Chapter 55

Romance Completed 14626

Bab 55

Salika dan Eran berlari mengejar Kezus sebaik sahaja dia bangun meninggalkan remaja lelaki tadi. Dia bergerak dengan begitu pantas dan kemudian tiba-tiba lesap. Mereka mengimbas sekeliling. Lelaki itu benar-benar sudah tidak kelihatan. Salika dan Eran saling berpandangan.

"Mana perginya?" Salika kelihatan bingung. Eran berundur sedikit dan pergi menjenguk melalui dinding kaca bangunan.

"Di dalam pun tak ada," ujar Eran, dan kemudian dia terlihat remaja lelaki yang tadi berbual dengan Kezus.

"Abang cari apa?" tanya remaja itu. Matanya melekat pada calit-calit pangkat di lengan Eran. Seragam polis yang dikenakan mungkin menarik perhatian remaja tersebut.

"Lelaki yang berbual dengan adik tadi pergi ke mana? Abang perlu jumpa dengan dia." Eran memegang bahu remaja itu.

"Sayapun tak tahu. Dia panggil saya, kemudian kami berbual-bual sekejap. Saya minta tolong dengan dia, tapi lepas tu dia terus menghilang." Remaja itu kelihatan keliru dengan apa yang baru berlaku.

"Tak mengapa, terima kasih dik," ucap Eran lalu melambai ke arah Salika. Remaja tadi masih belum berganjak, persoalan tergambar di riak wajahnya.

"Abang, sebenarnya ada sesuatu yang aneh," katanya, perlahan. Salika menghampiri mereka.

"Apa yang aneh, dik?" tanya Salika. Remaja itu mendongak untuk memandang tepat ke wajahnya.

"Pakcik tadi tahu nama saya. Dia panggil saya 'Borain'. Sebab itu saya datang berbual dengannya."

Sekali lagi Salika dan Eran bertukar pandangan. Nama 'Borain' sudah beberapa kali timbul semasa perbincangan mereka. Nama 'Borain' dan 'Arkun'. Begitu juga dengan nama 'Lara', ibu mereka berdua.

"Apa nama penuh adik?" tanya Salika dengan lembut, walaupun hatinya bergoncang.

"Borain Kezus. Kenapa, kak?" Remaja itu kelihatan seperti takut-takut. "Ada apa-apa yang tak kena kah?"

Salika terdiam sebentar sebelum memberikan jawapan. "Tak ada apa-apa, dik. Sekarang adik boleh pergi ke hadapan bangunan Kementerian Kewangan. Semua pelajar sedang berkumpul di situ."

"Tapi," remaja itu mula memprotes. "Saya perlu cari rakan-rakan saya." Wajah kelirunya bertukar risau.

"Tak mengapa, dik," pujuk Eran. "Mungkin rakan-rakan adik sudah sampai di situ."

Remaja itu berpaling ke arah Kementerian Kewangan dan tanpa lengah, terus memecut pergi. "Terima kasih abang! Kakak!" laungnya dari jauh.

"Tak sangka dapat jumpa anak Kezus di sini, ya?" kata Eran kepada Salika, tetapi bila dia berpaling, Salika sudah jauh berlari ke arah bangunan Pusat Audit Negara. Eran segera mengejarnya. Dalam samar-samar cahaya matahari yang mula mengintai, dia terlihat susuk tubuh seorang lelaki berpakaian seragam pasukan pengesan dan pemusnah bom yang sedang dikejar oleh Salika.

Kezus!

"Borain!! Sini!" Ketiga-tiga remaja perempuan yang sedang beratur di hadapan bangunan Kementerian Kewangan menjerit nama rakan mereka. Borain berlari keriangan ke arah kawan baiknya yang dicari bagai nak gila sejak pukul 6:30 pagi tadi.

"Syukur, kamu semua selamat. Puas aku telefon malam tadi, hantar SMS, hantar e-mel. Satupun tak berbalas. Buat aku risau saja, tahu?" Borain memarahi Dassa, Eranie Khoo dan Manisha selepas menghela nafas. Terasa sakit dadanya setelah memecut begitu laju.

"Alamak, sorrylah Borain, kami jarang-jarang main telefon," ujar Dassa dengan sedikit rasa bersalah.

Eranie Khoo mengangguk. "Ya, sayapun begitu. Telefon saya simpan dalam almari. Cuma guna bila ada kecemasan aje."

"Ah, tak mengapalah. Yang penting, aku dah dapat jumpa kamu semua di sini. Kamu tahu lokasi raptai dan sambutan sudah diubah, bukan?" soal Borain. Ketiga-tiga rakannya mengangguk.

"Ya, ini mesti sebab kes serangan bom di Pungutan Hasil dan Menara Tani semalam. Sebenarnya, kita berkumpul di sini pun tak selamat. Banyak jalan masuk yang sudah ditutup oleh pihak polis. Kita semua sudah diarahkan untuk meninggalkan tempat ini dengan menaiki bas sewa khas sebelum jam 7:30 pagi," Manisha menerangkan dengan panjang lebar.

"Betul tu, nyawa manusia tak boleh dipertaruhkan. Baik kita beredar dari sini sebelum terlambat. Persembahan dan perbarisan itu boleh dibuat di mana-mana, tak semestinya di Belzeya sahaja, bukan?" Dassa merenung wajah rakan-rakannya.

"Kita ada sehari suntuk untuk berlatih. Harap-harap semuanya akan berjalan lancar semasa sambutan sebenar pada hari esok," tambah Eranie Khoo. Borain mengangguk, mengiyakan kata-kata rakannya.

Manisha mencuit bahu Borain. "Jom! Beratur masuk barisan! Kita naik bas yang seterusnya. Siapa tak nak beratur, nanti kena tinggal," guraunya.

"Ya, okey. Baiklah, tuan puteri! Jangan tinggalkan aku, ya?" Borain tertawa, langsung melupakan lelaki aneh yang berbual-bual dengannya dan kemudian menghilang sebentar tadi.

* * *

Lif tidak berfungsi. Kezus terpaksa berlari menaiki tangga. Bahan peledak sepatutnya dipasang di tingkat enam. Dia terdengar dengan jelas bunyi tapak kaki yang menginjak-injak tangga -- dua orang anggota polis sedang mengejarnya. Kemungkinan besar adalah anggota polis yang dikhabarkan oleh Douv tadi. Kezus tidak menoleh ke belakang. Dia meneruskan pendakian.

Sampai di tingkat enam, Kezus meluru ke surau wanita. Peledak dipasang sambil telinganya cuba menangkap bunyi pergerakan dua orang pegawai polis yang mengejarnya.

"Kezus!" Dia terdengar namanya dipanggil. Dia berhenti memasang peledak lantas mendiamkan diri.

"Kezus! Keluar sekarang! Kami tak akan apa-apakan kau!" Kedengaran suara seorang perempuan pula. Kezus menahan nafas beberapa ketika. Dia tahu mereka berdua sudah menghampiri pintu surau wanita.

"Anak kau, Borain ada di bawah sana. Fikirkan tentang dia, Kezus! Jangan buat kerja gila ni!" Suara lelaki melaung garang, cuba mempengharuhinya agar membatalkan niat. Kezus hanya memejamkan mata. Dia hanya diberikan masa selama 10 minit untuk memasang bahan peledak di bangunan itu dan kembali semula ke trak halimunan. Entah berapa minit sudah terbazir. Dia terus membatu.

"Kalaupun kau tak peduli pada anak kau, kasihanilah ibu kau, Kezus. Kau mahu dia terus hidup tersiksa diburu penjenayah? Kalau kau dah tak ada hati dan perasaan, tolonglah ingat pada Dr. Lara Helza. Dia seorang wanita terhormat dan dia sayangkan kau, Kezus. Dia tak pernah berhenti mencintai kau. Tolonglah hentikan kerja gila ni. Ini satu kezaliman," suara wanita tadi beralun lembut, cuba melunturkan hasratnya.

'Tidak,' getus hati Kezus. 'Tiada jalan untuk berpatah balik. Ini adalah pengakhirannya.' Dia terus memegunkan diri di atas permaidani lembut di dalam surau wanita. Suasana dibiarkan gelap sejak dia mula-mula masuk tadi. Dia sedaya upaya mengawal pernafasannya agar tidak dikesan oleh dua orang anggota polis yang berada di luar.

"Kita masih boleh berbincang, Kezus. Keluarlah. Kita sama-sama fikirkan jalan penyelesaian untuk masalah ini. Kami tahu kau lakukan ini bukan dengan rela hati." Suara mereka semakin kuat, mereka semakin hampir.

Kezus berdiri perlahan-lahan. Beg sandang masih dibahu. Dia menghela nafas yang panjang sebelum membuka pintu dengan pantas. Dua anggota polis sedang berdiri di koridor, seorang lelaki dan seorang wanita. Mereka tidak bersenjata tetapi Kezus tidak menyedarinya. Dia lantas merempuh mereka berdua sehinggakan anggota polis wanita itu jatuh tertiarap. Rakannya, si lelaki masih berdiri gagah dan melepaskan sebuah penumbuk ke muka Kezus. Satu tendangan sisi dihadiahkan oleh Kezus ke pinggang kiri lelaki tersebut. Dia terperosok ke dinding. Dengan pantas Kezus lari meninggalkan mereka. Dia hanya ada 3 minit lagi untuk menyudahkan tugasnya di situ.

"Kezus! Jangan lakukannya! Ingat tentang keluarga kau! Ingat tentang Dr. Lara Helza!" jerit anggota polis wanita itu dengan sekuat hatinya.

Kezus tidak berpaling sungguhpun nama Lara Helza itu merenggut hatinya. Dia terus memanjat tangga untuk ke tingkat 7. Satu set lagi peledak perlu dipasang di situ. Dia lantas menyembunyikan diri di dalam tandas. Set peledak dikeluarkan dan diletakkan di atas sinki. Nafas dihela beberapa kali. Jantungnya seakan bergoncang tanpa henti. Nadinya bergerak laju. Kezus mengerling imejnya di cermin tandas.

'Ini wajah seorang penjenayah yang meminjam identiti seorang lelaki mulia, semata-mata untuk melaksanakan satu misi keji,' hatinya berbisik. 'Ini wajah seorang lelaki hina yang tidak peduli dengan nyawa manusia lain. Lelaki ini tiada tempat di dunia ini. Lelaki ini ternyata memang tak layak untuk Lara Helza yang telah menabur jasa kepada anak-anak bangsa dan berjuang untuk kesejahteraan semua.'

Kezus mengeluarkan sebuah UltraPad dari beg sandang. UltraPad yang dicurinya dari kabinet milik Esky ketika berada di dalam trak halimunan sebentar tadi. Skrin diangkat dan aplikasi kawalan peledak dilancarkan.

Dia mungkin bukan wira, tetapi dia tak akan jadi penjenayah selama-lamanya. Dia masih ada masa beberapa minit untuk mengubah semua ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience