Bab 35
Salika mengekori kereta Kezus tanpa pengetahuannya menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hi-Mueliya. Kezus memandu berhati-hati kerana jalan raya mulai sibuk dengan pengguna-pengguna yang sudah mula bergerak pulang dari pejabat. Dia mengerling cermin pandang belakang dan jam di tangan kiri berkali-kali. Salika menjarakkan kenderaan mereka. Selendang labuh sudah ditanggalkan dan diganti dengan topi kulit berwarna gelap. Solekan nipis dioles di wajah sebelum menghubungi pasukan bantuannya dari dalam kereta.
"Eran, kau nampak pergerakan Kezus sekarang?"
"Ya, dia bergerak menghala ke Lapangan Terbang. Kau mengejar dia?"
"Tak, aku cuma nak pastikan dia masuk ke dalam airport dan beli tiket. Selepas itu aku perlukan khidmat Dakara dan Voon untuk mengawasinya di dalam terminal kerana dia akan ambil penerbangan pagi esok." Salika membelok di simpang Lapangan Terbang Antarabangsa Hi-Mueliya, jarak keretanya adalah lebih kurang 20 meter di belakang Tayda keemasan milik Kezus.
"Dakara dan Voon akan bergerak sekarang," balas Eran setelah memanggil dan memberi penerangan kepada dua rakan setugasnya.
"Hati-hati, aku tak tahu kalau-kalau ada orang lain yang sedang mengekori Kezus," pesan Salika. Matanya masih tidak lepas daripada memerhatikan kereta Kezus.
"Kau rasa dia masih keliru macam semalam?" soal Eran.
"Aku sudah tunjukkan rakaman yang kita dapat waktu mereka buat latihan komando di Los Volvimos dan panggilan kecemasan yang dibuat ibunya. Aku rasa dia dah yakin dengan cerita aku. Harap-harap dia tak berubah hati lagi lepas ni." Salika memasuki ruangan parkir bertingkat Lapangan Terbang Antarabangsa Hi-Mueliya. Token parkir yang bulat dan kecil digenggam sambil cermin tingkap dinaikkan.
"Kau rasa apa dia nak buat bila sampai di Los Volvimos nanti?"
"Dia akan jumpa kawannya, Brad dan aku harap dia akan membawa kita kepada ketua mereka ataupun pihak yang mengupahnya. Aku tak rasa ini rancangan individu. Mesti ada kumpulan besar di belakang mereka semua ni. Kau tengok, kan apa yang mereka guna masa latihan komando tu? Semua peralatan mahal-mahal. Bahan letupan dan senjata laser pun ada." Salika memilih lot parkir yang agak tersorok dan jauh dari pintu masuk di tingkat 2.
“Ya, akupun rasa macam tu. Bukan calang-calang organisasi yang boleh bawa Kezus tu merentas masa.” Eran mematikan talian dan Salika terus mendiamkan diri di dalam kereta. Matanya meliar.
Kelihatan Kezus berlari-lari anak masuk ke terminal, mencari kaunter tiket Penerbangan Hi-Mueliya. Dia membawa keluar dompet dan kelihatan kad kredit warna kuning keemasan sudah berada dalam genggaman tangan kiri.
Masih ada 15 jam sebelum penerbangan. Salika yakin Kezus akan datang semula ke kereta untuk mengambil beberapa bagasi dan mungkin bakal bermalam di terminal. Jika tidak dia mungkin akan daftar masuk di hotel The Orca atau The Lamprey -- antara hotel-hotel yang paling hampir. Dia mengerling jam, Dakara dan Voon akan tiba dalam masa 10 minit. Matanya mengimbas sekitar ruang parkir, tiada kelihatan individu yang mencurigakan yang mungkin sedang mengekori Kezus. Dia harap Kezus berseorangan. Mereka tidak bersedia untuk berhadapan dengan sepasukan komando di saat-saat begini.
Salika berdoa agar strateginya menjadi dan langkahnya jauh di hadapan pihak yang sedang mempergunakan Kezus. Stereo kereta dihidupkan dan Salika menala ke frekuensi yang sesuai. Terdengar suara Kezus dan seorang wanita bergema di dalam keretanya. Mikrofon bersaiz 3 mm yang dipasang pada jam tangan Kadura di lengan kiri Kezus menangkap audio dengan baik sekali. Setiap ulas butir percakapan dapat didengari Salika dengan jelas.
Seperti yang telah dirancang oleh Salika dan pasukannya, Penerbangan Hi-Mueliya masih ada tiket untuk ke Los Volvimos pagi esok. Walaupun harga lebih mahal berbanding pembelian awal, Kezus tidak teragak-agak menghulurkan kad kredit untuk dileret oleh petugas di kaunter. Kezus mungkin mulai berasa resah bila dia asyik mengetuk-ngetuk jari di meja kaunter sewaktu petugas memproses transaksi. Pasti dia tidak sabar-sabar hendak mendapatkan tiket dan berangkat.
Yang dia tahu, dia perlu menemui Brad secepat mungkin.
Yang dia tidak tahu, tiket yang dibelinya memang sudah ditempah oleh Salika awal-awal untuk memastikan dia pergi ke Los Volvimos dan mendedahkan pihak yang mengupahnya.
Akhirnya transaksi lengkap dan Kezus mengucapkan terima kasih kepada petugas yang melayannya. Derap-derap tapak kaki kedengaran di stereo Salika. Makin laju dan makin laju. Salika pasti, tidak berapa minit lagi wajah Kezus pasti terjengul di kawasan parkir. Mungkin untuk beredar, atau mungkin untuk mengambil barang-barangnya.
Kereta yang dipandu oleh Dakara melintasi kereta Salika. Voon mengangguk padanya. Mereka memarkir selang dua kereta daripada kereta Kezus.
Salika baru bercadang hendak mematikan enjin kereta dan keluar bertemu dua rakan setugasnya bila tiba-tiba kedengaran bunyi derap tapak kaki Kezus terhenti. Dua suara asing sedang berkata-kata sesuatu dengannya. Salika memberikan isyarat kepada Dakara dan Voon agar datang ke keretanya dengan kadar segera. Ini tiada dalam perancangan mereka. Tiada sesiapa sepatutnya menghampiri dan berbual-bual dengan Kezus setelah dia selesai mendapatkan tiket penerbangan. Barang siapa yang sedang berbual-bual dengannya, mungkin ada niat jahat – kemungkinan besar adalah orang upahan yang telah ditugaskan untuk memastikan misi mereka melumpuhkan Belzeya berjalan lancar.
Salika mula berdebar-debar.
* * *
Terik matahari yang memancar tidak memudarkan semangat lebih 15 ribu orang pelajar-pelajar sekolah menengah dari sekitar New Belzeya dan Selvaro yang menyertai sambutan Hari Kebangsaan yang ke 50. Latihan hari itu berjalan lancar. Semua ketua persembahan berpuas hati dengan keseragaman dan disiplin yang ditunjukkan oleh para peserta. Nasi bungkus dan air mineral diedarkan kepada semua yang sedang kelaparan.
Dassa, Manisha, Eranie Khoo dan Borain memilih satu sudut agak terpencil berhampiran dengan kawasan parkir terbuka. Aroma kari ayam dan taugeh goreng menusuk-nusuk hidung sebaik sahaja bungkusan nasi dibuka.
"Alaaa… nanti mesti aku rindu kat korang semua," ujar Eranie Khoo sambil merenung sayu nasi bungkusnya.
"Kita mesti buat reunion nanti. Mesti!" Gesa Manisha dengan mata membulat.
"Ya, reunion Geng Nasi Bungkus!" Dassa menambah.
"Jangan lupa masa reunion tu nanti, makan bersila atas rumput macam sekarang ni! Kita mesti buat reunion dekat tempat yang tak ada kerusi meja. Baru real!" Borain berseloroh. Eranie Khoo dan Manisha ketawa terkekeh. Dassa terus menyuap nasi dan cuba menyembunyikan senyuman lebar. Borain bersila di sebelahnya tengah hari itu. Satu lagi kenangan manis yang akan disimpan kemas-kemas.
"Aku dah minta mak aku rakam persembahan kita di TV nanti. Harap-harap kamera akan fokus ke arah kita lama-lama." Seperti anak kecil, Manisha tak dapat menyembunyikan rasa teruja.
“Ya lah, harap-harap make-up korang semua tak cair masa tu, kan?” Seloroh Borain dan Dassa mencubitnya. Dia terjerit lalu menggosok-gosok paha.
"Jangan bimbang, kita bertiga menari di barisan depan sekali. Mesti keluar TV. Kalau tak keluar juga, nanti aku panggil cameraman datang depan muka kita," Eranie Khoo meyakinkan.
"Aku pun di barisan depan masa lalu dekat depan pentas utama dan bagi tabik hormat," Borain menyampuk, tak mahu ketinggalan. "Kalau ayah aku ada, mesti lagi seronok." Nadanya bertukar sayu. Rakan-rakannya terhenti dari menyuap dan merenung penuh simpati padanya.
"I’m so sorry, Borain. Kau bersabarlah, ya? Kalau ayah kau ada, mesti dia akan rasa bangga. Aku yakin, dia mesti mahu kau buat yang terbaik untuknya," Manisha memberikan kata-kata semangat.
Yang lain hanya membisu. Dassa lebih-lebih lagi. Dia hanya tertunduk sambil tangannya menguis-nguis butiran nasi, tekaknya tiba-tiba jadi kesat untuk menelan. Mereka semua sedia maklum tentang ayah Borain, pakcik Kezus yang telah lebih tiga bulan menghilangkan diri dan tak dapat dikesan. Menurut rakan-rakannya dia bercuti panjang dan pergi melancong ke luar negara, tetapi setelah gagal dihubungi sekian lama, ahli keluarganya mula syak sesuatu yang buruk dah berlaku.
Walaupun ibu bapa Borain sudah bercerai, dia begitu rapat dengan bapanya sungguhpun jarang berjumpa. Emosinya benar-benar terganggu bila mendapat tahu bapanya hilang tanpa khabar berita.
"Kalau ayah aku balik sebelum hari Merdeka, kan seronok?" Borain menghamburkan soalan ke ruang kosong, tidak berharap rakan-rakannya akan memberikan sebarang jawapan. Eranie Khoo yang duduk di sebelah kiri Borain menepuk-nepuk perlahan belakangnya.
"Kita sama-sama doakan dia tak ada apa-apa, okey? Mungkin dia sengaja nak cari ketenangan. Ambil cuti panjang dan tak mahu sesiapa pun contact dia," pujuk Eranie Khoo. Borain hanya mengeluh perlahan. “Kau pernah cakap dulu, he has a very stressful job, right?” Soal Eranie Khoo dan Borain mengangguk lemah.
Dassa dan Manisha terus mengunyah lambat-lambat sambil pandangan mereka melayang ke arah pentas utama yang sudah berhias indah. Perkataan ‘Negara Maju 2020’ terpampang megah di bahagian tengah pentas, betul-betul di atas perkataan ‘Hi-Mueliya’.
Share this novel