Bab 38
Hanya tinggal beberapa hari sebelum Hari Kebangsaan. Malam itu tiba-tiba Dassa jadi resah. Semua keseronokan dan kemanisan ini akan berakhir juga. Dia duduk merenung sayu skrin komputer di biliknya. Tangannya laju mengetik tetikus untuk melihat sekali imbas gambar-gambar yang telah diabadikan oleh Manisha selama beberapa hari ini.
Tiba-tiba nama Borain muncul di tetingkap aplikasi chat.
BorainH: Belum tidur?
Dassa99: Dah. Dassa is asleep. This is an automated reply.
BorainH: Ah! Kelakarnya! Kelakarnya!
Dassa99: Belum tidurlah. Belum mengantuk.
BorainH: Berdebar-debar sangat la tu, ataupun dah tak sabar-sabar nak buat persembahan?
Dassa99: Bukanlah. Saya tengah tengok gambar-gambar yang Manisha ambik semalam. Cantik-cantik semuanya.
BorainH: Ada gambar jejaka handsome tak dalam tu?
Dassa tergelak kecil dengan ayat terakhir daripada Borain. Nakal.
Dassa99: Ada gambar seorang je lelaki.
BorainH: Sayalah tu, bukan?
Dassa99: Ah! Tolonglah jangan masuk bakul dan angkat sendiri.
Borain hanya membalas dengan emoticon berbentuk sebuah senyuman dengan lidah terjelir. Setelah Dassa tidak membalas, Borain menulis lagi:
BorainH: Saya ada good news, tau!
Dassa99: Huh? Apa dia? Apa dia?
BorainH: Mak kata ayah ada telefon dia baru-baru ni.
Dassa99: Jadi, ayah awak selamat? Alhamdulillah.
BorainH: Dia ada di New Belzeya.
Dassa99: Eh, dekat je. Bila awak nak jumpa dia?
BorainH: Tak tahu. Bila emak cuba telefon ayah semula, nombor tu dah not in service.
Dassa99: Tak lama lagi, adalah ayah awak contact mak awak semula. Tunggu ajelah. Syukurlah dia tak apa-apa.
BorainH: Ya, saya harap pun macam tu juga. Kalau boleh saya ajak dia datang tengok perbarisan nanti.
Dassa99: Mudah-mudahan nanti dia akan tengok, kalau bukan tengok in person, dia akan tengok di TV.
Mereka mengucapkan selamat malam dan sebentuk senyuman terukir di bibir Dassa. Borain kini kembali ceria. Dia kerap bermurung sejak kehilangan ayahnya. Keputusan peperiksaan pertengahan tahunnya juga kurang memuaskan kerana perasaannya yang terganggu. Sebelum tidur Dassa membisikkan sepotong doa, memohon kepada tuhan agar Pakcik Kezus sentiasa dalam perlindungan dan sihat sejahtera hendaknya.
* * *
Salika, Dakara dan Voon bersempit-sempit di dalam kereta. Salah satu UltraPad dibuka dan disambungkan kepada skrin 14 inci yang terpasang di bahagian atas stereo.
"Aku akan terus pergi ke recording pada jam 6.05 petang, waktu di mana jam tangan yang dipakai Kezus telah terhenti dengan sendiri," kata Voon sambil jari jemarinya pantas mengemaskini nombor-nombor yang tertera dalam kotak-kotak kecil yang muncul di skrin.
Kelihatan skrin 14 inci terbahagi kepada 6 bahagian, setiap satu adalah imej daripada sebuah kamera CCTV. Kawasan-kawasan yang diliputi oleh kamera-kamera itu ialah di aras 2, bangunan terminal utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Hi-Mueliya.
Mata masing-masing terus tertumpu kepada kamera bernombor 2-3, kamera yang berada di sebelah kanan tong sampah berwarna coklat, tempat di mana jam tangan Kadura ditemui sebentar tadi. Kelihatan di skrin, Kezus sedang berdiri kaku dan berkata-kata sesuatu kepada orang yang berada di hadapannya. Pada ketika itu imej dari kamera bernombor 2-5 pula menampakkan wajah dua orang lelaki kaukasia yang tegap dan tinggi. Entah apa yang diperkatakan oleh Kezus yang membuatkan mereka berdua kelihatan agak berang pada beberapa ketika.
Salika menahan nafas bila beberapa saat kemudian bila salah seorang lelaki tersebut mencampakkan jam Kezus ke dalam tong sampah. Kemudian mereka bertiga meninggalkan tempat itu, terus bergerak menuju ke arah eskalator. Voon dengan pantas membuka beberapa fail lain yang mengandungi rakaman daripada kamera-kamera dari aras 3 dan mezanin.
Ketiga-tiga lelaki kelihatan naik terus ke aras mezanin. Mereka berhenti sebentar untuk mengenakan pas dan kemudian menghilang melalui salah sebuah pintu kecemasan.
"Ah! Silaplah! Kita tak download recording daripada kamera-kamera di bahagian luar bangunan terminal utama!" Voon kelihatan kesal.
"It’s okay Voon, kita bukannya ada banyak sangat masa nak download banyak-banyak recording tadi. Kalau kita lepak lama-lama kat kafe tu tadi, mesti sistem keselamatan diorang dah dapat detect kita punya illegal access. Kau ada idea tak, tanpa recording yang lain tu, macam mana lagi kita boleh teruskan mencari Kezus?"
Voon dan Dakara terdiam sebentar sebelum Dakara membuka UltraPad dan menunjukkan kepada rakan-rakannya sebuah blueprint bangunan terminal utama yang berjaya didownload daripada salah satu server yang mereka godam sebentar tadi.
"Tangga yang digunakan oleh Kezus dan dua lelaki tadi boleh membawa mereka ke bahagian luar terminal di mana pesawat-pesawat diparkir," Dakara menerangkan.
"Dekat area situ memang keadaannya sibuk sikit sebab ramai pekerja-pekerja maintenance yang busy buat kerja," tambah Voon.
"Ya, dan itu memudahkan diorang bertiga nak bersembunyi ataupun untuk menghilangkan diri." Salika mengeluh dan hatinya tertanya-tanya, ke mana perginya Kezus? Pada saat-saat begini dia berharap sangat Dr. Lara Helza ada mencatatkan maklumat tambahan dalam novelnya – keperibadian dan sifat-sifat Kezus, mungkin. Itu akan banyak membantu usaha mereka sekarang. Jika dia dapat mengenali Kezus daripada tulisan Dr. Lara, mungkin dia boleh mengagak tindakan bagaimana yang akan diambilnya di saat-saat terdesak begini.
"Aku rasa diorang ni masih ada dalam bangunan terminal ini," kata Dakara dengan yakin. "Takkanlah semudah tu je diorang nak menyorok ataupun lari."
"Mengapa pulak kau cakap macam tu?" soal Salika.
"Sebab portal yang mereka gunakan hanya ada di Los Volvimos, walaupun kita tak tahu lokasi yang tepat. Tapi, kita tahu mereka tiada portal di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Hi-Mueliya, mahupun New Belzeya. Kalau diorang ni nak balik ke masa depan, diorang mesti ambik flight dan pergi ke Los Volvimos dulu," Dakara mengutarakan alasannya.
Salika terfikir tentang portal yang pernah digunakannya semasa tugasan pertama yang terletak di Gunung Mawral. Dia ingin berkata sesuatu tentang itu tapi rasanya tak mungkin pihak musuh juga tahu tentang portal itu. Maklumat itu top secret. Ia hanya untuk kegunaan pasukan angkatan tentera.
Share this novel