Chapter 41

Romance Completed 14626

Bab 41

April 2083

Perkhabaran yang diterima daripada Kapten Salika sebentar tadi membuatkan Mejar Huza termenung panjang. Ejen yang menggunakan identiti Kezus Hemira hilang di lapangan terbang. Dia tidak menaiki penerbangan ke Los Volvimos. Ini sesuatu yang merumitkan. Mereka perlu Kezus Hemira kembali ke Los Volvimos agar dapat membawa mereka kepada pihak yang mengupahnya. Mereka boleh sahaja menghapuskan Kezus tanpa sebarang masalah, tetapi itu tidak akan menghentikan usaha pihak yang ingin menghancurkan pusat pemerintahan Hi-Mueliya.

"Apa lagi kebolehan yang dimiliki oleh Kezus Hemira, tuan?" Kapten Adonis memecah hening. Fail biodata milik pensyarah bernama Kezus Hemira yang pernah berkhidmat di Universiti Kebangsaan Hi-Mueliya berada di tangannya.

"Dia seorang pensyarah dalam bidang tenaga termasuklah tenaga nuklear, banyak menyelidik dan terlibat dalam meningkatkan energy efficiency untuk keperluan industri. Kezus memang berbakat tetapi dia seorang yang selalu memencilkan diri, sehinggakan perhubungan dengan isterinya jadi renggang. Mungkin kerana dia asyik memikirkan kerjanya, dia kurang suka bersosial." Mejar Huza berpeluk tubuh di hadapan Kapten Adonis dan Sarjan Maisa.

"Dia memang calon yang sangat layak untuk tugas ini. Selain daripada kepakaran dalam sains dan teknologi, Kezus juga masih sihat tubuh badan, walaupun dah berusia," Sarjan Maisa menambah.

"Tapi, ejen ini hanya memiliki ingatan dan pemikirannya. Tak mungkin dia boleh mendapat kekuatan fizikal Kezus," bangkang Kapten Adonis.

"Ejen ini sudah dilatih selama lebih 2 bulan di Los Volvimos, Kapten Adonis. Daripada rakaman yang telah kita saksikan, jelas kelihatan kepakarannya seperti seorang komando." Mejar Huza berdiri mengadap skrin putih yang memancarkan imej Kezus Hemira yang lengkap berpakaian tahan lasak. Gambar yang diterima daripada salah seorang perisik yang berada di Los Volvimos ketika itu.

"Gangguan-gangguan yang diatur oleh Kapten Salika dah tak berhasilkah?" Sarjan Maisa mengubah tajuk perbincangan. Mejar Huza berpaling dan merenung kosong ke arahnya.

"Pasukan kita hampir berjaya memesongkan perhatiannya. Bila keseimbangan emosinya terganggu, keperibadian Kezus menjadi begitu dominan dalam tubuh ejen itu. Oleh sebab itu Kezus bersetuju untuk kembali ke Los Volvimos. Tapi malangnya sekarang ini nampaknya usaha pasukan kita sudah dipintas. Pasti mereka sudah menyedari perubahan pada Kezus dan fokusnya yang sudah beralih arah."

Kapten Adonis tiba-tiba bangun dari kerusi. "Mungkinkah mereka dah menghapuskan Kezus Hemira? Dan menggantikan dengan ejen lain?"

"Tak mungkin Kapten Adonis. Mereka mahu melakukan kemusnahan di Belzeya sebelum sambutan Hari Kebangsaan Hi-Mueliya. Semuanya sudah dirancang dengan begitu rapi," jawab Mejar Huza penuh yakin.

"Kalau begitu, mengapa mereka hanya melatih seorang ejen? Tidak dua atau tiga?" tingkah Sarjan Maisa, tiba-tiba merasakan ada sesuatu yang aneh dalam rancangan yang diatur pihak musuh.

Mejar Huza mengambil sedikit masa sebelum terus menjawab soalan itu. Dia berjalan sambil berpeluk tubuh di sekitar bilik, merenung ke luar tingkap dan kemudian bersandar di salah satu tiang konkrit.

"Ejen yang kita kenali sebagai Kezus Hemira ini asalnya ialah salah seorang penjenayah yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup," kata Mejar Huza sambil menunjuk ke arah imej di skrin putih. "Entah bagaimana dia boleh diupah untuk tugas ini, kita tak tahu. Yang pasti, selepas ini dia akan terus hidup dalam buangan ataupun dibiarkan mati keseorangan."

"Maksud tuan, ejen ini hanya digunakan untuk menyempurnakan satu tugasan?" Kapten Adonis menyoal. Mejar Huza mengangguk.

"Ya. Dan selepas itu dia tiada guna lagi."

29 Ogos 2020

Douv menyusun langkah dengan teratur selepas melewati pramugari terakhir yang mengucapkan selamat jalan padanya. Dia meninggalkan pesawat yang telah membawanya dari Sebsera; beg kecil dan beberapa fail nipis dikelek. Dia dan Manod berjalan beriringan tanpa bertutur sepatah kata. Memasuki ruang ketibaan, suasana agak hingar bingar dengan para penumpang yang mencari pintu pelepasan untuk penerbangan transit. Ada juga yang berkejaran ke tandas untuk merapikan wajah dan melepaskan hajat.

Manod mengerling ke skrin mencari-cari tali sawat mana yang patut mereka tuju.

"Island G," bisiknya kepada Douv, pasti. Mereka berdua percepatkan langkah.

"Ada logo gambar Harimau pada beg tu, kan?" tanya Douv.

Manod mengangguk. "Ya, pada sudut atas, kiri."

Itulah pesanan yang diterima beberapa minit yang lepas. Mereka berhenti di island G selepas Manod menarik salah sebuah troli keluli dengan pemegang beralas plastik dari bahagian simpanan. Mereka menunggu kira-kira dua minit sebelum logo Harimau yang berwarna kuning dan garang kelihatan. Douv memberikan isyarat mata kepada Manod untuk bersedia.

Mereka berdua membongkok sedikit lalu mengangkat bagasi besar berwarna hitam itu serentak. Logo Harimau berada di bawah ketiak Douv di saat dia menahan nafas, mengumpul tenaga untuk mengangkat bagasi itu dan memindahkannya dengan berhati-hati ke troli.

Nafas lega dihembus setelah usaha mereka selesai. Manod meregangkan lengannya yang berasa sedikit lenguh menahan bagasi seberat lebih 60kg. Douv menolak troli perlahan-lahan. Beberapa orang pegawai kastam tersenyum-senyum melihatnya.

"Banyak membeli belah di Sebsera ke?" tanya salah seorang pegawai kastam yang memakai tanda nama ‘Norima’. Douv hanya tersengih-sengih.

"Tak sempat beli-belah, puan. Kami berdua kerja di sana sebulan," jawab Douv penuh sopan. Pegawai bernama Norima hanya mengangguk, langsung tidak mengesyaki pembohongan dua lelaki itu. Senyuman mesra terus terukir di pinggir mulutnya.

Douv dan Manod berjalan dengan tenang melalui lorong menuju balai ketibaan. Tiada siapa yang menunggu mereka di situ. Douv tercari-cari wajah seorang lelaki kurus, berwajah pucat dan berambut serabut.

"Ah, mana pulak perginya budak ni? Cepatlah sikit! Kita ada 5 minit saja lagi ni," rungut Douv bila lelaki kusut masai itu masih belum muncul.

Manod menuding ke arah eskalator. "Ha! Panjang umurnya. Itupun dia!" Lelaki berambut serabut sedang berlari-lari anak ke arah mereka.

"Sorry! Sorry! Aku kena tahan security guard tadi," termengah-mengah lelaki kurus itu menyatakan alasannya. Segugus kunci dihulurkan kepada Douv. "Kereta dekat pintu hujung," bisiknya dengan nafas yang masih turun naik, tidak sekata.

"Esky, lain kali jangan lalai. Kalau terlambat seminit pun, macam-macam boleh jadi, tahu?" Douv sedikit berang.

"Sorry, aku tak buat lagi," ujar Esky penuh kesal. Jari jemarinya terketar-ketar menyikat rambut serabut.

Douv dan Manod terus menolak troli dan meninggalkan Esky yang terduduk kepenatan di bangku plastik. Sebuah MPV menanti mereka di luar pintu paling hujung. Manod mengilas-ngilas tubuh, cuba melonggarkan otot - bersedia untuk mengangkat Kezus ke dalam kereta pula -- Kezus yang sedang mengerekot dalam bagasi hitam dengan logo Harimau.

* * *

Salika mengurut-urut lehernya yang makin lenguh. Semua pegawai yang memerhati tidak memberikan laporan yang diinginkan. Tiada seorangpun yang terlihat kelibat Kezus mahupun dua lelaki kaukasia yang dicari. Alat pengimbas wajah yang dibekalkan kepada setiap pegawai tidak memberikan sebarang keputusan positif.

"Aku akan beri masa sampai 12 tengah hari. Kalau kita tak dapat apa-apa, bertukar ke rancangan lain," Salika mengumumkan kepada semua rakan setugasnya melalui saluran komunikasi. "Teruskan dengan scanner yang kamu ada, tapi berhati-hati, jangan sampai airport security jadi curiga pulak," pesannya.

Eran duduk di sebelah Salika, dia baru sahaja tiba, menggantikan Voon. "Aku akan minta Dakara datang ke sini, biar aku pergi ke aras ketibaan pula," cadangnya dan Salika cuma mengangguk.

Tiada idea lain yang lebih bernas untuk diberikan kepada pasukannya sekarang, mindanya berserabut, bingung. Bagaimana ketiga-tiga lelaki itu boleh menghilang begitu sahaja? Tak mungkin terus-terusan bersembunyi di terminal? Tak mungkin juga mereka menaiki penerbangan ke Los Volvimos. Mereka sudah semak, Kezus tidak menaiki pesawat itu. Malah, dia tidak mendaftar masuk pun.

Dakara datang menghampiri Salika beberapa minit kemudian. Matanya merah. "Dua jam lagi?" soalnya.

"Ya." Salika mengangguk lemah. Blueprint yang terpapar di skrin UltraPad dikerling lagi. Semua titik masih berwarna hijau. "Kau pergilah beli sarapan dulu."

Dakara baru sahaja mengangkat punggungnya dari kerusi bila salah satu titik hijau tiba-tiba berubah menjadi merah. "Hey, tengok tu! Itu posisi aku tadi! Eran tengah standby kat situ." Dakara menuding ke arah skrin. Salika terbelingas.

"Eran! Teruskan dengan laporan!" Dia merapatkan mikrofon halus ke bibir.

"Aku ternampak lelaki yang menyerupai Douv, kawan Kezus dengan lelaki yang datang ke hotel kelmarin. Mereka bawak beg besar warna hitam. Terlalu besar, bagi aku. Tak logik pulak kalau dua lelaki bawa pakaian sebanyak itu. Entah-entah dalam beg tu ada mayat Kezus." Laporan Eran disampaikan dengan petah dan laju. Salika dan Dakara pantas bangun dan mengemas peralatan.

"Kami semua nak pergi ke aras ketibaan sekarang!" kata Salika sebelum memecut ke arah eskalator. Mata Dakara cerah kembali.

"Cepat! Mereka dah dekat nak sampai ke pintu keluar yang paling hujung." Suara Eran tenggelam timbul di telinga Salika yang sedang berlari, melangkaui tiga empat mata tangga eskalator.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience