Chapter 22

Romance Completed 14626

Bab 22

2005 - Catatan Kezus – 12

Aku teruskan hajat mengejar cita-cita di Los Volvimos. Bekerja dengan Dr. Seaman adalah pengalaman paling berharga sepanjang karierku sebagai seorang penyelidik. Pasukannya di Los Volvimos tidak besar tetapi mereka semua berpengalaman luas dalam pelbagai bidang. Aku berasa begitu kecil kali pertama menjejak kaki ke makmal Dr. Seaman. Pelbagai jenis peralatan canggih yang terbaru ada di situ. Kebanyakannya tak pernah aku lihat depan mata, sekadar membaca di majalah-majalah sains dan teknologi sahaja.

Di makmal Dr. Seaman aku berkawan baik dengan Brad, seorang penyelidik muda yang sentiasa teruja dengan sebarang masalah. Pada mulanya aku hairan, bagaimana masalah boleh membuatkan orang teruja sedangkan masalah mendatangkan kesusahan.

"Saat kita menghadapi masalah dan cuba selesaikannya ialah saat yang paling bagus untuk mengutip ilmu-ilmu baru. Kalau semua benda kita dah tahu, tentu kita tak akan hadapi sebarang masalah. Jadi, bagi aku masalah ialah sejenis hikmat yang dikurniakan kepada manusia supaya manusia jadi lebih berpengetahuan dan berpengalaman," terang Brad dengan panjang lebar. "Jangan mengeluh bila tiba-tiba datang masalah," pesannya lagi. "Semua masalah adalah bagus..."

"Kecuali masalah bila tak ada duit," aku mencelah dan Brad tertawa galak.

"Orang Hi-Mueliya semua pandai buat lawak macam kau, ya?"

"Penduduk negara aku suka hidup aman tenteram dan rukun damai. Bila ada situasi yang tiba-tiba jadi tegang, kami akan kendurkan dengan lawak jenaka yang tak melampau."

Berkerut dahi Brad mendengar kata-kataku. "Tak mungkinlah," dia membangkang. "Kamu semua sanggup buat lawak jika ada kematian atau tragedi?" Soalnya.

"Bukan macam tu. Maksud aku, kami tak suka pergaduhan. Kalau terasa macam ada dua pihak dah mula nak bertengkar, kami cepat-cepat damaikan. Salah satu cara ialah dengan buat lawak. Tak kisahlah lawak bodoh ke, lawak intelligent ke."

"Oh! Baru aku faham. Selama ni aku tak pernah terfikir nak damaikan orang bergaduh dengan cara buat lawak. Mesti dekat negara kau ada ramai stand-up comedian, kan?" Brad menepuk bahuku dan keningnya dijungkitkan sedikit.

"Aku tak pasti sebab aku jarang tengok mereka di TV. Tapi, kalau dalam arena politik, memang ramai comedian." Giliran aku ketawa dan Brad mengangguk setuju.

"Ahli politik di negara mana-manapun memang suka buat komedi," katanya.

"Ya. Komedi seram," aku menambah dan kami sama-sama ketawa besar.

Mungkin kerana sense humour yang boleh aku terima, Brad terus jadi kawan rapat aku sepanjang tiga tahun aku bekerja di makmal Dr. Seaman. Tugasan-tugasan yang diserahkan kepadaku tidak terlalu berat. Ini membolehkan aku menjelajah Los Volvimos waktu hujung minggu. Tempat kegemaranku ialah sebuah tasik buatan yang terletak berhampiran sebuah universiti berprestij. Di situ terdapat sebuah taman rekreasi besar yang sesuai untuk aktiviti keluarga. Di sebelah tasik itu terdapat sebuah tempat persinggahan karavan.

Aku bertemu sekali lagi dengan Lara Elena di sebuah bangku batu di tepi tasik itu. Waktu itu ada pesta musim panas dan kawasan itu penuh sesak dengan pengunjung.

"Awak ingat saya lagi, Dr. Kezus?" Tegurnya yang berpakaian ringkas petang itu. Aku tersenyum beberapa ketika kerana cuba hendak mengingati namanya. Itu tidak bermakna aku telah melupakannya. Walaupun baru sekali bertemu, aku ingat namanya Lara. Lagipun, namanya sama dengan nama kekasih yang sudah meninggalkanku. Aku cuma terlupa nama keduanya. "Hey! Saya Lara lah. Lara Elena," katanya sambil melambai-lambaikan tangan di hadapan mukaku.

"Saya ingat," aku cuba sembunyikan rasa malu. "Cuma tadi, saya terkejut sebab tak sangka nak bertembung dengan awak di sini. Awak duduk dekat-dekat sini ke?" Aku sedaya upaya mahu mengalih tajuk perbualan.

"Ya. Saya belajar di universiti tu."

Baru aku teringat, dia datang ke sini untuk melanjutkan pelajaran. "Awak buat course apa?"

"Child psychology. Saya suka budak-budak. Saya ingat habis belajar ni saya nak kerja di hospital, di wad pediatrik."

Mulut aku terkunci seketika. Kebetulan apakah ini? Lara Helza seorang pakar psikologi. Lara Elena pula berminat dengan psikologi kanak-kanak. Mungkin sudah ditakdirkan aku perlukan seorang ahli psikologi dalam hidupku.

Pertemuan itu membawa kepada beberapa lagi pertemuan dan akhirnya, kira-kira tiga bulan kemudian, aku menyatakan hasrat untuk menjadikannya kekasih hati. Lara Elena terdiam lama bila aku utarakan cadangan itu.

"Awak tahukan, keluarga saya bukan jenis yang open minded. Mereka tahu saya ada berkawan dengan lelaki. Tapi saya tak pernah beritahu details awak kepada mereka. Tapi, saya pasti mereka tak suka arrangement macam ni."

"Saya tak faham maksud awak." Aku bukanlah jahil. Aku rasa aku boleh agak apa yang dirisaukan oleh keluarga Lara Elena. Tapi, aku tak tahu apa yang dia sendiri mahu.

"Daripada jadi steady girlfriend, saya sebenarnya lebih suka kalau jadi isteri awak terus, Kezus."

Sejujurnya aku tak pernah terfikir tentang perkahwinan. Apa lagi ketika berada di perantauan begini. Beribu-ribu batu jauhnya daripada keluargaku. Kontrak dengan Dr. Seaman masih berbaki setahun lebih.

"Awak sudi ke jadi isteri saya?"

Lara Elena tunduk merenung kasutnya. Tidak semena-mena, aku teringatkan buku yang ditulis oleh Dr. Lara Helza. Mungkin watak Jeha yang digambarkan itu lebih kurang macam Lara Elena - gadis kampung yang pemalu, bersopan-santun, sentiasa berhati-hati bila berbicara.

Dua bulan kemudian, aku memulakan kehidupan baru - sebagai suami Lara Elena. Setelah berumahtangga, Dr. Seaman bertanya apakah aku mahu jadi pekerja tetap memandangkan selama ini aku hanya dikontrak. Aku terpaksa menolak tawarannya kerana aku tidak berhajat untuk tinggal lama di Los Volvimos. Sudah terlalu lama rasanya aku meninggalkan tanah air tercinta. Lara Elena juga sudah hampir tamat pengajian. Aku lebih selesa untuk melayari bahtera rumahtangga di tanah tumpah darah sendiri.

Nasihat paling pelik aku terima daripada Brad, "Orang bijak macam kau mesti berbakti pada negara sendiri dulu sebelum nak lari ke negara lain."

"Aku tak pernah terfikir nak lari dari tanah air sendiri. Apa yang kau cakap ni?"

"Oh, aku cuma cakap berdasarkan pemerhatian aku. Ramai warganegara Asetia berhijrah ke tempat lain selepas berkhidmat lebih kurang 15 tahun. Aku rasa bila lama-lama bekerja di negara sendiri, pasti ada rasa nak cuba bekerja di negara lain. Lagipun, ramai yang mula rasa rimas dengan isu-isu dan masalah di Asetia yang sudah berlarutan, terutama masalah ekonomi."

"Mungkin tidak bagi aku. Kalau boleh aku nak mati di tanah air sendiri."

"Mungkin juga kau takut nak ambil risiko, atau kau memang seorang yang penakut," Brad seolah-olah memberikan satu cabaran kepadaku tapi aku tidak begitu mudah terpedaya. Bukan hasratku untuk membelakangi negara sendiri semata-mata mahu menjauhkan diri daripada masalah-masalah di tanah air.

"Kerja di negara lain bukan bermakna kau mengkhianati negara sendiri, Kezus. Aku cuma beri cadangan tadi. Sorry kalau kau kecil hati," nada suara Brad berubah. Kalau tadi, dia seolah-olah mahu mencabar aku, tapi kini dia mula memujuk.

"Aku tak ambil hatilah, don't worry. Dah lama aku fikirkan benda ni dan aku dah tetapkan pendirian - aku akan berbakti di negara sendiri sampai mati."

Perbincangan itu mati di situ. Brad tidak pernah minta aku timbangkan semula tawaran Dr. Seaman. Setelah tamat kontrak dan aku kembali ke tanah air bersama-sama Lara Elena yang sedang mengandung anak pertama kami, soalan pertama daripada ayahku ialah, "Kenapa tak mahu terus kerja di Los Volvimos? Dekat sini kau belum tentu boleh dapat separuh daripada gaji yang kau dapat di sana." Aku hanya terangkan kepada ayah bahawa kontrakku tidak diperbaharui dan tugas-tugas penyelidikan di makmal Dr. Seaman sudah hampir tamat, jadi mereka tidak perlukan khidmatku lagi.

Setelah anak sulungku lahir dan beberapa tahun kemudian, hadir pula cahayamata ke dua, aku tidak pernah memikirkan untuk kembali ke Los Volvimos. Aku bertugas di universiti lama sebagai ketua penyelidik di fakulti, menggantikan tempat Professor Hans yang telah bersara. Kesibukan tugas dan tanggungjawab berat sebagai ketua keluarga membuatkan aku langsung tidak bercadang untuk mencuba sesuatu yang baru.

Perkahwinanku dengan Lara Elena tidak sebahagia yang disangka oleh orang sekeliling. Dia seorang wanita yang baik dan penyayang, tapi aku sentiasa merasakan ada sesuatu yang kurang dalam dirinya. Bertahun-tahun aku cuba menyayanginya sepenuh hati, tapi aku gagal. Aku kerap menyalahkan diri sendiri kerana aku tidak dapat menyingkirkan ingatan terhadap Lara Helza. Bila anak sulungku mencecah usia 14 tahun, isteriku mula menghadapi kemurungan. Aku tak tahu apa puncanya. Mungkin juga dipengaruhi oleh hormon kerana dia makin menghampiri usia 40 tahun. Menurut doktor itu mungkin kesan-kesan awal menopos. Aku tetap berusaha melayan Lara Elena sebaik mungkin tetapi dia makin menjauhkan diri.

Tak ada banyak benda yang aku boleh lakukan lagi bila isteri sendiri seolah-olah tak selesa dengan kehadiranku di sampingnya. Aku hanya menyibukkan diri di tempat kerja dan sekali-sekala keluar dengan Douv yang sudah berumahtangga dan punya anak. Dia sendiri tak dapat memberikan nasihat yang sesuai.

"Aku mungkin kawan baik kau sejak sekolah, Kezus. Tapi, aku tak tahu apa yang berlaku dalam rumahtangga kau. Jadi, aku rasa aku bukan orang yang terbaik untuk beri kau sebarang nasihat."

Aku dihimpit kesunyian dan mula terasa hidup ini kian kosong. Cita-citaku dari zaman persekolahan sudah lama aku lupakan. Mungkin selamanya aku akan hanya jadi seorang penyelidik dan ahli akademik. Mungkin sudah tertulis nasibku bukannya menjadi saintis terkenal.

Bila satu hari Brad menghubungiku di pejabat, aku jadi begitu teruja. Seolah-olah orang yang lesu mendapat tonik kuat. Mataku serta merta segar bila terdengar suara Brad di telefon. Katanya dia akan datang ke universitiku atas urusan rasmi tapi tak dinyatakan apakah urusannya. Dia mahu biarkan aku meneka-neka. Dalam pada itu, aku sudah merangka-rangka ke mana akan kubawa Brad untuk bersiar-siar tunjukkannya tempat-tempat menarik di sini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience