Bab 19
2080 - Catatan Salika – 9
Sesungguhnya aku terkejut dengan minat yang lahir dalam diriku tentang bidang ketenteraan. Tak pernah sekalipun terdetik dalam hati aku akan menerjunkan diri dalam pertahanan negara. Kali pertama diberi peluang mengendalikan senjata api, aku adalah orang yang paling bahagia dalam dunia ini. Kata Luita, mata aku bersinar-sinar ketika bersedia untuk membidik.
Antara kelas yang paling aku minati ialah kelas taktikal. Menurut jurulatih, aku punya naluri yang kuat dalam mengesan tindakan musuh. Walaupun sekadar menggunakan simulator dalam kebanyakan kelas, jurulatih dapat mengagak prestasi sebenar setiap daripada kami.
Sedikit demi sedikit, atas dasar kesibukan di akademi dan minat yang baru cambah, aku mula lupa tentang kehidupan yang aku tinggalkan. Semuanya aku rasakan bagai satu mimpi yang satu masa dahulu sangat jelas sehingga meragut perasaan bahagia, tapi kini yang tinggal hanya ingatan yang samar.
Aku tak pernah bertanya kepada Mejar Huza apa yang mendorongnya memilihku untuk dilatih di akademi ini. Tetapi, pada satu petang, selepas perlawanan bola tampar antara pasukan, dia memanggil aku ke kafeteria di bangunan pentadbiran. Katanya dia telah dihubungi oleh salah seorang sepupuku berkenaan urusan keluarga.
"Saya tak mahu ada apa-apa hubungan dengan mereka lagi," kataku tegas. Mejar Huza tidak menunjukkan reaksi terkejut. Saudara mara tak sama dengan ibu bapa. Kalau aku mahu lupakan kehidupan lalu, termasuk ibu bapaku, itu bermakna aku tidak mahu iktiraf seorang pun saudara mara ku lagi.
"Katanya urusan harta pusaka. Terpulang kepada awak. Kalau awak mahu bahagian awak, saya akan hubungi dia. Buat masa ni saya sudah terangkan pada dia, awak sedang jalani latihan di akademi dan tidak dibenarkan keluar sesuka hati."
"Saya tak mahu dan tak berminat untuk ambil tahu," kataku, kata-kata penamat. Bukankah aku sudah buat keputusan untuk lupakan terus kehidupanku yang itu? Aku anggap diriku sekarang sebatang kara. Biarlah aku jadi milik negara.
Mejar Huza tak pernah sebut lagi tentang saudara maraku sejak hari itu. Aku makin selesa dengan seragam pelatih yang kukenakan saban hari. Tak perlu lagi mengingati pelajaran dan peperiksaan di sekolah. Tak perlu fikir tentang polis moral yang menjengkelkan di luar sana. Aku bakal jadi tentera, apa polis moral masih mahu memantau aku nanti?
Pada minggu ke tiga, Mejar Huza mengumumkan bahawa kami akan memulakan kelas psikologi. Luita dan Heira saling berpandangan. Aku rasa ada sesuatu yang mereka rahsiakan daripada aku.
"Kenapa?" Soalku. Luita tersenyum lebar.
"Kita dapat perempuan gila tu," jawabnya, membuatkan aku bingung.
"Siapa yang gila?" Aku cuit bahu Heira.
"Oh, kau tak kenal, ye?" Heira dan Luita menyertai akademi ini seminggu lebih awal daripadaku. Mereka mungkin kenal lebih ramai tenaga pengajar berbanding aku.
Tepat jam 9 pagi, 'perempuan gila' yang dimaksudkan Luita melangkah masuk ke dewan kuliah. Kesemua 50 orang pelatih bangun dan memberi ucap salam sejahtera. Wanita beruban penuh dengan tongkat besi itu berbaju sepasang biru: skirt labuh dan blaus longgar. Kaca mata tanpa rim ditolak ke atas sekali sekala sambil dia mengimbas seluruh dewan kuliah.
"Ramai juga muka-muka yang pernah saya tengok, sekurang-kurangnya dalam gambar." Bibirnya yang berkedut membentuk senyum. Saat itu baru aku kenal siapa 'perempuan gila' itu. Nenek Lara!
"Dia cikgu kita?" Aku bertanya pada Luita yang duduk di sebelah.
"Ha! Baru kau ingat," bisik Luita.
"Nama saya Dr. Lara Helza. Kamu semua akan belajar subjek psikologi dengan saya selama lebih kurang enam bulan. Saya dah tua, jadi saya tak boleh nak cakap kuat-kuat tapi saya suka cakap berulang-ulang. Kalau kamu tak suka saya cakap benda yang sama sampai berpuluh-puluh kali, tolong dengar arahan dengan jelas dan ikut apa yang saya kata."
"Garangnya," aku merungut sendirian.
Dr. Lara berpaling ke arahku. "Kamu cakap apa, Salika?" Tajam betul pendengarannya.
"Tak ada apa-apa Dr. Lara," jawabku, sedikit menggigil.
"Kamu dah habis baca buku yang saya beri dulu?" Tanya Dr. Lara sambil dia menyemak beberapa helaian nota di mejanya. Aku tersentak. Pembacaan buku Setia Ke Hujung Nyawa itu sudah terbengkalai sejak latihanku bermula.
"Er... belum Dr.," jawabku perlahan.
"Itu assignment kamu yang pertama, ya? Sila habiskan cepat."
Aku menelan liur mendengar kata-kata Dr. Lara. Adakah ini bermaksud, aku telah dikenalpasti untuk menyertai akademi ini pada saat aku melangkah masuk ke kota kaca? Jadi, pertemuanku dengan Dr. Lara, Major Huza, Luita dan Heira semuanya sudah dirancang?
"Baiklah Dr. Lara." Aku memandang tepat ke wajahnya. Dia menggeleng perlahan. Mungkin berasa kesal memilih untuk memberiku assignment pertama itu.
Luita mendekatiku lalu berbisik, "Kau jangan main-main dengan dia. Aku dengar umur dia dah dekat 110 tahun." Aku merenung Luita seperti tak percaya. "Betul, aku tak tipu," bisik Luita lagi. "Kau boleh tengok kad pengenalan dia."
Kerana terlalu ingin tahu, aku pergi menemui Dr. Lara di pejabat pada minggu berikutnya. Dia agak terkejut menerima kehadiranku.
"Ha, Salika. Dah habis baca buku tu?"
Aku tergaru-garu kepala. "Baru mukasurat 110, Dr."
"Janganlah lambat sangat, saya nak awak cepat-cepat habiskan dan fahamkan isi kandungan novel tu," suaranya seperti orang kecewa dan wajahnya kelihatan sedikit resah.
"Saya akan cuba habiskan hujung minggu ni Dr. Lara. Lagipun, hari Ahad ni kami tak ada aktiviti." Sebenarnya ada lebih kurang 100 mukasurat lagi untuk aku tamat membaca kisah cinta tragis itu. Aku berjanji pada diri aku akan cuba habiskannya secepat mungkin.
"Baguslah. Minggu depan, hari Rabu petang saya nak bincangkan kisah tu dengan kamu."
Aku duduk di depan Dr. Lara dengan kepala yang berserabut dengan pelbagai persoalan. "Dr. Lara, saya tak faham kenapa buku tu yang jadi assignment saya. Cerita tu ada kaitan dengan diri saya ke?"
Dr. Lara tidak terus memberikan jawapannya. Dia bersandar dengan tenang sebelum mengeluarkan sebuah fail nipis dari laci meja. Satu persatu kandungan fail itu dibawa keluar dan disusun di hadapanku. Aku terpaku melihat gambar-gambar bersaiz A4 yang sudah agak pudar warnanya.
"Apa ni, Dr. Lara?" Tanyaku dengan mata tak berkelip menyaksikan gambar pemandangan yang pernah kulihat dalam filem-filem lama.
"Inilah gambar-gambar dari kampung yang menjadi latar dalam cerita yang awak sedang baca tu. Saya ambil gambar ni dah lama. Sudah berpuluh-puluh tahun gambar-gambar ni saya simpan dalam fail dan bawa ke mana-mana. Gambar-gambar ni begitu besar maknanya dalam hidup saya."
"Jadi, kisah yang saya baca tu kisah benar?" Aku tak pernah terfikir cerita cinta sebegitu tragis betul-betul wujud.
"Menurut orang yang menceritakannya kepada saya, kisah itu betul-betul terjadi. Saya cuma menyampaikan apa yang pernah saya dengar." Dr. Lara membelek salah satu gambar yang disusunnya. "Ini," katanya, menunjukkan kepadaku wajah seorang wanita tua yang terbaring di atas sebuah tilam nipis bersebelahan sebuah tingkap. "Dialah Jeha yang kamu baca dalam cerita tu."
"Dr. yang tulis cerita tu? Betul, kan? Tapi Dr. gunakan nama pena." Tanpa sedar aku memegang tangan Dr. Lara yang masih memegang gambar Jeha. Tangannya lembut, sungguhpun sudah berkedut serta urat yang timbul-timbul.
"Ya, saya yang tulis." Dr. Lara tersenyum penuh nostalgia. "Dah lama saya tulis cerita tu. Masa saya muda-muda dulu. Sayapun tak percaya saya pernah mengarang cerita sepanjang itu. Kisah tu banyak yang diceritakan oleh moyang saudara saya," - dia mengangkat semula gambar Jeha - "sebab itu penceritaannya lebih kepada kisah Jeha."
"Beda itupun moyang saudara Dr.?" Aku tiba-tiba rasa tak sabar untuk kembali ke bilik dan menghabiskan pembacaan novel itu. Dr. Lara mengangguk perlahan.
"Tak banyak yang saya dapat daripada Beda sebab dia terlalu berahsia. Dia cuma ceritakan kepada saya tentang uncang pasir tu dan mewasiatkan kepada saya..."
"Ops!" Aku mengangkat tangan. "Tunggu Dr., saya belum sampai ke bahagian tu. Saya belum baca tentang wasiat Beda. No spoiler, please."
Dr. Lara ketawa mendengarkan kata-kataku.
Share this novel