Chapter 13

Romance Completed 14626

Bab 13

2079 - Catatan Salika – 6

Akibat kepenatan aku tertidur ketika asyik membaca Setia Ke Hujung Nyawa. Dingin malam yang menggigit tidak aku hiraukan. Lantai wakaf yang keras dan berlumut terasa begitu selesa hingga aku termimpi-mimpi kisah Beda dan Jeha.

Dalam mimpi itu aku berada di kampung halaman mereka, berlari di batas-batas sawah, bermain layang-layang pada petang yang berangin, memancing dengan kawan-kawan di paya dan berlumba memanjat pokok kelapa. Aku tidak pernah merasai semua itu. Usahkan menikmati suasana kampung, melihat sebuah kampung tradisional pun aku tak pernah.

Beda dan Jeha muncul dalam mimpi aku sebagai seorang lelaki dewasa yang sudah berumahtangga dan seorang gadis remaja. Itulah usia mereka bila kisah cinta tragis itu bermula. Aku melihat Beda menganyam tikar mengkuang di sebuah bangsal yang dibina tidak jauh di depan rumah yang dihuni Jeha. Rumah itu sempit - lebih mirip kepada sebuah pondok tempat musafir bermalam. Di situ tinggal Jeha bersama kedua-dua ibu bapanya yang sudah uzur. Jeha adalah anak bongsu dalam keluarga itu. Kakak dan abangnya yang lain sudah berkeluarga dan tinggal di rumah lain.

Rumah Beda terletak di seberang sawah di belakang rumah yang dihuni Jeha. Dia membina bangsal di situ untuk memudahkan kerja-kerjanya memproses mengkuang untuk dianyam menjadi tikar. Di tepi bangsalnya itu terdapat sebuah paya besar yang ditumbuhi berpuluh-puluh rumpun mengkuang sejak beberapa puluh tahun.

Anak isteri Beda jarang menemaninya di bangsal. Pagi-pagi lagi dia akan datang untuk memulakan kerja. Berbekalkan nasi dan lauk yang dimasak isterinya, dia akan bekerja di situ hingga lewat petang. Sekali-sekala Jeha akan datang membawakannya air teh suam atau air kosong. Mereka akan berbual-bual kosong. Kadang-kadang Beda akan mengajar Jeha cara-cara menganyam tikar.

Setelah beberapa lama belajar, akhirnya Jeha berjaya menganyam sebuah sumpit - bekas untuk mengisi barang kemas atau barang-barang kecil seperti kunci, gunting dan cermin mata. Beda terlalu gembira melihat kepandaian Jeha dan kekemasan kerjanya sehinggakan dia memeluk Jeha dan menciumnya bertalu-talu.

Sejak hari itu bermulalah perhubungan terlarang mereka. Kedua-duanya tahu perkara itu tidak wajar, tetapi masing-masing tak mampu menahan diri. Suasana yang sentiasa sunyi dan tanpa ada sesiapa yang menyedari hal itu, membuatkan mereka tidak rasa bersalah.

"Bangun! Bangun! Kami nak sapu!" Satu suara mengejutkan aku. Mimpi aku terbantut setakat itu. Dengan penuh keberatan, aku membuka mata. Dua orang pekerja berseragam hijau tua dan bertopi warna sama sedang berdiri di tepi wakaf. Penyapu lidi dan pengaut sampah di tangan mereka.

Aku cepat-cepat mengemas barang-barang dan bangun meninggalkan wakaf itu. Sudah pukul 10 pagi. Aku berjalan tanpa arah tujuan lagi, kali ini aku membelok ke simpang yang membawa aku ke bahagian belakang deretan bangunan pejabat. Kelihatan satu kawasan longgokan sampah yang terdapat beberapa kotak besar yang sudah dileperkan. Aku melangkah laju, lalu mencapai beberapa keping kertas tebal itu dan membawanya ke tempat teduh lalu aku bentangkan.

Dua buah beg aku susun di hujung kotak lalu aku berbaring untuk menyambung tidur, memandangkan kelopak mataku masih begitu berat. Aku juga berharap dapat menyambung mimpi tentang Beda dan Jeha. Mereka begitu hidup dalam mimpiku tadi. Seolah-olah aku pernah bersua dengan mereka.

Belum beberapa saat aku memejamkan mata, terasakan bagai ada bayang-bayang tambahan yang menahan cahaya matahari daripada memancar ke arahku.

"Hey! Ini kawasan kami. Kamu buat apa di sini?" Satu suara kasar membuatkan aku bingkas duduk dan merenung mereka penuh kehairanan.

"Kenapa?" Soalku. Aku pernah melihat mereka berdua. Ya. Merekalah remaja yang duduk di meja tidak jauh dariku di restoran semalam. Remaja yang tidak segan silu merayau-rayau dengan pakaian sekolah di waktu persekolahan sedang berlangsung.

"Aku dah cakap tadi, ini kawasan kami. Kamu tak boleh tidur di sini. Angkat beg-beg dan kotak-kotak tu dan pergi dari sini!" Remaja dengan rambut ditocang dua dan sebatang rokok tersepit di bibir meninggikan suaranya padaku. Skirt pendeknya beralun-alun ditiup angin. Kemeja putih di tubuh mereka tampak sedikit comot di bahagian kolar dan lengan. Mungkin mereka mengenakan seragam sekolah semalam, fikirku.

"Dalam kiraan tiga, baik kau pergi cepat. Kalau tidak, aku bakar barang-barang kau," ugut rakannya yang berambut pendek, diwarnakan oren dengan sedikit jalur putih.

"Kenapa aku yang kena pergi? Kamu siapa?" Soalku, membuatkan kedua-dua remaja saling berpandangan.

"Kau samseng, ye?" Gadis bertocang dua menuding telunjuk ke mukaku.

"Tak, aku orang biasa. Tapi lorong ni bukan bapak kau punya," jawabku penuh berani.

Gadis berambut oren dengan pantas meragut salah sebuah begku yang berisi seluar dan pakaian dalam. Tubuhku terdorong ke depan kerana tali beg itu membelit pinggangku. Aku berusaha merebut kembali beg yang ditariknya dengan tenaga yang luar biasa kuatnya. "Lepaskan!" Jeritku.

"Pergi mampuslah kau!" Tengking remaja bertocang dua lalu melepaskan sepakan mengena tepat ke betis kananku.

"Berhenti! Berhenti!" Terdengar satu suara yang kukenal dari belakang kedua-dua musuhku. Aku menelek di celah betis-betis gadis remaja itu. Kelihatan wanita tua yang memberikanku buku semalam sedang jalan bertongkat ke arah kami.

"Ada saja orang tua ni. Semua benda dia nak campur," rungut remaja berambut oren. Rakannya melemparkan begku yang ingin dirampasnya tadi.

"Malas betul aku bila ada orang tua ni. Menyusahkan kita betullah," kata si rambut oren. Mereka berdua mula berlalu meninggalkanku tetapi ditegah oleh wanita tua yang sudah sampai di depanku.

"Jangan nak cepat-cepat lari! Cakap pada aku dulu kenapa kamu buli budak ni. Cakap sekarang. Kalau tidak aku pergi jumpa pengetua sekolah kamu," kata wanita itu dengan tegas. Suaranya tak begitu semalam. Hari ini suaranya kasar dan garau. Mungkin dia benar-benar marah dengan kedua-dua remaja yang menggangguku tadi.

"Nenek, dia ambil tempat kami. Mestilah kami marah," kata si rambut oren dengan wajah mencemik. Kawannya menjeling tajam ke arahku.

"Jangan membohonglah. Ini bukan tempat kamu pun. Kamu sengaja nak cari gaduh dengan dia kan? Mentang-mentanglah dia baru di sini." Wanita tua itu mengangkat tongkatnya dan mengacu-acukan ke arah kedua-dua remaja tadi. Mereka berlalu dengan muka bengang dan menoleh beberapa kali ke arah kami setelah jarak mereka agak jauh.

"Terima kasih, nenek," ucapku kepada wanita tua yang tidak kuketahui dari mana datangnya. Semalam aku terserempak dengannya, hari ini pun kami ditakdirkan bertemu lagi.

"Budak berdua tu memang rosak perangainya. Ingat kawasan ni dia punya. Datuk Bandar pun tak pernah halang orang nak tidur dekat kaki lima ni. Dia aje yang memandai-mandai nak halau-halau orang. Kau jangan pedulikan kalau dia orang tu datang kacau kau lagi." Wanita tua itu berpusing dan mula melangkah untuk meninggalkanku.

"Er... nenek, tunggu dulu nenek. Saya ada benda nak tanya." Aku cepat-cepat keluarkan buku Setia ke Hujung Nyawa yang aku baca penuh khusyuk malam tadi. "Saya dah baca sikit buku ni."

Langkah wanita tua itu terhenti dan perlahan-lahan dia menghampiriku. Aku mengajaknya duduk di atas kepingan kotak yang mengalas tubuhku. Dia tersenyum sedikit bila melihat aku sudah lebih setengah pembacaan.

"Ada bahagian yang kamu tak faham ke?" Tanyanya. Aku menggeleng. "Kamu tak suka, ya?" Air mukanya berubah.

"Bukan. Bukan nenek. Saya dah baca lebih seratus muka surat dah. Cuma ada sikit persoalan yang saya tak faham tentang cerita ni." Aku menyelak ke muka surat yang sudah kutanda dengan sehelai kertas nipis - resit dari restoran semalam. "Ni. Bahagian ni. Saya kurang faham sikit." Aku menunjukkan kepada wanita tua itu.

Dia membaca sekilas sebelum termenung panjang dan dahinya berkerut sedikit. "Bahagian ni memang tak diterangkan dengan jelas, saya rasa."

Aku terkejut bila wanita tua itu tiba-tiba membahasakan dirinya 'saya'. Sejak semalam, dia asyik ber'aku-engkau' denganku.

"Nenek faham apa yang cuba dijelaskan di bahagian ni?" Tanyaku. Wanita tua itu mengangguk beberapa kali.

"Kadang-kadang, ada cerita yang memerlukan kita jadi sedikit dewasa sebelum kita mampu memahami apa yang cuba disampaikan sebenarnya," terang wanita tua itu. "Bahagian yang kamu tak faham tu ialah bila Jeha menyedari dia juga sayangkan Beda macam kekasihnya sendiri. Bila ibu bapanya dapat tahu, mereka tak boleh terima. Jadi jiwa Jeha memberontak dan dia hampir cederakan dirinya sendiri."

"Tapi, nenek. Kenapa ibu bapanya siksa dia? Sampai sanggup kurung dalam bilik, ikat kaki dia dekat tiang seri dan beri dia makan sekali sehari aje? Itu kan zalim namanya?" Aku masih tak mampu membayangkan apa yang telah dilalui oleh watak Jeha dalam cerita itu. Aku tak pernah temui ibu bapa yang sedemikian zalim. Mungkin ibu bapa Aumi juga zalim - sanggup memukulnya bila dia memalukan keluarga - tapi ibu bapa Jeha lebih kejam. Mereka sanggup biarkan anak sendiri kelaparan.

"Saya rasa kamu ni baca lompat-lompat agaknya?" Wanita tua itu tiba-tiba ketawa terkekeh-kekeh. Aku menggaru-garu kepala. Ya, memang betul. Ada beberapa bahagian yang aku rasakan agak meleret, aku langkau aje.

"Skip sikit-sikit aje, nek." Aku tersenyum malu.

"Ha. Kalau kamu tak lompat-lompat, mesti kamu terbaca di bab-bab awal tentang keluarga Beda dan Jeha. Mereka berdua tu adik beradik: Beda abang yang sulung dan Jeha adik yang bongsu. Jarak usia mereka hampir tiga dekad. Tapi, oleh kerana mereka tidak rapat sejak Jeha kecil, mereka bagaikan orang asing."

"Ooo!" Aku terlopong bila menyedari bahawa aku telah terlepas satu fakta yang paling penting dalam cerita itu. "Nenek, buku ni tentang sumbang mahram ke?" Soalku tanpa segan silu.

"Dulu, buku ni memang kontroversi. Tapi, percayalah, buku ni menceritakan lebih banyak isu tentang cinta, kehidupan dan pengorbanan. Bacalah lagi. Baca sampai habis. Nanti banyak benda yang kamu belajar." Wanita tua itu menggenggam erat tanganku. Jari jemarinya dingin dan lembut.

"Apa nama nenek yang sebenarnya?" Sesungguhnya sejak semalam, aku langsung tak terfikir untuk bertanya namanya.

"Nama sebenar saya Lara," kata wanita tua itu.

"Saya Salika." Aku menghulur tangan kanan dan kami berjabat lama. Ada air jernih bertakung di kelopak mata Nenek Lara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience