Chapter 32

Romance Completed 14626

Bab 32

Salika menunggu di tangga manakala dua orang lagi pegawai bantuan menunggu di kawasan lobi hotel. Seorang lagi merayau-rayau di kawasan luar hotel, memerhatikan kalau-kalau ada sesuatu yang aneh berlaku.

"Pelawat tadi baru sahaja keluar. Ada sebuah teksi menunggunya," pegawai bantuan bernama Eran melaporkan dari lobi hotel.

"Kau dapat rakam semuanya?" tanya Salika.

"Dapat, puan. Maklumat sudah dihantar ke pusat kawalan untuk dianalisa. Kita perlu tunggu sepuluh minit untuk dapatkan keputusan," ujar Eran sambil matanya masih tidak lekang memerhati beberapa lagi tetamu hotel yang baru masuk melalui pintu utama.

"Baik, Dakara akan terus berkawal di bawah. Kamu naik ke tingkat dua sekarang, Eran," Salika memberikan arahan kepada pegawai-pegawai yang masih di tingkat bawah. Eran mula berjalan pantas dan terus memanjat tangga. Pistol yang tersisip di pinggang terus ditarik keluar.

Salika terus berlari ke arah bilik Kezus. Voon yang berkawal di luar hotel menghubunginya. "Puan, kami telah mengesan data dalam kuantiti besar telah dimuat turun melalui gelombang mikro ke lokasi ini. Lebih tepat, ke bilik Kezus. Harap maklum."

"Baik, saya akan masuk sekarang dengan Eran," kata Salika sambil memberikan isyarat kepada Eran untuk membuka pintu. Eran memulas tombol, tidak berkunci. Daun pintu ditolak perlahan-lahan.

Kelihatan Kezus terbaring di lantai, masih bernafas tetapi matanya terpejam. Dua cawan kopi masih terletak elok di atas meja kaca di sebelahnya. Hanya secawan yang luak. Salika menyalakan lampu utama untuk mendapat pencahayaan yang lebih baik. Kelihatan darah segar mengalir dari leher Kezus, terdapat satu kesan tusukan kecil.

Eran pantas memeriksa nadi dan anak mata Kezus. "Dia cuma pengsan. Mungkin kesan sementara daripada ubat penenang." Kopi di dalam dua cawan di atas meja dihidunya seketika. "Yang ini sudah diisi dadah." Eran menunjuk ke arah salah satu cawan.

"Data apa yang mereka muat turun ke sini? Di mana data itu disimpan?" soal Salika sambil memeriksa kesan luka di leher Kezus dengan lebih teliti. Eran mengeluarkan alat pengesan yang tersimpan dalam saku jaket lalu dia mengimbas tubuh Kezus. Satu imej terpancar di dinding putih berhampiran tubuh Kezus yang terbaring. Kelihatan beberapa nanocip tertanam di bahagian leher dan pelipis lelaki itu.

"Cuba zoom, aku nak tengok," pinta Salika. Eran terus membesarkan imej nanocip. Tiada maklumat rekaan siapa atau dikilangkan di mana. "Nampak macam teknologi militari. Boleh kau cuba keluarkan?" tanya Salika tetapi Eran menggeleng.

"Boleh menyebabkan kematian. Nanocip ini bersambung dengan beberapa saraf penting."

Saat itu juga Kezus mula mengerang lemah.

Eran cepat-cepat menyimpan alat pengimbas dan Salika mengeluarkan seutas jam Kadura dari beg selimpang. Jam di tangan kiri Kezus ditanggalkan dan diganti dengan jam Kadura yang sama rupa dan rekabentuk. Tempat-tempat yang haus dan calar-calar juga sama. Salika perlu mengekori dan memerhati lelaki ini dengan lebih dekat dengan harapan dia akan membawa mereka kepada pihak yang mengupahnya.

Salika dan Eran menyelinap keluar dari bilik Kezus dan merapatkan pintu. Kezus terus terlena sehingga matahari tepat di atas kepala pada keesokan harinya.

* * *

Telefon bimbit berbunyi nyaring di ruang tamu. Dassa yang sedang menikmati jus oren di dapur, terus berlari sambil tersenyum-senyum. Ibubapanya yang sedang berehat membaca akhbar di ruang tamu memandang-mandang penuh makna.

"Borain telefon...." bisik Dassa, penuh teruja sebelum menjawab panggilan. "Hello, awak apa khabar?" Itu sahaja yang didengar oleh ibubapanya sebelum Dassa berlari memanjat tangga lalu menghilang ke dalam bilik tidurnya.

"Dah bersedia untuk esok? Full dress rehearsal yang terakhir, bukan?" Suara Borain kedengaran sedikit serak di hujung talian.

"Mudah-mudahan sudah sedia. Awak macam mana?" Dassa merapatkan sedikit pintu bilik lalu berbaring di katil bujang bercadar ungu.

"Saya macam biasa, sentiasa bersedia, mencurah bakti pada negara. Fullamak, macam surreal sangat bila aku cakap macam tu," ujar Borain dengan penuh rasa bangga. Tubuh Dassa menggigil, menahan tawa.

"Tahulah awak tu kadet laut. Bukan awak seorang saja yang berbakti pada negara, tahu?" gurau Dassa. Mereka sama-sama terlibat dengan perbarisan Hari Kebangsaan. Selepas ini mungkin tidak berpeluang lagi kerana tahun depan mereka akan menghadapi peperiksaan penting.

"Malam ni tidur awal, esok mesti bangun pukul 4 pagi," pesan Borain membuatkan Dassa teringatkan sesuatu.

"Tengah hari tadi saya berbual-bual dengan Manisha dan Eranie Khoo. Awak tahu tak, kita akan jadi sebahagian daripada lipatan sejarah?" Nafas Dassa turun naik, teruja mengingatkan perbincangan mereka selepas latihan persembahan tadi.

"Mengapa pulak? Kawan saya lagi hebat, dia pernah masuk perbarisan hari kebangsaan sampai tiga kali!"

"Tapi, kita sertai perbarisan Hari Kebangsaan pada tahun 2020." Dassa memotong kata-kata Borain. "Lebih bersejarah, bukan? Kita akan mendengar ucaptama daripada Perdana Menteri mengumumkan Hi-Mueliya sebagai sebuah negara maju."

Borain terdiam sejenak sebelum berkata, "Betul juga. Kadang-kadang saya terlupa betapa bertuahnya kita."

"Ha, tahu takpe. Lepas ni jangan asyik nak merungut tentang duit belanja tak cukup," nasihat Dassa, separuh mengusik.

"Baiklah, selamat malam tuan puteri. Jumpa esok, selepas latihan, ya?"

"Okey!" sahut Dassa, penuh ceria. Telefon bimbit diletakkan di meja sisi lalu Dassa menghumbankan diri ke atas tilam, tersenyum meleret. Hanya Borain yang mampu membuatnya tersenyum sebegitu.

Hati Dassa bernyanyi senang. Ini saat paling indah dalam hidupnya. Berkenalan dengan Borain dan mereka terus menjadi rakan karib. Kemudian, terpilih untuk menjadi salah seorang penari untuk acara persembahan di sambutan Hari Kebangsaan. Ini akan jadi kenangan paling manis dalam hidupnya.

* * *

28 Ogos 2020

Kezus menggenyeh-genyeh matanya yang pedih terkena panahan matahari. Langsir yang tersingkap telah memberi laluan kepada jalur-jalur sinar suria yang sedang berada tepat di atas kepala.

"Ah..." Kezus mengeluh sambil memegang kepala yang berdenyut. Dia berbaring di atas lantai bilik yang beralas permaidani lembut. Kezus meraba-raba bahagian sisi untuk mencari sesuatu untuk dipaut bagi membantunya bangun. Kaki meja kopi dicapai dengan tangan kanan, manakala tangan kiri menopang tubuh. Dengan sekali henjut, dia berjaya menegakkan badan.

Nafasnya termengah-mengah dan tangannya menggapai bahagian tepi sofa. "Douv…. Douv," Kezus menyeru nama rakannya dengan suara yang lemah. Bilik sunyi, seruan tidak bersambut. Kezus kerling jam di tangan. Sudah 12.30 tengahari.

"Ingat misi kau! Ingat misi kau!"

Ada suara yang membisik-bisik dalam kepala Kezus. Dia menggeleng beberapa kali.

"Jangan lupa misi kau! Ingat tujuan kau berada di sini!"

Suara itu terus bergema-gema, mengelirukannya.

"Ahh!! Apa ni??" Kezus menjerit sambil memicit-micit kepalanya. Rasa berdenyut tadi kian lama kian berkurangan. Dia menyandarkan tubuh kepada sofa berbunga besar, merenung ke dinding. Beberapa tulisan kabur mula terbentuk di dinding putih, sebuah peta terperinci juga mula muncul. Kezus menggenyeh-genyeh mata lagi.

Beberapa saat kemudian gambaran yang muncul menjadi terang dan nyata. Imej yang terpantul seolah-olah dipancarkan terus dari kornea mata Kezus sendiri. Kelihatan peta pusat pemerintahan kerajaan, Belzeya dan beberapa kawasan kompleks bernyala dengan warna merah. Beberapa baris tulisan besar di bawah peta semakin jelas:

"SASARAN PADA 30 OGOS 2020. SEKTOR 1, 2 DAN 3, BELZEYA. TUNGGU ISYARAT SETERUSNYA."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience