Bab 34
Tiada pilihan lain. Salika perlu bertentang mata dengan Kezus dan menerangkan perkara yang sebenarnya - mungkin bukan seratus peratus kebenaran yang wajar dikongsikan, tetapi memberinya cukup maklumat hingga dia menarik diri daripada misi besar itu. Dia yakin apa yang dilakukan Kezus sekarang diluar kerelaannya. Mungkin dia berada dalam situasi yang menjerut diri yang membuatkannya bersetuju untuk melaksanakan misi ini. Mungkin dia tidak berfikiran waras ketika itu hingga memaksa dia memperjudikan nasib berjuta-juta manusia.
Mungkinkah Kezus sudah tak ingat siapa dirinya yang sebenar? Mungkin hanya sebahagian ingatannya yang tinggal. Sekali sekala Salika membelek gambar Dr. Lara Helza dan Kezus yang ada dalam simpanannya. Wajah lelaki yang sedang dipantaunya berlainan sekali dengan wajah Kezus yang direnungnya. Lelaki itu berkulit gelap dengan rambut seperti askar dan kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar Kezus. Tidak menghairankan, kerana hanya ingatan dan identiti Kezus yang dipindahkan. Mungkin mereka tak perlukan kekuatan fizikal yang sama. Mungkin juga, mereka memilih tubuh yang lebih sihat dan kuat untuk melaksanakan misi ini. Tetapi mereka perlukan kepintaran orang seperti Kezus – yang punya kepakaran dalam pelbagai bidang.
Kereta yang dipandu Salika memintas Tayda milik Kezus dalam perjalanan ke Belzeya. Salika memarkir kenderaan di ruang terbuka manakala Kezus berpusing-pusing di sekeliling bangunan kementerian di Sektor 4, mencari ruang parkir yang paling hampir. Salika berjalan pantas dalam kepayahan dengan dress panjang yang sangat jarang dikenakannya. Dia melewati beberapa pegawai kementerian di kawasan pintu masuk. Wajahnya ditundukkan, bimbang disoal atau dicam oleh mereka.
Salika menanti di ruang lobi. Dress panjang warna coklat dan selendang labuh berwarna gading membalut tubuh. Kali ini dia terpaksa melakukan penyamaran agar Kezus tidak panik bila ternampaknya. Dia syak Kezus sudah menyedari kehadirannya sewaktu di Hotel La Leona.
Kezus memasuki lobi dengan tubuh berpeluh-peluh, terus menuju ke arah meja resepsi. Setelah menyatakan tujuannya ke situ dan mendapat sekeping pas pelawat, Kezus berlari-lari anak ke arah lif. Salika mengekor tidak jauh di belakang.
Lif berhenti di lantai 8 dan Kezus melangkah keluar. Salika berjalan perlahan-lahan dan terus duduk di sofa kelabu di ruang menunggu. Kezus menahan seorang pegawai wanita yang sedang menjinjing beberapa keping fail dan bertanya tentang Encik Mohar, lelaki yang dicari-cari -- yang mampu memberikannya alamat terkini emaknya.
Kezus dan pegawai wanita itu masuk ke dalam dan beberapa minit kemudian Kezus muncul kembali, dengan wajah mencuka. Pasti baru saja mendapat khabar tak baik. Tanpa berlengah, Salika bangun dan menegurnya dari belakang.
"Kezus, saya boleh tolong awak," kata Salika, perlahan. Kezus pantas berpaling.
"Apa? Macam mana puan tahu nama saya?" Kezus keliru. Dari gerak matanya, jelas ada sedikit ketakutan yang muncul dalam dirinya. Dia tak mudah percaya kepada orang yang pertama kali ditemui.
"Encik Mohar tak mampu bantu awak, bukan? Awak sedang tercari-cari beberapa jawapan kepada kemusykilan dan kekeliruan yang awak alami sejak awak kembali ke sini, betul tak?” Tanya Salika dan Kezus mengangguk lemah.
“Saya tak tahu awak siapa,” kata Kezus, perlahan. “Tapi, kalau awak tahu tentang kekeliruan saya, tentu awak tahu banyak benda yang saya sendiri tak tahu.”
“Mari ikut saya, saya boleh terangkan apa yang sedang berlaku. Ia langsung tak seperti yang awak sangka-sangkakan selama ini. Awak mungkin akan terkejut, marah dan mengutuk diri sendiri. Tapi saya perlu beritahu awak perkara yang benar, supaya awak tak berterus-terusan keliru dan bimbang begini." Salika memandang Kezus dengan penuh simpati sambil jarinya terus menekan butang lif untuk turun. Kezus bergerak menghampirinya sambil menjeling nombor yang menyala di atas pintu lif.
"Puan ni siapa? Rasanya saya tak pernah bertemu puan sebelum ini. Puan ada kaitan dengan ahli keluarga saya ke?" Kezus tidak dapat melindungi rasa curiga yang bersarang sejak wanita berselendang labuh itu menegurnya tadi.
Salika tersenyum dan menundukkan wajah. "Panggil saya Salika. Nanti saya akan ceritakan semuanya. Saya tahu kepala awak sekarang sedang sarat dengan persoalan. Saya harap awak bertenang dan jangan tunjukkan sebarang reaksi terkejut atau panik yang boleh menarik perhatian orang lain."
Dengan perasaan ingin tahu yang menggunung, Kezus hanya menurut perempuan itu memasuki lif dan turun ke aras LG. Salika berjalan terus ke arah pintu kafetaria dan memilih meja yang berhampiran pintu belakang. Mereka duduk berhadapan. Salika terus mengeluarkan sebuah komputer riba nipis dari sebalik selendang labuhnya lalu diletakkan dengan berhati-hati di atas meja.
"Sebelum kita bercakap dengan panjang lebar, saya minta awak tonton dulu video ini. Ada beberapa perkara yang akan jadi lebih jelas selepas awak melihat rakaman yang saya akan tunjukkan." Salika menaikkan skrin komputer dan mula memainkan satu rakaman video. Komputer riba dianjak sedikit lalu dipusing agar Kezus dapat melihat dengan jelas.
Selama lebih lapan minit, Kezus bagaikan terkaku menonton video yang dipertontonkan kepadanya. Salika telah menyambungkan fon telinga bersaiz kecil agar Kezus dapat mendengar setiap ulas butir percakapan manusia-manusia yang muncul dalam video tersebut, termasuklah dirinya. Rakaman yang kelihatan seakan-akan latihan ketenteraan di beberapa buah bangunan tinggi di Asetia itu membuatkan Kezus menelan liur beberapa kali. Wajah Brad juga kelihatan. Dia berpakaian seperti seorang komando dan berperanan seperti seorang jurulatih kepada Kezus dan beberapa lelaki lain mengenakan pakaian seragam penyamaran.
Di dalam rakaman itu Kezus menggalas beberapa senjata api yang tidak dapat dipastikan jenis dan buatannya. Dia dan beberapa lagi lelaki berlari di kawasan berhalangan dengan begitu laju. Sekali-sekala ada letupan-letupan kecil berlaku di kawasan latihan mereka. Jelas kelihatan Brad yang memberi arahan kepada pasukan itu.
Selesai menonton, Kezus tersandar di kerusi dan menghela nafas dalam-dalam. Seribu kecelaruan terlukis di wajahnya. "Apa semuanya tu? Apa yang saya dah buat? Kenapa saya pergi latihan dengan askar tu semua? Saya tak pernah jadi askar simpanan ataupun sukarela untuk terlibat dengan mana-mana pasukan keselamatan. Setahu saya, saya bertugas di university. Apa yang dah jadi?" soalnya, lemah.
Salika membiarkan soalan-soalan itu di awang-angan, lalu terus membuka satu fail audio dan meminta Kezus mendengar dengan teliti. Wajah Kezus berubah serta merta bila terdengar suara emaknya terjerit, terlolong dalam rakaman tersebut. Emaknya menjerit meminta pertolongan sambit meneriak-neriak namanya dan merayu agar tidak diapa-apakan.
"Mana awak dapat rakaman ni? Awak ni siapa?" Kezus masih belum dapat meneka identiti wanita di hadapannya.
Salika menutup komputer riba dan merenung tepat ke mata Kezus. "Kami dapat rakaman suara emak awak tu daripada talian kecemasan. Emak awak menelefon mengatakan rumahnya diceroboh dan beberapa orang lelaki menyerang keluarganya."
"Jadi, di mana emak dan adik beradik saya sekarang?" Suara Kezus mula bergetar.
"Buat masa ini, kami masih tak tahu."
"Bila panggilan kecemasan itu dibuat?"
Salika terdiam sejenak sebelum memberikan jawapan, "sehari selepas awak berangkat ke Los Volvimos."
"Tapi, saya telefon emak saya setiap minggu semasa di Los Volvimos. Awak jangan nak mempermain-mainkan saya." Kezus mula mencurigai wanita di hadapannya.
Salika mengetap bibir, terperangkap dengan pembohongannya sendiri. Namun mindanya pantas memutarbelitkan fakta. "Adakah awak pasti awak ada menelefon emak awak? Adakah awak juga pasti itu emak awak yang mengangkat telefon?" Salika sendiri tidak pasti adakah benar Kezus ada menghubungi emaknya sepanjang dia menjalani latihan di Los Volvimos
Kata-kata Salika serba sedikit membuat Kezus berasa agak keliru dan cuba mengingatkan semula perbualannya dengan emak. Benar, banyak perkara yang terjadi di Los Volvimos sudah terpadam dari ingatannya. Jika Salika tidak menunjukkannya video tadi pasti dia langsung tidak tahu apa yang dilakukannya di Los Volvimos selama dua bulan.
"Seluruh hidup awak, dah tak tahu mana yang benar, mana yang lakonan, Kezus. Awak sudah dipersiapkan untuk tugasan besar ini - misi melumpuhkan Belzeya. Awak orang harapan mereka. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk pastikan awak tidak akan belot." Salika cuba mempengaruhi Kezus lagi. “Awak tak boleh percaya seratus peratus apa yang ada dalam fikiran awak sekarang. Apa yang awak ingat, mungkin adalah memori yang ditanam oleh orang yang memaksa awak menjalani misi ini.”
"Jadi, emak saya sekarang jadi tebusan? Kalau saya belot, mereka akan apa-apakan dia?" Nada suara Kezus kian mendesak. Salika mengangguk perlahan. “Sekejap,” kata Kezus sambil mengangkat jari telunjuknya. “Saya macam teringat pernah tengok satu pengkebumian masa di Los Volvimos. Siapa yang mati?” Kezus menggaru-garu kepalanya. Terlalu banyak imej dari garis masa berbeza yang tiba-tiba muncul dan mengelirukannya sekarang.
"Jangan bimbang, itu bukan pengkebumian emak awak, Kezus,” jawab Salika, walaupun dia tak tahu pengkebumian siapa yang dikatakan oleh Kezus. “Tapi, masih belum terlambat, Kezus. Jika awak ragu-ragu dengan misi ini, awak masih ada masa untuk berunding dengan mereka. Saya yakin, ini bukan kehendak awak. Mereka sudah perangkap awak, Kezus," ujar Salika yang merenung mata Kezus dalam-dalam.
"Awak pasti? Saya dah jadi makin keliru sekarang. Dan sampai sekarang ini saya tak tahu awak ni siapa. Siapa awak sebenarnya, Salika?" Kezus sudah jemu berteka-teki sejak tadi. Dia mahu Salika berterus terang. “Awak dah ikut saya dari mana? Banyak mana maklumat tentang saya yang awak dah tahu?”
Salika tahu dia tidak boleh terus-terusan dalam penyamaran. Biarlah Kezus tahu siapa dirinya, moga-moga akan memudahkan lagi pekerjaan. "Saya Kapten Salika, dari pasukan Angkata Tentera Hi-Mueliya, bahagian perisikan kes-kes khas. Saya ditugaskan untuk membawa awak pulang ke pangkal jalan dan menghentikan misi melumpuhkan Belzeya."
Kezus mendengar pengenalan Salika dengan rasa tidak percaya. "Hah? Apa benda yang awak merepek ni? Saya tak pernah dengar nama pasukan awak tu. Saya ni dalam program TV ke, apa? Program reality sains fiksyen, ye?” Kezus seperti mahu ketawa tetapi ekspresi di wajah Salika yang tidak berubah membuatkannya berfikir dua kali. “Saya? Saya perlu dibawa pulang ke pangkal jalan? Mengapa? Selama ni saya dah tersesat ke? Awak jangan kelentong saya, Salika."
"Kezus, apa yang mereka ingin awak lakukan ini sebenarnya di luar kehendak awak. Awak dipaksa, diugut dan sedang dimanipulasi dengan pelbagai cara sekarang. Minda awak di bawah kawalan mereka. Mereka hanya mahu menjadikan awak alat sahaja bagi mencapai matlamat mereka."
"Siapa mereka itu, Salika? Saya kerap mendapat macam-macam bentuk pesanan tetapi saya tak tahu daripada siapa. Mungkinkah mereka yang awak maksudkan tadi?" Kezus mendekatkan tubuhnya dengan Salika. Mereka mula berbicara dengan nada suara yang serendah mungkin. "Video yang saya tonton tadi, macam mana awak mendapatkannya? Mereka itukah yang melatih saya?"
"Kezus, kami sendiri tak tahu. Tapi, jika awak pergi semula ke Los Volvimos, bertemu semula dengan lelaki yang bernama Brad, awak masih ada peluang untuk membetulkan keadaan." Salika yakin dia telah melantunkan kata-kata yang tepat bila Kezus mula termenung jauh, kemungkinan besar sedang mempertimbangkan saranannya.
"Ya, saya memang perlu kembali ke Los Volvimos, berjumpa dengan Brad dan minta dia jelaskan apa sebenarnya yang telah terjadi. Brad tu dulu salah seorang penyelidik di universiti saya; macam mana saya boleh terperangkap begini, dan siapa yang bertanggung jawab?" Persoalan demi persoalan dilontarkan oleh Kezus dengan nada kesal. Jari jemarinya menggenggam erat telefon bimbit.
"Ada satu penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hi-Mueliya ke Los Volvimos awal pagi esok. Saya rasa awak patut bertindak pantas. Peluang ini mungkin takkan muncul lagi. Fikirkanlah masak-masak. Awak masih ada ahli keluarga yang menanti kepulangan awak. The clock is ticking." Salika menunjuk ke arah jam tangan yang dipakainya. Kezus mengeluarkan dompet dan memeriksa jumlah wang dan segala kad kredit.
"Terima kasih Salika. Saya mesti bergerak sekarang. Saya perlu betulkan keadaan."
Salika melepaskan nafas lega. Sekurang-kurangnya sekarang Kezus masih ingat tentang Brad dan dia pasti lelaki itu ada jawapan kepada segala persoalannya. Berdasarkan siasatan mereka Brada adalah seorang ahli akademik yang banyak terlibat dengan penyelidikan berkaitan teknologi biokimia. Dia tidak memiliki sebarang rekod jenayah mahupun pernah terlibat dengan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang. Tetapi lelaki itu juga dirakam turut sama dalam latihan ketenteraan ala komandi di Los Volvimos. Besar kemungkinan dia memiliki dua kehidupan: sebagai seorang ahli akademik dan juga seorang tentera. Atau mungkin juga dia seorang tentera yang hidup dalam penyamaran.
Share this novel