Bab 48
Salika dan Wilma berjalan sejauh lebih 500 meter untuk sampai ke hadapan bangunan Pungutan Hasil. Ratusan manusia berpusu-pusu di bahagian luar rentangan pita kuning. Para pegawai polis, anggota bomba dan pekerja paramedik berjalan pantas, keluar masuk bangunan yang sedang cuba dikosongkan secepat mungkin. Menurut salah seorang anggota polis ada lebih kurang 20 orang penjawat awam yang masih terperangkap di tingkat 5, 6 dan 7. Mereka tidak dapat menuruni tangga akibat runtuhan konkrit dan perabot-perabot berat. Lif pula, sudah tidak beroperasi. Pihak bomba sedang cuba menurunkan mereka dengan memecahkan tingkap-tingkap kaca dan mengangkut turun menggunakan sky lift.
Ratusan wartawan dan jurukamera dari pelbagai stesen televisyen dan akhbar sudah membanjiri kawasan sekitar. Salika menghampiri beberapa wartawan yang sedang melakukan lintas langsung. Mereka melaporkan bahawa bom diletupkan di pusat data - pintu hadapan dan pintu belakang. Kerosakan sistem komputer melebihi 90 peratus. Operasi IT bakal dialihkan ke pusat pemulihan sistem dalam masa 48 jam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Beberapa anggota bomba pegawai polis dari skuad pemusnah bom kelihatan berkumpul berhampiran pintu masuk, membincangkan sesuatu sambil membelek-belek beberapa objek yang masih sedikit berasap yang diletakkan di atas sekeping kanvas di lantai. Salika mengeluarkan teropong kecil yang tersimpan di dalam beg tangannya.
"Ada apa? Kau nampak apa?" soal Wilma yang sejak tadi memasang telinga di tepi sekumpulan wartawan yang rancak berbincang.
"Aku nak tinjau apa yang mereka sedang belek-belek tu. Hopefully aku boleh identify," ujar Salika sambil terus meneropong. "Nampaknya skuad pemusnah bom tu tengah periksa beberapa objek yang nampak macam serpihan bom."
"Ambil gambar cepat, kita boleh hantarkan kepada Eran. Dia boleh tolong buat pengesahan," cadang Wilma lalu mengeluarkan sebuah kamera kecil dari koceknya. Salika meraih kamera tersebut daripada tangan Wilma. Kamera yang berupaya memfokus dalam jarak jauh itu diketik beberapa kali untuk merakamkan imej digital objek yang berada di lantai. Setelah berpuas hati, Salika terus menghantar fail-fail imej kepada Eran untuk dianalisa. Eran merupakah seorang pakar dari bahagian pemusnah bom yang bertauliah dalam pasukan mereka. Dia berpengalaman menyah-aktif bom dalam beberapa situasi cemas.
Salika dan Wilma bergerak lebih hampir kepada pita perentang berwarna kuning di mana puluhan anggota polis sedang berkawal .
"Semua orang dah dapat keluarkah, encik?" Salika bertanya kepada salah seorang anggota polis.
"Kami belum dapat pastikan. Harap cik tunggu sidang media yang akan diadakan sekejap lagi," jawab anggota polis yang memakai nama Mohd Haziq.
"Ada pihak yang sudah mengaku bertanggung jawabkah, encik?" tanya Salika lagi membuatkan wajah anggota polis itu berubah sedikit. Berasa jengkel barangkali.
"Minta maaf, cik. Saya tak ada maklumat itu. Cik boleh tunggu sidang media untuk dapatkan maklumat yang lebih tepat." Anggota polis itu cuba berlemah lembut. Salika seperti ingin bertanyakan beberapa perkara lagi tetapi membatalkan hasratnya bila satu pesanan masuk ke telefon bimbit.
Pesanan daripada Eran:
"Peledak dengan piawaian militari Asetia dari tahun 2083. Bahan dibawa dari masa depan. Kami akan cuba kesan bahan yang sama di Belzeya pula."
Salika menunjukkan pesanan yang diterima kepada Wilma. Sangkaan mereka selama ini benar. Asetia memang terlibat dalam penghantaran Kezus dan yang lain-lain ke sini untuk menghancurkan pusat pentadbiran Belzeya. Persoalannya sekarang, mengapa? Apakah motif mereka? Adakah benar pihak militari Asetia yang terlibat atau ada puak pelampau dari sana yang berjaya membawa peledak-peledak itu merentas masa?
* * *
Telefon di rumah tidak henti-henti berdering. Saudara mara emak ramai yang menanyakan khabar selepas mendengar berita tentang letupan bom di Celzera. Borain dan Arkun masih terpaku menatap kaca televisyen sejak sampai di rumah. Setiap cerita yang dilapor oleh wartawan sudah hampir dihafal oleh mereka berdua.
"Tadi Kiflie hantar pesanan, emaknya dah selamat dikeluarkan dari bangunan," Arkun memberitahu emak yang baru sahaja selesai berbicara dengan Pak Ngah Rusdi dari kampung.
"Syukurlah. Setakat ini semuanya selamat, tiada kehilangan nyawa, bukan?" emak meminta kepastian. Masih dibaluti blaus kuning air dan seluar panjang berona jingga yang dipakai sejak pagi tadi, emak duduk tersandar di sofa. Lelah melayan puluhan panggilan telefon daripada rakan-rakan dan saudara mara.
Seketika kemudian sebuah lakaran kasar wajah lelaki yang disyaki memasang bom di bangunan Pungutan Hasil terpapar di kaca televisyen. Borain, Arkun dan emak terdiam ketika meneliti wajah yang ditunjukkan selama 2 minit itu.
"Nampak macam muka orang baik-baik saja kan, emak?" Arkun memecah sunyi. Borain berpaling dan mencuit paha abangnya. "Mungkin dia ada tekanan jiwa, tak? Kalau dah psiko, macam-macam benda diorang boleh buat," Borain menyerkap jarang.
"Ada bermacam-macam sebab orang boleh buat kerja gila macam ni. Mungkin juga dia ada dendam dengan pihak kerajaan," emak mengusul.
"Bahaya betul kalau ni sebenarnya ancaman dalaman. Macam mana boleh ada yang sanggup melakukan kemusnahan sebegitu?" Arkun masih terkenangkan emak Kiflie, seorang penjawat awam yang berdedikasi. Sudah lebih 25 tahun berkhidmat dengan kerajaan. Sungguh tidak adil jika dia menjadi mangsa situasi begini.
"Kalau motifnya ialah dendam, saya rasa mungkin lelaki itu marah dengan kerajaan kerana membazirkan duit cukai pendapatan yang dibayarnya saban tahun. Sebab itu dia letupkan Pungutan Hasil," Borain berkongsi teorinya. Emak hanya tergelak pendek.
"Ya, mungkin. Kalau dia percaya buta-buta dengan hujah-hujah ahli politik dari parti pembangkang. Tapi penduduk Hi-Mueliya sekarang ramai yang sudah faham bagaimana wang hasil dari cukai pendapatan itu disalurkan kepada kemudahan rakyat dan pembangunan negara," emak menerangkan dengan panjang lebar.
"Jadi, mak rasa motifnya bukan dendam?" Arkun beralih duduk ketika meminta kepastian daripada emak. Wanita berusia 44 tahun itu pantas menggeleng.
"Mereka hanya letupkan pusat data ketika tiada pekerja berada di dalamnya. Jadi, sasaran mereka bukan manusia atau kementerian. Mungkin mereka hanya ingin memberikan amaran. Atau mungkin juga sekadar mencari publisiti. Ada juga penjenayah psiko yang suka show off aje."
* * *
Douv mendengus marah ketika dia menghempas UltraPad ke atas tempat duduk kereta. Fon kepala direntap dan dicampak ke tepi. Daripada airmukanya semua sudah tahu ada sesuatu yang betul-betul tak kena.
"Mereka tak percaya!" Douv separuh menjerit. "Agaknya mereka ingat aku ni orang gila yang seronok-seronok mengaku jadi pengebom!" Wajahnya masam dan matanya memerah. Douv tak dapat mengawal perasaannya.
"Kau bercakap dengan siapa tadi?" tanya Manod yang masih memandu di sekitar Belzeya. "Panglima Aziman ke?"
"Bukan. Dengan pembantu khas Panglima. Kurang sopan betul. Dia macam langsung tak takut dengan aku. Dia ingat aku ni budak sekolah yang main-main telefon awam agaknya," cemuh Douv.
"Mungkin ada pihak lain juga yang menelefon dan mengaku bertanggungjawab memasang bom di bangunan Pungutan Hasil. Sekarang ni siapa-siapapun boleh mengaku mereka yang bertanggungjawab." Kezus menelah. Mungkin ada kumpulan pelampau di Hi-Mueliya yang ingin mengambil kesempatan, siapa tahu.
Douv perlu membuat pengakuan bahawa bom itu dipasang dan diletupkan oleh ejen N.A.I.A. Ia sebagai amaran kepada Perdana Menteri Hi-Mueliya. Cara mereka untuk mendapat perhatian Perdana Menteri ialah dengan menghubungi Panglima Polis Hi-Mueliya yang bertanggung jawab menjaga keselamatan dan keamanan negara.
"Panggilan sebegitu mereka tapis. Mereka takkan percaya buta-buta. Aku cadangkan kau telefon semula. Kita mesti tunjukkan kesungguhan kita. Jangan emosi. Kalau diikut-ikutkan sangat emosi, tak selesai kerja kita ni," Manod separuh membebel sambil menjeling ke arah Douv. "Telefon nombor yang lagi satu -- nombor persendirian, milik Panglima," Manod mencadangkan.
Douv membuka semula UltraPad dan mencucuk fon kepala untuk membuat satu lagi panggilan.
Share this novel