Bab 2
1993 -Catatan Kezus – 2
Pendirian aku - kita tak perlu ramai kawan untuk berjaya dan bahagia dalam hidup. Cukuplah sekadar beberapa orang yang betul-betul memahami dan menyokong hala tuju dan cita-cita yang kita sudah rancangkan. Apa guna ada beratus-ratus kawan kalau semuanya membawa rebah dan kehancuran? Atas dasar itu, aku hanya rapat dengan dua orang murid semasa di sekolah rendah. Seorang ialah anak tukang kasut dan seorang lagi anak seorang peniaga nasi lemak. Kami sama-sama datang dari keluarga susah. Sama-sama tak pernah kenal erti kemewahan. Bila ada rakan-rakan di sekolah yang datang dengan beg atau kasut berjenama, kami pekakkan telinga dan rendahkan pandangan. Itu yang terbaik untuk menjaga hati sendiri.
Kawan aku, anak si tukang kasut adalah antara murid yang agak lemah dalam setiap matapelajaran kecuali Matematik. Guru-guru kerap menjadikan dia contoh untuk menggalakkan pelajar-pelajar lain menguasai matapelajaran itu.
Dia juga suka berkongsi dengan guru-guru kaedah pengiraan yang dia gunakan. Kaedahnya jauh lebih mudah daripada apa yang guru-guru ajarkan kepada kami. Sampai satu masa, rakan-rakan pelajar yang lain mendesak guru-guru mengiktiraf kaedah yang diperkenalkan oleh kawan aku. Sayangnya semua guru tidak bersetuju kerana kelak, ia tidak akan diterima oleh pemeriksa dari kementerian. Jawapan dengan jalan kerja sedemikian bakal mendapat markah 0.
Walaupun pihak kementerian mungkin takkan mengiktiraf kaedah baru sebegitu, guru-guru tetap menggunakan kawan aku untuk dijaja kepada para pelajar lain dan ada kalanya dibawa ke sekolah-sekolah lain - seolah-olah mahu memberitahu semua orang 'Kami ada pelajar genius di sekolah kami.' Pelajar genius itu telah mendemonstrasikan bagaimana soalan-soalan matematik boleh diselesaikan dengan cara yang sangat mudah. Menambah, menolak, membahagi dan mendarab nombor-nombor besar hingga melebihi enam digit langsung tidak menimbulkan masalah. Para penonton pastinya terlopong sebelum memberikan tepukan gemuruh setiap kali kawan aku itu menunjukkan kaedah yang diciptanya. Dia jadi idola murid-murid di peringkat rendah dan menengah.
Pada mulanya aku berasa bangga melihat kawan aku dilayan baik dan dihormati; dia juga mendapat beberapa pasang pakaian seragam sekolah yang baru, terutamanya jika dia dibawa melawat ke sekolah lain. Pada suatu hari, kawan aku yang seorang lagi - anak si penjual nasi lemak mula menyuarakan kebimbangannya.
"Kezus, kawan kita dah jadi bahan pameran, bahan eksperimen - digunakan untuk menunjuk-nunjuk," katanya.
"Entahlah," aku belum tersedar hakikat itu. "Cikgu kata dia boleh berikan motivasi kepada pelajar-pelajar yang lemah matematik."
"Cikgu-cikgu tu semua dah mengambil kesempatan atas dia, Kezus, percayalah. Ada kau lihat mereka bersungguh-sungguh ajar kawan kita subjek-subjek lain yang dia lemah? Tak ada, kan? Jadi kau nampak tak niat mereka tu semata-mata nak naikkan nama sekolah dan mungkin juga nak buat duit."
Aku terdiam lama. Memang benar, setiap ceramah yang rakan aku - si genius matematik hadiri, para peserta diwajibkan membayar sejumlah wang, untuk dapatkan nota, video dan rakaman audio, kononnya. Tapi, apa yang kawan aku tu dapat? Beberapa pasang pakaian seragam sekolah sahaja. Kasutpun hanya yang berjenama paling murah.
Aku dan anak penjual nasi lemak berbincang untuk menyuarakan pendapat kami kepada anak tukang kasut. Sudah jadi tanggungjawab kami sebagai kawan rapat untuk menegur apa yang dirasakan tak betul dan menasihati jika jalan yang dipilihnya bakal menghancurkan masa depannya sendiri. Sekurang-kurangnya itulah yang kami rasakan - seolah-olah kami akan dipertanggungjawabkan jika hidup anak tukang kasut musnah.
"Apa yang aku buat ni ikhlas dari hati," ujar anak tukang kasut bila aku suarakan kebimbangan kami tentang dirinya. "Bakat yang aku ada mungkin hanya dalam bidang Matematik. Jadi aku nak kongsikan kebolehan dan segala kaedah yang aku dah temui. Tak salah, kan? Aku cuma nak tolong pelajar-pelajar lain. Aku nak mereka tahu, Matematik ni tak susah sebenarnya."
"Jadi, kau tak kisah diri kau dipergunakan oleh cikgu-cikgu? Mereka bawa kau ke sana-sini sampai kau tak sempat ulangkaji subjek lain. Kau tak takut gagal dalam subjek-subjek selain Matematik?" Tanya kawan aku, anak penjual nasi lemak.
"Aku percaya pada tuhan. Sama macam kau berdua," dia menunjuk ke arah kami. "Kalau lagi ramai pelajar yang aku dapat bantu, aku harap lebih banyak pertolongan yang tuhan akan beri pada aku."
Kata-katanya membuat kami berdua terdiam. Tak ada kata-kata lain yang boleh membangkang pendapatnya itu. Aku sedar, kalau kita berusaha sekuat mana sekalipun, kalau tuhan tak berkati, kita tak akan dapat kejayaan. Kalau dia bahagia dengan apa yang dilakukan oleh guru-guru terhadapnya, aku tak ada hak untuk menghalang.
Kawan aku yang genius itu terus mendapat perhatian ramai orang. Dia pernah muncul di kaca TV, muncul di halaman majalah-majalah ilmiah dan akhbar-akhbar. Lama kelamaan ramai orang berada dapat tahu tentang kesukaran hidupnya dan mereka menghulurkan bantuan kewangan yang sebegitu banyak hinggakan bapanya, si tukang kasut dapat membuka sebuah perniagaan - sebuah kedai kasut di pekan. Melihatkan keadaan hidup keluarga mereka sudah jauh lebih baik, ayah mula berbincang dengan aku.
"Tengok, orang yang betul-betul gunakan bakat mereka untuk tujuan kebaikan, hidup mereka jadi lebih baik."
Aku sekadar angguk beberapa kali kerana aku sudah tahu maksud tersembunyi dalam kata-kata ayah itu.
"Zaman sekolah ni bukan masa untuk main-main dan bergembira, Kezus. Cuba fikirkan, apa yang kamu ada yang sudah boleh digilap. Tak perlu tunggu sampai kau umur 21 untuk mula tunjukkan kebolehan. Sekarang pun dah boleh," kata ayah lagi.
Aku tak pernah jawab soalan ayah itu sebab aku tahu aku tak ada apa-apa kecuali cita-cita. Tapi aku tetap simpan azam, suatu hari nama aku akan tercatat dalam sejarah negara kerana aku akan jadi saintis yang berjaya.
Share this novel