Chapter 23

Romance Completed 14626

Bab 23

2080/2078 - Catatan Salika – 11

Perisik seperti kami ini, menurut Mejar Huza perlu kuat dari segi fizikal dan mental. Itu adalah sebab utama mengapa dia memilih untuk mengambil pelatih-pelatih muda untuk menyertai akademi. Kawan-kawanku rata-rata berumur sekitar 17 dan 18 tahun. Selain daripada latihan ketenteraan biasa, kami juga diberikan latih tubi untuk subjek-subjek matematik, sains, pengetahuan am, sejarah dan geografi. Sangkaanku selama ini ternyata meleset - bukan di sekolah saja perlu buat latih tubi - di akademi tenterapun tidak terkecuali.

"Kau pernah terfikir tak -" Tanya Luita pada satu petang. " - kalau kita habiskan sekolah mungkin hidup kita lebih senang daripada sekarang?" Aku tahu dia mula ada rasa sangsi pada dirinya sendiri. Latihan fizikal kami makin mencabar. Adakalanya Luita tak mampu lakukan.

"Sekali aku buat keputusan, aku tak akan patah balik, Luita," jawabku. "Ini pilihan yang aku buat tanpa paksaan. Jadi, tak ada sebab aku nak fikirkan tentang sesuatu yang aku tak ada minat langsung."

"Kau tak rasa latihan ni terlalu mendera?" Wajah Luita tampak kepenatan. Kami sudah banyak kali diingatkan, latihan sebegini hanya yang cekal mampu hadapinya.

"Kalau kau rasa tak sanggup lagi, kau boleh slow talk dengan Major Huza ataupun Dr. Lara. Mungkin mereka boleh bantu." Cadanganku tidak diendahkan Luita. Seminggu kemudian dia menarik diri daripada akademi. Kami kekurangan seorang pelatih. Major Huza tidak mahu mencari pengganti. Katanya jumlah yang ada sekarang sudah mencukupi.

Kami tamat latihan pada tarikh hari lahirku. Hari itu hari yang paling indah aku rasakan. Genap 19 tahun aku hidup di dunia dan secara rasminya aku seorang perisik tentera yang bakal berkhidmat dengan sepenuh jiwa raga.

Pada hari ke lima aku mula menjalankan tugas, Dr. Lara memanggil aku ke pejabatnya. Dia kelihatan lemah dan bibirnya agak pucat. Aku nampak tangannya terketar-ketar lebih teruk daripada biasa ketika dia membetulkan kaca mata.

"Untuk misi pertama awak, saya akan hantar awak merentas masa," kata Dr. Lara dengan tenang.

Aku menelan liur dan merenungnya penuh rasa tak percaya. Ia sesuatu yang mengejutkan. Sangkaku aku perlu berkhidmat beberapa tahun sebelum diberi peluang untuk merentas masa. "Merentas ke masa bila, Dr.?"

"Masa lampau," jawabnya dengan senyum yang mula terukir. "Tapi tidaklah terlalu lampau. Cuma kira-kira dua tahun yang lalu."

Tersirap darahku mendengar kata-kata Dr. Lara. Dua tahun lalu? Waktu itu Aumi mungkin masih hidup. Adakah aku akan bertemunya kembali? Dan aku juga mungkin akan bertemu ayah dan ibu juga!

"Saya... Saya.... " Aku teragak-agak untuk memberitahu Dr. Lara perasaan sebenarku.

"Jangan bimbang. Saya tahu mental awak cukup kuat untuk lalui semuanya nanti."

"Saya kena buat apa di sana nanti, Dr.?" Aku mula risau. Apakah aku harus betulkan kesilapan-kesilapanku sendiri?

"Relaks, Salika. Tugasan ringkas aje. Awak boleh selesaikan dalam masa kurang daripada 24jam. Awak jangan fikir yang bukan-bukan."

Kemudian Dr. Lara menerangkan misiku kembali ke dua tahun lepas. Aku mengeluh panjang setelah mengetahuinya. Dia mahu aku kembali ke hari di mana Aumi tertinggal begnya di gimnasium dan aku mesti pulangkan beg itu, tanpa membaca sepatahpun isi kandungan diari digital miliknya. Aku mengangguk lemah. Walaupun tindakanku itu nanti takkan menghidupkan Aumi kembali, sekurang-kurangnya ia akan membantu aku menghakis rasa bersalah yang masih menghambatku hingga ke hari ini.

Tepat jam 9 malam aku dibawa oleh tiga orang pegawai berpakaian seragam putih ke tingkat bawah tanah markas. Bilik yang kami masuki itu, tidak pernah aku tahu kewujudannya. Ketiga-tiga orang pegawai yang tidak aku kenali mengenakan sut berwarna kuning lengkap dengan penutup muka dan kepala sebelum mereka membawaku ke sebuah bilik yang dipenuhi peralatan yang kebanyakannya tidak aku kenali. Di tengah-tengah bilik itu terdapat lima buah kapsul besar yang kelihatan seperti keranda yang ditegakkan.

Salah seorang pegawai membawaku ke sebuah bilik kecil untuk proses nyah-radiasi. Setelah selesai, aku diberikan sut biru dan diiring untuk memasuki salah sebuah kapsul besar tadi. Aku melangkah masuk dengan penuh debaran. Tali pinggang keselamatan diikat pada pinggang, kaki, lengan dan kepala. Aku menarik nafas panjang beberapa kali sebelum pintu ditutup.

Semasa sesi latihan tempohari, Dr. Lara telah mengajarku bagaimana untuk merehatkan minda sebelum prosedur dimulakan. Aku terus pejamkan mata dan beberapa saat kemudian, aku dapat merasakan gas dingin meresap ke ruang pernafasan. Beberapa kali cahaya terang seperti terpancar di hadapanku sebelum semuanya tiba-tiba gelap.

Bila aku tersedar semula, suasana masih gelap dan aku hanya dengar bunyi nafasku.

"Hello!" Aku tak tahu siapa yang aku cuba panggil. Adakah aku sudah sampai ke destinasi atau masih di bilik rahsia di tingkat bawah tanah markas kami?

Aku meraba-raba sekeliling. Tanganku menyentuh kain lembut di sebelah kanan. Aku ramas dan cuba tarik kain itu. Tiba-tiba cahaya terang menikam mataku. Aku menghadang cahaya dengan jari dan bila silauku berkurangan, aku dapat lihat sebuah almari solek di hadapanku dan sebuah pintu yang dicat warna ungu. Saat itu baruku sedar aku sudah kembali ke bilikku di rumah ibu dan ayah. Aku meraba-raba rambut dan seluruh badan. Rambutku pendek, lenganku berotot, tumit dan tapak kaki agak kasar. Aku miliki tubuh dewasaku, tapi aku sudah kembali ke satu zaman di mana aku masih remaja.

Cepat-cepat aku melompat turun dari katil dan buka pintu perlahan-lahan. Kedengaran suara ibu sedang bercakap-cakap dengan seseorang. Aku benci untuk mengakuinya, tapi aku tiba-tiba rasa rindu dengan suara ibu.

"Lepas habis sekolah nanti, balik rumah terus, Salika. Jangan nak melepak dengan Aumi dekat kedai kopi. Ibu risau kalau kamu balik lewat, tau." Kedengaran ibu sedang memarahi aku di dapur. Aku tersenyum sendirian sambil menyandarkan tubuh pada daun pintu.

"Hari ni balik cepat ibu sebab ada gym, saya nak mandi kat rumah. Shower dekat gym tu ada banyak lumut. Tak sukalah," kedengaran suaraku sendiri. Aku masih ingat perbualan ini. Jam di dinding menunjukkan pukul 7.15 pagi. Aku sedang bersiap-siap ke sekolah. Aku juga masih ingat lantai bilik mandi di gimnasium sekolah yang dipenuhi lumut.

"Bye ibu!" Tubuh remajaku sudah meninggalkan rumah dan berlari ke arah bas sekolah yang menunggu di tepi jalan.

Aku masuk semula ke dalam bilik dan melihat refleksi diriku di dalam cermin. Aku perlukan sesuatu untuk menyamarkan diri. Tidak banyak perbezaan rupa parasku ketika berusia 16 tahun dengan sekarang. Aku capai topi yang tersangkut di dinding dan sehelai jaket warna biru yang tergantung di dalam almari. Jaket itu bukan kegemaranku. Ada seorang guru yang menempahnya khas untuk pasukan bola keranjang dan kemudian salah seorang pemain bola keranjang melempar jaket itu kepadaku selepas pasukan mereka memenangi satu pertandingan. Aku bawa jaket itu pulang dan simpan di dalam almari, tak pernah tergerak hati untuk mengenakannya.

Bila terdengar bunyi enjin kereta ibu, aku bersedia untuk keluar dari rumah. Dia pasti mahu ke pasar pada waktu-waktu begini. Aku menjengah di tingkap, mahu melihatnya bernyawa buat terakhir kali. Kebetulan, ketika aku menjengah, ibu sedang mendongak di dalam kereta ke arah bilikku. Cepat-cepat aku sembunyikan diri. Aku tak sepatutnya terserempak dengan ibu.

Aku sampai di gimnasium sekolah kira-kira sepuluh minit sebelum loceng akhir berbunyi. Tempat yang kupilih untuk bersembunyi ialah sebuah stor kecil bersebelahan bilik persalinan perempuan. Sebaik sahaja kedengaran derap-derap tapak kaki memasuki bilik persalinan, aku menjenguk keluar. Beg Aumi ditinggalkan dari pintu gimnasium. Aku menanti beberapa minit sebelum melangkah ke luar. Sambil menundukkan muka, aku menyusur dinding gimnasium. Tanpa kuduga, seraut wajah tiba-tiba muncul di hadapanku - Aumi! Dia memandangku penuh kehairanan. Dengan pantas aku berpaling dan masuk ke bilik persalinan. Salah sebuah bilik mandi jadi pilihanku untuk menyorok sementara.

Setelah yakin Aumi tiada lagi di luar, aku buka pintu bilik mandi dan terus berlari ke arah pintu gimnasium. Beg sandangnya aku capai sepantas kilat sebelum aku berlari menghala ke kawasan pagar sekolah yang terdapat lubang besar - tempat di mana aku bolosi ketika masuk tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience