Bab 1
1984 - Catatan Kezus – 1
Aku dilahirkan dalam keluarga susah. Pendapatan ayah dan emak tak mampu untuk memberikan aku dan adik-beradik yang lain kemewahan sejak kecil. Saban hari kami berjalan kaki ke sekolah. Berbekalkan wang yang hanya cukup-cukup untuk membeli roti atau sepotong kuih, kami sudah bersyukur. Air pili di tepi kantin sekolah dijadikan pembasah tekak tiap kali berasa dahaga.
Tapi kami adik-beradik menyimpan cita-cita tinggi. Aku mahu jadi saintis. Adikku mahu jadi peguam. Manakala kakakku mahu jadi pensyarah. Kawan-kawan kerap juga ketawakan cita-cita kami, terutama aku. Semua tak faham apa tugas saintis. Semua menggambarkan saintis mesti kelihatan seperti Albert Einstein - dengan muka berkedut, janggut jambang tumbuh meliar, kaca mata tebal dan rambut kusut tak terjaga. Ramai mengejekku mahu jadi saintis gila. Mungkin itu silap filem-filem yang mereka tonton - terlalu banyak yang menggambarkan fizikal saintis seperti lelaki gelandangan yang tak punya keluarga mahupun kehidupan.
"Aku tak ada duit dan harta nak diberi kepada kamu semua," kata ayah yang aku masih ingat jelas. "Yang aku ada hanyalah cerita-cerita dan sikit nasihat - itupun yang pernah aku dengar daripada orang tua aku dulu. Janganlah kau mengharap sangat dengan apa yang ada dalam kepala aku. Aku sendiri tak banyak pengetahuan." Nada kesal itu sentiasa aku jadikan peringatan pada diri sendiri. "Kamu semua tuntutlah ilmu sedaya mampu. Jangan bazirkan kemudahan dan peluang yang ada."
Berbekalkan kata-kata ayah aku tempuhi kehidupan dalam dunia persekolahan dengan tabah, sungguhpun banyak suara-suara yang tak henti-henti mahu mematahkan semangatku.
Aku tak boleh membenci mereka kerana mereka tak mengerti keadaan hidup kami. Mereka tak akan faham apa yang emak dan ayah kami terpaksa hadapi semata-mata untuk menyekolahkan kami adik beradik. Mereka yang dah terbiasa dengan kehidupan selesa tak mungkin faham bagaimana kami terpaksa redha bila terpaksa makan nasi berlaukkan air garam. Ada masanya, usahkan ikan bilis, kadang-kadang kangkungpun ayah tak mampu beli.
Kata emak, semua kesukaran itu sifatnya sementara. Orang yang bersabar, tabah dan terus berusaha pasti akan merasa kemanisan kejayaan suatu hari nanti. Tapi emak tak boleh beritahu bilakah 'suatu hari' itu akan tiba. Kami adik beradik hanya tunduk patuh tiap kali mendengar emak berkata-kata begitu. Emak sudah lebih lama hidup, pelbagai pengalaman sudah ditempuhnya.
Setiap pagi, semasa berjalan kaki ke sekolah aku sering membayangkan bagaimana kesenangan yang bakal aku kecapi suatu hari nanti. Kalau aku jadi saintis berjaya, pasti aku akan jadi terkenal dan kerap jadi undangan di televisyen untuk berceramah tentang teknologi, tentang kajian yang aku lakukan atau mungkin juga bersyarah tentang subjek-subjek sains di peringkat tinggi. Aku ingin sekali berkunjung ke negara-negara luar untuk melebarkan sayapku dalam bidang sains yang aku terokai. Setiap kali memikirkan itu, aku tersenyum sendiri.
"Kezus berangan lagi!" Usik kakakku dan aku tersenyum dengan muka merah padam. Kenangan berjalan kaki bersama-sama ke sekolah adalah antara kenangan paling mahal yang aku ada. Pada waktu itu kami adik beradik sangat rapat. Kami tiada rakan baik yang lain. Murid-murid lain di sekolah bagaikan sepakat untuk tidak mendekati kami - anak orang miskin, duduk di pondok buruk, ayah kerja buruh, datang sekolah pakai kasut koyak rabak.
Aku tak pernah marah bila kakak mengusik aku. Dia satu-satunya kakak yang aku ada.
Tapi kakak selalu kecil hati bila emak mengusiknya. "Kamu tu cita-cita tinggi sangat. Nanti kalau dah kahwin, macam mana? Ada masa ke nak kerja lagi, nak jaga rumahtangga lagi?"
Emak mahu kakak jadi guru. Kata emak, tugas guru tak seberat pekerjaan lain. Guru ada peluang untuk balik awal. Habis sekolah, boleh pulang dan uruskan rumah tangga.
Kakak selalu kata emak kolot. "Wanita dah makin setaraf lelaki, Kezus. Mak patut faham tu."
"Zaman mak dulu lain. Dunia dikuasai lelaki. Wanita hanya jadi penyokong dari belakang," pujuk aku.
"Kakak bukan setakat nak jadi tulang belakang, Kezus. Kakak nak jadi manusia yang boleh berdiri sendiri dan berjaya dengan titik peluh sendiri. Kakak tak mahu orang lihat kakak sebagai makhluk yang lebih lemah. Kalau kita ada keberanian untuk memiliki sebuah cita-cita, kita juga mesti berani untuk realisasikannya, bukan?"
Aku setuju aje dengan pendapat kakak. Lagipun aku tak pernah menang bila berdebat dengannya. Dia lebih banyak pengetahuan. Dia lebih rajin mengkaji rahsia-rahsia dunia, sejarah masa lampau dan perlakuan manusia. Kalau dibandingkan dengan pengetahuan aku ketika itu, terlalu jauh. Aku hanya tahu serba sedikit ilmu sains asas, matematik dan bahasa. Jarang sekali aku berpeluang menyentuh buku sejarah.
"Sejarah ni sesuatu untuk kita kaji dan ambil iktibar. Tapi, pada masa yang sama tak boleh terima bulat-bulat. Kita kena ingat, sejarah ditulis oleh mereka yang berjaya. Jadi, apa pula cerita dari pihak satu lagi - pihak yang kalah?" Kata-kata kakak itu sungguh mendalam dan membuat aku berfikir hingga berhari-hari.
Ya. Di mana kita boleh dapatkan cerita-cerita mereka yang telah kalah? Yang telah kecundang dalam setiap peperangan untuk mendapatkan tampuk kuasa sesebuah kerajaan?
Kerana kata-kata kakak itu aku berazam untuk menempatkan diri aku dalam sejarah. Tak kisahlah aku berada di pihak menang atau kalah. Aku mahu menjadi orang biasa-biasa yang mencipta sejarah. Dan dengan menjadi saintis, aku yakin aku mampu melakukannya dan nama aku akan terpahat dalam sejarah negara. Anak cucu aku nanti bakal membaca dan mengkaji apa yang telah aku lakukan.
Sekali lagi aku tersenyum sendirian. "Kezus, janganlah berangan lagi!" Sekali lagi, kakak mengusikku.
Adikku tidak campur sama. Dia kerap berdiam diri walaupun aku tahu dia mendengar dan ambil perhatian atas setiap perkara yang kami bincang dan debatkan. Waktu itu aku tak faham bagaimana adik aku nak jadi peguam suatu hari nanti. Dia terlalu suka mendiamkan diri. Sungguhpun begitu dia rajin membaca. Segala jenis buku yang ada di rumah dan di perpustakaan sekolah dia akan belek dan baca dengan penuh minat.
"Suatu hari nanti, sekurang-kurangnya seorang anak ayah akan jadi orang penting dalam negara ni," kata ayah pada suatu petang ketika kami duduk di atas sebuah tikar plastik yang dibentang di halaman pondok buruk kami. Bila cuaca mula mendung, di situlah kami berkumpul dan bertukar-tukar cerita. Di antara kami semua, kakaklah yang paling banyak celotehnya. Adikku, seperti biasa hanya tersenyum-senyum dan kadangkala, langsung tiada ekspresi di wajahnya.
"Siapa anak ayah tu?" Tanya emak sambil mengerling ke arah kami semua.
"Mungkin saya!" Aku mengangkat tangan tapi kemudian termalu-malu bila kakak gelakkan aku.
"Bagi kakak yang pertama, boleh? Kezus boleh jadi yang kedua, ya?" Kakak pegang bahu aku dan aku berpura-pura muncung - merajuk.
"Kakak dah dapat kelebihan jadi anak yang pertama lahir ke dunia. Berilah peluang pada saya yang jadi tokoh yang tercatat dalam sejarah negara."
Kesungguhanku berlipat ganda sejak perbualan petang itu. Aku benar-benar mahu jadi saintis berjaya. Aku mahu namaku dikenali di pentas dunia. Aku mahu jadi kebanggaan negara.
Cuma, aku langsung tak tahu berapa banyak halangan dan cabaran yang aku terpaksa hadapi untuk mencapai cita-cita yang satu itu.
Share this novel