Bab 49
Panglima Aziman Alias baru sahaja meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Hi-Mueliya pada malam 29 Ogos 2020 ketika panggilan telefon itu diterima. Beliau diiringi oleh Mejar Mahaleel di dalam kereta. Dalam keadaan yang masih kepenatan setelah melengkapkan lawatan kerja selama tiga hari ke Indisia, nombor pemanggil yang tertera di skrin direnung dengan mata yang berpinar-pinar. Tanpa berfikir panjang, panggilan terus diangkat.
"Hello!" ucapnya dengan suara yang sedikit serak. Batuk yang sudah menyerang sejak dua minggu lalu masih belum pulih. Dia berdehem sedikit sebelum meraih pastil ubat batuk yang disimpan dalam kocek seluar.
"Hello Panglima! Saya Douv Idrus dari N.A.I.A," Douv terus memperkenalkan dirinya.
"Apa tu? North Asetia Intelligence Agency?" Panglima Aziman meneka dengan sedikit kehairanan. "Awak orang orang Hi-Mueliya; mengapa bekerja untuk N.A.I.A?" Kenyataan itu memang sukar untuk diterima oleh Panglima Aziman. N.A.I.A banyak melakukan kerja-kerja risikan demi kepentingan beberapa syarikat gergasi yang dikaitkan dengan industri minyak dan gas di Asetia. Bagaimana orang Hi-Mueliya boleh terlibat?
"Itu bukan persoalannya Panglima. Saya menelefon Panglima untuk memberitahu bahawa letupan di bangunan Pungutan Hasil di Celzera petang tadi dilakukan oleh orang-orang kami. Memang kami yang melakukannya. And you have to take me seriously," ucap Douv, senafas.
Panglima Aziman terdiam lama, menimbang sama ada untuk meneruskan perbualan itu atau tidak. Menurut laporan daripada pegawai-pegawai dari Jabatan Perdana Menteri dan petugas-petugas di ibu pejabat polis, sekurang-kurangnya 15 panggilan telah diterima berkaitan letupan di Celzera petang tadi. Ini panggilan pertama yang sampai terus kepadanya. Bagaimana lelaki ini mendapat nombor peribadinya juga menimbulkan persoalan.
"Boleh saya tahu apa agenda kamu? Kamu nak membuat apa-apa tuntutan?" Panglima Aziman tidak mahu berlengah. Dia ingin mendengar terus tujuan sebenar agensi itu. Apa muslihat mereka, tiba-tiba datang membuat angkara di Hi-Mueliya?
"Ah, mudah saja. Kami mahu Perdana Menteri Hi-Mueliya membatalkan hasratnya untuk mempengaruhi ahli-ahli Persatuan Pengeluar Minyak Sedunia semasa persidangan pada bulan depan," kata Douv dengan jelas dan terang.
"Apa yang kamu tahu tentang perancangan Perdana Menteri, tentang pendirian Hi-Mueliya?" Panglima Aziman menyoalnya semula dengan tegas.
"Apa yang saya tahu, melebihi Panglima dan Perdana Menteri sendiri. Jangan persoalkan itu semua," ujar Douv penuh dengan nada angkuh – seolah-olah Panglima tidak setara untuk bertelagah dengannya.
"Jika kami enggan menurut kehendak kamu, bagaimana? Kamu nak letupkan seluruh negara Hi-Mueliya ni pula?" Panglima Aziman cuba menduga walaupun dia seolah-olah sudah boleh mengagak natijah yang menanti; sengaja dia ingin menguji keberanian musuh yang sedang berbicara dengannya.
Douv melepaskan nafas panjang. "Seandainya Perdana Menteri meneruskan hasratnya, dan tidak percaya bahawa kami benar-benar serius, kami akan letupkan pejabat-pejabat kerajaan sebelum kamu merayakan Hari Kebangsaan tahun ini. Biar Hi-Mueliya jadi huru-hara. Biar kerajaan kamu jadi tempang. Biar seluruh negara ni hancur dan kamu semua kembali mundur dan ketinggalan." Ketawa Douv mula bergema.
"Apa bukti yang kau sungguh-sungguh? Daripada cara kau ni, aku rasa kau hanya nak bergurau," Panglima Aziman mencabar.
"Kalau apa yang saya katakan tadi belum cukup untuk meyakinkan Panglima, dua jam dari sekarang sebuah kementerian akan kami letupkan. Jangan bimbang, hari dah malam. Harap-harap tiada penjawat awam yang masih bekerja di pejabat." Douv tergelak tersekat-sekat. Rasa bangga mula beraja di hatinya. Dia yakin air muka Panglima Aziman sudah mula berubah sekarang.
"Kamu perlu beri saya sedikit masa untuk berbincang dengan Perdana Menteri tentang perkara ini." Nada suara Panglima Aziman mula menurun. Dia tidak selesa untuk duduk bersandar di kerusi beralas kulit lembu dan pendingin hawa di dalam kereta tidak mampu menghilangkan butir-butir peluh yang mula merenik di pangkal rambutnya.
"Masalahnya, Panglima, kami tak ada masa. Jadi, kami akan telefon semula dalam masa satu setengah jam. Sementara tu, buatlah apa yang patut. Tapi, ingat! Kami tak suka membuang masa." Douv terus menamatkan panggilan.
Panglima Aziman menggelisah di tempat duduk belakang. Nalurinya mengatakan lelaki tadi benar-benar serius. Letupan seterusnya akan benar-benar berlaku seandainya permintaan mereka tidak dipenuhi. Panglima Aziman mendail nombor salah seorang pegawainya di ibu pejabat polis.
"Inspektor Azizan, tolong kesan dan siasat nombor yang baru saja memanggil telefon saya ni tadi. Segera!" Kekunci 'Tamat' ditekan dan Panglima Azizan mengurut-urut dada.
Sarjan Amirul yang sedang memandu terdengar serba sedikit perbualan tadi. Dia menjeling cermin pandang belakang dengan penuh risau. "Panglima okey? Ada apa-apa saya boleh lakukan?"
"Pandu terus ke Hotel Seri Negara, dan hubungi Mejar Halim Maslan dan pasukannya. Minta mereka pergi ke sana sekarang juga," Panglima Aziman memberikan arahan.
"Baik, Panglima!" jawab Sarjan Amirul, manakala Mejar Mahaleel yang berada di tempat duduk penumpang terus menghubungi pasukan pengiring mengenai destinasi baru mereka. Dia juga menghubungi Mejar Halim Maslan selepas itu.
* * *
Douv mengetuk-ngetuk UltraPad dengan jari sambil memutar semula dalam kepala, perbualannya dengan Panglima Aziman Alias sebentar tadi. "Aku rasa Panglima Aziman tak percaya apa yang aku katakan padanya."
Kezus kaget sebentar. "Tapi, aku lihat perbualan kamu tadi benar-benar serius. Kita tunggu sajalah lagi satu setengah jam."
"Ya, aku setuju. Sementara itu Kezus, kita akan terus pasang peledak di Menara Tani sekarang. We stick to our plan," cadang Manod lalu membelok di lampu trafik menuju ke arah Menara Tani. MPV dihentikan berhampiran kawasan memunggah.
"Kad akses kau, jangan lupa," ujar Douv sambil menghulurkan sekeping kad magnetik. "Dan ini jari-jari palsu kau." Sehelai sarung tangan lembut diberikan dan Kezus terus menyarungnya. Di setiap hujung jarinya sudah melekap satu set jari jemari milik salah seorang penjawat awam di kementerian itu. Dia akan menggunakan sarung tangan itu bagi memasuki pintu-pintu yang dilengkapi sistem biometrik.
"Kau sekarang menggunakan identiti Encik Fairuz Hisyam bin Zubir, ingat tu," pesan Manod. Kezus sekadar mengangguk. Matanya melekat pada seorang pegawai keselamatan yang sedang mundar mandir berhampiran pintu utama.
MPV bergerak perlahan-lahan meninggalkan Kezus yang berjalan ke arah ruang parkir bawah tanah. Dia akan masuk melalui pintu yang terletak di aras LG2. Beberapa buah kereta masih kelihatan di aras itu, mungkin masih ada beberapa pekerja yang bekerja lebih masa. Kezus melihat jam pada telefon bimbit, sudah menghampiri pukul 8:30malam.
Kad magnetik diimbas di tepi pintu menghala ke ruang lif. Kad diimbas lagi di dalam lif dan Kezus tekan butang G. Dari aras G dia pergi ke arah lif utama. Sekali lagi dia mengimbas kad di pintu kaca yang memisahkan ruang menunggu dengan lobi lif. Tujuannya ialah aras 8. Tidaklah tinggi sangat. Tapi, kalau ditakdirkan dia terpaksa terjun untuk menyelamatkan diri, peluang untuk hidup adalah amat tipis. Darahnya tersirap seketika bila memikirkan kemungkinan sebegitu.
Lif bergerak naik dengan perlahan. Kezus menepuk-nepuk kocek kemeja putih yang dipakai untuk memastikan telefon bimbitnya tidak tercicir. Tugasan di sini seharusnya lebih mudah daripada di pusat data Pungutan Hasil petang tadi. Dia terpaksa menunggu lebih 15 minit sebelum semua pekerja meninggalkan pusat data yang hendak diletupkannya. Berdasarkan berita yang didengar dalam radio tadi, tiada kemalangan jiwa. Kezus lega. Apa yang terpaksa dilakukannya sekarang ini mungkin salah, tapi dia tetap mengharapkan tiada nyawa yang terpaksa dikorbankan demi kesejahteraan semua.
Lif berhenti di aras 8 dan pintu terbuka. Kezus menjenguk ke luar dan suasana dalam ruang pejabat sudah gelap. Dia mengeluarkan alat pengesan lokasi untuk mencari tempat untuk memasang peledak. Kad magnetik diimbas lagi dan pintu kaca ke ruang pejabat pun terbuka. Lampu kecil berwarna jingga pada alat pengesannya berkelip-kelip dengan laju. Setelah berjalan lebih 20 langkah, lampu kecil bertukar warna menjadi merah. Lokasi sudah dijumpai.
Seperti yang dilakukan di pusat data Pungutan Hasil, Kezus hanya mengambil masa selama dua minit untuk memasang, melakukan aturan dan mengaktifkan peledak. Setelah memeriksa sekeliling ruang pejabat dan pasti tiada manusia lain di situ, Kezus menuju ke lif semula. Dia perlu ke tingkat 10 pula. Dalam pada itu degup jantungnya yang laju masih tak mahu reda. Mungkin beginilah nasib dan keadaan orang yang dikejar dosa.
Share this novel