Chapter 3

Romance Completed 14626

Bab 3

2078 - Catatan Salika – 1

Di tempat asalku, udaranya pekat dengan asap yang seolah-olah terperangkap. Terlalu banyak kenderaan. Di jalan-jalan, di landasan-landasan dan juga di udara. Tidak ketinggalan juga kenderaan yang makin banyak menggunakan laluan bawah tanah - di mana segala asap disalurkan ke permukaan dan menambahkan lagi pencemaran di bumi.

Di tempat asalku waktu berlalu seperti kilat - terlalu pantas hinggakan kadangkala aku terlupa apakah aku ada terlupa sesuatu. Kata bijak pandai, masa jadi terlalu pantas, kalau kita asyik membazirkannya. Tapi, aku rasa tidak juga. Masa di tempat asalku tidak sabar-sabar mahu berlalu - tak mahu menanti sesiapa, tak kira orang itu pandai menggunakan masa atau kerap membazirkannya. Masa sudah jadi seolah-olah punya nyawa, hati dan perasaan sendiri. Masa bukan lagi cemburu dengan manusia. Masa bagaikan sudah membenci manusia. Lebih-lebih lagi manusia yang sudah makin tipis kemanusiaannya.

Di tempat asalku juga, kemanusiaan mungkin bakal tinggal menjadi sebuah perkataan dalam kamus perbendaharaan kata. Aku tak tahu sama ada aku beruntung atau celaka kerana dilahirkan dalam sebuah keluarga yang masih begitu tebal rasa kemanusiaannya. Walaupun aku bergaul dengan rakan-rakan sekolah yang tidak begitu peduli tentang kebajikan manusia lain, tidak segan-silu untuk membunuh binatang liar yang tiba-tiba melintas jalan, tidak ambil pusing bila ada musibah melanda jiran tetangga mereka, tidak kisah untuk bertanya khabar dengan kenalan sendiri - apatah lagi guru-guru dan orang asing yang berselisih bahu di tempat awam.

Pendek kata generasi aku adalah generasi yang tak peduli. Yang penting hanya keseronokan diri. Bagi mereka, apa saja yang menjadi batu penghalang kepada keseronokan, mesti dihapuskan. Kemanusiaan dipandang sepi bila manusia hanya mengejar kebahagiaan sendiri.

Aku pernah punya seorang kawan baik - walaupun tidak serapat mana - semasa di sekolah menengah. Orangnya sangat pendiam dan tak pernah turut serta dalam sebarang aktiviti di sekolah. Kami menggelarnya Aumi dan tak pernah hafal nama sebenarnya yang sangat panjang. Menurut cerita rakan-rakan yang pernah berkunjung ke rumahnya, ibubapa Aumi memberikannya nama yang panjang supaya orang akan pandang tinggi kepada anak mereka yang punya keunikan sebegitu. Kata mereka juga, nama sebenar Aumi diilhamkan daripada gabungan nama daripada beberapa bahasa kuno yang sudah tidak dituturkan oleh sesiapa di dunia. Sekali lagi, ibubapa Aumi mahukan keistimewaan itu dalam diri anak mereka. Supaya bila orang berbicara tentang Aumi, orang akan turut memuji-muji kebijaksanaan ibubapanya yang mencipta nama sebegitu unik.

Bagi aku, ibubapa Aumi pentingkan diri sendiri. Mereka mengharapkan puji-pujian orang untuk berasa hebat. Mungkin mereka tak pernah memikirkan perasaan Aumi sendiri yang tak mampu menyebut nama sebenarnya tanpa menghela nafas beberapa kali.

Untuk menyedapkan hatinya aku selalu kata, "Nama Aumi pun dah cukup bagus. Kau cetak saja kad nama dan bawa ke mana-mana. Kalau ada orang tanya, kau tunjuk aje kad tu." Aumi tergelak mendengarkan cadanganku.

Aumi kerap tersenyum, ketawa, mengangguk, geleng dan menggaru-garu kepala. Tetapi dia jarang-jarang sekali berkata-kata. Aku tak ingat bagaimana kami boleh berkawan baik. Mungkin kerana kami pernah duduk bersebelahan di dalam makmal Fizik - buat ujikaji bersama-sama. Ya, waktu itu aku tak perlu berbicara banyak dengannya. Kami sekadar menggunakan bahasa isyarat semasa melakukan ujikaji. Kemudian kami mencatat keputusan ujikaji dalam buku log panjang. Kalau aku yang jadi pencatat, Aumi akan tiru laporan yang aku sediakan. Begitu juga sebaliknya. Persahabatan aneh kami banyak dihiasi oleh pertukaran senyuman dan bergelak ketawa bersama. Kebiasaannya, aku yang menuturkan kata-kata lucu, lalu Aumi yang tergelak. Tidak pernah berlaku yang sebaliknya.

Aku tahu Aumi ada masalah peribadi yang tak pernah dikongsi dengan siapa-siapa. Aku tak pernah bertanya. Cuma sekali-sekala, bila kami menonton TV di kafeteria sekolah atau di bilik AV, bersebelahan perpustakaan, Aumi akan menyembunyikan wajah di sebalik kedua belah tangan bila ada adegan sedih dalam filem-filem cinta.

"Tengoklah. Hero tu tak mati. Dia ada sakit buah pinggang, tapi nanti ada orang derma organ dekat dia. Cerita ni happy endinglah, Aumi," begitulah antara kata-kata aku untuk memujuknya. Tapi Aumi tetap berdegil. Dia akan menutup mata sehinggalah filem itu sampai ke adegan-adegan yang lebih ceria.

Pernah sekali aku buat kajian sendiri di perpustakaan sekolah - di bahagian rujukan perubatan - tentang segala jenis fobia yang ada dan pernah dikenalpasti. Aku tak jumpa sebarang fobia berkaitan adegan sedih dalam filem. Jadi aku yakin bukan itu masalah Aumi. Pasti ada perkara lain yang lebih menganggunya setiap kali adegan sedih muncul di TV.

Sebagai seorang pelajar, Aumi tak pernah menunjukkan tanda-tanda dia seorang yang bermasalah. Keputusan peperiksaannya lebih bagus daripada aku. Tugasan-tugasan yang diberikan guru disiapkannya tepat waktu. Tak pernah sekalipun dia terlewat menghantar tugasan. Aku sendiri kerap menyalin jawapan-jawapan daripada buku Aumi.

Satu masalahnya yang ketara ialah dia sangat jarang bercakap. Walaupun dia selesa dengan aku, dia lebih suka mendiamkan diri hampir sepanjang masa.

Sehinggalah satu hari aku terjumpa diari digital milik Aumi.

Waktu itu dia tertinggal beg galas di gimnasium selepas latihan futsal. Dia telefon aku minta simpankan begnya semalaman. Dia mungkin kawan baik aku, tapi aku hanyalah manusia biasa yang datang dari generasi yang sangat pentingkan diri sendiri dan tak begitu peduli tentang perasaan orang lain. Sungguhpun ahli keluargaku kerap mengingatkan tentang nilai-nilai murni dalam hidup, aku tak dapat lari dari melakukan kesilapan.

Malam itu aku selongkar beg galas Aumi dan bertemu sebuah diari digital. Kata laluannya tidak sukar, aku mampu meneka dalam masa sepuluh minit sahaja. Aku bersorak gembira dalam hati bila skrin diari digital itu menyala terang. Sungguh aku tak sabar untuk melihat apakah luahan hati Aumi yang tercatat di dalam diari itu.

Rupa-rupanya aku tak bersedia untuk segala catatannya. Setiap perenggan yang ditulisnya begitu sukar untuk aku percaya. Tak sangka perkara-perkara sebegitu boleh berlaku kepada rakan baik aku sendiri. Makin banyak catatannya yang aku baca, makin aku hilang kepercayaan kepada manusia-manusia di sekelilingku.

