Chapter 42

Romance Completed 14626

Bab 42

Tanpa berlengah, Salika menghubungi salah seorang rakan sepasukan. "Wilma, bawa keluar kereta kau sekarang. Terus pandu ke aras ketibaan," arahan diberikan pantas.

"Baik, puan!" Sarjan Wilma Rahmat terus meninggalkan posisi berkawal di pintu masuk aras 2 dan berlari ke arah kertanya yang diparkir hanya 10 meter dari tempatnya berdiri tadi.

Enjin dihidupkan dan enjin kereta terus mengaum ketika pedal minyak ditekan mendadak. Tiada jalan singkat untuk terus ke aras ketibaan, Wilma terpaksa memecut untuk menjimatkan masa. Beberapa pemandu lain memberikannya isyarat lampu tinggi dan isyarat jari tengah- mungkin mereka berang dengan cara pemanduannya.

Dari jauh kelihatan Salika, Dakara dan Eran sedang melambai ke arahnya. Wilma terus berhenti di hadapan pintu masuk yang paling hujung. Mereka bertiga terkocoh-kocoh masuk ke dalam kereta.

"Mereka naik MPV MPV warna tembaga, menggunakan plet Wilayah Elterra," kata Salika, termengah-mengah setelah berlari pecut cuba mengejar Douv tadi. Tetapi, mereka hanya lewat seminit dua. Douv dan rakannya baru sahaja berlalu pergi.

"Saya akan cuba kejar, puan!" Wilma terus menekan pedal minyak, tidak mempedulikan pegawai keselamatan yang memintanya ke tepi. "Puan rasa mereka menuju ke arah mana?" soalnya tanpa menoleh ke arah Salika yang duduk di kerusi penumpang.

"Mungkin highway. Kita terus menghala ke tol dulu," ujar Salika dan Wilma semakin galak menginjak pedal minyak.

Deretan pokok-pokok hijau di kiri kanan jalan dilepasi bagai kilat, speedometer menunjukkan kelajuan mereka menghampiri 180km/j. Salika menghubungi pegawai-pegawai yang masih berkawal di terminal agar tunggu sehingga pukul 12 tengah hari sebelum meninggalkan posisi masing-masing. Sebarang keanehan mesti dilaporkan kepadanya dengan kadar segera.

* * *

"Cepat buka zip tu," pinta Douv sambil matanya tetap melekat pada jalan raya. Mereka baru sahaja membelok di simpang menghala ke plaza tol lebuh raya Elterra ELITE. Bagasi itu diletakkan di tempat duduk belakang MPV yang diratakan. Manod menarik zip di sekeliling bagasi dan mengangkat penutupnya.

Seraut wajah terjengul. "Haaaa! Leganya! Ingatkan kamu semua nak biarkan aku mati lemas dalam ni." Kelihatan Kezus mengerekot dengan tubuh yang berpeluh-peluh dan wajah memerah. Topeng oksigen masih di mulut tetapi silinder oksigen yang diletakkan di belakangnya sudah kehabisan bekalan. Manod menghulurkan tangan kepadanya.

"Sudah berapa lama kau duduk dalam beg ni?" soal Douv selepas mengambil tiket di plaza tol. Kezus mengerling lengan kiri dan baru teringat tentang jam tangannya yang sudah dicampak oleh Mark ke dalam tong sampah.

"Entahlah, mungkin hampir setengah jam," katanya lalu mencapai tisu di bahagian depan untuk mengelap peluh yang menitik-nitik. "Kita nak ke mana ni?"

"Hikmirzap," jawab Manod yang duduk di sebelah Kezus.

"Ada apa di Hikmirzap?" Kezus sedikit keliru. Menurut perbincangannya dengan Timothy pagi tadi, pusat operasi sementara mereka terletak di Bansi.

"Pusat operasi kita," sahut Douv.

"Aku ingatkan pusat operasi kita di Bansi." Kezus mula ragu.

"Terpaksa pindah, pusat operasi tu hampir dapat dikesan oleh mereka." Suara Douv mendatar.

"Mereka?" Kezus tidak mendapat sebarang maklumat tentang 'mereka' daripada Mark, Timothy mahupun Esky sungguhpun semalaman mereka bersama-sama.

"Pasukan yang dibentuk oleh Mejar Huza dan dihantar ke sini untuk menggagalkan misi kita. Mereka berjaya mengesan kau semasa kau tiba ke sini dari Los Volvimos. Kau tentu ingat, semasa kau sampai di arrival hall, ada seorang lelaki tiba-tiba datang dan berjabat tangan dengan kau tapi kau memang langsung tak kenal dia,” Douv menceritakan dan Kezus mengangguk-angguk.

“Ya, aku terus rasa macam pening-pening lalat selepas bersalam dengan lelaki itu. Mulanya aku ingatkan sebab bau minyak attar yang aku hidu dekat arrival hall tu, tapi bila aku fikir-fikir balik, memang aku langsung tak pernah jumpa dia. Akupun tak faham kenapa dia nak bersalam dengan aku, lepas tu tanya khabar pulak tu. Ingatkan dia betul-betul kenal aku.” Kezus cuba mengingat raut wajah lelaki yang muncul entah dari mana tempohari, tetapi gagal.

“Lelaki tu sebenarnya ialah salah seorang ahli pasukan yang dihantar oleh Mejar Huza. Bila kulit kamu berdua bersentuhan, ia telah memberikan peluang untuknya memasukkan virus ke dalam ingatan kau. Ada beberapa program kau yang mereka dah rosakkan. Sebab itu Mark dan Timothy terpaksa bawa kau ke tempat reconfiguration. Tempat itu pun kita guna sementara je. Kalau kau pergi semula ke bilik tu sekarang, semua dah dibersihkan – kosong sekosong-kosongnya," terang Douv panjang lebar.

"Macam mana pulak dengan Mark, Timothy dan Esky? Mana diorang pergi sekarang?" Kezus teringatkan mereka bertiga yang muncul tiba-tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hi-Mueliya, dan telah membantu membetulkan ingatannya semula. Dia sudah tidak ingat apa masalahnya sebelum melalui prosedur yang hampir membuatkannya memuntahkan segala isi perut. Prosedur itu dilakukan ke atasnya berulang kali, dari senja hingga ke selepas subuh.

"Nanti kita akan jumpa diorang semula di Hikmirzap. Aku harap kau dah ingat semula semua latihan yang kau pernah jalani. Kalau kau lupa, ataupun kau dapat gangguan lagi, masak kita nanti." Douv menoleh ke arah Kezus, tangan kanannya memegang stereng, manakala tangan kiri menghulurkan seutas rantai perak kepada rakannya.

"Apa ni?" Kezus membelek loket berwarna perak yang tersangkut pada rantai. Lapan digit nombor tertulis pada loket.

30082020.

"Tarikh hari esok," jawab Manod, tersenyum dan mengeluarkan loket serupa yang dipakainya lalu dikucup, membuatkan Kezus kehairanan.

"Dalam tu ada nanocip untuk operasi di Belzeya esok." Douv menghapus keraguan Kezus. "Kita semua kena pakai sepanjang operasi. Mudah untuk mengesan dan menjejak lokasi setiap ahli pasukan."

"Jadi, operasi kita bermula esok? Pukul berapa?" tanya Kezus yang masih memegang loket, mencari-cari di mana nanocip diselitkan.

"Sebenarnya kita akan mulakan operasi pukul 3:30 petang ni," ujar Douv, tegas. Kezus terpempan seketika. Itu satu kejutan buatnya.

"Bukan pagi esok? Kalau tak silap aku, last info aku dapat kita akan start esok," Kezus meminta kepastian. Manod yang sedari tadi merenung ke luar, menggeleng.

"Terpaksa tukar rancangan. Kita punya original plan dah kacau. Banyak sangat yang dah dapat dihidu oleh pasukan Mejar Huza. Sepatutnya misi kita ni Cuma ambik masa 8 jam, tapi nampaknya kita terpaksa bekerja lebih masa. Kalau ikut latest plan, misi kita ni akan ambil masa 24 jam." Douv menghulurkan sesuatu kepada Kezus -- sebuah flash drive. Manod mengeluarkan sebuah UltraPad dari bahagian dalam jaket dan menyerahkannya kepada Kezus.

Dengan pantas, Kezus meneliti setiap gambarajah dan rentetan aktiviti yang bakal berlaku. Satu demi satu perincian disemak. Benar, ada banyak perubahan daripada perancangan asal. Beberapa lagi kompleks bangunan telah dimasukkan ke dalam rancangan mereka.

Mangsa pertama - bangunan Pungutan Hasil di Celzera akan diledakkan petang ini. Empat jam dari sekarang!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience