Chapter 7

Romance Completed 14626

Bab 7

2079 - Catatan Salika – 3

Di tempat asalku, tanah sudah sangat berkurangan. Hampir setiap kaki persegi tanah di bandar kami sudah digunakan untuk mendirikan bangunan. Hampir setiap kaki persegi juga, sama ada didiami manusia atau dijadikan pusat komersial dan pejabat. Hampir setiap kaki persegi yang terjual kepada syarikat pemaju tak mungkin akan menjadi tanah lapang kembali, meskipun bangunan itu sudah diroboh atau dimusnahkan. Pada setiap sebuah bangunan yang diruntuhkan, tiga lagi bangunan akan dibina.

Akibatnya, hampir tiada lagi tanah untuk mengebumikan mayat. Sungguhpun masih digelar tanah perkuburan, kawasan ini dipenuhi loker-loker di mana abu mayat disimpan. Tiada pusara, tiada batu peringatan.

Bila ibu meninggal ayah terpaksa mengeluarkan begitu banyak wang untuk mengebumikannya cara orang Islam. Barang-barang kemas milik ibu terpaksa dijual demi mendapatkan satu lot di tanah perkuburan bertingkat. Tapi lot itu bukan sekadar untuk menyemadikan jasad ibu. Lot itu dikongsi dengan lebih 50 jasad lain.

Ayah sudah tak mampu berkata-kata pada saat kami meninggalkan tanah perkuburan. Ayah juga enggan melihat ke wajahku bila kami tiba di rumah. Saudara mara yang pada mulanya memenuhi rumah, satu persatu bergerak pulang dan meninggalkan kami. Aku pergi ke dapur dan dapati tiada apa yang boleh dimasak dalam peti ais yang hampir kosong.

Rasa bersalah mula bersarang kembali. Pasti ibu dan ayah terlalu sibuk mencari aku di serata tempat hingga mereka tidak makan di rumah. Mungkin juga ibu langsung tidak menjamah makanan kerana terlalu risaukan aku. Pada saat-saat begini, aku tahu tiada gunanya aku hendak menangis, menyesal mengenangkan itu semua. Rasa kesal ini tak akan pergi sampai bila-bila. Tapi, sebesar manapun penyesalanku ia tak akan dapat mengubah kenyataan sekarang. Ibu telah pergi. Telah mati. Dan kini tinggal aku yang perlu menjaga kebajikan ayah. Aku, anak yang tak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri. Aku, anak yang kononnya mahu pergi mencari diri sendiri dan akhirnya, kehilangan individu paling penting dalam hidup ini.

"Kau ambillah apa yang kau nak dalam rumah ni. Kemudian kau pergilah ke mana yang kau suka," kata-kata ayah selepas semua saudara mara pulang, mengejutkan aku.

"Ayah, saya tak bermaksud..." Aku tak mampu meneruskan kata-kataku. Apa yang aku ingin katakan sebenarnya? Aku tak bermaksud untuk buatkan ibu bunuh diri? Atau aku tak bermaksud untuk menyusahkan semua orang semata-mata kerana kebodohan dan kedegilanku?

"Kalau kau pandai berdikari untuk 5 hari, kau mesti boleh berdikari untuk 5 tahun, 50 tahun. Pergilah. Carilah apa yang kau nak cari."

Aku berdegil. Aku tak tinggalkan rumah dan tak tinggalkan ayah. Aku teruskan rutin kehidupan: kembali ke sekolah, masak untuk ayah, kemas rumah, basuh pakaian, uruskan kelengkapan ayah. Pendek kata semuanya aku buat tanpa sebarang rungutan. Semuanya aku uruskan tanpa meminta apa-apa daripada ayah.

Ayah lebih banyak bermurung dan berdiam diri. Tiap kali dia berkata-kata, semata-mata untuk mengingatkan aku bahawa dia lebih suka jika aku pergi. Katanya dia tak perlukan aku dalam rumah ini. Kehadiranku hanya mengingatkannya kepada tragedi kematian ibu. Dia lebih selesa kalau aku pergi jauh. Lebih jauh lebih bagus.

Satu hari, ayah tuliskan sekeping cek untukku. Cek itu ditinggalkan di tepi katil ketika aku sedang nyenyak tidur. Bila aku bangun, aku renung cek itu dan cepat-cepat cari ayah. Dia tiada di dalam rumah. Aku tahu apa maksud ayah. Dia relakan aku ambil kesemua wang simpanannya asalkan aku tinggalkan rumah ini. Seperti yang dia tulis dalam diari (ya, sekali lagi aku jadi orang tak jujur yang membaca diari orang lain), dia mahu tinggal di rumah ini hanya dengan memori. Hanya dengan ingatan yang ditinggalkan oleh ibu - seolah-olah aku benar-benar sudah tiada tempat di sini.

Sungguhpun aku berdegil enggan keluar dari rumah ini, aku sudah boleh merasakan sesungguhnya ayah sudah mula buang aku dari hatinya.

Ada waktunya aku berharap agar apa yang ayah coretkan dalam diarinya bukanlah suara hatinya yang sebenar. Aku dapat rasakan masih ada setitis rasa sayang ayah kepada diriku. Walau sebesar mana kesalahan yang pernah aku lakukan, pasti ayah masih ingat bahawa aku ini anaknya, zuriatnya. Tak mungkin pertalian itu boleh diputuskan begitu sahaja.

Dengan cek kosong di tangan, aku berlari keluar rumah dan cari ayah di halaman dan taman kecil di belakang. Sampai di taman, aku terus terduduk di bangku kayu yang dulunya tempat kegemaran ibu. Di situlah dia membuat lakaran-lakaran bunga, tumbuhan, alam sekeliling, pemandangan dan ada masanya ibu melukis potret. Aku duduk di bangku kayu itu sambil merenung sedih ke arah sayur-sayuran yang sudah layu tidak bersiram. Sejak kematian ibu, sekalipun aku tak pernah jengah taman ini. Bunga-bunga, herba, sayur-sayuran dan pokok hiasan ditanam oleh ibu dalam pasu-pasu besar yang diaturnya sejajar dengan pagar putih yang ayah bina beberapa tahun dulu.

Di sebalik pagar putih itu aku lihat sesusuk tubuh kurus yang sedang duduk bersila dalam keadaan tertunduk. Aku hampiri perlahan-lahan.

"Ayah?" Aku panggil dengan harapan rasa bencinya terhadapku sudah berkurangan.

Dia tertunduk hingga dagunya menyentuh dada. Tangannya yang kurus dengan urat-urat timbul yang begitu ketara diletakkan di riba. Ayah seperti menggenggam sesuatu dalam kedua-dua belah tangan. Perlahan-lahan, bahunya aku sentuh.

"Ayah. Ayah. Ayah tidur ke?" Aku goyang-goyangkan bahunya. Serentak itu tubuhnya terus rebah ke sisi dan dari genggaman tangannya aku lihat dua bilah pisau cukur gugur ke rumput dan saat itu juga aku hampir terjerit melihatkan kesan luka panjang di kedua-dua pergelangan tangan ayah.

Seluar coklat tua yang membalut kaki ayah sudah berwarna kegelapan. Darah yang diserapnya sudah kering. Aku tak tahu sejak bila ayah berada di situ dan cuba menamatkan riwayatnya sendiri. Tanpa berfikir panjang, aku periksa nadi ayah. Di leher - tiada. Di lengan - tiada. Dada ayah langsung tidak berombak. Aku periksa nafasnya - tiada.

Aku tahu perkara yang sepatutnya aku lakukan ialah menghubungi ambulans tetapi aku terlalu lemah untuk bergerak. Tangan, kaki dan seluruh tubuhku seolah-olah sedang mencair lalu mengalir di tanah dan larut di celah-celah rumput-rumput hijau yang ditanam oleh ayah dengan kedua belah tangannya - yang sudah dikelar dan mungkin seluruh darah dalam tubuh ayah sudah keluar melalui luka-luka itu. Yang tinggal hanyalah jasad ayah yang sudah tiada bernyawa. Tubuhnya masih hangat saat aku periksa nadinya tadi. Mungkin aku hanya terlewat beberapa saat. Mungkin ayah ternanti-nanti suaraku sebelum nyawanya bercerai dari badan.

Mungkin ibu yang beritahu ayah agar nanti dulu, jangan datang kepadanya terlalu awal. Dia mesti dengar suaraku memanggil-manggilnya baru kisahnya boleh ditamatkan.

Di saat-saat begini, apa yang aku mampu lakukan hanyalah merenung tubuh ayah yang sudah rebah ke tanah sambil mengenangkan berapa banyak lagi penyesalan yang aku perlu tanggung dalam hidupku nanti?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience