Bab 9
2079 - Catatan Salika – 4
Aku perempuan pengecut yang meninggalkan jenazah ayahnya di belakang rumah. Aku perempuan keji yang menjualkan barang-barang berharga dari almari ibu untuk sejumlah wang. Aku perempuan tak berhati perut yang mengisi cek kosong - pemberian terakhir ayah - dengan nombor yang aku jangka akan menghabiskan wang dalam akaunnya. Aku perempuan tak berhati perut yang terus menghilangkan diri tanpa memberitahu keluarga terdekat tentang kematian ayah.
Dan kini aku telah berada benar-benar jauh dari rumah ayah. Aku tinggalkan semuanya - rumah, kehidupan asalku, persekolahanku, kawan-kawan, guru-guru dan setiap satu barangan penuh kenangan milik ayah dan ibu. Aku di sini sebatang kara. Aku akan memperjudikan nasibku di kota ini - kota penuh kaca. Nama kota ini New Belzeya - metropolitan sesak yang tak pernah tidur dan tak mungkin diam.
Satu demi satu bangunan kaca aku lewati. Kaca. Aku terfikir dan tersenyum sinis. Kaca-kaca di sini sungguh melambangkan nasib dan kehidupanku. Aku mungkin kaca yang terhempas ke batu, lalu berderai lantas mampu mencederakan orang yang memijaknya. Atau, aku mungkin juga kaca teguh yang tak mampu dipotong walau dengan beratus berlian sekalipun. Aku boleh pilih untuk jadi kaca yang mana satu.
Di kota penuh kaca ini kehidupan baruku bermula. Ada pelbagai kemungkinan yang bakal terjadi, tapi aku begitu yakin aku akan terus jadi kaca - aku tak mungkin jadi logam atau kayu. Sudah tertulis aku boleh jadi serapuh-rapuh wanita atau secekal-cekal manusia, tapi aku pasti, aku sudah terlalu sukar untuk dilentur lagi.
"Cari hotel dekat sana!" Jerkah seorang wanita berpakaian seperti peminta sedekah. Dengan rambutnya yang kusut masai dan bau hancing yang begitu menganggu, aku tiba-tiba jadi takut melihatnya. "Sini kawasan pejabat. Kalau awak nak cari hotel, pergi sana! Jauh sana! Jangan kacau aku, aku ada banyak kerja!" Tangannya tergawang-gawang. Aku tak pasti sama ada dia mahu menghalau aku atau dia sedang cuba melambai-lambai ke arah awan.
Aku mendongak mencari apa yang dilambai-lambainya. Kelihatan sebuah pesawat melintasi di udara - jauh sayup membelah awan.
"Aku kata pergi, pergilah!" Dia melambai-lambai lagi. Kali ini lebih lemah.
Tak lama kemudian dia terduduk di kaki lima lalu bersandar di dinding bangunan. Tangannya menguis-nguis selonggok sampah di tepi punggung - dia mencari sesuatu. Akhirnya tangannya menemui sebuah uncang berwarna coklat tua yang comot dan buruk.
Uncang itu diletakkan di atas riba. Tangannya meraba-raba lagi di bawah longgokan sampah. Kemudian dia menarik sebuah buku, kulitnya sudah agak renyuk. Dia menghulurkan buku itu kepadaku.
"Aku tahu kau sesat. Nah! Aku bagi kau buku ni. Kau bacalah untuk isi masa lapang."
Aku menyambut buku yang disuakannya kepadaku. Tiada apa yang menarik pada kulit buku itu - hanya hiasan awan larat dan gambar dua kuntum bunga ros dengan tangkainya bersilang antara satu sama lain.
"Terima kasih, makcik," ucapku dan terus menyimpan buku pemberian wanita itu ke dalam beg.
"Baca, tahu! Kau jangan buat umpan api pula nanti. Kau mesti baca buku tu kalau kau nak faham kenapa dunia kita jadi macam ni. Kau mesti kaji satu persatu isi kandungan buku tu kalau kau nak tahu kenapa manusia sekarang dah tak peduli antara satu sama lain."
"Baik makcik. Saya akan baca dan kaji." Aku merenung sekilas ke arahnya. Pandangan wanita tua itu kosong. Aku tak yakin dia boleh melihat. Matanya masih tertumpu pada awan. Tangannya sudah terkulai di sisi.
"Kau pergilah jalan dulu. Aku nak tidur. Jangan ganggu aku. Petang nanti, bila semua orang dah balik kerja baru aku bangun dan buat kerja aku pula," katanya, tanpa perlu disoal. Aku angguk beberapa kali.
"Ya makcik, saya nak jalan dah ni."
Aku tinggalkan wanita tua itu dan terus mengheret kaki ke arah sebuah restoran kecil di celah-celah bangunan pejabat. Suasana di restoran lengang. Hanya ada dua orang pelanggan. Beberapa orang pelayan sedang asyik berbual sesama sendiri. Aku melangkah masuk dengan sedikit rasa curiga. Apa yang boleh aku makan di restoran sebegini? Nama restoran itu agak asing - aku tak mampu meneka juadah apa yang dijualnya.
Seorang pelayan menghampiriku dan membawa ke sebuah meja berhampiran tingkap. Dia menghulurkan menu yang nipis dan berwarna-warni. Satu persatu nama hidangan di menu aku teliti. Semuanya aku tak pernah makan. Daripada nama dan gambar yang tertera, aku yakin ini restoran fusion yang mereka menu-menu baharu dengan gabungan aneka jenis makanan.
Akhirnya aku menuding ke arah gambar makanan yang aku rasakan paling menarik dan minuman yang berwarna hijau. Pelayan itu mengangguk dan berkata, "Makanan akan siap dalam masa 10 minit, cik."
Setelah pelayan meninggalkan mejaku, aku perhatikan pelanggan-pelanggan yang lain: seorang lelaki pertengahan usia yang memakai pakaian seragam seperti askar sedang bercakap di telefon - minumannya sudah habis, dua orang wanita berambut pendek yang sedang berbual sambil merokok - makanan mereka belum terusik dan dua orang remaja yang asyik merenung antara satu sama lain tanpa sepatah kata.
Keadaan restoran yang agak sunyi dan kedudukan mejaku yang agak hampir dengan lelaki berpakaian tentera membolehkanku mendengar perbualan telefonnya.
"Saya tak boleh bincang benda ni sekarang, tapi saya tahu tindakan saya betul," katanya tegas dan kemudian dia mendengus. "Awak tak boleh buktikan apa-apa. Lagipun orang tak akan percaya apa yang awak nak katakan tu," katanya lagi. "Ini bukan hari pertama saya hidup dalam dunia ni. Saya dah ada banyak pengalaman dalam hal-hal begini, awak tak perlu persoalkan tindak-tanduk saya." Dia kedengaran seperti agak marah - mungkin ada masalah di tempat kerja.
Dua wanita berambut pendek kelihatan seperti orang kaya-kaya. Beg tangan berjenama diletakkan di atas meja manakala mereka duduk bersilang kaki. Rokok di tangan semakin pendek. Salah seorang daripada mereka, wanita yang mengenakan kemeja singkat berwarna merah hati dan skirt coklat menonyoh rokok yang hampir habis ke dalam asbak lalu mengeluarkan sebatang lagi rokok daripada beg tangannya. Entah apa yang dibualkannya, tak dapat aku dengar.
Sementara itu dua remaja yang duduk tidak jauh dari meja dua wanita berambut pendek, aku lihat sekali sekala mereka menjeling ke arah mereka. Agaknya mereka berdua tertarik dengan gaya dua wanita dewasa itu. Mungkin bila mereka dewasa kelak, mereka akan meniru gaya sebegitu juga. Salah seorang remaja itu menoleh kepadaku dan bila aku terpandangnya, cepat-cepat dia melarikan pandangan.
"Remaja pemalu," bisik hatiku. Mungkin mereka sebayaku. Melihatkan daripada pakaian dan kasut mereka, aku rasa mereka baru balik dari sekolah atau mungkin juga ponteng sekolah. Namun kedua-duanya langsung tidak menunjukkan muka bersalah atau bimbang seandainya ada polis moral yang mengadakan rondaan di kawasan ini. Aku sendiri perlu berhati-hati agar tidak mendapat sebarang masalah dengan anggota polis moral. Aku harap baju dan seluar ibu yang aku kenakan dapat mengaburi mata mereka. Usiaku belum mencapai lapan belas. Kalau diikutkan, aku tak boleh berada di sini pada waktu sekolah.
Pelayan datang membawa pesananku. Bau makanan itu harum seperti daging kambing bakar. Aku terus menikmati hidangan tanpa menoleh kiri dan kanan. Dua wanita berambut pendek bangun dari meja mereka dan berkerik bunyi kaki kerusi bergesel dengan jubin lantai. Aku tidak mengendahkan mereka dan terus mengisi perut yang lapar.
Tidak berapa lama selepas dua wanita berambut pendek meninggalkan restoran, dua remaja tadi meninggalkan wang di atas meja lalu tergesa-gesa keluar. Lelaki yang memakai seragam tentera masih berbual di telefon. Dari intonasi suaranya, dia bertengkar dengan seseorang dan situasinya kedengaran semakin genting. Dahi lelaki itu sudah kelihatan basah dengan peluh. Tangan kanannya memegang telefon manakala tangan kiri menopang kepala. Dia terdiam dan air mukanya sangat keruh.
***
Aku berjalan di sepanjang koridor blok bangunan kaca bertentangan dengan restoran tadi. Harga makanan di situ mahal. Aku hampir terloncat dari kerusi bila pelayan datang menghantar bil. Cukai yang harus dibayar hampir sekali ganda harga makanan dan minuman. Walaupun marah, aku tahu, siapalah aku untuk membantah ataupun menyatakan rasa tidak puas hati. Lagipun, kelibat anggota polis moral di luar pintu restoran membuatkan aku hanya mendiamkan diri lalu mengeluarkan sejumlah wang daripada kocek seluar.
Tanpa arah tujuan, aku menyepak-nyepak tin-tin minuman yang berselerak di kaki lima. Kelihatan beberapa orang gelandangan sedang nyenyak tidur di hadapan sebuah kedai buku. Pintu kedai itu bertutup rapat dan suasana di dalam gelap. Aku tiba-tiba teringat pada buku yang diberikan oleh wanita tua tadi. Tanganku meraba-raba dalam beg dan aku keluarkan buku nipis berwarna kuning air. Dua kuntum bunga di muka hadapan, makin kurenung, makin pudar serinya.
Aku mula membuka helaian pertama. Sambil berjalan dengan menghayun langkah malas-malas, aku memulakan pembacaan. Kisah cinta. Pengenalannya tentang seorang jejaka yang sesat di tengah ramai, mencari kekasih agungnya yang dilarikan makhluk dari dimensi lain. Makhluk itu menyembunyikan kekasihnya di tempat yang sesak dengan manusia. Si jejaka, tanpa mengenal putus asa, terus mencari kekasihnya di setiap keramaian. Dan pada suatu malam, si jejaka telah tersesat di dalam sebuah rumah besar yang usang - sebuah jamuan harijadi sedang berlangsung di situ.
Aku terhenti sebentar, teringatkan pesanan wanita tua yang memberikan aku buku ini tadi. Katanya, kalau aku baca buku ini aku akan faham mengapa manusia sekarang memiliki banyak sifat-sifat buruk. Setelah membaca hampir 15 mukasurat, aku masih belum bertemu sebarang kisah atau penerangan yang boleh aku kaitkan dengan pesanan wanita tua itu tadi.
Bucu mukasurat 15 aku lipat sedikit dan buku itu aku masukkan semula ke dalam beg. Aku kembali berjalan tanpa arah. Sampai di satu selekoh, aku tiba-tiba jadi keliru. Mungkinkah aku wajar berpatah balik? Entah mengapa aku terasa seperti mahu kembali bertemu dengan wanita tua yang memberikan aku buku cerita ini tadi. Aku patut bertanya lebih banyak soalan padanya. Dia sudah lama di kota kaca ini. Pasti ada banyak benda yang aku boleh rujuk padanya.
Sebelum tubuhku berpusing dan tumit memancang bumi, aku mendongak sebentar ke arah kubah kaca gergasi yang berada tidak jauh di hadapanku. Itulah pusat pemerintahan New Belzeya. Kawasan seluas 10KM persegi yang dilindungi oleh kubah kaca. Semua pemimpin-pemimpin penting ada di sana. Mereka sentiasa terlindung dalam suasana yang lebih aman, selesa dan udara yang berkitar pun jauh lebih bersih daripada di luar sini. Kalau ini bukan dinamakan satu bentuk penindasan, aku tak tahu nama apa yang sesuai untuknya.
Aku berpusing dan mengatur langkah untuk mencari wanita tua tadi. Selepas sepuluh langkah aku terlihat lelaki berpakaian seragam tentera yang bertengkar di telefon ketika akan makan di restoran mahal tadi. Dia melambai-lambai ke arahku. Aku toleh ke kiri, kanan dan belakang. Dia benar-benar melambai aku.
Share this novel