Bab 21
2080 - Catatan Salika – 10
Aku selesai membaca Setia ke Hujung Nyawa pada pukul 1 pagi Rabu, dan bertemu dengan Dr. Lara Helza pada jam 3 petang untuk berbincang dengannya. Dia kelihatan begitu letih bila aku masuk ke biliknya. Tangannya sedikit terketar-ketar saat kami bersalaman.
"Sorry, saya kurang sihat hari ni," suaranya juga lebih perlahan daripada biasa.
"Dr. Lara patut ambil cuti sakit. Dr. memang nampak macam tak sihat. Risau saya tengok," aku bersuara tanpa berfikir.
"Buat apa awak nak risaukan saya?" Dr. Lara seolah-olah tak suka kalau ada yang ambil berat tentangnya. Atau mungkin dia ingat aku bergurau.
"Bukan macam tu, Dr. Saya risau bila tengok orang sakit."
"Tapi awak tak ada apa-apa perasaan bila tengok orang mati, bukan?" Tiba-tiba suara Dr. Lara berubah jadi tegas dan garang. Pengalaman hitam yang aku sungguh-sungguh cuba lupakan, datang menerjah kembali. "Salika, saya tahu tentang awak, keluarga awak, kawan-kawan awak. Dan saya tahu awak tinggalkan mayat ayah awak, ambil semua duit dia dan larikan diri."
Aku ternganga dan terkaku sebentar mendengar kata-kata Dr. Lara. "Dr. tahu dari mana? Polis moral yang beritahu ke?" Aku dapat rasakan polis moral masih tak berpuas hati denganku sejak kes pertengkaran antara aku dan ibu bapa Aumi di kawasan perkuburan.
"Tak, ada orang yang calonkan nama awak untuk projek khas ni."
"Projek khas? Ada orang calonkan?" Aku rasakan bumi bagaikan berpusing laju. Apa lagi yang aku tak tahu tentang hidupku sendiri?
"Awak tentu ingat Aumi, bukan? Kawan baik awak tu," kata Dr. Lara diiringi batuk-batuk kecil.
"Aumi?" Aku ternganga sebentar. Betul-betul tak percaya dengan apa yang aku dengar. "Tapi Aumi dah bunuh diri. Bila dia calonkan nama saya?"
"Baiklah, saya perlu terangkan kepada awak, Salika. Aumi sebenarnya ialah salah seorang calon yang kami telah pilih untuk akademi ini. Dia sendiri yang hantar permohonan dengan rela hati. Saya tak pasti dia memohon untuk jauhkan diri daripada keluarga atau dia betul-betul minat. Tapi, kami dah baca permohonan dia dan lakukan background check. Dari situ kami dapat tahu tentang masalah keluarganya. Tapi kami tak dapat buat apa-apa. Beberapa minggu sebelum kematiannya, Aumi hantar satu surat pencalonan kepada kami mencadangkan nama awak. Katanya kalau dia diterima oleh akademi ini, dia nak awak turut serta."
Aku menutup mulut dengan tangan. Sungguh aku tak sangka. Aku telah khianatinya, baca diarinya dan berlakon depannya tapi dia merancang untuk terus bersama-samaku di akademi ini. Pada saat ini aku betul-betul berasa hina, keji. Apa yang telah aku lakukan pada Aumi?
"Bila Aumi bunuh diri, kemudian awak menghilang dan diikuti oleh kematian ibu awak, kami ambil keputusan untuk terus bawa awak ke akademi ini. Kami tahu awak dah tak berminat dengan sekolah. Kami hanya cuba menyelamatkan awak, Salika," terang Dr. Lara sambil merenung tepat ke mataku.
Terasa bagaikan sepasang tapak tangan sedang menampar wajahku serentak. Aku yang diselamatkan rupanya. Selama ini aku menyangka aku sudah benar-benar berdikari dan tak perlukan sesiapapun dalam hidup ini. Sejauh mana camar terbang pun, masih tetap perlukan dahan untuk bertenggek setiap kali pulang. Ternyata aku salah bila merasakan diriku adalah camar yang bebas.
"Jangan bimbang, Salika. Awak selamat di sini. Kami lindungi awak daripada saudara mara yang awak tak suka. Ada sesetengah daripada mereka yang tahu awak di sini, tapi kami sudah maklumkan tentang undang-undang akademi yang ketat."
Aku menelan liur. Dr. Lara tahu begitu banyak tentang diriku dan hidupku. "Terima kasih Dr. Lara," ucapku dengan suara tersangkut-sangkut. Terlalu banyak kebenaran yang aku perlu telan di saat ini.
"Baiklah. Boleh kita mulakan perbincangan?" Tanya Dr. Lara mengingatkan aku tujuan sebenar aku datang ke biliknya.
"Ya, boleh. Tapi sebelum tu, saya nak tahu kenapa saya ditugaskan untuk membaca buku tu? Apa kaitan kisah cinta tu dengan latihan saya di akademi ni?"
"Salika, tak banyak benda yang awak boleh belajar daripada perhubungan terlarang Jeha dan Beda. Itu kisah cinta yang sudah lapuk. Dah terlalu ramai penulis yang mengarang kisah yang sama berulang-ulang."
"Jadi, kenapa saya mesti baca kisah tu sampai habis?" Aku jadi bingung. Apa rancangan akademi ini untuk aku yang aku belum tahu?
"Saya mahu awak biasakan diri dengan latar cerita tu. Kisah tu dah berlaku lama dulu. Zaman tu takkan berulang. Awak tak dapat lihat semua tu hari ini. Sama macam gambar-gambar yang saya tunjukkan pada awak."
"Sorry, Dr. Lara. Saya masih tak faham apa yang Dr. dan akademi mahukan daripada saya melalui tugasan membaca novel tu." Aku menggeleng dengan wajah keliru.
"Okey, saya tak boleh cakap berlapik-lapik dengan awak. Saya kena beritahu terus terang." Dr. Lara menghela nafas dalam-dalam. "Awak akan diserapkan ke satu pasukan perisikan khas tak lama lagi. Kami sedang mempersiapkan awak untuk tujuan itu."
Mataku membuntang dan aku terhenti bernafas seketika. "Pasukan perisikan? Maksud Dr. saya akan dilatih untuk jadi spy?"
Dr. Lara mencebik sedikit sambil mengangkat kedua tangannya. "Well, kalau awak tak mahu, kami boleh hantar awak pulang ke pangkuan saudara mara awak."
"Jangan. Tolonglah, jangan buat macam tu. Saya tak mahu kembali ke hidup lama saya. Saya nak lupakan semua tu," aku merayu dengan suara yang menggeletar.
"Kalau awak dah betul-betul komited dengan tugasan awak, tolong ikut arahan dan jangan banyak membantah, boleh?" Dr. Lara menjegilkan mata tuanya yang agak sepet.
"Boleh, Dr. Saya janji akan berikan sepenuh komitmen saya pada tugas." Walaupun sukar untuk aku membayangkan diriku sebagai seorang perisik, aku rasa ia satu pilihan yang baik. Mungkin ini yang paling sesuai dengan jiwaku.
"Jadi, saya juga mahu awak tahu yang ahli perisikan dalam pasukan khas ini ada kalanya perlu merentas masa dan kembali ke zaman silam untuk mendapatkan maklumat. Saya mahu awak bersedia untuk itu. Sebab itu saya minta awak baca kisah Setia ke Hujung Nyawa. Supaya awak dapat gambarkan suasana negara ini lebih seratus tahun yang lalu."
"Merentas masa? Merentas masa? Merentas masa?" Aku tanyakan soalan itu berulang-ulang. Dr. Lara hanya tersenyum bangga memandangku.
"Hey, ramai yang bercita-cita nak masuk pasukan khas ni. Jangan sia-siakan peluang yang diberi pada awak," pesannya sambil mengeluarkan sesuatu daripada loker besi di tepi mejanya. "Saya nak awak tengok gambar-gambar ni pulak." Dia membuka sebuah album.
"Ini gambar Dr. semasa muda ke?" Soalku bila terpandang gambar seorang wanita tinggi lampai, berskirt labuh dan mengenakan blaus merah jambu. Rambutnya separas bahu dan dia sedang memeluk seorang lelaki yang kelihatan sebayanya.
"Ya. Itu gambar saya dengan kawan lama. Kezus namanya. Kami ambil gambar ni di fakulti. Waktu itu dia bekerja di universiti yang sama dengan saya. Kami memang berkawan baik sejak dia mula-mula masuk belajar di universiti ni." Sorotan mata Dr. Lara menggambarkan perhubungannya dengan Kezus lebih daripada hanya kawan. Aku sebenarnya ingin tahu tapi tak berani bertanya lanjut.
"Yang ni siapa pulak?" Aku menuding ke satu gambar Dr. Lara dengan seorang lelaki yang bertubuh sasa dan berambut lebat.
"Oh, ini Douv. Dia genius matematik. Saya pernah ada hubungan dengan dia tapi tak kekal." Dr. Lara menyelak album seolah-olah tak mahu memandang lama gambarnya dengan Douv. Pasti ada kisah lama yang mengganggu, fikirku.
"Dr., kalau saya tanya Dr. marah tak?" Aku agak takut-takut untuk meluahkannya.
"Awak belum tanya, mana saya tahu saya patut marah awak ke tidak," guraunya, acuh tak acuh. Aku ketawa kecil cuba menyembunyikan sedikit rasa gementar.
"Dr. ada anak ke?"
"Hmm... maksud awak yang sebenarnya? Saya pernah kawin ke tidak? Pernah beranak ke tidak? Ataupun awak nak pastikan berapa umur saya yang sebenarnya?" Dr. Lara menutup album lalu merenung tepat ke arahku.
"Er.. sebenarnya, semua di atas. Emm.. maksud saya, semua yang Dr. sebutkan tadi. Sorry, saya memang curious sikit." Aku jadi serba tak kena. Kalau Dr. Lara marah, apa patut aku buat?
"Okey. Dari muka awak pun saya dah tahu awak ni jenis curious." Dr. Lara kembali bersandar pada kerusi empuknya. Riak wajahnya lebih tenang, tidak lagi kelihatan seperti orang sakit. "Tak apa, bagus. Bagus sebenarnya. Tak salahpun kalau awak tanya soalan-soalan tu. Untuk pengetahuan awak, saya tak pernah kahwin, tak pernah ada anak dan umur saya sekarang ni dah nak masuk 109 tahun. Patutnya, awak tengok kedut-kedut ni pun dah tahu." Dia mengangkat kedua-dua tangannya lalu ketawa perlahan.
Aku hanya mampu ternganga. Tak berupaya untuk tersenyum, apa lagi ketawa.
Share this novel