Bab 4
1994 - Catatan Kezus – 3
Benar sangkaanku. Kawan aku yang genius Matematik itu, hidupnya tak ke mana. Ketika kami semua berjaya mendapat tempat di universiti, dia masih di rumah, sibuk dengan kelas-kelas tambahan yang diadakan atas anjuran ibubapanya dan beberapa orang bekas guru. Dia tak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana hanya berjaya cemerlang dalam satu matapelajaran - Matematik. Bagi menampung hidup (dan memandangkan perniagaan bapanya menemui kegagalan) keluarganya meminta dia meneruskan kelas-kelas yang diadakan. Jemputan untuk memberi ceramah di acara-acara kekeluargaan kian berkurangan kerana dia tidak berjaya cemerlang dalam keseluruhan matapelajaran.
Aku dan anak si penjual nasi lemak terpisah bila dia ditawarkan melanjutkan pelajaran di negara lain. Aku sedih dan sedikit kecewa kerana tak berjaya mengikut jejak langkahnya. Ayah juga tidak kelihatan begitu gembira bila aku hanya ditawarkan peluang belajar di salah sebuah universiti awam di Hi-Mueliya. Universiti itu juga tidak termasuk dalam golongan elite mahupun berada di kedudukan tinggi dalam senarai universiti terbaik dunia.
Kakakku (yang juga menyambung pelajaran di universiti awam) dan anak si tukang kasut (yang genius Matematik) banyak memberikan semangat kepadaku.
"Kalau ada kemahuan, di mana-manapun boleh berjaya, Kezus," pujuk kakak pada hari pendaftaran di kampus. Sesungguhnya aku tak menyimpan harapan tinggi. Ini bukan universiti ternama, entah bagaimana kualiti pembelajaran dan tenaga pengajarnya.
"Kau lebih bernasib baik daripada aku," kata anak tukang kasut. "Bakat dan kepandaian kau lebih menyeluruh. Ada macam-macam benda kau boleh teroka. Dunia ni tak ada sempadan, tak ada had. Jangan jadikan tempat belajar kau tu alasan. Aku nak, satu hari nanti, bila aku jumpa kau, aku nak salam tangan kau dan panggil kau Dr. Kezus, faham?"
Aku termalu sendiri. Selama ini aku anggap dia tak faham tentang kehidupan, tapi nampaknya dia lebih rasional, tak memaksa diri sendiri dan buat aku rasa begitu kerdil bila berhadapan dengannya.
Hidup baruku di universiti bermula dengan seribu rasa kesunyian dan makin hari aku makin rasa keseorangan. Aku mula mempersoalkan apa tujuan aku melanjutkan pelajaran, apakah ini bidang yang menjamin masa depan, mampukah aku untuk menamatkan 8 semester di sini dan apa akan jadi padaku akhirnya nanti?
Pada ketika aku hampir mengemas beg dan menghantar surat permohonan berhenti belajar, hadir seseorang yang telah mengubah pendirian dan pemikiranku. Namanya Dr. Lara Helza yang baru saja tamat pengajian dalam bidang psikologi. Dia masih muda, hanya 5 tahun lebih tua daripada aku. Kata rakan-rakan sekuliah, Dr. Lara dilahirkan seorang genius - dia boleh membaca seawal usia 3 tahun dan melangkah ke alam universiti pada usia 15 tahun. Aku tersenyum pahit mengenangkan rakan geniusku, anak si tukang kasut. Kalau dia berikan perhatian kepada subjek-subjek selain Matematik, mungkin dia boleh jadi lebih hebat daripada Dr. Lara Helza.
"Sebelum awak hantar surat tu, awak kena faham dua jenis manusia dalam dunia ni," kata Dr. Lara ketika aku terserempak dengannya di pejabat fakulti. "Manusia yang paling lemah dalam dunia ni ialah mereka yang berhenti mencuba. Manusia yang paling hina pula ialah mereka yang berhenti sebelum mencuba. Tolong pilih untuk jadi selain daripada dua jenis manusia tu." Kata-kata Dr. Lara lembut dan bersahaja tetapi telah menguatkan azam aku. Bukankah sejak dari sekolah rendah aku sudah menyimpan cita-cita untuk menjadi saintis yang hebat? Jadi kenapa aku perlu menyerah kalah sebelum perjuangan benar-benar bermula?
Surat permohonan berhenti belajar aku simpan semula dalam saku. Beg yang sudah separuh kukemas, aku buka kembali dan simpan pakaian ke dalam almari dua pintu di bilik asrama.
Dr. Lara bukan sekadar seorang pensyarah di universiti. Dia juga menjadi sukarela untuk menangani pelajar-pelajar bermasalah seperti aku. Ada 5 orang pelajar yang diamanahkan kepadanya untuk dibimbing dalam hal-hal selain akademik. Aku rasa aku yang paling banyak diberi perhatian kerana fokus aku pada pelajaran sering saja terganggu. Aku sendiri tak faham apa masalah aku sejak melanjutkan pelajaran di universiti. Cita-cita mahu jadi saintis hebat tapi aku lebih banyak meluangkan masa bersukan dan menyibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti persatuan. Kadang-kadang aku mempersoalkan, apa yang aku mahu sebenarnya?
Adik aku yang pendiam (tapi bercita-cita mahu jadi peguam) ketika itu masih di bangku sekolah menengah. Dia kerap mengunjungiku dan bermalam di bilik pada hujung minggu. Mungkin dalam diam, dia kerap memerhatikan perlakuanku. Mungkin juga dia kurang senang dengan cara kehidupanku.
"Abang belajarlah betul-betul. Kesian ayah kena hantar duit tiap-tiap bulan."
Aku tersentak mendengar kata-katanya. Dia memang jarang berkata-kata. Jadi bila dia menyuarakan pendapat sebegitu, setiap patah perkataannya terus tembus ke jantung. Sebagai adik, biasanya dia tak pernah melawan bila aku buat dia marah. Tapi hari itu, dengan beraninya dia telah menasihati aku secara berterus-terang.
"Bukan senang nak masuk universiti, bang. Kawan abang yang genius tu sekarang waktu siang jadi tukang kasut, sebelah malam ajar kelas tambahan. Abang taknak jadi macam dia, kan?"
Sekali lagi kata-katanya bagaikan menyiat-nyiat hatiku. Aku tak sangka, kawan aku yang genius terpaksa mengikut jejak langkah ayahnya, walhal dia boleh pergi lebih jauh jika bakatnya betul-betul diasah dan dia tak mengabaikan pelajaran-pelajaran yang lain.
Sewaktu pertemuan aku dengan Dr. Lara pada minggu berikutnya, aku bertanya, "Saya rasa macam hilang pedoman, Dr. Sekejap saya ada cita-cita tinggi. Tapi usaha saya macam tak setimpal. Mungkin saya tak layak di sini, Dr."
Dr. Lara tak jawab soalan aku. Dia cuma suruh aku bersiap-siap sebab dia nak bawa aku ke sebuah tempat. Aku capai beg dan buku-buku lalu ikut dia ke kereta. Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 45 minit. Di dalam keretapun, Dr. Zara tidak memberikan pendapatnya tentang masalahku. Dia asyik bercerita tentang perkara-perkara yang langsung tak ada hubung kait dengan pelajaran mahupun kehidupan aku di universiti. Dia bercerita tentang kisah-kisah dongeng kegemarannya sewaktu kecil. Kemudian dia bercerita tentang seorang nenek di kampungnya yang berusia 120 tahun. Dia juga banyak kali menyebut tentang seorang penganyam tikar mengkuang yang sangat terkenal yang mempunyai tali persaudaraan dengan nenek berusia 120 tahun itu.
"Awak tahu, ada dongeng yang disebarkan oleh orang kampung saya kononnya nenek itu akan mati bila penganyam tikar itu berhenti menganyam. Tapi, sampai hari ni dia masih gigih menganyam tikar mengkuang. Cuma sekali sekala dia berehat, kalau dia rasa tak sihat. Kata orang kampung saya juga, penganyam tikar tu umurnya sudah hampir 150 tahun."
Aku sekadar ternganga mendengar cerita Dr. Lara.
"Kenapa? Awak tak percaya dengan cerita saya ya?" Dia tersenyum manis. Waktu itu cahaya matahari petang menerjah tepat ke pipinya menambahkan lagi seri wajahnya yang putih kuning.
"Saya tak pernah jumpa orang berumur 150 tahun."
"Dia betul-betul dah tua. Bila saya nak dengar kisah-kisah lama, saya pergi ziarah dia dan tanya macam-macam. Apa yang dia masih ingat, dia akan cerita. Tapi, makin lama ingatan dia pun dah lemah. Sekarang ni, bila saya jumpa dia, dia akan ulang-ulang cerita yang sama - kadang-kadang sampai sepuluh kali." Dr. Lara tersenyum lagi sambil menghembuskan nafas panjang. Wajahnya sarat dengan nostalgia.
"Saya teringin nak hidup lebih 100 tahun. Saya nak tengok bagaimana kehidupan manusia waktu itu nanti. Saya pun boleh cerita dengan mereka apa yang berlaku 100 tahun dahulu."
"Bagus!" Dr. Lara menoleh ke arahku. "Saya boleh ajar awak bagaimana nak persiapkan diri."
Aku tak faham maksudnya dan selepas itu aku jadi lebih keliru. Dr. Lara memandu ke tepi pantai dan menyuruh aku berdiri di dalam air cetek. Dia membiarkan aku berdiri di situ selama lebih setengah jam. Katanya, jangan naik ke darat selagi aku tak rasa sesuatu dalam diri. Sungguhpun bingung, aku turutkan saja syaratnya.
Bila akhirnya aku berjalan keluar dari air dan mendekatinya yang duduk di batu, dia bertanya, "Apa yang awak rasa?"
Sebenarnya aku tak tahu apa perasaan yang aku temui. Jadi, aku jawab, "Ombak."
"Ombak tu macam mana?" Soalnya.
"Sekejap kecil, sekejap besar."
"Awak tak lari masa ombak tiba-tiba besar?" Dia bertanya lagi.
"Tak."
"Kenapa?"
Tanpa berfikir, aku terus menjawab, "Sebab di situ kawasan air cetek, kaki saya jejak tanah. Ombak besar tu dah jadi kecil bila sampai kepada saya."
Dr. Lara terus bangun tiba-tiba dan bertepuk tangan. Dia tersenyum puas. "Itulah jawapan kepada soalan yang awak tanya saya di fakulti tadi."
"Maksudnya?" Aku masih muda waktu itu. Terlalu jahil untuk mengaitkan pengalaman dipukul ombak dengan realiti kehidupan sendiri.
Dr. Lara mengeluh pendek sebelum menjawab, "Dugaan hidup ibarat ombak: sekejap kecil, sekejap besar. Tapi kalau kita berdiri tegap di atas asas yang kukuh, kita boleh harungi setiap dugaan yang datang. Kita tak akan takut, dan tak akan mudah menyerah kalah. Sekarang faham?" Dia bercekak pinggang. Lagaknya seperti seorang guru yang memarahi murid-murid nakal.
Aku mengangguk beberapa kali. Kepala terasa ringan. Angin laut yang sejak tadi aku tak begitu hiraukan seolah-olah mula meresap ke setiap inci kulit.
Di tepi pantai itu, di tepi batu-batu dan ditiup angin laut, aku rasa itulah saatnya aku mula-mula jatuh cinta pada Dr. Lara Helza.
Share this novel