Baru aku faham mengapa Aumi tak sanggup menonton adegan-adegan sedih dalam filem dan drama. Hidupnya sendiri ditenggelami air mata. Aku tak dapat membayangkan bagaimana ibubapanya sanggup memperlakukan anak sendiri sedemikian rupa. Berulang-ulang kali dia menulis tentang 'hadiah' yang dia dapat setiap kali dia buat ibubapanya tak gembira. Dia pernah dilibas dengan tali pinggang, dibaling dengan kuali, dikurung dalam stor, diikat dalam tandas dan dibiarkan kelaparan sepanjang hujung minggu. Semuanya kerana dia telah melakukan perkara-perkara yang tidak dibanggakan oleh ibubapanya.

Salah satu catatannya yang sangat meruntun hati ialah bila satu hari jirannya bertanya sesuatu padanya dan dia menjawab dengan beberapa patah perkataan. Salah satu masalah kecil Aumi ialah dia tak pandai menyebut huruf 'R'. Bunyinya tebal dan seperti datang dari belakang tekak. Petang itu, jirannya langsung bertanya kepada ibu Aumi, "Eh, anak awak pelat sikit, ya? Dia tak pandai sebut 'R'." Malam itu juga Aumi dipukul bapanya dengan rotan halus sehingga belakangnya calar-balar kerana memalukan keluarga. Bagi mereka, teguran sedemikian daripada orang keliling menunjukkan kelemahan Aumi. Mereka tak mahu jiran tentangga nampak kelemahan anak mereka. Mereka hanya mahu yang elok-elok, yang cantik-cantik saja yang dipertontonkan kepada umum.

Aku termenung sejenak. Mungkinkah Aumi malu untuk bercakap banyak disebabkan dia tak pandai menyebut 'R'? Sukar untuk aku terima pendirian ibubapa yang melahirkan anak semata-mata untuk jadi kebanggaan dan untuk ditayang-tayang.

Keesokan hari, aku pulangkan beg galas Aumi tapi aku tak pernah minta maaf kerana membaca diari digitalnya. Dia tak pernah sedar aku telah tahu rahsia peribadinya. Sejak itu aku jadi pelakon terbaik - aku layan Aumi seperti biasa - aku buat jenaka, dia ketawa. Dalam kelas kami berhubung dengan bahasa isyarat yang hanya kami berdua faham.

Aku tidak paksa Aumi menonton kisah sedih lagi selepas itu. Jika kami ke bilik AV, aku hanya pilih untuk menonton rancangan animasi atau kisah-kisah thriller. Aumi juga tidak mempamerkan sebarang keanehan. Aku sangkakan lakonanku benar-benar berjaya.

Aku benar-benar ingatkan semuanya baik-baik saja. Sehinggalah pada satu pagi, Aumi tak hadir ke sekolah. Kira-kira jam 10, suasaa gempar di sekolah bila pengetua maklumkan Aumi telah dijumpai mati tergantung di balkoni rumahnya. Mayatnya ditemui oleh ibunya.

Kami beramai-ramai menziarah jenazahnya selepas sekolah. Daripada bisik-bisik saudara-maranya, Aumi membunuh diri tapi tiada meninggalkan sebarang nota. Aku tak berani bertanya apa-apa kepada ibu-bapanya yang tak henti-henti menangis di tepi mayat anak tunggal mereka.

Malam itu aku tak dapat tidur. Rasa sedih, bersalah, marah, terkilan - semuanya ada. Aku keluar dari bilik dan pergi ke patio untuk mengambil angin malam. Aku duduk di buaian besar kegemaran ibuku. Beberapa kali aku cuba pejamkan mata di situ, tapi gagal. Atau mungkin juga tuhan mahu aku melihat sesuatu malam itu. Sebaik aku bangun dari buaian dan mahu menolak pintu depan, aku ternampak sehelai sampul surat warna kuning yang terselit di tepi tingkap. Aku ambil dan baca.

Surat daripada Aumi. Mungkin surat terakhir yang ditulisnya. Seluruh tubuhku menggigil bila terlihat kata-kata yang ditulisnya.

"Aku dah tak percaya pada dunia dan manusia - apa lagi manusia yang sepanjang hidupnya berpura-pura."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience