Bab 52
Peluh sudah mula membasah pelipis dan belakang Borain. Sejak tadi dia tidak berhenti mendail nombor rakan-rakannya: Dassa, Eranie Khoo dan Manisha. Semuanya tidak berjawab. Mungkin mereka semua sudah masuk tidur kerana mereka seharusnya berada di tempat berkumpul berhampiran Kementerian Kewangan pada pukul 6.45 pagi esok.
"Macam mana? Dapat contact diorang tak?" tanya Arkun yang baru selesai berbicara dengan beberapa orang rakannya tentang apa yang dia syaki sedang berlaku di Belzeya.
"Tak dapat, bang. Macam mana saya nak halang mereka daripada pergi ke raptai penuh pagi esok? Kita semua berada dalam bahaya, bang. Kalau mereka pergi ke sana pagi esok, tak tahu apa yang akan terjadi." Kerisauan di wajah Borain tidak dapat diselindung lagi. Bibirnya makin pucat setiap kali nombor yang didail tidak berjawab.
"Ada nombor ibu bapa mereka?" tanya Arkun. Borain menggeleng.
"Hantar pesanan ringkas dan tulis e-mel sekarang. Harap-harap mereka baca pagi-pagi esok!" gesa Arkun dan Borain menuruti cadangan abangnya.
"Tapi, kalau mereka terus pergi ke tempat raptai pagi esok, macam mana?" soal Borain setelah selesai menghantar e-mel kepada rakan-rakannya. Ketiga-tiga orang rakan karibnya tinggal agak jauh dari Belzeya. Mungkin mereka langsung tidak mendengar berita tentang keadaan di Belzeya, bagaimana semua bangunan telah diarahkan untuk dikosongkan sehingga satu masa yang belum ditentukan.
"Takkanlah mereka tak bawa telefon?" Arkun cuba memangkas kerisauan adiknya.
"Mereka lebih berminat dengan kamera DSLR daripada telefon bimbit, bang." Borain arif benar dengan perangai dan minat rakan-rakan baiknya. Mereka tidak seperti remaja lain yang asyik melekat dengan telefon bimbit.
Arkun menggaru-garu kepala. "Ah, kita fikirkan sama-sama malam ni. Jom masuk tidur, nanti mak marah." Serentak, dua beradik itu mengerling ke arah jam dinding. Pukul 10.45 malam.
Mereka terus masuk tidur tanpa menghidupkan televisyen ataupun radio dan langsung tidak mendapat berita terbaharu tentang bangunan Menara Tani yang sudah diletupkan.
* * *
Wilma baru sahaja membelok selepas lampu trafik di Sektor 4 bila ledakan pertama kedengaran. Serta merta Wilma memperlahankan kenderaan. Dia dan Salika melilau mencari arah datangnya bunyi letupan yang menggegarkan.
"Bangunan yang itu! Tengok sana!" Salika menuding ke arah bangunan yang tertulis Menara Tani. Huruf 'M' dan 'T' telah gugur akibat ledakan kuat tadi. Yang tinggal hanya perkataan 'enara ani'.
Wilma memandu terus ke hadapan dan melakukan satu pusingan 'U' lalu menuju ke arah Menara Tani yang menghamburkan runtuhan-runtuhan kecil dan besar. Kira-kira 50 meter sebelum mereka sampai betul-betul di hadapan bangunan, satu lagi letupan kedengaran yang membuatkan Salika menutup kedua telinganya. Kelihatan ketulan-ketulan konkrit besar mula berjatuhan. Wilma mengundurkan kereta dengan laju untuk menyelamatkan diri mereka.
Apabila kereta berhenti, cermin diturunkan dan kedengaran derap-derap tapak kaki berlari laju di sekitar kawasan kejadian. Salika menjenguk ke luar untuk melihat puluhan anggota polis berpakaian seragam sedang memecut ke arah Menara Tani. Pastinya tadi mereka sedang melakukan kerja-kerja mengesan bom di bangunan-bangunan berhampiran.
Salika segera menghubungi Eran.
"Kamu semua di bangunan mana?" tanya Salika. Bunyi bising kedengaran di latar belakang.
"Kami di Jabatan Pendaftaran. Ramai yang bergegas hendak melihat letupan tadi. Kau tau di mana?" soal Eran, nafasnya tercungap-cungap seakan sedang berlari.
"Tadi ada dua letupan besar di bangunan Menara Tani. Aku berada di hadapan bangunan itu sekarang," ujar Salika lalu keluar dari kereta untuk melihat keadaan sebenar. Wilma turut keluar dan berjalan beriringan dengan Salika.
"Semua bangunan yang kami telah periksa, tiada bahan peledak yang berjaya dikesan. Bangunan Menara Tani belum dimasuki oleh pasukan pengesan dan pemusnah bom," Eran melaporkan. Salika hanya mengangguk. Seorang anggota polis memberi isyarat agar mereka berdua menjauhi kawasan kejadian. Langkah Salika dan Wilma terhenti. Mereka membatalkan hasrat untuk meninjau Menara Tani dan berpatah balik ke kereta.
"Eran, aku dan Wilma perlu ikut pasukan pengesan sekarang. Kami perlu pakaian seragam."
Eran memberikan lokasi van pakaian diparkir. Rafiki akan menunggu Salika dan Wilma di sana.
"Pasukan aku akan terus ke Sektor 2 untuk memeriksa Jabatan Imigresen. Pasukan Dakara sekarang berada di Kompleks Kehakiman. Telefon kami bila kau dah sedia," pesan Eran dalam suasana yang riuh rendah. Selepas dua letupan di Menara Tani tadi, keadaan menjadi sedikit kelam kabut. Ramai anggota yang dikerahkan untuk menangani situasi di Menara Tani, manakala selebihnya perlu meneruskan operasi mengesan bahan peledak di semua bangunan.
"Kami akan sertai kamu sebentar lagi," kata Salika sebelum dia dan Wilma berlari ke tempat van pakaian seragam diparkir. Rafiki sudah tercegat menanti mereka di situ.
Apa yang kau dah buat ni, Kezus? Kau tak sayang negara kau sendiri ke, Kezus? Soalan-soalan itu terus menerjah fikiran Salika.
* * *
Sepuluh minit selepas letupan bom berlaku di Menara Tani, Douv menghubungi Panglima Aziman lagi.
"Sekarang baru Panglima sedar bahawa kami benar-benar serius, bukan? Ada beberapa lagi bangunan kerajaan yang kami bakal letupkan. Semua bom dah diaktifkan, cuma tunggu saya tekan butang aje, Panglima," Douv mengiringi kata-katanya dengan deraian tawa. Panglima Aziman membisu di hujung talian. "Berapa ratus pegawai sudah dikejarkan ke Belzeya? Ada orang awam yang mati?" Douv ketawa lagi. "Saya sekadar bertanya, tapi sebenarnya saya tak peduli, Panglima. Saya tak peduli. Jadi, sekarang macam mana? Perdana Menteri akan terus berucap atau batalkan rancangannya?" Douv mengingatkan kata dua yang diberikan kepada Panglima Polis Hi-mueliya beberapa jam yang lepas.
"Perdana Menteri dah bersetuju untuk tidak menghadiri persidangan itu. Beliau juga tidak akan menghantar wakil. Jadi teks ucapan itu tidak akan dibaca oleh siapa-siapa." Panglima Aziman menghela nafas sebentar. "Kamu puas hati sekarang?”
"Adakah Panglima betul-betul pasti, atau itu semua sekadar manis-manis mulut sahaja?" Suara Douv yang menjengkelkan menujah-nujah gegendang telinga Panglima Aziman. "Atau orang-orang Panglima sedang cuba mengesan dari mana panggilan ini dibuat?" Douv ketawa lagi.
Panglima Aziman terbatuk-batuk lagi, kali ini lebih teruk. "Dengar sini!" Dia meninggikan sedikit suaranya yang serak. "Aku dah katakan tadi Perdana Menteri takkan hadiri persidangan itu. Jadi, kau hentikan semua rancangan kau hendak mengebom Belzeya."
"Apa jaminan yang Panglima dan Perdana Menteri boleh berikan? Saya mahu benar-benar pasti, dan jangan cuba mempermain-mainkan saya!" Douv memberikan amaran lagi. Kali ini dia yakin Panglima Aziman sedang kecut perut di hujung talian. Mereka sudah tahu keupayaan ejen-ejen N.A.I.A dan apa yang telah diperkatakan sejak tadi bukanlah sekadar cakap-cakap kosong.
"Kamu mesti pernah dengar kata-kata orang lama: Kalau lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji. Walaupun aku tak boleh berikan apa-apa jaminan, Perdana Menteri sudah berjanji dia tak akan menghadiri persidangan kemuncak itu. Dia akan tepati janji tu. Nyawa orang-orang awam di Belzeya jauh lebih penting daripada ucapan selama 45 minit." Panjang lebar kata-kata Panglima Aziman untuk meyakinkan ejen N.A.I.A yang sudah melampaui batas itu.
"Baiklah. Saya betul-betul berharap janji itu ditepati." Douv terus mematikan talian.
Kezus, Manod, Mark, Timothy dan Esky merenungnya penuh tanda tanya - apakah tindakan seterusnya? Douv mengeluarkan sebatang rokok dari kotak dan mula mencucuh dengan pemetik api. Dia menghembuskan asap perlahan-lahan sambil menikmati rasa tembakau yang pahit-pahit manis. Seluruh bilik dibalut sepi. Kemudian Douv tiba-tiba bangun dan memancarkan pelan wilayah Belzeya di skrin putih.
"Pindahkan semua peledak ke dalam trak. Kita akan mula pasangkan di bangunan-bangunan mengikut turutan yang sudah kita rancangkan seperti yang tertulis dalam pelan ini. Kita akan bergerak ke Belzeya pada pukul 4:30 pagi."
Kezus bangun dari kerusi dengan wajah gusar. "Tapi, mereka dah setuju dengan syarat kita. Perdana Menteri Hi-Mueliya dah membatalkan hasratnya untuk mempengaruhi pemimpin-pemimpin Persatuan Pengeluar-pengeluar Minyak Dunia. Malah dia tak akan hadir pun ke sidang kemuncak itu. Mengapa kita masih nak teruskan misi ini?" selar Kezus.
"Aku minta mereka tepati janji, tapi aku sendiri tak ada janji apa-apa, bukan? Aku rasa kau masih belum fahamlah, Kezus. Misi kita ialah melumpuhkan Belzeya, bukannya membuat janji dengan kerajaan Hi-Mueliya," ujar Douv dengan riak angkuh.
Semua ahli pasukannya mula bergerak mengikut arahan yang diberikan, kecuali Kezus. Dia hanya termangu di tepi tingkap, menyesali kewujudannya di dunia ini. Pada saat-saat getir begini, hanya kematian yang terbayang di depan mata. Semua akan pergi, akan mati satu hari nanti, tapi kenapa ada yang terpaksa mati dalam keadaan tragis sebegini? Berapa ramai anak-anak yang akan jadi yatim? Berapa ramai yang akan kehilangan orang tersayang? Berapa banyak keluarga yang akan terabai setelah kehilangan ketua keluarga?
Hatinya terus merintih dan di saat-saat getir ini tiba-tiba satu nama muncul di ruang ingatan. Nama yang sudah lama dihapuskan, mungkin atas kerelaannya sendiri, atau mungkin juga oleh mesin rekonfigurasi yang dioperasikan oleh Esky. Lara Helza. Dia tak tahu di mana Lara Helza sekarang. Dia cuma tahu Lara Helza akan hidup lama dan akan berjasa kepada negara. Tidak seperti dirinya; dia kini lebih hina daripada sampah masyarakat.
Share this novel