Bab 30
8.30 pm : 27 Aug 2020.
Dia sudah terlena selama hampir 4 jam. Tangannya terus laju meraba tilam, mencari telefon bimbit yang dicampaknya sahaja tadi sebelum terlena. Lampu di tepi katil dihidupkan dan Kezus mula mendail nombor Douv, untuk kali ke tiga pada hari ini.
"Sorry Douv, aku mengganggu malam-malam begini." Kezus berdehem, melonggarkan kahak yang mula berkumpul di pangkal tekak.
"Tak ada masalah. Need any help?" Suara Douv tenang dan bersahaja.
"Kau ada simpan nombor telefon mak aku? Atau mana-mana ahli keluargaku?"
"Aku rasa ada, sekejap lagi aku SMS nombor-nombor yang ada."
"Thanks Douv. Aku masih buntu sekarang." Kezus mengeluh.
"Ada apa-apa yang tak kena?" Nada suara Douv terus berubah, bimbang.
"Rumah emak aku dah tak ada di Einden. Kawasan taman perumahan tu sudah diratakan. Mereka sedang bina stadium atas tapak tu." Kezus mengeluh lagi.
"Pelik." Douv terdiam seketika. "Aku baru beberapa bulan lepas lalu di kawasan rumah emak kau, tak ada tanda-tanda projek besar nak dibangunkan di situ."
"Ya, sejak aku pulang dari Los Volvimos, dah ada macam-macam benda pelik yang aku alami. Sekarang aku dah tak mampu nak berfikir lagi. Esok pagi aku nak pergi pejabat majlis bandaran dan kemudian ke kementerian untuk mencari alamat baru keluarga aku," terang Kezus dengan sejalur kesedihan mula terkesan dalam suaranya.
"Baiklah, aku akan cari nombor emak dan adik-adik kau. Sekejap lagi aku SMS."
"Thanks Douv."Suara Kezus sedikit lega.
"No problem. Aku harap kau dapat kesan keluarga kau."
Setelah perbualan tamat, Kezus terus melucutkan pakaian yang sudah masam dan renyuk lantas menuju ke bilik air dan membuka air pancuran sebesar-besarnya. Tubuhnya dibiarkan dibelai oleh air pancuran yang sederhana hangat sambil kepalanya tiba-tiba terfikir tentang Los Volvimos. Tentang Brad.
Pada saat itu Kezus tersedar, dia tidak ingat apa-apa tentang Los Volvimos, mahupun Brad. Dia cuma ingat tinggal selama dua bulan di Los Volvimos, menumpang di rumah Brad - salah seorang rakannya yang pernah menjadi penyelidik di universiti yang memiliki sebuah apartment di kota itu. Apa yang dilakukannya di Los Volvimos? Kezus mengetuk-ngetuk dahi dengan buku limanya. Apa urusannya di Los Volvimos? Apa berlaku padanya di Los Volvimos?
Kezus cepat-cepat menyabun dan membilas tubuh. Mungkin dia masih menyimpan alamat emel Brad. Dia perlu hubungi lelaki itu secepat mungkin.
* * *
Salika duduk di sudut paling terceruk di Restoran Sultani. Matanya merenung menu manakala telinganya pantas menangkap perbualan Kezus dengan pelayan di meja hadapan. Kezus bertanyakan di mana dia boleh menggunakan komputer di hotel tersebut. Pelayan menyarankannya pergi ke Business Center yang dibuka sehingga jam 11 malam.
Setelah pelayan berlalu Kezus mengeluarkan telefon bimbit, memeriksa pesanan yang baru masuk. Air mukanya berubah saat dia membaca pesanan itu. Dia terus membuat panggilan.
"Lara, ini abang," katanya setelah kedengaran suara di hujung talian. Kezus mengangguk beberapa kali. "Abang minta maaf kerana tak hantar khabar berita. Abang tahu, abang bersalah. Abang dah sedar semua kesalahan abang yang dulu. Lara dan anak-anak apa khabar?"
Salika terus mendengar. Kezus sedang berbicara dengan bekas isterinya, Lara. Mereka berpisah tak lama dulu dan mempunyai dua orang anak lelaki. Mereka sudah lama tidak pernah bertemu, kali terakhir mungkin pada hari penceraian mereka muktamad.
"Abang rasa ada banyak perkara aneh sedang berlaku sekarang. Abang tak faham." Kezus membetulkan duduknya, mencari posisi lebih selesa. Kaki dilunjur. "Kalau Lara masih simpan nombor telefon emak, boleh SMS pada abang?" Suaranya lembut meminta. Beberapa saat kemudian Kezus mengeluarkan pen dan menulis sesuatu pada kertas tisu di atas meja. "Terima kasih Lara. Sampaikan salam abang pada Borain dan Arkun. Jangan bimbang tentang abang. Mudah-mudahan semuanya baik-baik saja. Katakan pada mereka, abang tak hilang. Abang ada di sini, tapi abang terlalu keliru. Mungkin ada sesuatu yang aneh dah berlaku."
Pelayan tiba membawa minuman yang dipesan sebentar tadi. Telefon bimbit disimpan dalam kocek bersama-sama kertas tisu yang dilipat kemas. Pelayan memberitahu Kezus ada beberapa lelaki bertanyakannya di meja hadapan. Kezus terkaku sebentar.
"Minta mereka tunggu sekejap," kata Kezus kepada pelayan. Dia mula memicit-micit dahi.
Salika juga berasa hairan. Siapa lagi yang tahu lokasi Kezus sekarang? Dengan pantas Salika menghantar satu pesanan kepada rakan setugasnya, Eran.
"Kezus akan berhubung dengan seseorang yang tidak diketahui. Hotel La Leona. Mohon bantuan sokongan."
Beberapa saat kemudian balasan daripada Eran diterima.
"Bantuan akan tiba dalam masa 3 minit."
Salika terus memerhatikan Kezus yang sedang minum dengan tenang. Kemudian dia mengeluarkan semula telefon bimbit dan kertas tisu tadi. Dia mendail nombor yang tertulis pada kertas tisu.
"Hello. Mak?" Kezus berkata tetapi kemudian terus terdiam, kecewa. Dari meja belakang, Salika dapat mendengar jelas suara yang datang dari telefon.
"Nombor yang anda dail tiada dalam perkhidmatan."
"Hah!" keluhnya pendek, penuh kecewa. Telefon bimbit disimpan semula dan minuman dihabiskan hanya dengan beberapa kali hirup. Kezus bangun dan menyelitkan sekeping not di bawah gelas minuman. Dia berjalan perlahan-lahan keluar dari Restoran Sultani, menuju ke bahagian resepsi.
Salika menunggu beberapa ketika sebelum meninggalkan meja dan menurut jejak Kezus. Kelihatan dua orang lelaki berambut pendek dan berpakaian kemas sedang menantinya di sofa baldu. Salika berdiri di tepi sebuah pasu besar berhampiran lobi lif. Tiga orang lelaki yang dikenalinya baru sahaja memasuki pintu besar hotel. Bantuan yang baru dipohon sudah tiba. Salika memberi isyarat tangan kepada mereka agar tunggu sebentar dan jangan mengambil apa-apa tindakan. Mereka bertiga terus berpura-pura berbual sesama sendiri dan mengambil tempat di salah sebuah sofa yang disediakan di situ.
Share this novel