Chapter 17

Romance Completed 14626

Bab 17

2079 - Catatan Salika – 8

Kami melalui sebuah terowong kaca yang panjang sebelum sampai ke sebuah pintu masuk yang dikawal oleh dua orang lelaki berpakaian seragam biru tua dan bertopi hitam. Langit sudah beransur gelap. Deretan kereta, trak dan lori ditahan satu persatu di pintu masuk. Setiap orang dan kenderaan yang ingin masuk, diidentifikasi menggunakan pengimbas. Tiba giliran kami, Major Huza mengeluarkan sebuah alat yang tidak kukenali daripada koceknya. Salah seorang pegawal mendekatkan pengimbasnya lalu kedua-dua alat itu menghasilkan bunyi 'bip' lalu palang besi di hadapan pintu masuk terus terangkat. Kemudian, kedua-dua pengawal memberikan tabik hormat kepada Major Huza. Aku sekadar menundukkan sedikit kepala ke arah mereka.

"Kita akan berada di dalam sampai pagi esok. Saya harap awak ada bawa cukup pakaian," kata Mejar Huza sambil terus memandu keretanya dengan perlahan.

"Ada pakcik," jawabku sambil merenung dua beg pakaian yang kubawa ke mana-mana sejak lari dari rumah. "Tapi, saya tak ada baju untuk urusan rasmi, semuanya baju basahan yang saya bawa."

"Tak mengapa, nanti kami akan beri awak untuk ke pejabat."

"Pejabat?" Tanyaku perlahan. Tiada jawapan daripada Mejar Huza. Dia terus memandu dan aku menyaksikan pemandangan yang agak asing di kiri dan kanan jalan menuju kawasan berkubah kaca. Kelihatan sayup-sayup beberapa loji nuklear berdiri megah di bahagian selatan kota kaca ini. New Belzeya adalah kota pertama yang menggunakan hampir 100% tenaga nuklear. Daripada lampu jalan, kilang-kilang, pejabat-pejabat dan rumah-rumah kediaman semuanya menggunakan tenaga daripada sumber nuklear. Apa yang aku pelajari di sekolah, hanya 30% daripada negara ini yang tidak dikuasakan oleh nuklear.

Sebaik sahaja melewati pintu besar memasuki kawasan di bawah kubah kaca, Mejar Huza menurunkan cermin tingkap untuk memberi peluang kepadaku menikmati suasana.

"Bersihnya udara sini!" Aku menghulurkan kepala ke luar dan menghela nafas puas-puas.

"Cuaca di sini berbeza sikit," kata Mejar Huza. "Suhunya beberapa darjah Celcius lebih rendah daripada di luar."

"Ya! Betul! Anginnya rasa sejuk betul." Aku memejamkan mata dan membiarkan pipiku disapa angin yang dibelah kenderaan. Major Huza tidak memandu laju. Dia menunjukkan beberapa bangunan penting di kiri dan kanan jalan. Aku sekadar mengangguk dan tidak begitu menumpukan perhatian. Udara dingin dan segar membuatkan aku rasa seperti mahu melompat keluar dari kereta dan pergi berbaring di atas sebuah padang hijau yang tidak begitu jauh dari jalan.

Mejar Huza memandu terus ke dalam salah sebuah bangunan dengan dinding kaca hijau. Sebuah lambang tentera yang kerap kulihat di televisyen terpampang megah menyambut ketibaan kami.

"Ini pejabat pakcik ke?" Aku bertanya sambil meninjau-ninjau sekitar. Bangunan itu besar, mirip sebuah kompleks penempatan pelajar.

"Ini pusat latihan tentera. Saya salah seorang tenaga pengajar di sini. Mejar Huza mempersilakan aku mengikutnya.

Kami masuk ke sebuah bilik berdinding putih dengan perabot berwarna hijau. Sebuah layar lebar tergantung di salah satu dinding. Sebuah meja panjang di kelilingi kerusi-kerusi berpenyandar tinggi berada di tengah-tengah bilik itu. Major Huza duduk di kerusi paling hujung dan mengajak aku duduk di sebelahnya. Imej pegun mula kelihatan di layar lebar. Kelihatan seperti iklan atau kempen untuk menarik minat orang ramai untuk menyertai pasukan tentera. Aku tersenyum ke arah Major Huza.

"Iklan ni comel. Saya suka tengok bila keluar kat TV." Bahagian yang aku paling suka ialah latihan menembak dan perang olok-olok di mana beberapa orang tentera menyelamatkan diri daripada serangan musuh, kemudian melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri.

"Mereka yang kat dalam iklan ni semua bekas pelatih sini. Sekarang mereka semua dah bertugas di kawasan masing-masing."

"Ada yang betul-betul pernah terlibat dengan perang? Saya rasa negara ni dah cukup aman. Tak pernah dengar ada berita tentang peperangan di TV." Mataku masih melekat pada layar lebar. Sungguhpun iklan itu sudah beratus-ratus kali aku tonton, efeknya masih terasa kuat pada diriku.

"Awak ingat media akan keluarkan semua cerita ke? Ada sesetengah hal terpaksa diselindung, demi keselamatan negara." Mejar Huza tersenyum, mungkin mahu mentertawakan kenaifan aku.

"Manalah saya tau." Mungkin Mejar Huza tak tahu aku hanyalah seorang pelajar sekolah yang baru saja meninggalkan alam persekolahan dengan kerelaan sendiri.

"Berbalik kepada tawaran saya," Mejar Huza mengingatkan perbincangan kami selepas makan tengah hari tadi. "Awak boleh dapat tempat tinggal, elaun, makan percuma, pakaian percuma, kenderaan sendiri, perlindungan insurans termasuk perubatan, gaji ...."

"Kejap... Kejap.." Aku mengangkat tangan seolah-olah mahu menahan patah-patah perkataan yang berhamburan daripada mulut Mejar Huza. "Dapat kenderaan juga?" Aku tidak berapa ingat apa yang disebutnya selepas makan tengah hari tadi, tapi tawaran memiliki kenderaan sendiri itu sangat menarik. Aku patut bersetuju sekarang juga!

Mejar Huza angkat bahu. "Semuanya boleh dapat, Salika. Rumah, kenderaan, duit. Apa lagi yang kamu perlukan?"

"Saya cuma perlu bersetuju untuk sertai program pakcik tu, kan? Kemudian, saya akan dapat semuanya, betul? Tak tipu, kan?" Aku mahukan kepastian. Aku tak tahu apa-apa tentang kontrak, jadi aku cuma mahu dia berjanji denganku.

Mejar Huza menanggalkan lencana tentera dari seragamnya dan meletakkan dalam genggamanku. "Lencana saya ni tinggi nilainya dan besar ertinya dalam hidup saya. Kalau saya bohong, saya akan malu dengan lencana saya sendiri sebab saya tak layak nak sematkannya di dada saya lagi."

Dengan kata-katanya yang begitu meyakinkan, aku bersetuju dengan tawarannya. Aku terus dibawanya melapor diri di tingkat tiga. Bilik luas yang diisi dengan hanya dua buah meja dan dua buah kerusi itu pekat dengan bau seperti antiseptik. Dua wanita yang bertugas di meja-meja itu mengangkat muka mereka sebaik saja kami masuk. Kemudian, kedua-duanya bangun lalu memberikan tabik hormat kepada Mejar Huza.

Proses pendaftaranku berjalan lancar. Selepas lima belas minit, aku sudah mendapat kunci bilik, pakaian seragam dan kad pengenalan pelatih. Aku dibawa ke bilik asrama yang terletak di Blok C. Major Huza tidak ikut serta. Aku diiringi oleh seorang pelatih senior yang bernama Wizra.

Selesai mengemas almari dan menukar pakaian, Wizra membawa aku ke tempat pendaftaran semula di mana Major Huza sedang menunggu dengan dua lagi perempuan yang kelihatan seperti pernah kulihat wajah mereka.

"Salika, kenalkan, ini Heira dan yang itu, Luita. Kamu semua akan berada dalam pasukan yang sama semasa latihan nanti." Major Huza mengisyaratkan agar aku menyalami mereka. Pada saat itu baru aku ingat di mana kami pernah bertemu.

"Malam ni tak perlu tidur atas kotak lagi ya, Salika," kata Luita yang berambut oren.

Rakannya, Heira yang bertocang dua pagi tadi, kini mengikat rambut ikalnya membentuk ekor kuda. Dia menahan ketawa bila Luita menyebut tentang kotak.

"Oh! Kamu berdua sengaja buli saya pagi tadi, ya?" Aku bercekak pinggang, pura-pura marah tetapi Luita hanya ketawa manakala Major Huza dan Heira tersenyum-senyum.

"Jangan marah Salika," kata Major Huza. "Saya yang suruh mereka ganggu awak pagi tadi. Sekadar nak tengok reaksi awak dalam situasi macam tu."

Hari itu hidupku terus berubah. Sebaik sahaja mendaftar sebagai pelatih di Akademi Latihan Tentera New Belzeya, aku memulakan satu lembaran hidup yang baru. Pada hari itu aku betul-betul percaya wujudnya takdir.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience