Bab 8
1995 - Catatan Kezus – 5
Kehadiran rakan baikku, Douv di kampus telah memulakan satu halaman baru dalam kisah hidupku. Douv, seorang pelajar genius Matematik yang kuanggap sahabat bagaikan sedarah sedaging kini sentiasa berada hampir denganku. Semangat dan suasana sewaktu di sekolah dulu, seolah-olah kembali dalam hidupku. Matlamat hidupku tiba-tiba jadi jelas dan nyata. Cita-cita yang selama ini kusimpan dan jadi hampir pudar, kembali menyinar dan meniupkan api semangat dalam diri.
Kini setiap pagi bila aku bangun dan berdiri di depan cermin, aku lihat Kezus yang segar, yang baru, yang kuat dan gagah. Apa sekalipun ujian yang bakal datang, aku tahu aku akan mampu tangani dengan baik.
Jelas sekali kekuatan baharu yang aku dapat ini datangnya daripada Dr. Lara juga. Sejak keluar bersama-sama Douv pada hari pendaftaran, Dr. Lara kian kerap mengundang kami berdua keluar. Kadang-kadang makan bersama. Ada masanya sekadar untuk minum kopi dan berbual-bual selepas waktu pejabat.
Aku tak banyak bercakap bila keluar bersama-sama mereka. Dr. Lara terlalu bijak untuk aku mungkin. Setiap potong ayat yang terlantun dari mulutnya mungkin memerlukan aku untuk berfikir selama setengah jam untuk menghadam maksudnya. Douv juga tidak banyak berbicara. Tetapi dia sentiasa ada jawapan kepada soalan-soalan yang diajukan oleh Dr. Lara. Aku kagum menyaksikan kebijaksanaan mereka. Belum pernah dalam sejarah hidupku, aku diapit oleh dua genius yang tidak bersaing antara satu sama lain. Kalau difikir-fikirkan, aku tak pernah diapit oleh dua genius pun. Selama ini aku hanya menyaksikan kepintaran Douv. Kini aku boleh menyaksikan dia dan Dr. Lara mengupas isu-isu yang tak pernah aku terfikirkan.
Bila aku renung-renungkan, mungkin mereka berdua datang dari dunia lain. Mungkin kami dari dimensi berbeza. Mungkin struktur DNA mereka ada keganjilan sehinggakan mereka ada sifat-sifat manusia super.
"Kezus," tiba-tiba Dr. Lara memanggilku yang sudah jauh mengelamun.
"Ya!" Aku membelingas.
"Ingat lagi tak kisah perempuan tua dari kampung saya dengan penganyam tikar mengkuang tu?" Tanyanya.
"Ya. Seorang berumur 120 tahun dan penganyam tikar tu berusia 150 tahun, bukan?"
Dr. Lara mengangguk tapi dia tidak tersenyum. Dia menghela nafas beberapa kali sebelum meneruskan.
"Sebenarnya, saya ada berita sedih."
Aku seperti sudah boleh mengagak. Pasti mereka sudah meninggal dunia.
"Penganyam tikar mengkuang tu baru saja meninggal dunia minggu lepas," kata Dr. Lara dengan nada sayu.
Aku dan Douv terdiam. Aku masih teringat kata-kata Dr. Lara: perempuan itu akan hidup selagi penganyam tikar mengkuang itu tidak mati.
"Macam mana dengan perempuan tua tu?" Soalku dengan suara yang mula bergetar. Aku tidak mengharapkan perkhabaran baik tetapi tidak juga mendoakan sesuatu yang buruk.
"Saya dapat panggilan tadi. Kata saudara saya di kampung, nenek tua tu sedang nazak." Dr. Lara tertunduk sebentar sambil memejamkan mata. "Jadi, saya fikir sekejap lagi saya nak pergi ziarah."
"Di mana Dr.? Di hospital atau di kampung?" Soal Douv.
"Di kampung. Kamu berdua nak temankan saya?" Tanya Dr. Lara. Aku dan Douv berpandangan. Douv yang mengangguk terlebih dahulu.
"Boleh Dr.," kata aku. "Sayapun teringin nak berjumpa dengan dia."
Petang itu Douv meninggalkan keretanya di fakultiku dan kami bertiga menaiki kereta Dr. Lara menuju ke kampungnya. Sesungguhnya aku sudah terlalu lama tidak menjejakkan kaki ke kampung. Nenek dan datukku sendiri tinggal di bandar. Jadi aku tak punya sesiapa untuk dilawati di kawasan kampung.
Kampung Dr. Lara terletak kira-kira 80KM dari universiti. Dia memandu agak laju. Sebagai pemandu wanita, dia langsung tidak menunjukkan sebarang riak takut atau terlalu berhati-hati ketika memandu. Keyakinannya mengemudi kenderaan benar-benar memikat hatiku yang sudah sekian lama terpikat pada dirinya.
Kereta dipacu laju sungguhpun lebuhraya agak sesak. Dr. Lara cuba menyembunyikan sesuatu daripada kami, aku tahu. Dia kelihatan terlalu terkejar-kejar, seolah-olah ada urusan yang belum selesai, atau ada janji yang belum ditepati.
"Awak rasa kita sempat tak jumpa dia ni?" Tanya Dr. Lara setelah suasana hening terlalu lama di dalam kereta. Stereo kereta pun tidak dipasangnya. Mungkin mindanya terlalu bising dengan fikiran celaru.
"Kalau ada rezeki kita, sempatlah Dr.," kata aku untuk menyedapkan hatinya.
"Dr.," kata Douv, perlahan. "Maafkan saya bertanya. Perempuan tua ni ada tali persaudaraan ke dengan Dr.?"
Dr. Lara memperlahankan sedikit kereta. Matanya masih fokus kepada jalan. Aku agak dia sedang menimbangkan sama ada mahu memberikan jawapan atau tidak kepada seorang pelajar yang baru dikenali tak sampai dua minggu.
"Sebenarnya dia moyang saudara saya. Sebelah ibu," akhirnya Dr. Lara menjawab. "Walaupun tak ramai orang yang tahu," tambahnya.
"Kenapa?" Soalku.
"Tak mudah untuk saya jawab soalan ni, Kezus. Nantilah, bila buku saya dah keluar nanti, semua orang akan mendapat jawapannya. Tapi, penerangan tu saya tak boleh ringkaskan menjadi beberapa ayat sahaja."
"Baiklah, kami akan beli buku tu nanti. Apa tajuknya?" Tanya Douv.
"Sebenarnya saya baru terfikirkan tajuknya tadi - masa saya memandu." Dr. Lara tersenyum.
"Taknak share dengan kami?" Aku jadi teruja mendengar khabar itu. Aku tak sangka Dr. Lara selama ini sedang mengusahakan sebuah buku. "Biografi ke, Dr.?" Soalku.
"Buku tu bukan biografi dan tajuknya 'Setia ke hujung nyawa'. Jangan lupa beli nanti, ya?"
Aku dan Douv bersabung pandangan. Douv menjongketkan keningnya. "Mestilah saya beli. Tajuk pun dah macam kisah cinta agung."
Dr. Lara tak tersenyum, namun dia tidak pula mempamerkan wajah muram. Aku dapat rasakan fikirannya sudah melayang jauh. Apa lagi yang dirisaukannya?
Kami tiba di kampung Dr. Lara ketika cuaca sudah mula redup. Kampungnya agak tradisional. Ada kelihatan pondok-pondok di tepi-tepi sawah yang menghijau dan kawasan dusun durian dan rambutan di sepanjang jalan.
Rumah yang kami tuju terletak berhampiran kawasan paya di mana terdapat banyak rumpun-rumpun mengkuang.
"Awak tahu, saya pernah terfikir untuk berikan tajuk buku tu 'Mengkuang' tapi bila fikir-fikir balik, saya bimbang nanti orang sangkakan itu buku kraftangan pula," kata Dr. Lara.
"Sebenarnya Dr. tulis kisah dongeng, bukan?" Aku meneka. Dr. Lara ketawa pendek.
"Ya, lebih kurang. Bagi orang di zaman moden ni, kedengaran seperti kisah dongeng. Tapi kalau dibaca oleh orang pada zaman dahulu, ia sekadar cerita rakyat - yang disampaikan dari mulut ke mulut - buat hiburan, buat melenakan mata."
Douv berdiam diri beberapa ketika. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya mungkin. Aku tahu dia sedang asyik berfikir dan pastinya bukan tentang formula matematik.
"Perempuan tu ada perjanjian dengan semangat mengkuang-mengkuang ni? Betul tak?" Douv menuding ke arah rumpun-rumpun mengkuang di dalam paya. Kami masih berada di dalam kereta. Pendingan hawa masih belum dimatikan.
Dr. Lara mengangguk dan tersenyum manis. Aku terleka sebentar. "Itu sebahagian daripada kisah yang saya tulis, Douv. Memang kehidupan mereka berdua ada kaitan dengan mengkuang-mengkuang ni." Dr. Lara menyandarkan tubuh ke kerusi. Tangannya pantas mematikan pendingin hawa dan mengisyaratkan kami agar mengikutnya naik ke rumah nenek tua yang berusia 120 tahun.
Ketika kakiku menjejak tanah kampung, lututku rasa menggeletar.
"Bagaimana kalau tanah ini ada sumpahannya sendiri?" Soalku dalam hati.
Share this novel