Bab 43
Borain membelek-belek buku rujukan peperiksaan di kedai buku di pusat beli belah sementara menanti abangnya Arkun membayar di kaunter. Seperti yang dijanjikan semalam, petang ini mereka akan menghabiskan masa berdua. Kedai buku penuh sesak dengan pengunjung dari pelbagai lapisan umur. Ada beberapa judul novel remaja yang dibelek Borain sebentar tadi. Hatinya berkira-kira untuk menghadiahkan kepada Dassa, Eranie Khoo dan Manisha tapi wang sakunya tak mencukupi. Dia perlu berikan suatu tanda mata untuk rakan-rakan yang telah banyak menyokongnya sepanjang tiga bulan ini. Mereka yang sering menaikkan semangatnya sejak ayah menghilang.
"Nak beli ke buku tu?" Arkun menyergahnya dari belakang. Borain berpaling dan tersengih-sengih. Jauh benar dia mengelamun. Tak sedar abangnya sudah selesai membayar.
"Tengok-tengok saja dulu. Cikgu belum beritahu lagi buku mana yang sesuai untuk latih tubi." Borain memulangkan semula buku yang dibeleknya tadi ke rak. "Jom makan? Saya dah lapar lah." Borain menggosok-gosok perut. Arkun ketawa.
"Jom! Jom! Abang memang tak pernah dengar awak ni kenyang."
Mereka berdua menapak ke arah restoran sushi yang agak lengang. Borain terus mengambil tempat di bangku untuk enam orang. Matanya ralit memerhatikan piring-piring Sushi berwarna-warni yang bergerak di atas tali sawat, bagaikan mengikut satu rentak irama.
"Emak dah cerita tentang ayah?" Arkun bertanya ketika Borain masih sibuk mengunyah udang goreng berkeju bersalut tepung yang dibalut bersama nasi Jepun. Borain hanya mengangguk. "Jadi, awak faham sekarang mengapa emak tak bersungguh-sungguh mencari ayah?" Borain mengangguk lagi.
"Siapa yang mengugut ayah?" soal Borain setelah meneguk sedikit teh hijau yang panas. Soalan yang sama diajukan kepada emak pagi tadi.
"Abang tak tahu. Ayah berangkat ke Los Volvimos dengan seorang lelaki Asetia bernama Brad. Kata ayah, Brad adalah salah seorang bekas penyelidik di universitinya. Dia juga pernah bekerja dengan Brad masa dia jadi penyelidik kontrak di Los Volvimos lama dulu. Masa tu ayah masih bujang lagi."
"Ada tak ayah tinggalkan alamat Brad pada emak atau nenek?" Borain yakin ayah tidak akan pergi begitu sahaja. Sekurang-kurangnya dia akan berikan semua maklumat penting seperti alamat, nama hotel atau nombor telefon kepada nenek.
"Maklumat yang ayah tinggalkan semuanya tak betul. Mak dan nenek ada pergi buat laporan polis."
"Jadi, polis buat apa?" Borain menghentikan suapan. Ini pertama kali dia mendengar cerita sebenarnya. Selama ini emak menyembunyikan terlalu banyak perkara daripada pengetahuannya.
"Polis tak dapat kesan ayah ataupun Brad di Hi-Mueliya." Arkun termenung panjang manakala Borain hanya membisu beberapa ketika.
"Bila mak terima ugutan?" Borain membuatkan Arkun tersentak.
"Ugutan? Bukan. Mak tak terima ugutan," ujar Arkun dengan perlahan dan berhati-hati. Dia mengerling keliling. "Ayah ada telefon emak tiga minggu selepas dia berangkat ke Los Volvimos. Katanya, dia terpaksa lakukan satu tugas berbahaya dan minta emak atau nenek jangan cari dia."
"Apa pekerjaan yang ayah perlu lakukan?" tanya Borain tetapi Arkun hanya angkat bahu.
"Tak tahu, tapi ayah minta nenek dan emak pindah rumah. Jauh dari rumah asal." Arkun merenung wajah adiknya dalam-dalam. Terasa sedikit kesal kerana selama ini mereka membohongi Borain, mengatakan mereka terpaksa berpindah kerana masalah kewangan.
"Sampai bila?" Borain menyoal. "Ayah ada beritahu bila tugasan dia tu akan selesai?"
Arkun hanya mampu menggeleng. "Emak cuma kata nyawa ayah dalam bahaya."
Borain terus terdiam dan airmata tiba-tiba mengalir tanpa disedari.
