Chapter 45

Romance Completed 14626

Bab 45

Mark dan Timothy mengisi bahan peledak ke dalam sebuah beg komputer riba sebelum diserahkan kepada Kezus, yang sudah lengkap berpakaian pejabat -- kemeja biru muda, seluar hijau pekat dan tali leher bercorak batik. Ada tiga set peledak yang perlu dipasang.

"Mengapa kita perlu serang Pungutan Hasil?" Kezus bertanya lagi kepada Douv, walaupun tadi sudah diterangkan tentang perubahan rancangan. Dia masih tercari-cari apakah dengan memusnahkan bangunan itu mereka terus akan digeruni dan segala tuntutan mereka akan dipenuhi.

"Letupan hari ini hanya sebagai amaran awal, Kezus. Kau perlu faham, kita kena bagi satu isyarat kepada kerajaan Hi-mueliya bahawa kita sudah pun berada di sini dan kita sangat berbahaya. Aku nak mereka faham keupayaan kita dan kita bukan sekadar cakap-cakap kosong." Douv bertenggek di tangga kayu yang menyambungkan stor tempat mereka menyimpan sejumlah besar peledak dengan bahagian atas banglo. "Kau cuma akan letupkan sebahagian daripada pusat data mereka. Selepas itu kita akan hantar pesanan kepada Panglima Polis Hi-mueliya."

"Untuk apa?" Kezus terkernyeh, sinis.

Douv ketawa pendek. "Mereka perlu tahu itu satu amaran. Dan yang paling penting, aku mahu dia halang Perdana Menteri daripada meneruskan rancangannya."

"Tapi, aku rasa kalau kita ambik masa untuk berkomunikasi dengan mereka, itu akan beri peluang mereka merangka strategi untuk memerangi kita. Kau tak rasa macam tu?" Kezus ragu.

"Tapi, mereka takkan dapat agak agensi kerajaan yang mana yang kita akan musnahkan seterusnya. Dan mereka takkan ada masa untuk memindahkan pekerja-pekerja, semua harta benda, fail-fail dan maklumat penting keluar dari semua bangunan tu."

"Tapi, kalau kita bagi amaran petang ni, mereka akan ada sepanjang malam ini untuk buat kerja-kerja tu, bukan?"

Douv ketawa lagi. "Aku dah fikirkan benda tu, Kezus. Mereka takkan sempat nak buat semua itu sebab aku akan maklumkan yang ledakan seterusnya ialah pada jam 10.30 malam."

Kezus hanya terdiam dan kemudian mengangguk-angguk perlahan. Nampaknya rancangan bertukar lagi. Sewaktu perbincangan tadi Douv memaklumkan bahawa ledakan di Belzeya hanya akan dimulakan pada pukul 7 pagi esok. Nampaknya, malam ini Belzeya bakal bermandikan asap hitam dan debu. Douv termenung panjang. Tiba-tiba terlintas di kepalanya, bagaimana dia boleh terjebak dengan misi ini? Dan bagaimana Douv juga boleh terjebak menjadi ejen N.A.I.A? Dia sudah direkrut sejak dia bekerja di syarikat biokimia dulu. Kezus sendiri tak tahu bahawa Douv sudah dibawa oleh ejen-ejen N.A.I.A ke masa depan untuk dilatih dan diracun pemikirannya. Entahlah, dia buntu memikirkan mengapa Douv ambil keputusan untuk sertai agensi itu. Mungkinkah sebab wang ringgit? Atau keseronokan melakukan benda-benda adventurous? Wujudkah manusia yang sanggup menderhaka kepada negara sendiri semata-mata kerana adrenaline rush? Hah! Semuanya tak masuk akal.

* * *

April 2083

"Memang benar tuan, portal pihak musuh sekarang bukan sekadar di Los Volvimos, tetapi terdapat satu di kawasan Salfari, tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hi-Mueliya." Kapten Adonis memaparkan imej yang baru diterima daripada Sarjan Eran. "Mereka telah menghantar sebuah trak yang dikesan berada di kawasan Datun, Selvaro."

Mejar Huza meneliti imej yang dipapar di skrin putih. "Ada kemungkinan mereka akan melakukan kemusnahan dengan menggunakan senjata-senjata canggih yang dihantar melalui portal mereka. Kita perlu bertindak sekarang! Selama ini kita sangkakan mereka cuma akan bertindak dengan teknologi yang ada pada tahun 2020. Tapi sekarang, apa yang ahli pasukan kita bawa, takkan mampu mengatasi teknologi yang mereka ada di sana."

"Saya boleh aturkan penghantaran senjata sekarang, tuan," Sarjan Maisa menawarkan diri dan sudah bersedia untuk membuat panggilan ke bahagian pemindahan dan penghantaran. “Pasukan kita boleh buat pick-up di portal dekat Gunung Mawral. Kapten Salika pernah pergi ke situ. Pasti tak ada masalah.”

"Teruskan. Hantar lima orang lagi pegawai kita ke sana. Pastikan mereka adalah pegawai yang kita sudah latih bersama-sama pasukan Kapten Salika." Suara Mejar Huza bergema di bilik perbincangan di pusat kawalan.

Sarjan Maisa dan Kapten Adonis segera bangun dan menuju ke bilik operasi, di mana 20 orang pegawai sedang menanti dengan penuh teruja. Lima daripada mereka akan dihantar merentasi masa, kembali ke tahun 2020 untuk membantu pasukan Kapten Salika menyekat misi pihak musuh yang ingin memusnahkan pusat pentadbiran Belzeya dan melumpuhkan kerajaan Hi-Mueliya.

29 Ogos 2020

Kezus termenung panjang sambil duduk bersandar di tempat duduk belakang MPV. Manod memandu dengan laju tanpa mempedulikan papan tanda had laju yang terpancang di tepi lebuh raya. Stereo kereta dipasang dan kedengaran lagu-lagu patriotik menjamah telinga mereka. Manod menukar-nukar saluran, semuanya memutarkan lagu-lagu patriotik, bersempena bulan merdeka dan sambutan Hari Kebangsaan yang hanya tinggal sehari lagi.

"Bergembiralah penduduk Hi-Mueliya! Kamu ada sehari saja lagi untuk berdondang sayang," ujar Manod sebelum tawanya meletus, sungguh menjengkelkan Kezus.

"Manid, bukankah kau pun berasal dari sini? Kampung kau di mana? Kau tak pernah terkenangkan kaum keluarga kau di situ ke?" Tempelak Kezus, tanpa sengaja. Tawa Manod terpancung, lantas dia mendengus.

"Ah, nama saja orang Hi-Mueliya. Tapi tak ada apa yang aku dapat. Keluarga dan adik beradik aku hidup merempat, kau tau," Manod mula membuka cerita lama.

"Jadi, kau dah tak anggap Hi-Mueliya ini tanah air kau? Dah langsung tak ada semangat patriotik dalam jiwa kau?" Soal Kezus sambil tersenyum sinis.

"Ah, entahlah …. aku pun tak tahu. Kau jangan nak psiko akulah, Kezus. Aku dah happy dengan kehidupan aku sekarang. Kau tak pernah rasa jadi orang yang miskin tegar, kau bolehlah bercakap tentang semangat patriotik. Cuba kalau keluarga kau cuma dapat makan sekali sehari aje, kau ada lagi tak semangat cintakan negara?" Manod mula mengelak perbualan, bimbang dirinya diperangkap. "Yang aku tahu, bila aku berhijrah ke Asetia, nasib aku berubah. Tak sia-sia aku kumpul duit siang malam untuk beli tiket ke Asetia. Kalau aku terus hidup di Hi-Mueliya, mungkin nasib aku sama seperti lelaki itu." Manod menuding ke arah seorang lelaki pertengahan umur yang sedang mengutip tin dan botol-botol kaca di pinggir lebuh raya.

"Sama sajalah, di Hi-Mueliya atau di Asetia," sampuk Douv yang mendiamkan diri sejak keluar dari Datun tadi. "Kalau tak usaha, tak kerja keras, kau takkan mampu ubah hidup kau." Kezus dan Manod terdiam seketika, menikmati pemandangan menghijau di sepanjang perjalanan ke Celzera; di dalam hati mengiyakan kata-kata Douv.

"Sebenarnya, aku cuma terfikir tadi, kita bertiga berasal dari Hi-Mueliya, dan sekarang kita cuba lakukan sesuatu dengan tujuan untuk menyekat suara pemimpin Hi-Mueliya. Kau tak rasa ada konflik di situ? Kita nak mengkhianati pemimpin kita sendiri, tanah air sendiri." Kezus menujukan soalannya kepada Manod yang hanya menyeringai.

Douv jadi risau tiba-tiba. Mengapa Kezus mengutarakan soalan sebegitu? Mungkinkah fikiran dan ingatannya sudah dipesongkan lagi? "Tak perlu penat-penat fikirlah Kezus. Kita ada misi. Kita bertanggungjawab untuk melaksanakan misi ni. Kaupun tahu apa akibatnya kalau kita tak teruskan misi ni, kan?" Douv cuba menyedarkan rakannya.

Kezus menoleh ke arah rakannya. "Aku tau, Douv. Aku tak adalah berfikir sampai memerah otak, cuma, tiba-tiba saja persoalan tu terlintas di kepala aku tadi."

"Jangan risaulah. Yang penting, kita ikut apa yang sudah dirancang. Yang selebihnya, biar Perdana Menteri Hi-Mueliya fikirkan sendiri," desis Douv lalu menepuk bahu Kezus yang kelihatan agak gusar.

Kezus membiarkan fikirannya menerawang seketika, mengingatkan rancangan mereka petang itu. Matanya mengerling pada beg yang telah diisi bahan peledak. "Sepanjang hidup aku, aku tak pernah bunuh orang; tak tahu macam mana rasanya kalau ada yang mati petang ini," suaranya memecah hening. Manod tiba-tiba ketawa besar.

"Ini cuma pentas dan kita cuma pelakon, Kezus. Kau dah terlupakah?" Manod menyambung tawa.

"Kezus memang tak pernah bunuh orang, tapi diri kau yang sebenarnya pernah lakukan perkara yang lebih dahsyat daripada itu," Douv mengingatkan bahawa fikiran dan ingatannya bukan miliknya sendiri. Dia dipersediakan hanya untuk melaksanakan misi ini.

"Ah, itu yang buatkan aku tak sabar-sabar nak selesaikan semua ni. Letih hidup berpura-pura. Jadi pelakon, jadi boneka. Tak kisahlah siapa aku yang sebenarnya, aku benci diri aku yang zalim tu," gumam Kezus lalu membuang pandangan ke luar. Papan tanda 'Selamat Datang ke Celzera' ditatap seketika.

"Hey, sudah-sudahlah. Hentikan sajalah semua falsafah kau, kita dah dekat nak sampai. Periksa semua peralatan! Make sure semuanya okey," Manod memberikan arahan. Kezus membuka tali keledar dan menyauk beg computer riba yang diletakkan di bahagian belakang MPV.

Semua peralatan telah tersedia dan berfungsi dengan baik. Bahan peledak diperiksa untuk kesekian kali. Bahan yang mampu membawa seribu kemusnahan terasa dingin di telapak tangannya.

Kezus melangkah masuk ke dalam bangunan Pungutan Hasil dengan memakai pas pekerja bernama Khuzairi Othman – dia memiliki akses penuh ke pusat data dan beberapa lantai pentadbiran.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience