Chapter 33

Romance Completed 14626

Bab 33

Kezus mengerling jam tangan lagi. Pukul 12.45 tengah hari, 28 Ogos 2020. Misinya perlu dilengkapkan pada hari lusa.

"Ahh.." Terasa berdenyut lagi di kedua belah pelipis. Imej yang terpapar di dinding bilik hotel tadi telah lenyap sama sekali. Kezus termangu-mangu. Dia terasa-rasa seperti ada sesuatu yang perlu dilakukannya dengan kadar segera pada hari ini.

Tangannya pantas memeriksa saku seluar dan kemeja. Sehelai tisu renyuk ditemui dan beberapa digit nombor tertera di situ. Kezus mencapai telefon bimbit dari atas meja kopi. Jari jemarinya pantas menekan nombor-nombor tersebut. Satu ayat yang pernah didengari menerpa ke telinga.

"Nombor yang anda dail tiada dalam perkhidmatan."

Kezus buntu. Nalurinya mengatakan ada sesuatu yang begitu penting yang perlu dilakukan. Dia bangun dan menuju ke bilik air hotel yang harum semerbak dengan aroma lavender. Paip sinki dibuka dan air dibiarkan mengalir seketika menanti suhunya meningkat sedikit. Air ditakung dengan kedua telapak tangan lalu disimbah ke wajah yang lesu. Sekali, dua kali, tiga kali. Kemudian Kezus merenung ke dalam cermin besar yang tergantung di hadapannya lama-lama. Dia terlihat kesan darah kering di leher. Sehelai tisu tandas dibasahkan lalu ditenyeh pada kesan darah. Kezus memeriksa lagi. Tiada kesan luka yang kelihatan. Darah nyamuk, mungkin.

Meja kopi dibersihkan dan bila terlihat dua buah cawan yang masih berisi kopi yang sudah sejuk dan basi, baru Kezus teringatkan Douv. Ya, rakannya itu ada ke mari malam semalam. Tapi dia tidak ingat bila dia pulang. Pasti dia terlena keletihan. Kezus hanya menggeleng.

Televisyen leper dihidupkan, punat-punat alat kawalan jauh ditekan beberapa kali untuk mendapatkan rangkaian berita. Seorang wartawan wanita sedang melaporkan tentang kejadian tanah runtuh di kawasan Bukit Einden yang menarik perhatian Kezus. Lokasi itu tidak jauh daripada tapak pembinaan stadium olahraga yang baru dilawatinya semalam. Wartawan itu juga melaporkan bahawa kerja-kerja pembinaan stadium terpaksa dihentikan buat seketika berikutan laluan kenderaan berat yang dihalang oleh runtuhan batu dan tanah.

"Emak!" Kezus terjerit sendirian saat teringat apa yang harus dilakukan hari ini. Dia perlu mencari emak!

Tanpa berlengah, Kezus melucutkan pakaian, mencapai tuala dan mandi sepantas mungkin. Beg kuning diselongkar, mencari kemeja bersih. Jeans yang dikenakan semalam, dipakai semula. Setelah menyikat rambut ala kadar dan mengemaskan barang-barang, Kezus mencapai kunci kereta dan meninggalkan bilik hotel untuk proses daftar keluar. Jam Kadura berdetik tiap saat di tangan kiri.

* * *

"Dia sedang bergerak!" Eran mengejutkan Salika yang sedang asyik membetulkan kod-kod program yang ditulisnya sebentar tadi. "Ke arah mana?" tanya Salika, pendek.

"Kita tunggu sebentar. Aku rasa dia baru memasuki kereta." Eran tekun memerhati bulatan kecil berwarna merah yang mengerdip-ngerdip di peta raksasa yang terpampang di dinding pusat operasi sementara mereka. Salika kembali meneliti program yang sedang ditulis menggunakan komputer riba yang disambung ke rangkaian pusat kawalan.

"Aku rasa pintasan yang kita lakukan tadi dah berjaya. Kezus dah ingat bahawa dia mesti pergi ke majlis bandaran dan mencari emaknya." Salika mengangkat muka dan melihat pergerakan bulatan merah pada peta. Memintas saluran televisyen di bilik hotel Kezus tadi dilakukannya dengan mudah. Rakaman video tentang pembangunan di Einden membuatkannya teringat kembali tentang usahanya untuk mencari keluarganya.

"Tapi, kita belum tahu kepintaran program yang dimuat turun oleh rakannya semalam." Eran kedengaran agak risau. "Ada kemungkinan program baru tu boleh memadam maklumat yang kita cuba masukkan."

"Kalau itu terjadi, kita perlu pesongkan lagi kehidupan Kezus," kata Salika, tegas.

"Kita dah pesongkan realiti tentang rumahnya, ibunya dan keretanya. Apa lagi selepas itu?" duga Eran.

Salika tersenyum sambil mengetuk-ngetuk kekunci di komputer riba. "Aku akan fikirkan sesuatu tentang Lara dan anak-anaknya. Semalam pun Kezus sudah kelihatan sedikit bercelaru lepas deangar suara Lara. Walaupun Lara tu bekas isteri, tapi mungkin antara mereka ada urusan yang belum selesai, kalau tak pun, mungkin ada perasaan lagi. Kita boleh ubah situasi dalam perhubungan mereka."

"Jadi, kawan dia yang datang semalam tu, siapa?" Eran berpaling ke arah Salika.

"Maklumat yang kita terima daripada pusat kawalan, dia juga sebenarnya seorang ejen. Dia menggunakan identiti Douv Idrus. Dulu Kezus dan Douv pernah menjadi rakan sekelas dan pernah kerja bersama. Jadi, Douv tahu serba sedikit tentang keluarga Kezus. Aku rasa, identiti Douv digunakan supaya ejen tersebut bebas bertemunya. Dan pada masa yang sama, Douv ditugaskan untuk mengawal Kezus dan pastikan dia akan laksanakan misi sebenarnya."

Eran tiba-tiba menuding ke arah peta digital di dinding. "Tengok! Dia pergi ke pejabat majlis bandaran." Salika menurunkan skrin komputer riba dan merenung dengan penuh minat. "Bagus! Pintasan kita berjaya."

"Jadi, kau rasa Kezus akan terus menjejak emaknya? Atau dia akan buat tak tahu saja?" soal Eran.

Salika terdiam sejenak. "Gangguan yang kita dah masukkan ini sepatutnya cukup kuat sehingga dia terpaksa menimbang yang mana lebih penting, misinya atau keluarganya sendiri."

"Macam mana kalau dia pilih untuk meneruskan misi tu dulu dan setelah berjaya, baru cuba menjejak emaknya?"

"Kezus yang sebenar adalah seorang family man. Tak mungkin dia membelakangkan keluarga - terutama emaknya sendiri," ujar Salika dengan penuh yakin. Seboleh-bolehnya dia akan mengganggu Kezus daripada menumpukan perhatian pada misinya yang sebenar. Misi keji yang membuatkan dia dihantar ke sini oleh pihak yang masih tidak dapat dikenalpasti.

Salika juga perlu selamatkan Kezus. Hasil siasatannya kelmarin, besar kemungkinan dialah Kezus yang pernah menjadi kawan baik Dr. Lara Helza. Salika teringat kembali pesanan terakhir Dr. Lara Helza. Amanat Dr. Lara Helza takkan dilupakannya. Uncang pasir yang ditinggalkan sentiasa dibawanya bersama. Dia menanti masa yang sesuai untuk serahkan uncang pasir itu kepada Kezus dengan harapan ingatan lelaki itu masih tidak dirosakkan oleh pihak yang sedang memanipulasinya.

* * *

Dinding bercat kelabu putih di bahagian dalam pejabat majlis bandaran membuatkan Kezus berasa kurang selesa. Dia bimbang, bila-bila masa sahaja, mungkin imej dan tulisan-tulisan yang dilihatnya di dinding bilik hotel tadi bakal menjelma kembali. Dia sedar, ada pihak yang berkomunikasi dengannya dan memerhatikan gerak-gerinya. Persoalannya, siapa? Ada satu misi besar yang mesti dilaksanakan, sudah beberapa kali dia diingatkan. Tapi, semuanya masih terlalu kabur bagi Kezus. Dalam fikirannya hanya ada wajah emak. Perasaannya bercelaru sekali bila tidak dapat menghubungi nombor emak yang tertulis di kertas tisu renyuk yang disimpannya dalam saku seluar.

Pegawai di kaunter kelihatan masih sibuk melayani soalan-soalan daripada seorang pelawat yang datang bersama beberapa anak kecil. Kezus menunggu dengan penuh sabar di kerusi yang disusun berderet di tepi kaunter. Sebaik sahaja kaunter kosong, tanpa membuang masa Kezus terus bangun dan mengucapkan salam kepada pegawai bertugas.

"Apa yang boleh saya bantu, tuan?" Pegawai wanita yang memakai tanda nama 'Adibah' tersenyum mesra kepadanya. Kezus membalas senyumannya dan terus menunjukkan kad yang diterimanya di tapak pembinaan stadium di Einden semalam.

