Bab 39
Seluruh bilik dirasakan berputar-putar tanpa henti walaupun mesin pengatur semula di terminal 5 sudah lama dihentikan. Kezus cuba untuk berdiri setelah tali keledar terbuka dengan sendiri, tetapi tidak berjaya - dia jatuh terbaring di lantai. Esky cuba hendak membantunya tetapi ditegah oleh Mark.
"Jangan tolong dia. Biarkan saja. Bila dia dah kuat sikit nanti, dia akan stabil sendiri."
Esky kembali duduk di sudut bilik dan mengutip buku yang dibacanya tadi dari lantai. Sekali sekala dia menjeling ke arah Kezus yang kelihatan pucat dan berpeluh-peluh.
“Kezus, aku nak tolong kau, tapi diorang ni tak bagi. Sorry, eh?” Kata Esky, penuh rasa bersalah.
Kezus membuka mata semula dan terus memandang ke arah pintu bilik yang berwarna kelabu pekat. Masih berputar. Lima, enam imej pintu bergerak-gerak mengikut arah putaran jam dan kemudian imej itu bertindan pula antara satu sama lain membuatkan perutnya mula berbunyi dan rasa hendak muntah datang tiba-tiba.
"Kezus, bila kau rasa pening kau dah hilang, beritahu aku," pesan Timothy yang duduk tidak jauh di belakang Kezus.
Kezus tidak menyahut sebaliknya memuntahkan isi perutnya ke lantai konkrit yang telanjang, tidak dilapisi karpet. Esky bingkas bangun untuk membantu tetapi dihalang oleh Timothy.
"Esky, kau tak payah susah-susah tolong dia. Biarkan aje. Itu cuma kesan sampingan prosedur tadi."
Esky hanya berdiri tersandar di dinding, memerhati Kezus dengan penuh simpati. Itu kali pertama dia mengoperasikan mesin pengatur semula itu kepada seorang manusia. Selama ini dia hanya mencuba peralatan tersebut di makmal.
Kezus berusaha bangun dan berjalan terhuyung-hayang ke arah Mark yang duduk tidak jauh daripadanya.
"Ah...!" Kezus mengerang. "Sumpah, aku tak hingin nak buat lagi prosedur tu," katanya dengan dahi berkerut. Mark hanya terkekeh. "Kalau apa-apa masalah dengan ingatan aku selepas ini, kamu semua bunuh saja aku. Aku rela mati daripada masuk ke dalam terminal itu," tambah Kezus sambil menuding ke arah terminal 5.
"Hey, okaylah tu. Aku rasa, kau antara ejen yang paling hebat," puji Timothy seraya bangun dan menepuk belakang Kezus dengan perlahan. "Aku pernah tengok seorang ejen kita mati lepas buat prosedur aturan semula. Sama macam kita reconfigure mesin juga, kadang-kadang boleh jahanam kalau salah setting."
"Aku bernasib baik agaknya," kata Kezus lalu duduk di kerusi bersebelahan Mark lantas melakukan sedikit regangan tangan sambil menguap luas.
Timothy menghampiri mereka berdua sambil mengelek sebuah fail kecil. "Jadi, kalau kau dah benar-benar stabil sekarang, dan berjaya diatur semula, aku akan teruskan dengan prosedur seterusnya." Fail kecil berwarna biru muda dibuka. Wajah Kezus beserta biodatanya terpampang.
"Siapa nama kau?" Timothy mula menyoal.
"Maksud kau, nama aku sekarang atau nama aku yang sebenarnya?" Kezus menyoal kembali. Timothy tersenyum.
"Soalan seterusnya, apakah N.A.I.A?"
"Sorry, aku tak pernah dengar. Apa tu? Nama kumpulan muzik ke?" Kezus menjawab dengan yakin, dengan mata yang langsung tidak berkelip. Timothy tersenyum lega. Memang itu jawapan yang telah diajarkan kepada semua ejen N.A.I.A, walau dalam situasi apa sekalipun. Mereka tak seharusnya mendedahkan apa itu N.A.I.A ataupun perhubungan mereka dengan agensi tersebut.
"Soalan seterusnya, apakah yang bakal terjadi di Belzeya, Hi-Mueliya pada 31 Ogos 2020?"
"Sambutan Hari Kebangsaan Hi-Mueliya yang ke 50."
"Bagus," puji Timothy, sepatah sebelum meneruskan. "Bilakah masanya, kau perlu bertindak di Belzeya?"
Kezus terdiam sebentar, mengetap bibir dan matanya meliar, seolah-olah mencari-cari sesuatu. Mark dan Timothy menunggu penuh sabar. Esky hanya berdiam diri dan memerhati dari penjuru bilik keseluruhan prosedur pengesahan.
"Aku perlu menyelesaikan tugas-tugas aku di Belzeya sebelum pukul 5 petang, 30 Ogos 2020," akhirnya Kezus memberikan jawapan dengan wajah yang tenang.
"Baiklah," kata Timothy selepas menghela nafas. "Apakah tugas utama kau di Belzeya?"
Tanpa berfikir, Kezus terus menjawab, "aku perlu pasang peledak di bangunan-bangunan pejabat kerajaan dan pastikan setiap satu meledak berselang 10 minit."
Mark dan Timothy mengangguk, puas hati. Tiada satupun jawapan salah yang diberikan oleh Kezus. Sungguhpun keadaannya masih pening-pening lalat, prestasinya masih cemerlang.
"Ini soalan aku yang terakhir," ujar Timothy sambil mengerling senarai soalan di dalam fail di tangannya. "Apa harus kau lakukan sebelum meledakkan kementerian yang pertama?"
"Aku perlu tunggu isyarat kebenaran daripada Douv," Kezus menjawab sambil tersenyum. Dia sudah ingat kembali siapa Douv yang sebenarnya. Douv, satu masa dahulu adalah rakan karibnya. Siapa pun tak menyangka dia juga adalah salah seorang ejen N.A.I.A. yang begitu bijak menyimpan rahsia dan identitinya.
Mark dan Timothy bangun dan berjabat salam dengannya.
"Bagus. Tahniah! Ingatan dan pemikiran kau sudah kembali ke asalnya. Lepas ni kalau ada apa-apa gangguan dari luar, aku memang dah tak boleh nak betulkan kau. Kalau kau buat perangai pelik-pelik lagi macam semalam, aku akan tembak kau terus." Timothy menutup fail kecil berwarna biru tua. Kezus tersandar lega di kerusi. Esky masih berdiri di sudut, ralit memerhati.
"Untuk pastikan ingatan kau sudah benar-benar bebas daripada gangguan, prosedur aturan semula akan diulang," ujar Mark, tenang.
Mata Kezus terbelalak. "Apa?" Bilik dirasakan berputar-putar semula.
Share this novel