan itu ditanya.
“Dia taknak datang jumpa kita ke? Dah lama betul dia tak contact. Sekarang tiba-tiba dia muncul balik, tapi kita masih tak tahu dia sebenarnya kat mana, kan?” Borain menjungkitkan kening kea rah emaknya.
“Sabarlah dulu. Mesti ada sebab dia taknak terus datang jumpa kita semua. Kita tunggu ajelah. Tak lama lagi mesti dia telefon lagi.”
"Kalau dia telefon, mintak dia tengok TV pada hari perbarisan nanti, ya mak?" Borain berpesan untuk kesekian kali. Emaknya hanya mengangguk sambil tersenyum.
"Jangan risaulah, Borain. Kalau mak tak pesan pun, mesti ayah tengok. Tiap-tiap tahun ayah mesti tengok upacara perbarisan Hari Kebangsaan," emak mengingatkannya, untuk kesekian kali juga.
Lempeng pisang, sambal sardin dan kopi susu yang masih berasap terhidang di atas meja. Borain mencicip kopi dan cuba mengingatkan mimpinya malam tadi. Hatinya tiba-tiba rasa tak keruan. Wajah ayahnya kembali menyapa. Walaupun mimpinya tidak begitu jelas, dia bagaikan terasa-rasa ayahnya sedang dihimpit bahaya. Dalam mimpinya, ayah berjalan di atas sebuah titi gantung yang reput. Di bawahnya sebatang sungai yang mengalir deras. Batu-batan dan batang-batang kayu berceracak menanti di bawah. Sesekali ayah menoleh ke belakang dan kadang kala menjenguk ke bawah. Wajahnya tidak menggambarkan rasa cemas atau takut, dia terus berjalan penuh yakin.
Tiba di pertengahan, deruan api marak menjilat jambatan gantung. Susuk tubuh ayah tak kelihatan. Jambatan gantung terputus dua dan terus terbakar. Letupan demi letupan menggegarkan dunia. Semua orang sekeliling bertempiaran lari sambil terjerit-jerit ketakutan. Dalam kekalutan itu, Borain terjaga dari mimpi.
"Menung apa tu?" tegur emak yang duduk di hadapannya.
"Tak ada apa-apa lah. Teringat pada ayah," dalih Borain. Sambal sardin dicolek dengan lempeng dan dinikmati perlahan-lahan.
"Jangan risaulah. Ayah tak ada apa-apa. Dia pandai jaga diri." Emak menggosok-gosok lembut bahu Borain.
"Apa pekerjaan ayah yang sebenarnya, mak?" Buat pertama kali Borain memberanikan diri untuk bertanya. Dia tahu ayah seorang pensyarah dan penyelidik. Tetapi sejak ayah menghilangkan diri, sudah pelbagai cerita yang sampai ke telinganya. Kini dia mahukan kepastian.
Emak mengeluh perlahan dan menghirup kopinya lambat-lambat. Dia seperti cuba mengelak soalan itu. Mungkin Borain masih terlalu muda untuk memahaminya. Tapi, mungkin sudah sampai masa untuk Borain mengetahui serba sedikit tentang ayahnya.
"Ayah ialah seorang pencipta, Borain. Dia terlibat dengan penyelidikan dan mencipta banyak benda, daripada mesin, robot, senjata, peralatan, kenderaan dan macam-macam lagi. Mak pun tak boleh nak senaraikan semuanya sebab dia banyak buat kolaborasi dengan penyelidik lain. Kalau nak kepastian, boleh jumpa dengan ketuanya di universiti."
"Dia dalam bahayakah sekarang, mak?" Soalan Borain menimbulkan rasa serba salah. Emak bagaikan tak senang duduk. Tapi akhirnya dia sedar, dia tak boleh merahsiakan perkara sebenar selama-lamanya.
"Ayah terpaksa melakukan satu kerja yang dia tak suka. Dia tak rela. Tapi dia tak boleh melawan. Kalau dia ingkar, nyawa kita semua terancam. Masa ayah mula-mula menghilang, emak dan nenek ada terima ugutan daripada orang yang kami tak kenal. Katanya, jangan cari ayah kamu dan jangan laporkan apa-apa kepada polis," kata emak, separuh berbisik.
"Siapa mereka yang paksa ayah tu, mak?" Borain menggenggam tangan emak, erat.
Emak hanya mampu menggeleng perlahan; dia tak tahu dan tak mampu menjawab soalan itu, dan air mata mula bergenang.
Share this novel