MPV yang dipandu Douv memasuki kawasan sebuah banglo usang, bertembok tinggi di tengah-tengah kawasan kejiranan Hikmirzap yang sibuk. Bahagian tepi rumah itu dipenuhi jerumun manakala pationya sudah dipenuhi rumput liar. Kelihatan seperti sebuah rumah yang sudah lama diabaikan. MPV diparkir di dalam garaj besar yang juga memuatkan sebuah kereta Jaguar. Douv membawa Kezus ke bahagian belakang rumah dan menunjukkan sebuah stor kayu yang besar dan kelihatan seperti baru dibina untuk memuatkan bahan-bahan peledak yang bakal digunakan.
Mereka memasuki banglo itu melalui pintu belakang yang terletak di tepi stor. Dari ruang dapur, mereka berjalan terus naik ke tingkat atas di mana semua peralatan komputer dan komunikasi sudah tersusun kemas. Douv menghidupkan suis utama dan lampu-lampu peralatan mula kelihatan bernyala.
Telefon bimbit Manod berdecit perlahan. Dia membaca pesanan yang baru masuk.
"Mereka dah ada di luar. Aku pergi buka pintu pagar sekejap," kata Manod lalu berlari turun.
Kezus menjenguk dari jendela di bilik tidur utama tetapi tidak kelihatan sebarang kenderaan di luar pagar. Manod membuka pintu pagar ke arah dalam dan kemudian kedengaran bunyi enjin mengaum. Kezus terlongo sebentar.
"Trak mereka dalam invinsible mode, kau takkan nampak," kata Douv bila terlihat Kezus kehairanan. "Kita akan gunakan trak itu untuk mengangkut peledak ke Belzeya hari esok. Jadi, kita akan bergerak secara halimunan untuk mengelakkan dari dikesan oleh pihak berkuasa di sini dan juga oleh pasukan Mejar Huza yang makin hampir dengan kita," tambah Douv lagi.
Manod menutup pintu pagar dan menyidaikan kanvas berwarna hijau di atas pagar bagi melitupi pandangan mata orang awam yang lalu lalang di hadapan rumah itu. Beberapa minit kemudian, Manod, Mark, Timothy dan Esky muncul di tingkat atas banglo. Tanpa mengucap salam atau berjabat tangan, masing-masing terus duduk di hadapan beberapa skrin dan mendaftar masuk ke dalam system N.A.I.A. Esky terus menentukur sebuah peranti kecil yang diambilnya dari dalam kabinet besi.
"Kezus, lokasi untuk pemasangan bahan peledak kita dah kenalpasti. Kau cuma perlu masuk ke dalam bangunan, cari lokasi itu, kemudian pasang, lepas tu kau aktifkan peledak. Kita akan mulakan letupan secara kawalan jauh. Gunakan alat ini untuk mencari lokasi itu. Nanti aku akan bagi kau blueprint untuk setiap bangunan supaya kau tahu macam mana nak melarikan diri kalau apa-apa yang tidak diingini berlaku." Douv menghulurkan peranti kecil yang sudah selesai ditentukur oleh Esky.
"Apa yang kau bagi kat aku ni? Kompas ke?" Kezus cuba menekan-nekan dua butang kecil -- satu berwarna kuning, satu lagi hijau.
"Bila kau dah lebih kurang 30m daripada lokasi untuk pasangkan peledak, lampu jingga akan menyala dan bila kau betul-betul dah sampai di lokasi, lampu ni akan bertukar jadi merah," Esky menerangkan dengan bersungguh-sungguh sambil menunjukkan lampu-lampu kecil pada peranti.
"Dua butang ni untuk apa?" Kezus menyuakan peranti ke muka Esky.
"Tekan butang kuning kalau kau nak tahu berapa jarak kau dari lokasi. Tekan butang hijau bila peranti ni berbunyi 'beep beep beep' masa kau dah sampai di lokasi." Kembang kuncup hidung Esky sambil memberi penerangan. Bangga sekali dengan alat teknologi ringkas yang direkaciptanya dalam dua hari sahaja itu.
"Okey, get ready semua. Kita akan bertolak untuk ke Celzera 2 jam dari sekarang. Ini bahagian pertama misi kita. Aku tak mahu ada sebarang kecacatan. Semua benda mesti perfect. Kalau tak, mungkin kita terpaksa call off nanti," Douv mengumumkan dan semua yang berada di dalam banglo bergerak ke arah sebuah meja bulat di tingkat atas untuk membincangkan misi mereka secara lebih terperinci.
Share this novel