"Saya ingin bertemu dengan Encik Mahadi. Dia bekerja di tingkat ini, bukan?" Kad disuakan kepada Adibah.

"Jemput duduk dulu, tuan. Saya akan panggilkan Encik Mahadi."

Kezus kembali menghenyakkan punggung di kerusi tempat menunggu sambil melepaskan keluhan kecil.

Kira-kira sepuluh minit kemudian muncul seorang lelaki berusia lewat 40-an yang berkemeja putih dan memakai tanda nama 'Mahadi'. Dia terus menuju ke arah Kezus yang sedang duduk menunggu.

"Saya Mahadi. Tuan ingin berjumpa saya?" Dia menghulurkan tangan. Kezus bangun dan tunduk hormat lalu menyambut salam. "Dah siap kertas cadangan yang tuan janji hendak serahkan kepada saya minggu lepas?" tanya Mahadi. Kezus terlongo.

"Kertas cadangan? Berkenaan apa? Saya tak faham." Tangan yang tadi bertaut terus terlerai. Mahadi mendengus.

"Isy, jangan buat-buat lupa, tuan. Kita dah berbincang panjang tentang ini." Suara Mahadi jadi sedikit keras dan dahinya berkerut.

"Sebenarnya saya datang ni hendak bertanya tentang penduduk di Einden yang dipindahkan bagi memberi laluan kepada pembinaan stadium olahraga. Saya difahamkan, Encik Mahadi ada semua maklumat mereka," Kezus menerangkan hajatnya.

Mahadi merenung Kezus dari atas ke bawah. Kerut dahinya masih belum hilang, bibirnya sedikit mencebik.

"Maaflah, saya dah tak simpan semua maklumat tu. Semua dah diserahkan kepada pihak Kementerian Perumahan. Mereka ingin uruskan sendiri," katanya, tegas. "Tapi, saya tetap mahu kertas cadangan yang awak janji untuk serahkan kepada saya minggu lepas. Jangan nak berdalih dan bertempoh lagi dengan saya." Suara Mahadi jadi garang.

"Sebenarnya, saya tak tahu menahu tentang kertas cadangan tu, Encik Mahadi. Saya minta maaf. Tapi, saya akan hubungi Encik bila-bila perlu." Kezus cepat-cepat bersalam dan memberi alasan harus pergi segera kerana ada urusan yang harus diselesaikan.

Mahadi bercekak pinggang dan memberikan renungan tajam ketika Kezus berlari keluar menuju ke arah pintu lif. Kezus tidak menoleh ke belakang. Tekadnya hanya satu - untuk pergi ke Belzeya dan mencari alamat rumah keluarganya di Kementerian Perumahan.

* * *

Douv dan Manod mendengar dengan teliti perbualan antara Mahadi dan Kezus yang dilintaskan secara langsung dari pejabat majlis bandaran. Mereka berdua dikelilingi pelbagai perkakasan canggih yang akan membantu misi melumpuhkan Belzeya jadi satu kenyataan. Beberapa kotak bahan peledak disorok di ruang simpanan di belakang rumah yang ditumpang. Papan putih yang digantung didinding dipenuhi nota dan strategi yang akan dilaksanakan. Alat-alat komunikasi semua terpasang dengan kemas dan berfungsi dengan baik.

Masalah mereka kini cuma satu, ejen harapan yang menggalas tanggungjawab paling besar sudah mengalami gangguan. Douv tahu, Kezus sudah dikesan pihak berkuasa dan kini pihak terbabit sedang cuba sedaya upaya untuk menggagalkan misi besar ini dengan memesongkan pemikiran Kezus dengan memanipulasi ingatan dan kenangan-kenangannya. Kod yang baru dimuat naik ke sistem elektronik Kezus hampir dipintas oleh mereka tetapi Douv lebih pantas mematahkan cubaan itu. Kezus tidak mendapat maklumat terbaru tentang keluarganya daripada majlis bandaran, dan ini memaksa beliau meneruskan pencarian di Belzeya.

Ya, Belzeya. Sasaran utama mereka.

Kezus akan kembali ke rancangan asal. Adalah penting untuk Kezus benar-benar mengingati perancangan mereka tentang Belzeya. Setelah pelbagai gangguan yang diterimanya, Kezus sudah melupakan sedikit demi sedikit latihan yang dilaluinya. Situasi kini jadi rumit dan Douv diarahkan untuk memulihkan ingatan dan pendirian Kezus.

Pemikiran Kezus bagaikan sudah diracun dan Douv perlu memberikannya antidot sebelum keadaan menjadi lebih parah dan misi mereka gagal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience