Chapter 25

Romance Completed 14626

Bab 25

2078/2080 - Catatan Salika – 12

Aku berlari mengikut arah kompas sambil menyemak kordinat yang diberikan oleh pegawai-pegawai di makmal. Setelah lebih 40 minit berlari di tepi jalanraya, aku membelok ke kawasan yang agak semak dan kemudian sampai ke jalan kecil yang membawaku ke satu simpang yang pernah aku lalui. Ia jalan ke Gunung Mawral. Aku semak sekali lagi kordinat - memang benar. Portal yang dimaksudkan terletak di gunung ini. Aku terus mendaki kira-kira 100M dan sampai ke kawasan yang agak datar. Kemudian aku berjalan merentasi belukar tebal selama 20 minit dan kelihatan sebuah pondok kayu yang usang. Kompasku menunjukkan arah yang betul. Penunjuk di tanganku berdecit, menandakan aku sudah sampai di lokasi. Inilah portal yang dimaksudkan. Ini juga ialah pondok penyesalan yang pernah kukunjungi bersama-sama Aumi dulu.

Setelah kembali ke makmal bawah tanah di markas tentera, aku dikuarantin selama tiga hari di sebuah bilik khas yang dilengkapi katil, bilik air dan pantri. Aku habiskan masa dengan menulis laporan yang bakal kuserahkan kepada Dr. Lara Helza. Operasi pertamaku berjaya. Aku telah pulangkan beg Aumi di rumahnya dan aku langsung tidak baca apa yang ada dalam diari digitalnya. Sebelum menyerahkan laporan pada hari terakhir di bilik kuarantin, aku dipanggil untuk bertemu Mejar Huza. Wajahnya sugul ketika menyambutku di pintu pejabat.

"Selamat pagi, tuan!" Aku tabik hormat seperti biasa dan Mejar Huza membalas.

"Awak dah dengar berita buruk?" Soalnya dengan suara agak serak. Darahku menyirap sebentar. Berita buruk apa? Tentang apa?

"Belum, tuan," jawabku perlahan.

"Saya tak tahu macam mana nak sampaikan pada awak. Saya tahu awak pasti masih teruja selepas misi pertama merentas masa." Tiada senyuman di wajahnya. Seharusnya dia mempamerkan rasa bangga dengan kejayaanku itu. Entah mengapa, jantungku terus berdetak kencang. Berita buruk apa yang hendak disampaikannya?

"Betul, tuan! Saya tak sangka portal tu terletak di Gunung Mawral. Saya pernah bermeditasi di situ dulu," kataku, cuba untuk mengorak senyum tetapi ekspresi di wajah Mejar Huza membantutkannya.

"Dengan rasa sedih, saya perlu beritahu awak Dr. Lara baru saja meninggal malam tadi. Dia meninggal dalam tidur. I'm very sorry, Salika." Mejar Huza menundukkan wajah. Aku terus terkaku di hadapannya. Sesungguhnya aku tak pernah menyiapkan diriku untuk mendengar berita ini.

"Dia sakit ke, tuan?" Tanyaku perlahan. Mejar Huza menggeleng lemah.

"Dia sudah terlalu tua, Salika. Memang masanya sudah tiba."

Aku cuma mampu menyandarkan tubuh pada kerusi biru di depan meja Mejar Huza. Seluruh tubuhku terasa dingin dan lemah. Airmata mula mengalir tanpa kusedari. Kali ini aku tahu ini bukan perasaan menyesal, ini rasa terkilan. Di saat aku baru bersemangat untuk menempuh alam pekerjaan mencabar yang aku idam-idamkan, wanita yang kuharap dapat menjadi sahabat dan mentor, telah pergi untuk selama-lamanya.

"Petang semalam, sebelum balik dia ada serahkan sesuatu pada saya. Katanya, ini untuk awak." Mejar Huza mengeluarkan sebuah bekas plastik bertutup. Aku sambut pemberian Mejar Huza dan buka penutupnya. Di dalam itu ialah senaskhah buku Setia ke Hujung Nyawa yang aku baru kembalikan kepadanya, sebuah uncang berwarna keemasan yang kelihatan agak aneh dan sekeping gambar yang pernah kulihat dalam album Dr. Lara - gambar dia dan lelaki yang dipanggilnya Kezus.

"Dr. Lara ada pesan apa-apa lagi, tuan?" Aku kian diselubungi rasa sedih hinggakan suaraku jadi sebak.

Mejar Huza terdiam sejenak sebelum menjawab, "Ya. Ada. Katanya, berikan barang-barang ini kepada Salika. Dia tahu apa nak buat."

Aku pulang ke rumah dengan hati yang masih sebak. Aku faham maksud pesanan yang dikhabarkan oleh Mejar Huza tadi. Tanpa membuka uncang tadipun, aku sudah tahu ada segenggam pasir di dalamnya. Di dalam buku Setia ke Hujung Nyawa itu ada mesej penting buatku. Dr. Lara mahu aku berikan pasir itu kepada Kezus. Aku yakin ada sesuatu yang istimewa antara mereka. Tapi aku tak tahu sama ada Kezus masih hidup dan di mana dia tinggal.

Semalaman aku tak dapat melelapkan mata. Kisah yang kubaca dalam novel hasil tulisan Dr. Lara kembali berputar-putar dalam ingatan. Aku tak dapat lari daripada mempersoalkan, adakah Kezus cinta sejatinya yang tak kesampaian? Adakah kerana Kezus, Dr. Lara ambil keputusan untuk tidak berkeluarga hingga akhir hayatnya?

Aku bangun dari katil dan duduk di depan komputer. Biodata lengkap Dr. Lara yang tersimpan dalam pangkalan data tentera aku akses. Beberapa gambarnya terpapar di skrin. Ada gambar ketika dia masih muda dan ada juga ketika dia sudah lanjut usia. Gambar terbaru yang ada di situ dimuatnaik setahun yang lalu.

Dalam biodatanya menyatakan Dr. Lara Helza dahulu merupakan seorang pensyarah di sebuah universiti dan kemudian telah diserap ke dalam angkatan tentera lebih 70 tahun yang lalu di bawah satu operasi rahsia yang dinamakan Akademi S. Dia dan lima lagi pegawai-pegawai atasan telah membangunkan akademi ini bagi melatih tentera-tentera dari kalangan remaja-remaja bermasalah. Hasil usaha mereka selama lebih 40 tahun melahirkan ramai tentera dengan pelbagai kemahiran dan menyelamatkan ribuan remaja bermasalah.

Aku membelek gambar Dr. Lara dan Kezus yang diletakkannya di dalam bekas plastik. Bila aku amat-amati pakaian di tubuh mereka dan kenderaan yang kelihatan dalam gambar itu, aku dapat mengagak gambar itu sudah diambil lebih kurang 70 tahun dulu. Hatiku sayu kembali bila mengenangkan, mungkin itulah kali terakhir mereka bertemu. Dan kini, setelah lebih 70 tahun, Dr. Lara telah pergi dan takkan kembali. Entah apa pula nasib Kezus.

Pagi esoknya aku terjaga lewat dan menimbang-nimbang sama ada untuk hadir ke majlis pengkebumian Dr. Lara atau tidak. Kepalaku masih terlalu pening untuk memandu ke kawasan perkuburan tentera yang terletak lebih 50KM dari rumah. Aku ambil keputusan untuk berendam dalam tab mandi untuk menenangkan fikiran. Selepas lebih sejam, aku lap badan dan kenakan sepasang sut hitam yang aku tempah untuk saat-saat kecemasan. Bekas plastik yang berisi gambar, uncang pasir dan novel Dr. Lara aku kelek sebelum keluar dari bilik.

Setelah berjalan kaki selama lebih setengah jam, perutku mula berbunyi dan aku ambil keputusan untuk makan tengah hari di sebuah restoran yang sudah lama aku tidak kunjungi. Di restoran inilah kali pertama aku terserempak dengan Mejar Huza, Luita dan Heira. Aku ambil meja yang hampir dengan skrin TV. Suasana lengang kerana masih belum waktu puncak. Aku keluarkan uncang pasir berwarna keemasan dan memicit-micitnya sedikit. beberapa butir pasir gugur ke meja. Cepat-cepat aku ketatkan tali pengikat uncang.

TV sedang menyiarkan rancangan berita. Aku tahu majlis pengkebumian Dr. Lara pasti akan tersiar. Dia antara tokoh negara yang paling banyak berjasa dengan angkatan tentera. Aku menunggu dengan penuh debar.

"Cik, tumpang tanya." Aku mendongak sedikit, merenung seorang lelaki yang sudah sedikit beruban rambutnya. Aku tak mengenalinya jadi aku sekadar mengangguk, mungkin ada sesuatu yang benar-benar penting. "Hari ni berapa haribulan, ya? Saya ni pelupa betul." Dia ketawa janggal.

Aku tidak menjawab. Di saat-saat genting sebegini, mengapa harus ada orang asing yang mengganggu ketenteramanku? Aku hanya mengangkat lengan kanan dan menunjukkan jam digitalku kepadanya. Dia merenung sebentar.

"Oh!" Dia mengeluh panjang. Mungkin dia terlupa ulangtahun perkahwinan, fikirku. Dia kelihatan teragak-agak seketika sebelum berkata, "Terima kasih, cik." dan terus kembali ke mejanya. Aku mengalih pandangan ke skrin TV semula.

Bila papan tanda tanah perkuburan tentera mula ditunjukkan, aku terus jadi sebak. Di situ, di salah sebuah plot bertindan itu akan bersemadi Dr. Lara Helza, wanita yang kuidamkan untuk menjadi mentor. Bila jenazah diusung menuju liang lahad, airmataku mula gugur. Sungguhpun visual dari jarak jauh, tapi aku tahu yang diusung itu adalah seorang yang aku sanjung tinggi. Bila gambar Dr. Lara dipaparkan beserta biodata ringkasnya, airmataku tak dapat ditahan-tahan lagi. Aku capai tisu dari beg tangan dan cepat-cepat menyeka airmata yang gugur. Uncang berwarna keemasan yang kugenggam sejak tadi, kurenung sejenak.

Lelaki yang datang menegurku tadi berkata sesuatu tetapi aku tak pasti apa yang disebutnya. Bila aku menoleh, pandangan kami bertentang dan dia kelihatan terlopong - terkejut. Dengan tak semena-mena, tubuhnya menggelungsur di kerusi sebelum terjelepuk di lantai restoran.

"Tolong! Tolong!" Jeritku lalu berlari ke belakang mencari pekerja restoran.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience