Bab 24
2020 - Catatan Kezus – 13
Lara Elena memfailkan tuntutan cerai seminggu sebelum kehadiran Brad di universitiku. Ketika itu aku sudah tidak tinggal sebumbung dengan Lara dan anak-anak. Bila aku menyambut Brad di lapangan terbang, dia dapat mengagak aku baru sahaja melalui satu fasa yang begitu membebankan emosi.
"This, too, shall pass," dia mengingatkan aku. Ya, semua kesusahan, bila sampai masanya akan berakhir.
Aku tidak mahu menyusahkan Brad dengan kisah kehancuran rumahtanggaku. Sebaliknya aku membawanya ke sekitar kampus untuk memperkenalkannya kepada beberapa orang rakan-rakanku. Menurut Brad, dia ditawarkan untuk melakukan penyelidikan jangka pendek dengan salah seorang pensyarah di fakulti Biokimia.
"Satu hari nanti kau mesti kembali ke Los Volvimos," cadang Brad pada satu hari ketika kami makan tengah hari di kafeteria fakulti. "Ada banyak benda baru yang kau boleh cuba. Takkan sampai tua kau nak terperap dalam makmal, buat research?"
"Kau tengok aku ni macam jenis yang adventurous ke?" Aku ketawa sendiri. Selepas beberapa tahun Brad berkawan denganku, mungkin dia sudah mengenaliku lebih dari aku sendiri.
"Aku tak rasa kau adventurous, tapi aku tengok kau dah macam burned out kat sini. Mungkin kau patut ikut aku ke Los Volvimos, ada banyak lagi benda-benda menarik yang kau mesti tengok dan mesti cuba," beria-ia Brad cuba meyakinkan aku.
"Hmm... bagus juga idea kau ni, Brad. Nantilah, bila divorce case aku dah selesai, aku akan consider ambil cuti panjang dan ikut kau. Aku rasa aku bukanlah burned out sekarang, cuma aku rasa tak tau apa nak buat dengan hidup aku ni."
"Urgh..! Divorce can do that to a man. Eh, sorry. Aku tak pernah ada di tempat kau, jadi aku tak tahu macam mana perasaannya."
"No worries. Aku okey. Anyway, cadangan kau tadi aku akan fikirkan masak-masak. Los Volvimos ada gunung, kan? Aku teringin nak panjat gunung."
"Eh, hello! Kat sinipun ada banyak gunung, kau tak pernah panjat ke?" Brad menepuk bahuku.
"Pernah!" Aku baru teringat. "Aku pernah panjat bukit dekat belakang universiti ni. Itu benda paling adventurous aku pernah buat." Aku ketawa mengenangkan masa-masa yang aku habiskan dengan Professor Hans dulu.
"Oh! Bukit tu?" Ekspresi Brad berubah hairan. "Budak tiga tahun pun boleh panjatlah, Kezus. Kau jangan buat malu akulah."
"Banyak lagi benda yang aku boleh buat. Nantilah, bila dah pergi Los Volvimos nanti, kau tengoklah apa kemampuan aku." Dada kutepuk beberapa kali bagaikan pahlawan mencabar untuk bertarung.
"I'll remember those words," kata Brad sambil menuding ke arahku.
Akupun tak pernah lupa pada kata-kataku itu. Sebaik sahaja penceraianku tamat dan kontrak Brad dengan universiti berakhir, aku ambil keputusan untuk mengikutnya pulang ke Los Volvimos. Aku ambil cuti 2 bulan - cukup untuk mengembara ke beberapa tempat yang sudah aku bincangkan dengan Brad.
Di Los Volvimos, Brad mencadangkan aku mencuba salah satu eksperimen di makmal milik sepupunya. "Kalau kau betul-betul adventurous, kau mesti cuba ni." Brad dan sepupunya, Esky membawaku ke sebuah makmal elektronik besar dilengkapi pelbagai mesin, komputer dan peralatan ujian. "Sepupu aku ni pakar dalam bidang fizik. Kau mesti cuba ciptaan terbarunya." Brad menunjukkan sebuah keranda berwarna perak yang terletak di tengah-tengah makmal.
"Apa ni? Keranda elektronik?" Soalku penuh kehairanan.
Brad membuka keranda dan aku terkaget sebentar melihat bahagian dalamnya. Terdapat sebuah tilam getah - tempat untuk baring, beberapa saluran gas dan beberapa puluh punat dan lampu-lampu kecil. "Benda ni boleh bawa kau ke masa depan, Kezus." Brad dan Esky mengangguk serentak. Aku tak rasa mereka bergurau kerana ekspresi mereka begitu serius.
"Kau nak aku cuba ni?" Aku ketawa berdekah-dekah tetapi tawa aku mati bila Brad dan Esky tidak berganjak dan tidak mengatakan aku punya pilihan lain.
"Ini peluang kau untuk cabar diri sendiri dan keluar dari comfort zone, Kezus," kata Brad sambil menarik tanganku perlahan-lahan, membawaku hampir kepada keranda berwarna perak.
"Kau tak rasa aku perlu buat medical check-up dulu ke sebelum cuba benda macam ni?" Rasa takut mula menyelinap dalam diriku. Apa kesan peralatan sebegini kepada tubuhku nanti?
"Don't worry. Aku dah cuba banyak kali. Tak ada apa-apa yang bahaya pun." Brad mula membantu aku untuk baring di dalam keranda. Tali pinggang keselamatan dikenakan dan saluran oksigen disambung lalu dipakaikan padaku.
"So, kau nak hantar aku ke mana ni?" Soalku bila Esky mula menaip dengan laju di terminal kawalan yang dipasang di tepi keranda itu.
"Aku boleh hantar kau ke tahun 2080. Brad pernah ke sana tak lama dulu. Katanya ada banyak benda pelik pada tahun tu," jawab Esky sambil tersenyum ke arah sepupunya.
"Okey," kataku penuh debar. "Tahun 2080. Tapi di mana?"
"Belzeya, di tanah air kau. Mesti kau terkejut nanti." Brad tersenyum penuh makna. Entah-entah Brad dan sepupunya mahu mengenakan aku, fikirku pada saat Esky mula menekan beberapa punat di dalam keranda, di tepiku.
Aku hanya memejamkan mata bila keranda ditutup dan terdengar bunyi berdesing beberapa ketika sebelum aku merasakan tubuhku terbuai-buai beberapa lama. Topeng gas di mukaku terasa makin keras dan mencengkam. Aku mahu menjerit kesakitan tetapi cengkaman itu hilang tiba-tiba.
"Hah!" Aku menjerit di dalam keranda. Kegelapan menyelubungi. "Brad! Esky!" Aku melaungkan nama mereka tetapi tiada siapa yang menyahut. Aku pejamkan mata semula dan terdengar kembali bunyi berdesing.
Aku cuba buka mata semula. Kali ini tubuhku dalam posisi berbeza - aku sedang duduk dan kepalaku berada di atas lengan. Aku sedang tidur di sebuah meja dan bila pandanganku jadi jelas, aku sedar aku berada di dalam sebuah restoran. Beberapa orang pelayan sedang berjalan ke hulu, ke hilir. Seorang perempuan sedang menikmati minuman seorang diri. Dia mengenakan sepasang hitam seperti orang yang sedang berkabung. Sekali-sekala kedengaran bunyi esakannya. Aku tak tahu apa yang aku buat di sini dan aku tak kenal mereka yang di sekelilingku tapi aku perlu tahu tarikh hari ini dan nama tempat ini.
Walaupun perasaanku berbelah bagi, aku bangun dan hampiri perempuan muda itu.
"Cik, tumpang tanya." Dia mendongak sedikit, merenungku. Pandangannya kosong. Tetapi dia mengangguk, mungkin itu tanda dia tidak kisah diganggu sebentar. "Hari ni berapa haribulan, ya? Saya ni pelupa betul." Aku ketawa janggal.
Perempuan itu tidak menjawab. Dia hanya mengangkat lengan kanannya dan menunjukkan padaku jam digital berwarna keemasan. 26 Mei 2080.
"Oh!" Aku mengeluh panjang. Brad dan Esky tidak berbohong padaku. Aku teringin untuk terus berbual dengan perempuan muda itu tapi dia tidak kelihatan berminat untuk berbicara dengan sesiapapun. "Terima kasih, cik," ucapku lalu kembali ke mejaku.
Sebuah TV yang dipasang pada dinding restoran itu sedang menyiarkan rancangan berita. Mungkin seseorang yang terkenal baru meninggal dunia kerana siaran berita sedang menunjukkan majlis pengkebumian yang dihadiri begitu ramai tetamu. Perempuan berpakaian serba hitam tadi menonton berita dengan penuh minat dan aku nampak airmata mula mengalir di pipinya. Saudaranya? Kenalannya, mungkin?
Aku teruskan menonton dan bila pelayan datang bersama-sama menu, aku biarkan saja di meja. Majlis pengkebumian yang disiarkan adalah upacara ketenteraan. Aku kagum. Sungguhpun sekarang ini sudah menginjak ke tahun 2080, istiadat sebegini masih dikekalkan. Tiba-tiba aku rasa sayu. Pasti keluarga dan sahabat handai si mati sedang bersedih di saat rakaman tersebut dilakukan.
Mataku terus terpaku pada skrin TV. Tak lama kemudian, potret seorang wanita tua dipaparkan di sudut bawah, kiri. Aku memicing mata. Wajah lembut dan sepasang mata berwarna coklat tua itu seperti biasa kulihat. Senyuman wanita di dalam gambar itu juga seolah-olah mengingatkan aku kepada sesuatu, kepada seseorang. Bila namanya dipaparkan di skrin, nafasku hampir sesak - Dr. Lara Helza, 109 tahun, Meninggal dalam tidur.
"What?" Suaraku tersangkut di kerongkong. Perempuan muda tadi kelihatan sedang mengelap mata, hidung dan pipinya. Di tangan kirinya kelihatan sebuah uncang kecil berwarna keemasan. Saat perempuan itu menoleh padaku, aku jatuh terjelepuk ke lantai dan semuanya jadi gelap.
Share this novel