Bab 36
Dua lelaki Kaukasia bertubuh tinggi dan sasa menghalang laluannya. Dengan sopan Kezus meminta izin untuk lalu tetapi salah seorang lelaki itu mengangkat tangannya, isyarat agar Kezus jangan berani hendak ke mana-mana.
"Saya minta maaf, tapi kamu berdua ni siapa? Saya nak lalu tak boleh ke?" Kezus bertanya dengan lemah lembut, sedikit pun tidak meninggikan suara walaupun perbuatan lelaki itu menaikkan darahnya. Dalam keadaan tergesa-gesa dan terdesak untuk menyelamatkan emak dan keluarganya, Kezus tidak dapat meneka bahawa dua lelaki yang berdiri di hadapannya mempunyai niat tidak baik.
"Kamu diam dan ikut saja kami," kata lelaki Kaukasia yang bermisai, memberikan arahan tegas.
"Awak nak bawak saya pergi mana? Saya lelaki merdeka, awak tak boleh paksa-paksa saya macam ni."
"Aku kata diam, diam! Jangan berdegil kalau kau nak keluarga kau hidup lama," lelaki Kaukasia memberikan amaran. Kezus tersentak mendengar kenyataan itu. Ini kali pertama dia mendapat ugutan berkaitan keluarganya. Pasti dua lelaki ini bersubahat sama.
"Di mana emak aku? Keluarga aku? Apa yang kau dah buat dengan mereka?" Kezus berundur beberapa tapak, cuba untuk menghampiri sekumpulan manusia yang berkumpul di kawasan bangku panjang.
"Kamu perlu ikut kami kalau mahu tahu," ujar lelaki Kaukasia bermisai lebat. "Berhenti! Jangan mengundur lagi. Kalau kau hampiri kelompok manusia di belakang itu, mereka semua akan kami bunuh," tambahnya dengan wajah tanpa ekspresi.
Kezus berdiri tegak. Dia tahu dia tidak mampu melarikan diri daripada dua orang lelaki tinggi di hadapannya. Kelibat senjata api terlihat di sebalik jaket hitam yang dipakai mereka. Lelaki Kaukasia yang bermata biru menunjuk ke arah jam tangan di lengan kirinya.
"Tanggalkan dan buang!" dia memberikan arahan.
"Kenapa? Ini jam saya, hadiah daripada adik saya." Protes daripada Kezus tidak diendahkan lelaki tinggi itu. Dia terus menarik tangan kiri Kezus dah menanggalkan jam Kadura. Hanya tinggal kesan pucat di sekeliling pergelangan tangan. Jam Kadura dicampak ke dalam tong sampah bulat berwarna coklat yang terletak di tepi tiang.
"Jalan!" arah lelaki bermata biru, dan bila Kezus masih tercegat di situ memerhati ke arah tong sampah coklat dengan penuh rasa terkilan, dia menyergah, "cepat jalan kalau kau mahu ibu kau selamat!"
Tiada pilihan. Kezus menurut sahaja arahan mereka. Dari tingkat dua, mereka menaiki eskalator untuk naik ke tingkat tiga dan seterusnya ke lantai mezanin, lantai yang paling sunyi. Tiada orang awam yang naik ke situ. Kelihatan deretan pejabat dan pekerja-pekerja yang memakai pas terminal pelbagai warna sedang mundar-mandir, dihambat kesibukan kerja masing-masing.
Lelaki Kaukasia bermata biru mengeluarkan tiga pas pekerja lalu diberikan kepada rakannya dan juga Kezus. Dia sendiri menyangkutkan pas yang sudah dilekatkan dengan lanyard ke lehernya.
"Cepat pakai pas itu!" Dia menyergah Kezus yang hanya membatu dan meneliti pas yang dihulurkan kepadanya.
Pas itu tidak sama seperti beberapa pas pekerja yang pernah dilihatnya di sekitar kawasan terminal. Pas yang diberikan oleh lelaki bermata biru itu membolehkan mereka masuk ke kawasan terminal sehingga ke landasan. Peluh dingin mula merenik di dahi Kezus sambil dia terus cuba mengawal kemarahannya. Pas terus disangkut di leher dan dia berjalan beriring dengan dua lagi lelaki yang telah mengugutnya.
Mereka menghala ke sebuah pintu kecemasan yang ditolak sekuat tenaga oleh lelaki Kaukasia bermisai. Mereka menuruni tangga beberapa tingkat dengan pantas. Bila Kezus terlambat sedikit, salah seorang lelaki kaukasia akan mendorongnya ke hadapan. Nyaris dia tersungkur beberapa kali. Sesampai ke tingkat paling bawah, lelaki bermata biru membuka dua lapis pintu dan mereka berada di tengah-tengah kesibukan para pekerja dari bahagian penyelenggaraan dan operasi. Beberapa pesawat untuk penerbangan domestik sedang dibersihkan dan ada beberapa treler bagasi melintasi mereka.
"Jalan terus ke hadapan," lelaki bermata biru memberikan arahan lagi. Kezus meninjau-ninjau apa yang ada di hadapan mereka. Hanya para pekerja Airport Services dan beberapa pekerja dari syarikat penerbangan.
"Belok kanan!" Kezus dikejutkan oleh suara lelaki bermata biru ketika dia asyik memerhati keliling. Dia terus akur. Mereka berada di hadapan sebuah pintu yang tidak berlabel. Kezus cuma tahu kedudukan pintu itu sangat hampir dengan salah satu pintu untuk penerbangan domestik. Mungkin pintu B2 atau B3.
Lelaki bermata biru berdiri betul-betul di hadapan pintu dan mengetuk dua kali. Pintu merenggang dan kedengaran satu suara. "Siapa?"
"Aku Mark, bersama-sama Timothy dan Kezus," lelaki bermata biru memperkenalkan diri. Sedikit demi sedikit pintu dibuka. Suasana di dalam kelihatan gelap. Seorang lelaki kurus berwajah pucat dengan rambut tidak terurus muncul dari sebalik pintu. Kezus seperti dapat mengecam lelaki berwajah pucat itu tapi tak pasti di mana mereka pernah bertemu. Lelaki kaukasia bernama Timothy menolak tubuh Kezus dengan kasar ke dalam bilik. Lelaki kurus dan pucat yang membuka pintu tadi terdorong sama ke tepi dinding.
Mark meraba-raba di belakang pintu mencari suis lampu. Bila suis dipetik, lelaki yang membuka pintu tadi mengaduh kecil. "Ah! Silau! Sakit kepala aku! Kau jangan bukak lampu tu, lah. Aku tak tahan, oi!" Mark dan Timothy tidak mempedulikannya. Mereka terus mula bekerja. Beberapa lagi suis besar diputar ke penanda bertulis 'ON'. Beberapa terminal komputer terpasang di dalam bilik berukuran lebih kurang sepuluh kaki persegi. Bunyi 'bip' yang terhasil bersahut-sahutan membuatkan Kezus bergerak menghampiri deretan terminal.
Butir-butir tulisan dan logo yang muncul mengingatkannya kepada sesuatu. Walaupun samar, tetapi makin lama, ingatan itu jadi semakin jelas - sedikit demi sedikit.
"Selamat Datang ke Sistem Keselamatan N.A.I.A. Masukkan kata laluan anda:"
Mata Kezus tidak berkelip. Jari jemarinya pantas memasukkan 10 aksara - gabungan huruf-huruf dan beberapa nombor. Dia pernah menggunakan system ini dan dia ada akaun sendiri. Mungkinkah dia sebenarnya bekerja dengan syarikat N.A.I.A?
Share this novel